SELASA, 18 DISEMBER - Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Keusahawanan, Universiti Malaysia Sabah (ERDEC), telah mengadakan siri program perkongsian ilmu keusahawanan bersama Persatuan Ibu Tunggal Sabah (PITSA) baru-baru ini.

Bertemakan ‘Ke Arah Usahawan Wanita Berjaya’, program tersebut yang diadakan sebagai memenuhi Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) ERDEC mula dijalankan bersama Persatuan Ibu Tunggal Kota Marudu (PITKM) pada 31 Oktober lalu, diikuti dengan Persatuan Ibu Tunggal Gabungan Kota Kinabalu, Tambunan dan Bongawan pada 3 November, dan seterusnya Persatuan Ibu Tunggal Nur Kasih, Kota Kinabatangan pada 14 November.

Menurut Pengarah ERDEC UMS, Dr. Salmah Topimin, program ini merupakan sebahagian daripada perancangan program libat sama ERDEC bersama komuniti usahawan di negeri Sabah.

“Komuniti ibu tunggal ini telah dikenal pasti sebagai sebahagian daripada kumpulan sasaran yang signifikan dalam pembangunan keusahawanan di negeri ini.

“Walau bagaimanapun, hakikat bahawa kumpulan ini merupakan kumpulan usahawan yang mudah menerima pendedahan berkaitan aspek keusahawanan telah mendorong pihak ERDEC untuk membantu meningkatkan potensi kecemerlangan kerjaya keusahawanan mereka melalui perkongsian ilmu dan pengetahuan keusahawanan,” katanya.

Tambah beliau, pengendalian program di tiga kawasan terpilih tersebut menumpukan kepada gabungan ilmu keusahawanan teori dan praktikal serta mengikut kesesuaian cadangan topik yang diberikan oleh persatuan terbabit, dengan tenaga pengajar yang terdiri daripada para pensyarah Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP), UMS iaitu Dr. Noor Fzlinda Fabeil, Haslinda Hasan dan Ahmad Shakani Abdullah telah terlibat menjayakan program tersebut.

Dr. Salmah turut berharap agar penganjuran program tersebut dapat meningkatkan motivasi serta keupayaan keusahawanan di kalangan ibu tunggal di Sabah dan seterusnya mengukuhkan daya saing perniagaan dan ekonomi keluarga mereka.

“Saya turut menyarankan agar dilaksanakan satu kajian menyeluruh tentang potensi keusahawanan di kalangan kumpulan ibu tunggal di Sabah, dengan kaedah penyelidikan yang digunakan haruslah bersesuaian dengan kumpulan yang disasarkan bagi memahami cabaran dan hakikat yang dilalui oleh kumpulan usahawan ibu tunggal ini.

“Dengan kata lain, kaedah penyelidikan seharusnya memberi ruang kepada kumpulan sasaran tersebut untuk berkongsi pengalaman mereka, dan apa yang penting, melalui kajian itu, realiti sebenar daripada pengalaman keusahawanan mereka dapat didedahkan,” katanya.

Sementara itu, Presiden PITSA, Norhanida @ Bernadate Annol berkata, kursus sebegini amat diperlukan oleh ahli-ahlinya sebagai penyuntik semangat dan galakan kepada mereka dalam menjalankan aktiviti perniagaan dan seterusnya membantu untuk mengukuhkan sumber pendapatan.

“Sebilangan besar daripada ahli-ahli PITSA tidak mempunyai pendapatan tetap dan berhadapan dengan pelbagai cabaran untuk memantapkan ekonomi keluarga mereka.

“Penglibatan mereka sebagai peniaga kecil-kecilan dalam bidang jahitan, penyediaan makanan, peruncitan dan pemprosesan makanan kering dan basah amat memerlukan pelbagai bentuk sokongan seperti kewangan, prasarana fizikal, peralatan dan latihan keusahawanan bagi membantu kelangsungan perniagaan mereka, pendedahan daripada program ini amat membantu mereka untuk mengembangkan daya keusahawanan mereka,” ujar beliau.

Program sehari tersebut melibatkan lebih 120 peserta dalam kalangan ibu tunggal yang berpeluang mendapat ilmu berkaitan teknik mengenal pasti masalah, merancang strategi perniagaan, teknik pemasaran berkesan, merekodkan kewangan dan penyediaan masakan barat sepanjang berlangsungnya program tersebut.

 

SELASA, 18 DISEMBER – ‘Program Beauty and Smart Workshop’ anjuran Jawatankuasa Mahasiswa (JAKMAS) Universiti Malaysia Sabah (UMS) bersama pelajar-pelajar Kolej Kediaman Tun Mustapha (KKTM) baru-baru mampu memberi manfaat terhadap meningkatkan keyakinan diri peserta.

Menurut penyelaras program, Norain Abdul Razak, program ini bertujuan membentuk keterampilan dan imej serta meningkatkan keyakinan diri siswa-siswi.

“Program ini juga memberi peluang kepada peserta menjurus ke arah keusahawanan serta memupuk semangat untuk sentiasa kelihatan anggun, kemas dan bergaya dengan sendirinya dapat membentuk etika dan moral dalam diri mahasiswa,” katanya.

Bertempat di Dewan Karisma Kolej Kediaman Tun Mustapha, program tersebut diisi dengan tiga slot ceramah menarik iaitu ceramah ‘Keterampilan Diri dan Keusahawanan’ oleh Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Usahawan Sabah, Mohd. Juhar Harun; ceramah ‘Keushawanan’ oleh Usahawan Dewan Perniagaan Usahawan Sabah, Sharifah Yong Nadia Omar Salleh; dan Bengkel Solekan oleh Mustaknir Musa.

Program sehari itu yang melibatkan seramai 33 siswa-siswi KKTM yang terdiri daripada barisan JAKMAS, Majlis Sekretariat KKTM serta Kelab Publisiti KKTM mendapat maklum balas positif daripada peserta yang memperoleh pengetahuan baru berkaitan etika pemakaian yang sesuai serta tatacara penjagaan kulit yang betul.

Turut hadir pada majlis tersebut pengarah program, Nur Kasmini Ahmad.

 

SELASA, 18 DISEMBER – UMS Investment Holdings Sdn. Bhd. melebarkan sayapnya dalam bidang e-Pelancongan di Negeri Sabah melalui pelancaran laman sesawang COMETOSABAH.COM yang dilancarkan dalam satu majlis di Klagan Regency Hotel, 1Borneo baru-baru ini.

Menurut Pengerusi Kumpulan UMS Investment, Datuk Ag. Buhtaman Ag. Mahmun, usaha ini adalah kesinambungan terhadap penglibatan UMS Investment melalui subsidiarinya, UMS Eco Tours and Discovery Sdn. Bhd. (UETD) yang diberi kepercayaan untuk menjalankan pengurusan dan operasi UMS Eco Campus Visitor Information Centre (EVIC) di kampus Universiti Malaysia Sabah (UMS) serta pakej-pakej pelancongannya.

“Laman sesawang COMETOSABAH.COM secara dasarnya adalah sebuah platform atas talian yang memaparkan produk-produk pelancongan di Sabah serta menyambungkan negeri Sabah kepada dunia luar.

“Sehingga kini, platform tersebut telah dilihat oleh lebih 4 juta pengguna melalui carian di Google, dan ini membolehkan kami untuk menarik lebih banyak syarikat atau pemain industri pelancongan untuk bersama-sama menggunakan platform ini untuk manfaat bersama,” katanya dalam ucapan perasmian sempena majlis pelancaran tersebut.

Tambah beliau, laman sesawang tersebut akan terus diisi dengan pelbagai maklumat tambahan berkaitan produk pelancongan di Sabah seperti destinasi menarik, tarikan istimewa untuk pelancongan, hotel-hotel atau perancangan perjalanan untuk pelancong.

Turut hadir pada majlis tersebut Pengarah Bukan Eksekutif UMS Investment, Datuk Haji Mohamed Zulfikar Ahmad; wakil Lembaga Pelancongan Sabah, Walter John; Pengurus Besar Kumpulan UMS Investment, Yusak Yumboris; dan wakil daripada hotel-hotel sekitar Kota Kinabalu.

ISNIN, 17 DISEMBER - Universiti Malaysia Sabah (UMS) meraikan kehadiran pelajar-pelajar antarabangsa di UMS dalam satu majlis Malam Antarabangsa UMS 2018 yang berlangsung di Grand Ballroom, Nexus Karambunai Resort baru-baru ini.

Bertemakan “Celebrating Diversity” atau Raikan Kepelbagaian, sambutan kali ini diadakan dengan penuh kemeriahan bersama semangat harmoni yang tinggi dalam kalangan para pelajar antarabangsa yang hadir.

Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UMS, Prof Dr Rasid Mail ketika mewakili Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin menyampaikan ucapan perasmian berkata, kepelbagaian yang dibawa oleh para pelajar antarabangsa ini akan menjadikan pembelajaran di UMS menjadi lebih menarik khususnya kepada para pelajar tempatan.

“Ini secara tidak langsung akan menyemarakkan lagi medan ilmu dalam laman UMS dan mampu menjadi nilai tambah kepada ilmu pengajian tinggi di universiti tempatan dengan adanya kehadiran komuniti pelajar antarabangsa.

“Penganjuran majlis ini juga mampu menjadi wadah untuk para pelajar antarabangsa dan tempatan menonjolkan budaya dan mempersembahkan persembahan rakyat dari negara masing-masing, sekali gus meningkatkan pengetahuan mengenai etnik dan bangsa yang pelbagai serta merapatkan lagi hubungan dalam kalangan pelajar dari negara yang berlainan” katanya.

Beliau turut berpesan kepada para pelajar antarabangsa agar sentiasa berusaha bersungguh-sungguh dalam pengajian mereka semasa di UMS kerana apabila mereka berjaya melengkapkan pengajian kelak mereka turut berperanan sebagai duta UMS di negara masing-masing.

Pada majlis tersebut, seramai 301 pelajar antarabangsa, yang terdiri daripada 131 orang pelajar mobiliti, 119 pelajar program intensif Bahasa Inggeris, dan 51 orang pelajar prasiswazah telah terlibat menjayakan penganjuran program tersebut.

Hadir sama Konsul Jenderal Republik Indonesia di Sabah, Bapak Krishna Djelani dan Naib Konsul Negara Brunei Darussalam, Mohd Asulham Haidi Hj Md Ashrane.

ISNIN, 17 DISEMBER - ‘Hulu Langat Free Range Chicken’ hasil kudrat ikon Alumni Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Toong Foo Weng mampu menghasilkan lebih 27,000 ekor ayam bagi satu sesi di kawasan ladang seluas 20 ekar di Hulu Langat, Selangor.

Menurut beliau, ladang yang mula diusahakan sejak 2014 itu mempunyai 18 kandang, dengan sejumlah 1,500 ekor ayam mampu dimuatkan dalam satu kandang.

“Ayam yang diternak di ladang ini adalah 100 peratus organik tanpa menggunakan suntikan antibiotik dan hormon, dan permintaan terhadap bekalan ayam organik adalah sangat tinggi.

“Justeru, ini menguatkan lagi keazaman saya untuk menggandakan usaha menghasilkan bekalan ayam organik yang berkualiti dan bermutu tinggi dalam jumlah yang besar bagi memenuhi permintaan pasaran, dan ini sekali gus mampu menghasilkan pulangan pendapatan yang lumayan,” katanya ketika menerima kunjungan daripada Pengarah Pusat Alumni UMS, Darwis Awang di ladang beliau, baru-baru ini.

Dr. Toong berkata, melihat kepada perniagaan ternakan ayamnya yang semakin berkembang, beliau kemudiannya mengambil peluang untuk memasarkan pula telur ayam organik dan makanan ayam organik

“Penghasilan telur ayam ini dilakukan di kawasan ladang seluas setengah ekar, manakala makanan ayam organik pula dihasilkan di sebuah kilang pemprosesan berkeluasan 1,500 kaki persegi, dan kedua-dua operasi ini baru bermula pada bulan Oktober tahun ini.

 “Setakat ini, kami mempunyai dua buah kandang bagi menempatkan 3,000 ekor ayam penelur, dan keunikan telur yang dihasilkan tersebut adalah 100 peratus organik serta kaya dengan kandungan vitamin E,” katanya lagi.

Dr. Toong menambah, dengan harga jualan runcit bagi telur ayam adalah sekitar RM18 sekilo, beliau yakin mampu meraih pendapatan mencecah RM900,000 setahun.

“Bagi makanan ayam organik pula, pengeluaran sebulan mampu mencecah 40 tan sebulan, dan untuk itu kami juga merancang untuk pembesaran kilang pada masa hadapan bagi menampung sekiranya berlaku peningkatan pengeluaran tersebut,” ujar beliau.

Beliau turut mempelawa mana-mana Alumni UMS yang berminat untuk berkongsi ilmu atau menjalinkan hubungan perniagaan, serta sentiasa membuka pintu buat pelajar UMS yang berminat untuk melakukan latihan industri di tempat beliau.

Mereka yang berminat boleh menghubungi Pusat Alumni UMS di talian 017-6809371.