Sokongan dan dorongan ibu bapa menjadi kekuatan graduan Fakulti Perhutanan Tropika (FPT) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Celine Jimmey Lucas untuk cemerlang dalam pengajian sehingga meraih Anugerah Pelajaran Diraja (Bumiputera) pada Majlis Konvokesyen UMS Ke-26 hari ini.

Celine, 24, telah dinobatkan gelaran tersebut setelah memperoleh keputusan cemerlang dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.96 bagi Ijazah Sarjana Muda Sains (Biologi Pemuliharaan).

Beliau menerima penganugerahan tersebut pada Sidang Pertama Konvokesyen UMS yang disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Juhar Datuk Haji Mahiruddin di Dewan Canselor UMS.

Menurut Celine, faktor utama bagi kejayaan yang diperoleh pada konvokesyen UMS kali ini adalah sokongan tanpa henti daripada ibu bapa.

“Sudah tentu ibu bapa saya, Jimmey Lucas dan Cecilia Garcia merupakan sumber inspirasi kerana merekalah yang telah memberi kami kekuatan sejak kecil lagi.

“Saya tahu betapa penatnya mereka berdua membesarkan kami, justeru saya amat berharap agar anugerah ini dapat membanggakan ibu bapa saya,” katanya.

Mengulas lanjut berkaitan program pengajian yang dipilih, Celine berkata beliau terdorong oleh minatnya terhadap haiwan serta pengaruh abangnya yang berada dalam bidang perhutanan.

“Saya meminati haiwan dan perkara berkaitan pemuliharaan haiwan yang merupakan satu usaha yang baik dan bermanfaat kepada manusia.

“Justeru itu, gabungan terhadap minat kepada haiwan dan pengaruh abang dalam bidang perhutanan mendorong saya memilih untuk melanjutkan pengajian dalam program Biologi Pemuliharaan,” katanya.

Beliau turut berkongsi cabaran serta rahsia kecemerlangan sehingga memperoleh anugerah pada konvokesyen kali ini.

“Cabaran sepanjang di UMS adalah pada tahun pertama pengajian kerana ketika itu berada dalam fasa transisi kepada pengajian secara fizikal setelah beberapa bulan berada di rumah akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan COVID-19.

“Ketika itu agak sukar untuk beradaptasi dengan suasana secara fizikal sebab sudah lama terperap di rumah dan kurang komunikasi dengan orang di luar, namun syukur akhirnya perkara ini dapat diatasi.

“Tips yang boleh saya kongsikan adalah doa, cari potensi diri dan luaskan pengalaman dan pengetahuan sebanyak mungkin,” katanya, selain turut menyampaikan penghargaan kepada pensyarah, dan rakan-rakan yang menyokongnya sepanjang melanjutkan pelajaran di UMS serta berkongsi petua untuk memperoleh kejayaan dalam aspek akademik.

Seramai 4,493 graduan UMS diraikan pada majlis konvokesyen kali ini yang berlangsung dari 7 hingga 10 Disember.

 

(artikel disediakan Muhammad Yatimi Saliman, Pelajar Laihan Industri, Pusat Komunikasi Korporat UMS)

 

Bekas peguam syariah, Datin Saidatul Badru Mohd Said Keruak, 74, menjadi tumpuan apabila menjadi graduan tertua menggenggam Ijazah Doktor Falsafah sempena Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah ke-26.

Ibu kepada 3 anak dan 3 cucu itu berkata, usia bukanlah penghalang kepada sesuatu kejayaan asalkan ia diiringi dengan semangat dan keinginan yang tinggi.

“Saya inginkan kejayaan saya ini menjadi penyuntik semangat kepada warga belia di luar sana yang ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang yang lebih tinggi.

"Jangan terlalu fokus kepada umur, apa yang penting adalah kemahuan dan semangat kerana proses dan perjalanan menuntut ilmu ini bukan mudah,” katanya.

Tambahnya, dia juga pernah ditawarkan pengajian oleh Universiti Islam Antarabangsa, namun lebih memilih untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Sejarah di UMS kerana ingin kembali semula ke tempat asal.

“Saya memperoleh Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana di Universiti Malaya. Pada peringkat Sarjana Muda, ketika itu saya sudah pun mempunyai cucu dan berusia 40 tahun. Kemudian, saya menyambung semula pengajian ke peringkat Sarjana pada usia 55 tahun.

”Saya mengambil peluang melanjutkan pelajaran sewaktu anak-anak saya sudah tamat pengajian dan mempunyai kerjaya dalam bidang masing-masing.

“Dalam masa yang sama, saya juga bermula sebagai setiausaha pada tahun 1970 di Pejabat Ketua Menteri Sabah di bawah pimpinan Tun Datu Haji Mustapha bin Datu Harun,” tambahnya lagi.

Beliau yang berasal dari Kota Belud Sabah itu mengungkapkan rasa terima kasih kepada suami, anak-anak serta cucu kerana telah menjadi semangat dan pendorong terbesar sepanjang tempoh pengajian.

Graduan warga emas berkenaan menerima skrol Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Sejarah yang disampaikan oleh Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin pada Majlis Konvokesyen UMS ke-26.

Seramai 359 graduan telah menerima ijazah masing-masing yang terdiri daripada doktor falsafah, doktor perubatan dan sarjana penyelidikan di Dewan Canselor, UMS.

 

(artikel disediakan Norafiqa Samil, Pelajar Tahun Tiga Program Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UMS)

 

Pasangan adik-beradik ‘terkejut’ apabila dapat berkongsi pentas konvokesyen sama pada majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) kali ke-26, Sidang 1 yang berlangsung hari ini.

Siti Nasyitah Jaman, 27, graduan Ijazah Sarjana Sains (Matematik degan Grafik Berkomputer) Fakulti Sains dan Sumber Alam dan adiknya, Siti Nafi’ah Jaman, 23, graduan Sarjana Muda Sains dengan Kepujian (Teknologi Makanan dan Bioproses) Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan tidak menyangka yang mereka akan bergraduasi bersama.

“Alhamdullilah, tidak disangka yang kami dapat konvo bersama walaupun berbeza pengajian kerana saya sarjana dan dia sarjana muda,” kata Nasyitah, anak nombor lima dari sembilan adik beradik.

“Ketika saya mengambil ijazah pertama, saya mempunyai masalah peribadi sehinggalah semasa melanjutkan pengajian dalam sarjana ketika zaman Covid-19. Waktu itu, saya belajar sambil bekerja.

“Syukurla saya dibantu oleh penyelia akademik saya, Dr. Rozaimi Zakaria yang memberi cadangan untuk saya melakukan pengajian sepenuh masa sarjana walaupun secara dalam talian sahaja. Jadi, cabaran paling besar ketika belajar ialah pengurusan masa saya,” ujarnya yang tidak menceritakan lebih lanjut apa masalah yang dihadapi.

Pasangan adik-beradik itu berhadapan dengan cabaran dalam pembelajaran kerana kedua-duanya berbeza dalam menghadapi proses mencapai segulung ijazah untuk dihadiahkan kepada ahli keluarga.

Sementara Nafi’ah berkata, cabaran yang dia hadapi berbeza dengan kakaknya.

“Cabaran yang saya hadapi pula ialah mencari rakan-rakan sekelas dalam membuat tugasan secara berkumpulan kerana jumlahnya ramai dan orangnya pelbagai jenis ragam. Jadi kita kena pilih kawan yang sesuai dengan kita.

“Saya juga membuat perancangan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat doktor falsafah pada masa akan datang. Namun, kos yang tinggi menyebabkan hala tuju lebih ke arah untuk mencari kerja dan menambah pengalaman,” katanya yang merupakan anak ketujuh dari sembilan beradik.

Tambahnya, dia akan lebih memfokuskan kepada kemahiran kerana sijil-sijil kemahiran lebih penting dan banyak digunakan terutamanya berkaitan dalam bidang yang dipelajarinya iaitu teknologi.

Dua beradik itu antara 359 graduan yang menerima ijazah pada sesi pagi majlis konvokesyen itu.

 

(artikel disediakan Muhammad Fakhrul Hakim Nasrudin, Pelajar Tahun Tiga Program Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UMS)

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) telah memeterai satu kerjasama bersama Special Olympics Sabah yang bertujuan untuk meningkatkan kesejahteraan dan kesihatan inklusif bagi golongan orang kurang upaya (OKU) intelektual di Sabah.

Kejasama kedua-dua pihak tersebut dimeterai dalam satu Majlis Menandatangani Surat Niat (LoI) antara UMS dan Special Olympics Sabah yang berlangsung di Auditorium Utama FPSK.

Dekan FPSK, Datuk Dr. Mohd Yusof Hj. Ibrahim mewakili UMS menandatangani LoI tersebut, manakala Special Olympics Sabah diwakili Pengerusinya, Dr. Jiloris Julian Frederick Dony.

Melalui pemeteraian LoI tersebut, kedua-dua pihak akan melaksanakan komitmen bersama untuk menangani jurang kesihatan yang dihadapi oleh individu dengan kurang upaya intelektual melalui kerjasama dalam perkhidmatan klinikal, program komuniti, dan aktiviti pendidikan.

Dalam pada itu, Mohd Yusof dalam ucapannya sempena majlis tersebut menekankan kepentingan kerjasama UMS dan Special Olympics Sabah sebagai usaha untuk memastikan akses kepada penjagaan kesihatan berkualiti dan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan amalan inklusif dalam bidang sains kesihatan.

"Kerjasama ini mencerminkan semangat Malaysia Madani dengan memastikan institusi pendidikan dan kesihatan berganding bahu bagi mewujudkan ekosistem inklusif untuk semua, terutamanya bagi golongan terpinggir.

“Ini sekali gus menggambarkan visi UMS untuk berkhidmat kepada komuniti dan memastikan individu dengan kurang upaya intelektual menerima peluang kesihatan yang saksama.

“Melalui usaha bersama dalam pendidikan, latihan, dan penyelidikan, kami berhasrat untuk membentuk masyarakat yang lebih inklusif,” katanya.

Jiloris yang turut senada menyokong inisiatif kolaborasi tersebut menambah, kerjasama itu mengukuhkan lagi misi Special Olympics Sabah khususnya dalam memperkasakan individu dengan kurang upaya intelektual bagi membolehkan mereka menjalani kehidupan yang lebih sihat dan bermakna.

“Kami amat teruja untuk bekerjasama rapat dengan UMS bagi membawa perubahan yang berimpak kepada komuniti,” ujar beliau.

Bidang utama kerjasama yang digariskan dalam LoI tersebut termasuk saringan dan perkhidmatan kesihatan, latihan dan peningkatan keupayaan, serta penyelidikan dan inovasi, dengan kerjasama itu dijangka membuka laluan kepada inisiatif berimpak tinggi yang sejajar dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), khususnya dalam memastikan kehidupan sihat dan mempromosikan kesejahteraan untuk semua.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) meraikan graduan cemerlang pascasiswazah yang bakal menerima skrol ijazah pada Majlis Konvokesyen UMS Kali ke-26 bermula 7 Disember dalam satu Majlis Anugerah Pascasiswazah (MAP) UMS 2024 di Horizon Hotel, Kota Kinabalu.

Seramai 48 graduan pascasiswazah menerima penghargaan dalam pelbagai anugerah pada majlis tersebut, antaranya Anugerah Aspirasi Pascasiswazah, Anugerah Pelajar Terbaik (Kerja Kursus) mengikut program, Anugerah Tesis Terbaik, Anugerah Pelajar Cemerlang (Sarjana), Anugerah Pelajar Cemerlang (Doktor Falsafah), dan Anugerah Penyelia Terbaik.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor ketika menyampaikan ucapan perasmian majlis tersebut berkata, seramai 735 orang pelajar program pascasiswazah termasuk 101 orang pelajar Ijazah Doktor Falsafah dan 145 orang pelajar Ijazah Sarjana Penyelidikan akan menerima skrol masing-masing pada sidang pertama Konvokesyen UMS pada tahun ini.

“Jumlah ini turut meliputi 18 orang pelajar Ijazah Doktor Kesihatan Awam (DrPH); 18 orang pelajar Ijazah Sarjana Kesihatan Awam (MPH); 15 orang pelajar Sarjana Speciality Programme for Alcohol and Drug Abuse (SPADA); 124 orang pelajar Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah serta seramai 314 pelajar program kerja kursus di bawah kendalian Pusat Pendidikan Fleksibel (UMSFLEC) UMS.

“Pastinya detik menerima skrol daripada Tun Canselor UMS merupakan antara saat terindah dan penuh bermakna buat para pelajar sekalian.

“Perasaan sedemikian kita lanjutkan kepada pelajar-pelajar yang telah memberikan komitmen yang tinggi sehingga membolehkan mereka dipilih sebagai penerima beberapa anugerah istimewa,” katanya.

Beliau turut mengingatkan para graduan yang merupakan alumni UMS juga mempunyai peranan dalam meningkatkan kedudukan universiti.

“Anda mempunyai peranan yang tidak kurang pentingnya dalam memastikan UMS terus relevan sebagai pusat pengajian tinggi yang boleh memberi manfaat kepada kehidupan masyarakat sekitar dan seantero dunia.

“Sekecil-kecil peranan yang anda boleh lakukan ialah dengan membawa imej baik UMS di mana jua anda bekerja atau berada.

“Tonjolkan ketajaman minda dan karisma kepimpinan anda yang selama ini dicungkil dan digilap semasa mengikuti pengajian di UMS,” katanya.

Beliau turut berpesan kepada para graduan yang bakal menerima ijazah agar memanfaatkan pengurniaan ijazah tersebut sebaik mungkin dengan memberikan sumbangan yang tidak berbelah-bahagi kepada negara dan dunia sejagat.

Pada majlis tersebut, Felicia Ling Wen Xia dari Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan meraih penghargaan sebagai penerima Anugerah Pelajar Cemerlang (Secara Penyelidikan) Sarjana Sains, manakala bagi Sarjana Sains Sosial dianugerahkan kepada Fiqriyah Mohd Kunarto dari Fakulti Pengajian Islam.

Mivolil Duinong dari Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) pula dianugerahkan Anugerah Pelajar Cemerlang (Secara Penyelidikan) Doktor Falsafah (Sains), manakala bagi Doktor Falsafah (Sains Sosial) diberikan kepada Janet Jahudin dari Fakulti Psikologi dan Pendidikan.

Turut diraikan pensyarah kanan dari FSSA, Prof. Madya Dr. Chee Fuei Pien yang menerima Anugerah Penyelia Terbaik bagi Gugusan Sains, dan Prof. Madya Dr. Oliver Valentine Eboy yang menerima Anugerah Penyelia Terbaik bagi Gugusan Sains Sosial.

Hadir sama pada majlis tersebut Ketua Pustakawan UMS, Md. Sazali Md Salleh; Dekan Pusat Pengajian Pascasiswazah, Prof. Dr. Rossita Shapawi; Pengarah UMSFLEC, Dr. Lim Thien Sang; dan Penolong Naib Canselor (Strategik), Prof. Dr. Mohammad Saffree Jeffree.