KHAMIS, 13 DISEMBER - Seramai 724 peserta menyertai ‘AIDS Charity Run & Walk’ anjuran Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Malaysia Sabah (UMS) sempena Hari AIDS Sedunia 2018 baru-baru ini.

Bermula dan tamat di Dataran Dewan Canselor UMS,  larian yang melibatkan dua kategori iaitu 10 kilometer dan 5 kilometer dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Perubatan Desa Sabah (PERDESA), Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan Persatuan Pelajar Perubatan (MEDSTAS).  

Majlis perasmiannya disempurnakan Pembantu Menteri Perdagangan dan Perindustrian Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, Azhar Datuk Haji Matussin.

Dalam ucapannya beliau berkata, adalah menjadi hasrat dan komitmen semua pihak memastikan setiap warga Malaysia tanpa mengira kaum dan agama dapat menikmati tahap kehidupan yang sihat dan berkualiti.

“Marilah kita bersama-sama membendung jangkitan HIV/AIDS seterusnya mengakhiri epidemik tersebut menjelang akhir 2030.

“Berdasarkan kajian, hanya tiga dari empat orang yang mengidap HIV tahu akan status mereka telah dijangkiti penyakit itu membuatkan mereka tidak mengambil langkah pencegahan dan rawatan yang sepatutnya,” katanya.

Acara yang memerlukan peserta berlari atau berjalan di sekitar kampus UMS itu antara lain bertujuan untuk mengumpul sumbangan dana bagi pengubahsuaian Rumah Perlindungan HIV KK, selain sebagai satu usaha meningkatkan kesedaran orang ramai terutamanya pelajar institusi pengajian tinggi mengenai penyakit berkenaan.

Hadir sama, Dekan FPSK, Prof. Dr. Mohammad Saffree Jeffree; Ketua Jabatan Asas Komuniti  FPSK, Datuk Dr. Mohd. Yusof Hj. Ibrahim; Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Ir. Haji Amrullah Kamal; Ketua Penolong Pengarah Kanan Unit HIV/STI/Hepatitis C JKNS, Dr. Valentina@ Japulee Gantul; dan Pengarah Makmal Kesihatan Awam Kota Kinabalu, Dr. Jiloris@ Julian Frederick Dony.

 

RABU, 12 DISEMBER: Senaman joging sangat baik bagi membantu seseorang pengidap penyakit insomnia.

Pensyarah Kanan Sains Sukan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Mohamad Nizam Nazarudin berkata, ini kerana aktiviti berjoging membantu untuk tidur awal dan lebih lena pada waktu malam.

“Joging juga mampu merangsang otak untuk merembeskan hormon endorfin,  iaitu  sejenis hormon yang turut dikenali dengan nama jolokan hormon kebahagiaan.

“Ia akan meningkatkan keupayaan kita untuk menangani tekanan dengan lebih teratur termasuk mengurangkan tekanan kerja atau belajar,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini berhubung kebaikan senaman joging sebagai senaman asas yang perlu dibudayakan untuk kekal sihat dan cergas.

Mohammad Nizam berkata, mereka yang kerap berjoging mempunyai tahap kerungsingan yang lebih rendah.

“Satu kajian menunjukkan joging yang kerap boleh mengurangkan aktiviti reseptor serotonin yang yang berfungsi untuk mengawal emosi agar sentiasa stabil. 

“Dalam masa sama, senaman ini juga membolehkan seseorang jarang mendapat penyakit seperti selesema, alahan, keletihan melampau, senggugut, sakit belakang dan gangguan sistem pencernaan,” jelasnya lagi.

Nizam yang juga mempunyai kepakaran dalam bidang Sains Kesihatan dan Perubatan (Sains Sukan) berkata, ketika seseorang itu sedang berjoging, darah akan membawa oksigen ke otak membolehkan otak menerima bekalan oksigen dan nutrien lain yang mencukupi.

“Dengan itu segala kerja yang memerlukan kita banyak berfikir akan menjadi lebih produktif.

“Bukan hanya pada otak, tetapi aliran darah di dalam badan akan menjadi lebih baik dan secara tidak langsung akan merendahkan risiko penyakit kronik  seperti serangan jantung dan strok,” tambahnya.

RABU, 12 DISEMBER - Penganjuran Program Career Aspiration Programming  anjuran Pusat Kerjaya, Universiti Malaysia Sabah (UMS) mampu memberi pendedahan awal panduan memilih hala tuju kerjaya dalam kalangan siswa-siswi.

Menurut Pegawai Psikologi, Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) UMS, Nurul Fatiha Firdaus Roslan, program itu dalam masa yang sama mampu mewujudkan aspirasi kerjaya agar peserta dapat menanamkan motivasi positif dalam diri mereka.

“Pada program ini, pelbagai pengisian diadakan bagi memastikan para peserta melihat masa depan dan menanamkan niat dan usaha ke arah mencapai kejayaan dalam bidang yang diceburi,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, sambutan dari kalangan pelajar sangat memberangsangkan kerana ini merupakan satu peluang untuk mereka mengetahui persiapan yang harus dilakukan bagi menempuhi alam pekerjaan kelak.

“Sehubungan itu, besarlah harapan saya agar program sebegini akan dapat terus dianjurkan dengan lebih kerap kerana impaknya sangat baik di samping pengisiannya yang menarik dan praktikal,” tambah Nurul.

Program dua hari itu, dianjurkan dengan  kerjasama Themed Attractions Resorts & Hotels, Petaling Jaya.

Antara pengisiannya termasuklah aktiviti latihan dalam kumpulan, ujian personaliti, kaunseling kelompok serta ceramah motivasi oleh Timbalan Presiden, Employee Department of Themed Attractions Resorts & Hotels, Saberi Sepawi.

Bertempat di Bilik Seminar HEP, program itu disertai 70 siswa-siswi dari pelbagai fakulti di UMS.

 

 

SELASA, 11 DISEMBER -  Unit Penyelidikan Psikologi dan Kesihatan Sosial (UPPsiKS), Fakulti Psikologi dan Pendidikan, Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengadakan kunjungan mesra ke Rumah Kanak-Kanak Kota Kinabalu (RKK) baru-baru ini.

Di samping lawatan dan aktiviti ramah mesra dengan warga kanak-kanak RKK, rombongan kakitangan UPPsiKS juga menjalankan program “Kenali Potensi Diri” melalui personaliti berdasarkan cop jari – Loop, Arch dan Whorl bersama 84 kanak-kanak yang berumur 7 hingga 17 tahun.

Menurut Ketua UPPsiKS, Dr Muhammad Idris Bullare @ Bahari, setiap kanak-kanak sebenarnya mempunyai potensi, bakat dan kehebatan masing-masing.

“Justeru, diharapkan perkongsian ilmu tentang personaliti diri menurut cop jari serta pengalaman ini dapat membantu kanak-kanak di RKK agar lebih terbuka terutamanya dalam mengenali diri dan umumnya kawan-kawan yang lain,” katanya.

Sementara itu, Pembantu Kebajikan Masyarakat RKK, Wasina Abidin melahirkan rasa berterima kasih kepada warga UPPsiKs atas kesudian untuk bertandang ke RKK bagi menjalankan khidmat masyarakat serta memberikan sedikit sumbangan kepada warga kanak-kanak RKK.

“Kanak-kanak yang menyertai program ini kelihatan begitu ceria dan teruja dengan kehadiran mereka, dan syukur kerana program ini berlangsung dengan lancar serta memberi manfaat kepada kanak-kanak ini,” katanya.

 

SELASA, 11 DISEMBER - Berbasikal merupakan satu aktiviti yang memberi banyak manfaat kepada seseorang yang mahu mengamalkan gaya hidup sihat khususnya dalam memperbaiki tahap kesihatan diri.

Menurut Pensyarah Kanan Sains Sukan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Mohamad Nizam Nazarudin, aktiviti berbasikal merupakan antara senaman terbaik kerana ia mampu mengeluarkan peluh yang banyak sekali gus membawa keluar toksin-toksin yang terkumpul dalam badan manusia.

“Aktiviti berbasikal juga dapat menstabilkan keseluruhan otot tubuh terutamanya bahagian bahu bagi menghasilkan postur tubuh menarik seperti yang diidamkan.

“Yang menariknya pelbagai faedah kesihatan turut diperoleh, antaranya ialah mengurangkan risiko penyakit kerana aktiviti  berbasikal ini baik untuk kesihatan jantung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta untuk mengulas tentang budaya berbasikal yang terus mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat pada masa kini.

Dr Nizam berkata, amalan berbasikal ini amat wajar dipraktikkan kerana  ketika berbasikal peningkatan aliran darah meningkat dan membuatkan jantung memiliki oksigen yang mencukupi dan membantunya untuk berdegup dengan lebih baik dan sihat.

Ujarnya, keadaan itu  secara tidak langsung akan mengurangkan risiko serangan jantung sehingga 50 peratus.

“Tidak ketinggalan berbasikal juga dapat mengurangkan risiko penyakit tekanan darah tinggi dan diabetes.

“Kajian yang dilakukan oleh British Medical Association mendapati berbasikal amat sesuai diamalkan oleh penghidap bronchitis dan asma kerana keupayaannya dalam meningkatkan dan memperbaiki fungsi paru-paru,” jelasnya. 

Nizam yang mempunyai kepakaran dalam bidang Sains Kesihatan dan Perubatan (Sains Sukan) juga memaklumkan bahawa aktiviti berbasikal dapat menguatkan tulang  di bahagian atas anggota badan dan tulang belakang.

“Selain itu, dengan melakukan senaman berbasikal selama satu jam untuk tiga kali seminggu, ia boleh menurunkan paras kolesterol yang tinggi.

“Dalam masa sama, ia sekali gus menghalang dan mengurangkan tekanan darah tinggi dan seterusnya membantu untuk mengelakkan strok atau kerosakan kepada organ-organ dalaman,” ujarnya sambil menekankan agar langkah-langkah keselamatan perlu dititikberatkan semasa berbasikal agar tidak berlaku kejadian yang tidak diingini.