SELASA, 30 OKTOBER - Semua pihak khususnya generasi muda diminta untuk bersama-sama  memainkan peranan dalam usaha memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu dengan betul.

Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia Datin Paduka Ir Dr Hamisah Tapsir berkata, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan perlu dituturkan dengan tepat bagi memastikan keaslian bahasa itu terus terpelihara dan diwarisi turun temurun.

“Pada masa kini banyak kali kita mendengar Bahasa Melayu dituturkan bercampur aduk dengan  Bahasa Inggeris.

“Malah ada yang mengatakan setiap Bahasa Inggeris boleh ‘dimelayukan’ apabila menambah huruf ‘I’ di belakang sesebuah perkataan. Sebenarnya bahasa Melayu tidak semudah itu,” katanya.

Datin Paduka Ir Dr Hamisah berucap demikian ketika merasmikan Majlis Penutupan Bulan Bahasa Kebangsaan dan Bulan Keusahawanan Siswa 2018 Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS, kelmarin.

Beliau turut menyarankan agar siswa-siswi membaca Hikayat Malim Deman untuk melihat tulisan-tulisan dan pengunaan bahasa dalam buku kesusasteraan Melayu itu.

“Kalau bukan kita, siapa lagi yang akan memartabatkan Bahasa Melayu?,” tegasnya lagi.

Turut hadir pada majlis itu ialah Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ismail Ali; Pendaftar UMS, No’man Datuk Haji Ahmad, pegawai-pegawai kanan universiti dan barisan kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

Terdahulu, Datuk Dr. D Kamarudin dalam ucapan aluannya berkata, kesedaran mengenai pentingnya menerapkan semangat cintakan Bahasa Kebangsaan perlu dipupuk dalam kalangan semua peringkat usia dan dalam kalangan semua kaum.

Katanya, walaupun Bahasa Inggeris merupakan bahasa global, Bahasa Melayu tidak wajar dipinggirkan kerana Bahasa Kebangsaan sesebuah negara menggambarkan identiti negara yang harus didaulatkan dan diperkasakan.

“Saya merakamkan ucapan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan pada tahun ini. Semoga kita menanamkan semangat patriotik dan Sayangi Malaysiaku walau di mana sahaja kita berada,” katanya.

Pada Majlis itu, Datin Paduka Ir Dr Hamisah turut menyempurnakan perasmian “Speaker Corner” di Anjung Siswa UMS.

Beliau turut menyampaikan watikah pelantikan kepada barisan MPP UMS bagi sesi 2018/2019 serta menyempurnakan penyampaian hadiah dan sijil kepada para pemenang pertandingan yang diadakan sepanjang Bulan Bahasa Kebangsaan dan Bulan Keusahawanan Siswa 2018.   

 

SELASA, 30 OKTOBER – Pusat Kerjaya Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Private Pension Administrator telah menganjurkan program Skim Persaraan Swasta (PRS) For Youth@ Campus Roadshow di Auditorium Perpustakaan, UMS baru-baru ini.

Menurut  Pengarah Pusat Kerjaya UMS, Prof. Madya Dr. Lai Yew Meng, penganjuran program ini bertujuan untuk memperkenalkan kepada pelajar UMS berkenaan Skim Persaraan Swasta yang merupakan tonggak ketiga skim pencen peribadi sukarela di bawah rangka kerja Keselamatan Sosial Malaysia yang melengkapi skim mandatori Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Skim Persaraan Swasta ini adalah skim simpanan dan pelaburan jangka panjang sukarela yang direka untuk membantu rakyat Malaysia menjimatkan lebih banyak untuk persaraan mereka.

“Bagi pelajar UMS, anda sangat beruntung kerana program ini mampu memupuk kebiasaan penjimatan yang baik sebelum memasuki alam pekerjaan,” katanya.

Pada program tersebut, para peserta berpeluang untuk mendapatkan pengetahuan lebih lanjut berkaitan PRS melalui sesi ceramah bersama Ketua Pegawai Eksekutif of Private Pension Administrator Malaysia, Husaini Hussin, selain turut berkesempatan mengunjungi pameran informatif oleh Affin Hwang Asset Management Berhad, AIA Pension and Asset Managemnet Sdn. Bhd., AmFunds Management Berhad, CIMB-Principal Asset Management Berhad, Kenanga Investors Berhad, Manulife Asset Management Service Berhad, Public Mutual Berhad dan RHB Asset Managemnet Sdn. Bhd.

Seramai 250 peserta menjayakan program tersebut.     

Turut hadir, Ketua Bahagian Pemasaran Private Administrator Malaysia, Serena Lim dan Timbalan Pendaftar Pusat Jaringan Industri dan Komuniti UMS, Sarlona J. Gindug.

 

 

 

SELASA, 30 OKTOBER - Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menganjurkan Bengkel “How to Publish in Indexed Journal” yang diadakan di Dorsett Grand Hotel, Labuan bersempena dengan persidangan 3rd Applied International Business Conference (AIBC) 2018 baru-baru ini.

Bengkel tersebut dikendalikan oleh Profesor dari Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business, Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Ts. Dr. Hjh. Norazah Mohd Suki yang merupakan penerima Malaysia’s Research Star Award 2018 dengan sitasi index SCOPUS yang tinggi.

Dalam bengkel tersebut, beliau berkongsi tips penulisan jurnal, teknik memilih jurnal berkaitan topik penyelidikan, elemen peer review, dan sebagainya.

“Bengkel ini bertujuan untuk menarik minat ahli akademik dan pelajar pascasiswazah khususnya dalam bidang penulisan dan penerbitan melalui pendedahan tentang kemahiran penulisan jurnal yang efektif dan layak untuk  diterbitkan di jurnal berindeks seperti ISI, SCOPUS dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, salah seorang peserta bengkel, Dr.  Maya Puspa Rahman teruja dapat menyertai bengkel yang banyak memberikan ilmu baru buat peserta.

“Melalui bengkel ini, saya mendapat pendedahan mengenai teknik penulisan dan penerbitan yang efektif bagi menghasilkan artikel jurnal yang lebih berkualiti dalam memenuhi kriteria editor jurnal, dan diharapkan agar bengkel sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang,” ujar beliau.

Seramai 40 peserta terdiri daripada ahli akademik dan pelajar pascasiswazah dari pelbagai institusi pengajian tinggi awam dan swasta di Malaysia dan luar negara menyertai bengkel tersebut.

 

ISNIN, 29 OKTOBER - Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS) dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Penyertaan Terbanyak untuk Program Jom Baca Tahun 2018 kategori Fakulti yang dianjurkan oleh Perpustakaan UMS baru-baru ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan FPSK, kemenangan diperolehi itu melalui penyertaan menyeluruh di peringkat kakitangan akademik dan pengurusan serta pelajar FPSK.

“Ini termasuklah pelajar dan staf di Pusat Pendidikan Perubatan Desa Sikuati dan Blok Kejururawatan Bangunan Pansheng Kingfisher serta pelajar yang sedang menjalani latihan klinikal di Hospital Queen Elizabeth 1 dan Hospital Queen Elizabeth 2,” demikian menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, Dekan FPSK, Prof. Dr. Mohd. Saffree Jeffree dalam kenyataan sama berkata, kejayaan itu adalah hasil kerjasama erat semua staf dan beliau menyifatkan bahawa program seumpama itu amat bertepatan dalam memacu budaya membaca ke tahap lebih tinggi khususnya dalam kalangan pelajar dan staf FPSK dan UMS secara amnya.

“Saya mengambil kesempatan merakamkan ucapan penghargaan kepada semua pelajar dan staf serta jawatankuasa yang terlibat termasuk pihak penganjur iaitu Perpustakaan UMS atas penganjuran program bermanfaat ini.

“Harapan saya agar aktiviti murni seperti ini akan diteruskan oleh Perpustakaan UMS demi kebaikan warga pelajar dan kakitangan universiti,” katanya.

Sumber: FPSK

 

ISNIN, 29 OKTOBER – Perpustakaan memainkan peranan penting menghidupkan budaya ilmu dalam kalangan warga universiti.

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin berkata, untuk itu perpustakaan memerlukan kerjasama dan sokongan semua fakulti serta komunitinya untuk sama-sama menyemarakkan aktiviti yang boleh memperkasakan budaya ilmu di universiti itu.

“Hubungan yang harmoni di antara Jabatan, Fakulti, Pusat, Institut dan Bahagian (JFPIB) dan Perpustakaan UMS haruslah utuh dan menyeluruh kerana semuanya saling memerlukan serta saling melengkapi.

“Saya berharap seluruh JFPIB akan turut serta dan menyokong usaha murni Perpustakaan UMS untuk terus merancakkan lagi kegiatan ilmu seperti ini,” katanya ketika menyempurnakan Program Budaya Ilmu UMS 2018, baru-baru ini.

Datuk Dr. D Kamarudin berkata, dalam UMS, pengguna perpustakaan adalah terdiri daripada kakitangan pentadbiran, kakitangan akademik dan pelajar yang akan memanfaatkan pelbagai perkhidmatan serta kemudahan.

Katanya, pada masa yang sama, pengguna perpustakaan memerlukan maklumat yang terkini, tepat dan pantas.

“Justeru, pelanggan perpustakaan haruslah lebih bijak dalam memberikan respon atau maklum balas kepada perpustakaan agar perkhidmatan dan kemudahan yang ditawarkan sentiasa menepati keperluan semasa pengajaran, pembelajaran serta penyelidikan di universiti ini, sesuai dengan fungsinya.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada jawatankuasa Pelaksana Program Budaya Ilmu UMS 2018 yang telah bertungkus lumus berusaha memastikan program ini berjalan lancar seperti yang dirancang,” katanya.

Hadir sama pada program itu, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Prof. Dr. Rasid Mail; Pendaftar UMS, No’man Hj Ahmad; Bendahari UMS, Zallifah Shadan dan Pemangku Ketua Pustakawan, Zawawi Tiyunin.