SELASA, 25 SEPTEMBER – Program Motivasi Menyeluruh di 4 Dimensi (WM4D) mampu membantu masyarakat menyedari hala tuju dan matlamat kehidupan untuk memajukan diri seterusnya membangunkan negeri dan negara.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Mohd. Shafie Apdal berkata, program itu yang merangkumi perbincangan menyeluruh berkaitan inspirasi, transformasi dan motivasi dalam empat dimensi iaitu “Emosi, Minda, Qalbu (kalbu) dan Rohani (EQMR)” adalah relevan untuk tujuan tersebut dan ke arah mencapai kesejahteraan sosial.

“Pada pengamatan saya, EMQR yang berada dalam diri setiap orang merupakan faktor utama yang mempengaruhi watak seseorang serta nilai murni dan keupayaan berinteraksi dan bertindak balas secara rasional dengan persekitaran yang mencabar ini.

“Ini amat penting bagi kerajaan negeri menggarap jaminan sosial yang lain seperti kebebasan beragama, perlindungan kepada hak asasi serta pelaksanaan undang-undang yang melindungi kepentingan dan menjamin keselamatan, kesejahteraan dan keharmonian semua rakyat serta ketenteraman awam,” katanya dalam teks ucapan perasmian program WM4D yang dibacakan Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Mohammad Muhamirin di Auditorium Perpustakaan UMS, baru-baru ini.

Datuk Seri Mohd Shafie turut menyuarakan sokongan terhadap tajuk-tajuk yang dibentangkan pada program itu yang disifatkannya amat bertepatan dengan dasar Kerajaan Negeri terutamanya dalam aspek pendidikan yang holistik untuk membina generasi berbilang kaum yang berakhlak mulia, saling sayang-menyayangi dan menghormati antara satu sama lain, seterusnya memperteguhkan keharmonian kaum di negeri ini.

“Saya sebagai Ketua Menteri menyokong penuh program bertaraf dunia ini dan berharap dapat diperluaskan ke merata tempat pada masa akan datang,” ujarnya lagi.

Hampir 200 peserta menyertai Program WM4D itu yang merupakan anjuran gabungan kerjasama Jabatan Perpustakaan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Global Systematic Education (GSE) Sdn. Bhd. Kuala Lumpur dan Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA).

Terdahulu, Pengarah Gobal Systematic Education, Jualiazira Jamain dalam ucapannya berkata, program itu merupakan sebuah program motivasi menyeluruh untuk pengisian di empat tahap kesedaran dalam diri manusia iaitu emosi, minda, kalbu dan rohani.

“Masa kini masyarakat semakin berkecamuk khususnya yang melibatkan masalah dalaman emosi dan minda, maka program ini dirancang melalui tiga objektif utama iaitu mencetuskan inspirasi peserta, memberi garis panduan kepada peserta untuk mentransformasikan EMQR mereka dari negatif kepada positif dan memberi garis panduan kepada peserta agar mampu memotivasikan diri sendiri secara berterusan dan berkesan,“ katanya.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pustakawan Kanan UMS, Zawawi Tiyunin; mantan Ketua Pustakawan UMS pertama, Che Salmah Che Mehamood; dan mantan Ketua Pustakawan UMS kedua Dg. Rukiah Ag. Amit.

SELASA, 25 SEPTEMBER - Seramai 13 Profesor Adjung Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS) diraikan dalam satu Majlis Makan Malam Penghargaan dan sesi penyerahan surat pelantikan Profesor Adjung baharu di salah sebuah hotel terkemuka di Kota Kinabalu baru-baru ini.

Berucap pada majlis itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi)  UMS, Prof. Dr. Shahril Yusof berkata, pihak universiti berterima kasih atas kesudian kesemua 13 Profesor Adjung FPSK menerima pelantikan itu.

“Terima kasih juga kerana sudi menyumbang ilmu dan kepakaran dalam bidang masing-masing kepada universiti ini,” katanya yang mewakili Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin.

Sementara itu, Dekan FPSK, Prof. Dr. Saffree Jeffree berkata, majlis itu diadakan bertujuan menghargai jasa dan bakti Profesor Adjung FPSK dan seterusnya menyerahkan surat pelantikan kepada Profesor Adjung baharu Fakulti.

Antara senarai Profesor Adjung FPSK termasuklah Prof. Adjung Datuk Dr. Christina Rundi, Prof. Adjung Datuk Dr. Ajaz Ahmad Nabijan dan Prof. Adjung Dato’ Dr. Raman Muthukarupan.

Turut hadir pada majlis itu wakil Pendaftar UMS, Samsuidin Nurdin; Ketua Pegawai Eksekutif HUMS Prof. Madya Dr. Helen Lasimbang; Timbalan Dekan Akademik dan Pengantarabangsaan FPSK, Dr. Fairrul Kadir; Timbalan Dekan Penyelidikan dan Pascasiswazah FPSK, Dr. Mohd. Firdaus Mohd. Hayati; Timbalan Dekan Hal-Ehwal Pelajar dan Jaringan Komuniti, Prof. Dr. Kew Seih Teck; dan Timbalan Pendaftar FPSK, Hasmi Hashim.

 

KHAMIS, 20 SEPTEMBER – Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menjalinkan satu kolaborasi pintar bersama agensi kerajaan dan syarikat swasta yang menjadi pemain industri dalam bidang asas tani.

Kolaborasi pintar tersebut yang melibatkan UMS bersama pemain industri akuakultur, Enrich Marine Sdn. Bhd., Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Sabah dan Yun Fook Resources Sdn. Bhd. dimeterai dalam satu majlis yang berlangsung di Galeri Majlis, UMS baru-baru ini.

UMS diwakili Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin menandatangani dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) bersama JPV Sabah, manakala JPV Sabah diwakili pengarahnya, Ir. Harun Hj Abas.

Prof. Datuk D Kamarudin kemudiannya menandatangani Surat Hasrat (LoI) bersama-sama kedua-dua syarikat, dengan Enrich Marine Sdn. Bhd. diwakili pengarah projek, Wu Lian; dan Yun Fook Resources Sdn Bhd diwakili pengarah urusan, Datuk Yap Yun Fook.

Pemeteraian MoU bersama JPV Sabah menyaksikan pelbagai aktiviti seperti perkongsian haiwan ternakan, guna sama fasiliti makmal dan perkongsian kepakaran dalam pengajaran dan pembelajaran serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) akan dijalankan Fakulti Pertanian Lestari UMS dan JPV Sabah.

Bagi kerjasama dengan Enrich Marine Sdn. Bhd., syarikat itu memperuntukkan RM1 juta  untuk kedua-dua pihak terlibat dalam penyelidikan berkaitan udang kara, dengan projek penyelidikan ini akan membangun teknologi penternakan udang kara secara mampan mengguna pakai kemudahan dan kepakaran yang ada di Institut Penyelidikan Marin Borneo, UMS dan Enrich Marine.

Kerjasama bersama Yun Fook Resources Sdn. Bhd. pula menyaksikan UMS melalui Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan akan mengadakan program kerjasama khas universiti-industri untuk membangunkan Projek Ladang Penyelidikan dan Arboretum Germplasma Durian, dengan Arboretum dan ladang penyelidikan durian tersebut akan menempatkan klon hampir sembilan spesies durian dengan sebahagian daripada durian liar tersebut hanya boleh didapati di Sabah dan sekitar Borneo.

Hadir sama menyaksikan pemeteraian kerjasama tersebut Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia, Dato’ Haji Salahuddin Ayub.

KHAMIS, 20 SEPTEMBER  – Seramai 15 peserta terdiri daripada pelajar baharu Universiti Malaysia Sabah (UMS), kakitangan UMS, Pramugari MASwings dan Pengacara Astro Awani  menyemarakkan sambutan Hari Malaysia melalui program Kibarkan Jalur Gemilang dan 14 bendera negeri di puncak Gunung Kinabalu, kelmarin.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Dr. Ismail Ali berkata, program yang julung kalinya dianjurkan Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) itu bertujuan untuk menerapkan semangat patriotik dalam kalangan pelajar dan masyarakat majmuk di Malaysia.

“Selain sebagai salah satu cara menzahirkan rasa “Sayangi Malaysiaku”,  para pendaki ini memerlukan kekuatan fizikal dan mental dan semangat yang tinggi untuk menawan puncak Gunung Kinabalu sekali gus mengibarkan Jalur Gemilang dan 14 bendera negeri di Malaysia.

“Dalam masa yang sama,  program ini juga satu wadah yang untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim di antara pelbagai agensi yang terlibat yang mewujudkan interaksi serta perkongsian ilmu dalam kalangan para peserta pendakian kali ini,” katanya selepas menyempurnakan pelepasan peserta di Timpohon Gate, Kinabalu Park.

Salah seorang pendaki, Cabin Crew MASwings, Leslie Vitalis ketika ditemui media berkata, ia merupakan pendakian pertama kali yang disertainya dan merasa teruja dan sangat bersemangat apatah lagi ia diadakan bersempena sambutan Hari Malaysia.

“Syabas dan tahniah juga saya ucapkan kepada pihak UMS kerana menganjurkan program yang amat bermanfaat khususnya dalam meningkatkan kesedaran dan semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda hari ini,” ujarnya.

Turut hadir pada program itu, Ketua Jabatan JHEP UMS, Ahmadi Nurdin dan Pegawai Eksekutif Maswings, Aminuddin Zakaria.

RABU, 19 SEPTEMBER - Seramai 95 peserta menyertai Seminar Kelestarian 2018: Ke Arah Masyarakat Lestari yang dianjurkan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Malaysia; Tokushima University, Jepun; dan José Rizal University, Filipina kelmarin.

Seminar dengan kerjasama Jurnal Pembangunan Wilayah BIMP-EAGA itu berlangsung selama sehari di Hotelab FPEP.

Pengerusi penganjur, Profesor Madya Dr. Awangku Hassanal Bahar Pengiran Bagul  berkata, penganjuran Seminar Kelestarian 2018 antara lain diadakan sebagai wacana akademik bagi isu kemampanan yang merupakan isu global pada masa kini.

“Sebanyak tiga ucap utama dan 22 kertas kerja ilmiah dari pelbagai jabatan dari ketiga-tiga universiti di Malaysia, Jepun dan Filipina dibentangkan pada seminar ini.

“Kertas kerja yang dibentangkan antara lain meliputi bidang kelestarian yang terikat dengan isu seperti kemiskinan, reka bentuk sosial, pengkomersialan, penyertaan masyarakat, pendidikan dan kehidupan,” katanya ketika menyampaikan ucapan alu-aluannya pada  seminar tersebut.

Dr. Awangku Hassanal berkata, seminar itu juga menghubungkan idea dan hasil penyelidikan antara bidang sains dan kemanusiaan terutamanya dalam aplikasi dan pembangunan kelestarian kepada masyarakat secara menyeluruh.

“Kesemua kertas kerja dari seminar ini akan diterbitkan dalam Jurnal Pembangunan Wilayah BIMP-EAGA,” ujarnya lagi.

Seminar kali ke-4 itu dirasmikan Timbalan Dekan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) Dr. Kamisan Pusiran.