RABU, 21 NOVEMBER – Ahli Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor SISPA) diingatkan agar sentiasa berpegang teguh kepada nilai-nilai kerja yang berintegriti.

Ketua Pesuruhjaya Pertahanan Awam Malaysia, Datuk Roslan Wahab berkata, amalan kerja berintegriti merupakan elemen yang penting bagi memacu tindakan seseorang pegawai agar tidak tersasar dari norma yang sepatutnya.

“Patuhi masa, bersikap profesional, tidak mengamalkan sikap negative dan sentiasa memberikan komitmen dalam tugasan merupakan antara sifat yang perlu ada bagi menzahirkan seorang pegawai yang dinamik.

“Saya mengingatkan kepada anda semua untuk menjalankan tugas dengan amanah dan jangan sesekali terjebak dengan gejala negatif seperti rasuah, penyalahgunaan kuasa dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian di hadapan ahli-ahli Kor SISPA Universiti Malaysia Sabah (UMS) bersempena dengan Majlis Pentauliahan Kor SISPA UMS Kali Ke-6 di Pantai Pusat Pembangunan Luar (ODEC) semalam.

Tambah beliau, para pegawai Kor SISPA yang ditauliahkan mampu menjadi contoh teladan kepada generasi muda dalam matlamat membudayakan amalan kesukarelawanan.

Pada majlis tersebut, seramai 51 pegawai kadet terdiri daripada 13 orang lelaki dan 38 orang wanita telah ditauliahkan.

Hadir sama pada majlis itu Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Negeri Sabah, Leftenan Kolonel Kamal Mokhtar dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) merangkap Komandan Kor SISPA UMS, Prof. Dr. Shahril Yusof.

RABU, 21 NOVEMBER – Pasukan PALAPES Laut dan Pasukan Kolej Kediaman Tun Mustapha (KKTM) berjaya mengungguli cabaran Tri Challenge UMS 2018 peringkat Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang berlangsung di Pantai Pusat Pembangunan Luar (ODEC) baru-baru ini, cabaran yang menyaksikan para peserta melakukan renang 200m, larian UMS Peak 8km, berbasikal sejauh 13km, dan cabaran berhalangan.

PALAPES Laut dinobat sebagai juara keseluruhan bagi kategori Unit Beruniform, manakala KKTM muncul juara keseluruhan bagi kategori Kolej Kediaman, sekali gus menyaksikan kedua-dua pasukan menerima Piala Kejuaraan yang disampaikan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman.

Terdahulu, Datuk Azis turut menyampaikan hadiah bagi setiap kategori, iaitu hadiah johan bagi kategori Unit Beruniform Lelaki, yang diungguli pasukan PALAPES Darat Lelaki A, manakala naib johan dan tempat ketiga masing-masing dimenangi pasukan PALAPES Udara Lelaki A dan SISPA Lelaki A.

Bagi kategori Unit Beruniform Wanita, hadiah bagi johan dimenangi pasukan PALAPES Laut Wanita A, manakala pasukan SISPA Wanita A dan PALAPES Udara Wanita B masing-masing memenangi hadiah bagi naib johan dan tempat ketiga.

Kategori Kolej Kediaman Lelaki pula menyaksikan KKTM B muncul johan, manakala tempat kedua dan ketiga dimenangi KKTM A dan Kolej E, dan rentak kecemerlangan pasukan KKTM diteruskan oleh pasukan wanita yang menjadi satu-satunya pasukan yang berjaya menamatkan saingan bagi kategori Kolej Kediaman Wanita, sekali gus dinobat johan bagi kategori tersebut.

Turut dipertandingkan kategori Terbuka Lelaki yang dimenangi pasukan SISPA Staff, manakala PALAPES Darat muncul naib johan, dan pasukan The Dream Team memenangi tempat ketiga.

Hadiah bagi johan adalah wang kemenangan bernilai RM400, pingat serta hamper, manakala naib johan dan tempat ketiga masing-masing mendapat RM300 dan RM200, pingat serta hamper.

Terdahulu, Datuk Azis ketika berucap merasmikan program itu berkata, penganjuran cabaran tersebut mampu memupuk semangat kesungguhan untuk berjaya dalam diri setiap pelajar serta keyakinan untuk mencapai sesuatu yang tidak mustahil.

Katanya, semangat sebegini amat perlu diterapkan dalam diri anak-anak muda yang bakal menjadi pemimpin yang mencorak lanskap pembangunan negara.

Hadir sama pada program tersebut Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Dr. Ismail Ali; dan Pengarah Pusat Sukan UMS, Mohd Asyraaf Abdullah.

 

RABU, 21 NOVEMBER - Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) Universiti Malaysia Sabah (UMS) bersama Pusat Penyelidikan Perhutanan Antarabangsa (CIFOR), Indonesia bakal mempergiatkan lagi aktiviti penyelidikan berkaitan Sains Perhutanan melalui kerjasama strategik antara kedua-dua institusi.

Hasrat bagi menjayakan usaha tersebut dizahirkan melalui upacara menandatangani Letter of Intent (LOI) antara kedua-dua pihak dalam satu majlis yang berlangsung di Bilik Seminar, Kompleks Perhutanan FSSA baru-baru ini.

Dekan FSSA, Prof. Dr. Baba Musta ketika berucap pada majlis tersebut berkata, kedua-dua pihak dijangka akan menjalinkan kerjasama dalam pelbagai bidang yang berkaitan dengan sains perhutanan, pendidikan dan kerjasama penyelidikan.

“Di bawah kerjasama ini, kedua-dua pihak berhasrat untuk bekerjasama dalam membangunkan aktiviti penyelidikan bersama, mencari pembiayaan penyelidikan untuk membiayai penyelidikan kolaboratif, pembangunan dan latihan serta perkongsian maklumat dalam bidang yang mempunyai kepentingan bersama.

“Adalah diharapkan LOI yang ditandatangan ini dapat dinaik taraf kepada Memorandum Persefahaman (MOU) dalam masa terdekat sekali gus membawa faedah bersama kepada kedua-dua pihak,” katanya.

Beliau menambah, perkembangan jalinan kerjasama antara kedua-dua pihak dilihat agak positif, dengan terdapat pelajar FSSA pada masa ini yang sedang terlibat dalam projek bersama CIFOR berkaitan perubahan politik, perubahan iklim dan kesannya terhadap penduduk tempatan di Sabah.

Kerjasama antara UMS dan CIFOR menyaksikan kedua-dua pihak akan terlibat dalam kegiatan penyelidikan merangkumi isu-isu seperti perubahan landskap luar bandar dan penghijrahan, sumbangan hutan dalam penyesuaian iklim, penyelidikan mengenai pengurusan hutan, perhutanan sosial, kebakaran dan jerebu, serta penyelidikan mengenai perkhidmatan alam sekitar hutan dan pengurusan hutan lestari.

Sumber : Kenny Uwai, FSSA

 

JUMAAT, 16 NOVEMBER - Kira-kira 200 kakitangan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) menyertai Hari Keluarga anjuran Kelab Kembara fakulti itu baru-baru ini.

Program yang turut disertai oleh ahli keluarga kakitangan masing-masing telah dibahagikan kepada empat kumpulan iaitu kumpulan merah (Lymphocytes), hijau (Macrophage), biru (Basophil) dan kumpulan kuning (Platelets).

Menurut Dekan FPSK, Prof. Dr. Mohd. Saffree Jeffree, program itu antara lain bertujuan untuk meningkatkan darjah kegembiraan warga FPSK selaras dengan penekanan universiti terhadap nilai happiness ke arah transformasi Universiti Industri 4.0.

“Di samping itu, hari keluarga ini juga menjadi wadah untuk merapatkan lagi hubungan kekeluargaan dalam kalangan warga FPSK selain sebagai satu amalan gaya hidup sihat yang boleh membawa kepada kecergasan fizikal dan mental,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau juga berharap agar program sihat seperti itu akan diteruskan pada setiap tahun dengan pengisian aktiviti yang lebih menarik.

Dalam pada itu, seorang peserta program merangkap urusetia Hari Keluarga, Rina Norgainathai berkata, beliau sangat teruja dan terhibur dengan aktiviti-aktiviti yang disediakan sepanjang program tersebut yang disifatkannya sangat baik dalam membina semangat berpasukan yang tinggi dalam kalangan kakitangan FPSK.

Antara pengisian yang telah diadakan ialah acara sukaneka untuk kanak-kanak dan ahli keluarga, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, pertandingan karaoke kategori dewasa dan kanak-kanak serta cabutan bertuah.

 

Sumber: Hasmi Hashim

 

 

JUMAAT, 16 NOVEMBER - Seramai 27 pelajar kursus Politik Alam Sekitar Antarabangsa Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW), Universiti Malaysia Sabah (UMS) menganjurkan kempen Selamatkan Badak (Save The Rhinoceros) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Takis, Papar, baru-baru ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh kursus itu,  program tersebut merupakan anjuran bersama kelab One Stop Borneo Wildlife dan SMK Takis dengan disertai 50 pelajar lepasan PT3 sekolah berkenaan.

“Selain meningkatkan pengetahuan dan kesedaran para pelajar tentang spesies badak Sumatera di Sabah yang terancam dan kian pupus, kempen ini juga diadakan untuk meningkatkan jalinan kerjasama dan interaksi para pelajar UMS dengan organisasi luar sekali gus meningkatkan lagi kemahiran insaniah para pelajar.

“Pelbagai aktiviti yang menarik telah diadakan, antaranya ceramah daripada wakil One Stop Borneo Wildlife,  dan lima aktiviti yang disediakan kepada peserta seperti Act and Guess, Kuiz, Nature Scavenger Hunt, Do It Rhino, dan Talent Time,”  demikian menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menekankan peri pentingnya kempen itu terus diadakan agar kesedaran terhadap perubahan ekosistem sentiasa diketahui dan mendapat perhatian ramai.

“Keprihatinan terhadap gangguan ekosistem yang berlaku di Sabah amat diperlukan agar spesies-spesies yang diancam kepupusan khasnya badak Sumatera masih boleh diselamatkan untuk tatapan generasi akan datang,” tambah kenyataan itu lagi.

Majlis perasmian kempen itu disempurnakan Pensyarah kursus Politik Alam Sekitar Antarabangsa, Marja Azlima Omar.