JUMAAT, 14 DISEMBER - Pengarah Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), Prof. Dr. Murnizam Haji Halik mengadakan kunjungan hormat kepada Pengerusi Perbadanan Labuan, Dato’ Sri Hj. Amir Hj. Hussein di pejabatnya, Tingkat 10, Bangunan Menara Perbadanan Labuan, baru-baru ini.

Turut menyertai Timbalannya, Prof Madya Dr. Geoffrey Harvey Tanakinjal dan Pengarah Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan UMS, Prof. Madya Dr. Monica Suleiman.

Kunjungan satu jam setengah itu bertujuan untuk membincangkan hubungan kerjasama antara UMS dan Perbadanan Labuan melalui penyelidikan dalam pelbagai bidang terutamanya berkaitan pelancongan di Labuan.

Dato’ Sri Hj. Amir berkata pelancongan Labuan perlu mempunyai identiti tersendiri dan berpotensi untuk dimajukan dengan mempelbagaikan produk pelancongan.

Katanya, Labuan sering dianggap sama seperti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, sedangkan pulau ini masih banyak aktiviti berkaitan pelancongan yang boleh diterokai.

“Perbadanan Labuan bersedia membantu serta mengalu-alukan kerjasama dengan UMS dalam mengadakan program yang dapat menyumbang kepada komuniti di sini.“ katanya.

Sementara itu, Prof. Dr. Murnizam berkata UMS bercadang untuk menjalankan kaji selidik awal yang berkaitan untuk melihat peluang dan potensi Labuan sebagai sebuah pulau pelancongan dan seterusnya dapat menarik lebih ramai pengunjung untuk datang ke sini.

UMS turut mencadangkan agar diwujudkan sebuah ‘Research Station’ di Labuan bagi memudahkan lebih ramai penyelidik dan pelajar untuk membuat kajian berkaitan pulau tersebut.

Selain itu, UMSKAL sedia bekerjasama dengan Perbadanan Labuan, agensi kerajaan dan swasta untuk membangunkan Labuan.

Penganjuran pelbagai program di UMSKAL juga diharap dapat membantu menjana ekonomi dan merancakkan industri pelancongan sekali gus menaikkan nama Labuan.

 

Sumber: UMSKAL

JUMAAT, 12 DISEMBER – Sambutan perayaan Deepavali Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) berlangsung meriah baru-baru ini.

Antara aktiviti yang diadakan termasuklah  persembahan tarian India, pertandingan membuat Rangoli dan demonstrasi mencorak Rangoli/Kolam.

Pelbagai jenis juadah makanan dan minuman termasuk maruku, capati dan nasi beriyani turut dihidangkan secara potluck oleh semua kakitangan mengikut jabatan masing-masing.

Majlis diserikan lagi dengan kehadiran Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin yang turut menyertai pertandingan kreatif mencorak Rangoli.

Sementara itu, kakitangan antarabangsa FPSK, Dr. Syed Shajee Husain berkata, beliau sangat gembira di atas penganjuran sambutan berkenaan.

Bagi Prof. Madya Dr. Rajan Duda, acara itu membuatkan beliau merasa terharu sekali gus mengurangkan rasa rindu dengan sambutan di kampung halamannya di India.

Bagi Dekan FPSK, Prof. Dr. Mohammad Saffree Jeffree, penganjuran sambutan Deepavali itu merupakan antara usaha yang dijalankan oleh fakulti bagi memupuk semangat muhibah dalam kalangan kakitangan.

“Ia juga sebagai satu simbolik tentang amalan saling hormat-menghormati adat dan budaya kepelbagaian kaum yang ada di negara ini,” katanya.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Prof. Dr. Rasid Mail; Pemangku Pendaftar UMS, Aidah Noordin, wakil Bendahari, Saima Ismail; dan Dr. Venilla Gopal selaku urusetia penganjur sambutan kali ini. –SS

 

Sumber: Hasmi Hashim, FPSK

 

 

JUMAAT, 14 DISEMBER - Norsharifah Waty muncul johan Pertandingan Pidato anjuran Kursus Pidato Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang berlangsung di Dewan Kuliah Pusat 1, Pusat Persediaan Sains dan Teknologi UMS, baru-baru ini.

Pelajar Fakulti Psikologi dan Pendidikan UMS yang menyampaikan pidato bertajuk “Mental Health Awareness” itu berjaya mencuri perhatian juri melalui persembahan yang mantap dengan lontaran idea yang bernas sekali gus dinobatkan sebagai pemenang pertandingan.

Tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi Iskandar Zulkarnaim Ramli dan Mohammad Amzar Makklani dari Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW) UMS.

Kesemua mereka membawa pulang hadiah berupa hamper dan sejumlah wang tunai yang disampaikan Dekan FKSW, Prof. Dr. Ismail Ibrahim selaku jemputan kehormat.

Pertandingan pidato kali ini antara lain mewajibkan para peserta menyampaikan pidato sama ada bahasa Melayu atau bahasa Inggeris berdasarkan pilihan tajuk yang diberikan.

Dibuka kepada seluruh siswa-siswi UMS, pertandingan itu dihakimi dua juri berpengalaman iaitu Pengarah Penerbit UMS, Prof. Madya Dr. Asmiaty Amat dan Pensyarah Kanan FKSW, Dr. Lokman Abd. Samad. Hadir sama Pengarah Program, Anis Hafizah Azmi. –SS

 

Sumber: Kursus Pidato

 

JUMAAT, 14 DISEMBER - Kolej Kediaman Tun Mustapha (KKTM) UMS muncul johan pertandingan futsal kategori lelaki Karnival Sukan Kolej (Karsukol) anjuran Pusat Sukan Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini.

Bertempat di Arena Kompleks Sukan UMS, pasukan itu tampil dengan aksi memberangsangkan pada perlawanan akhir yang berlangsung sengit menyaksikan pasukan KKTM menang tipis dengan jaringan 1-0 menewaskan  Kolej Kediaman Excellent UMS.

Kapten pasukan KKTM, Norhisam Hashimudin berkata, pencapaian itu adalah di luar jangkaan memandangkan persiapan yang terhad dan para pemain tidak berkesempatan untuk mengadakan latihan dalam satu pasukan sebelum pertandingan.

"Namun apa yang menjadi kunci kejayaan ini adalah kesemua pemain mempunyai semangat juang yang tinggi dan saling mencipta persefahaman antara satu sama lain sepanjang perlawanan yang dilalui,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Menurut beliau, pasukan KKTM juga beruntung kerana dibarisi beberapa pemain yang berpengalaman dalam bermain futsal di peringkat kejohanan yang lebih besar.

“Kita bercadang untuk menyertai beberapa lagi kejohanan pada masa akan datang dan menyasarkan lebih banyak kejayaan,” tambah Norhisam lagi.

Untuk rekod, Karsukol merupakan acara sukan tahunan bagi kolej-kolej kediaman di UMS yang melibatkan pelbagai jenis sukan termasuk futsal. –SS

 

Sumber: Alifah, KKTM

 

JUMAAT, 14 DISEMBER - Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini berjaya merangkul anugerah Platinum untuk pencapaian Blended Learning peringkat UMS.

Penyampaian anugerah diadakan pada Majlis Anugerah E-Learning UMS yang berlangsung di Galeri, Bangunan Canselori.

Timbalan Dekan Akademik merangkap Penasihat Jawatankuasa Blended Learning FPSK, Dr. Firdaus Kadir berkata, kejayaan itu adalah hasil kerjasama padu daripada semua kakitangan akademik fakulti.

“Kita juga berterima kasih kepada Dr. Chin Kai Ling selaku penyelaras di peringkat fakulti kerana telah menjalankan tanggungjawab dengan begitu baik sekali sekali gus membolehkan FPSK menerima pengiktirafan ini,” katanya.

Sementara itu, Dekan FPSK, Prof. Dr. Mohamad Saffree Jeffree berkata, kejayaan tersebut sejajar dengan usaha fakulti menyahut cabaran dalam Bidang Keberhasilan Utama UMS (UMS-KRA) terutama dalam UMS-KRA 1 dan UMS-KRA 9.

“Yang mana kita mahu sama-sama mempertingkatkan kecemerlangan pengajaran dan pembelajaran serta sentiasa seiring dan giat dalam  transformasi ke arah universiti industri 4.0.

“Semoga kejayaan meraih anugerah pada kali ini akan dapat diterjemahkan dalam pelbagai lagi pencapaian pada masa akan datang,” katanya. -SS

 

Sumber: Hasmi Hashim, FPSK