SELASA, 27 MAC 2018 - Syarikat milik penuh Universiti Malaysia Sabah, UMS Investment Holdings Sdn Bhd. menandatangani Perjanjian Kerjasama bersama Kolej Sabah Skills & Technology Centre (SSTC) dalam satu majlis yang berlangsung di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) di sini baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UiNVEST, Ramlan Awang Ali berkata, perjanjian yang ditandatangani itu menjurus kepada kerjasama dalam bidang penawaran program Sijil Pengurusan Perladangan dan Kemahiran Industri dalam Pengurusan Agro-Bisnes.

“Perjanjian kerjasama ini dilihat sebagai salah satu usaha untuk memantapkan pembangunan pendidikan serta kemahiran untuk golongan belia di Sabah selaras dengan matlamat Kerajaan Negeri ke arah pembangunan kemahiran industri yang lebih kompeten dan berdaya saing.

“Usaha sama ini juga merupakan langkah untuk menggalakkan penglibatan golongan muda di Sabah agar mempunyai kepakaran dan pengetahuan teknikal bekerja dalam bidang perladangan dan agro pertanian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Ramlan, menerusi program itu ia akan meningkatkan pengetahuan para pelatih melalui pembelajaran berasaskan pengalaman kerja.

“Pada masa yang sama, pelatih akan dilatih untuk menjadi pekerja yang profesional dan terlatih kerana amalan sebenar persekitaran kerja dalam industri akan didedahkan kepada mereka sepanjang pengajian.

“Kedua-dua program kemahiran ini akan melibatkan tempoh pengajian selama setahun di SSTC,” tambahnya sambil menyifatkan pengajian itu amat bersesuaian untuk pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan yang setaraf atau lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan yang setaraf.

Ramlan turut memberi contoh negara Jepun, Australia dan Belanda yang menjadikan aktiviti perladangan dan pertanian sebagai salah satu sumber pendapatan utama.

“Berdasarkan kepada pencapaian negara-negara yang saya sebutkan tadi,  terbukti bahawa bidang pertanian adalah salah satu bidang yang menjanjikan peluang pekerjaan yang luas sekali gus menafikan tanggapan segelintir pihak yang berfikiran bahawa perusahaan pertanian sebagai pekerjaan kelas kedua.

“Justeru, saya ingin menyeru kepada masyarakat khususnya generasi muda untuk merebut peluang terhadap program-program yang akan ditawarkan nanti termasuk mereka yang tidak berjaya menerima tawaran dari mana-mana universiti,” katanya.

Pada majlis tersebut SSTC diwakili pengarahnya Natalie Fung serta Pengurus Latihan, Jennifer Michael.

Hadir sama, Pengurus Besar Kumpulan UiNVEST, Yusak Yumboris @ Misek; Ketua UMS Centre For Profesional Development (UCPD), Mohd Hamdan Ruhimin; dan Ketua Seksyen Pemasaran dan Promosi UiNVEST, Nerwani Shereen Halik.

SELASA, 27 MAC – Syarahan Sains Universiti Malaysia Sabah (UMS) Siri 1/2018 yang berlangsung di Dewan Resital, kelmarin menjadi platform dalam mengupas isu perkembangan sains sebagai kaedah pembuatan dasar terbaik.

Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang berkata, perbincangan tentang perkembangan sains perlu khususnya melibatkan ahli-ahli akademik dan pelajar universiti.

“Pelbagai keputusan mampu dibuat berdasarkan perbincangan akademik yang membincangkan isu perkembangan sains terhadap kelestarian alam.

“Sebagai contoh, kita boleh meneliti dasar kelestarian dan bagaimana memperbaiki dasar sedia ada dengan penglibatan para ahli akademik dan pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan syarahan bertajuk “Science and Policy Making: My Reflection on Water, Science and Sustainability” di hadapan lebih 400 warga UMS yang hadir.

Beliau menambah, perbincangan dalam bentuk syarahan turut membuka kepada penambahbaikan kepada banyak perkara.

Terdahulu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin dalam ucapannya berkata ilmu dan perkongsian pensyarah dalam sesi syarahan tersebut mampu menonjolkan kehebatan sains dan keperluan sains dalam kehidupan seharian sebagai saintis atau pentadbir.

Turut hadir pada majlis sayarahan tersebut Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Datuk Yeo Boon Hai dan Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Sabah, YM Tunku Khalkausar Tunku Fathahi.

SELASA, 27 MAC – Fakulti Pertanian Lestari (FPL) Universiti Malaysia Sabah (UMS) Kampus Cawangan Sandakan telah terpilih sebagai tuan rumah Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Sumber Manusia Universiti Awam Malaysia (JASUMA) baru-baru ini.

Mesyuarat tersebut menghimpun lebih 25 pegawai dari 16 Universiti Awam yang hadir.

Pengerusinya, No’man Ahmad menjelaskan, pemilihan FPL sebagai tuan rumah buat julung kalinya adalah bagi memberi kesempatan kepada ahli-ahli yang hadir untuk melihat keindahan kampus FPL serta bandar Sandakan dengan lebih dekat.

Hadir sama pada mesyuarat tersebut Ketua Bahagian Sumber Manusia UMS, Raffie Janau bersama tiga urusetia mesyuarat iaitu Juniezam Juka, Sharifah Rofidah Habib Hasan dan Roslan Gimba.

ISNIN, 26 MAC – Seramai 46 pelajar Kolej Kediaman Excellent menjayakan Program Kelas Memasak 2018 yang diadakan bertempat di Makmal Teknologi Bakeri, Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP) baru-baru ini.

Pengarah program,  Munirah Amani Azizan berkata, program  yang diadakan buat julung kalinya oleh Exco HELWA Jawatakuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) kolej itu bertujuan meraikan peranan wanita sekali gus mengasah bakat serta memberi pendedahan kepada para peserta dalam bidang masakan.

“Program ini dikendalikan pensyarah berpengalaman dari FSMP, Mohammad Halim Jeinie yang telah mengajar para pelajar teknik menyediakan dan memasak muffin dan brownies.

“Selepas itu kesemua peserta kemudian diminta untuk menterjemahkan ilmu yang diperoleh dalam pertandingan masakan yang turut diadakan pada hari yang sama bagi mengetahui sejauh mana kefahaman mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Munirah, kesemua pelajar yang hadir sangat seronok dengan pengisian dan mengharapkan agar program-program seumpama itu akan diteruskan pada masa-masa akan datang.

“Sebenarnya masih ramai pelajar yang ingin menyertai program ini tetapi atas kepasiti penyertaan yang agak terhad kita membuka pendaftaran berdasarkan siapa cepat dia dapat,” katanya.

Majlis perasmian program sehari itu disempurnakan, Timbalan Pengetua Kolej Kediaman Excellent, Mohd Hilmey Saili.

 

Sumber: Kolej Excellent

 

KHAMIS, 22 MAC – Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memeterai satu perjanjian penerbitan buku yang menggunakan aplikasi Augmented Reality (Realiti Berperantara) dalam satu majlis di Dewan Amil Jaya, DBP Cawangan Sabah pagi tadi.

Pemeteraian perjanjian kedua-dua pihak ditandatangani oleh Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin mewakili UMS, dan Pendaftar UMS, No’man Haji Ahmad sebagai saksi di pihak UMS, manakala DBP diwakili Ketua Pengarahnya, Datuk Haji Abdul Adzis Abas dan Pengarah Penerbitan DBP, Tuan Haji Abd. Khalik Sulaiman sebagai saksi.

Turut menyaksikan majlis menandatangani dokumen perjanjian antara UMS dan DBP adalah Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Zakaria Edris; Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah merangkap Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia, Datuk Haji Mohd Ariffin Mohd Arif; dan Pengarah DBP Cawangan Sabah, Hajah Asmiah Ajamain.

Terdahulu, Datuk Abdul Adzis Abas dalam ucapannya berkata, kerjasama penerbitan UMS-DBP melibatkan penerbitan buku interaktif kanak-kanak “Gergasi dan Penghuni di Rumah Panjang” dengan elemen tambahan iaitu melalui aplikasi Augmented Reality.

“Persetujuan kerjasama telah dicapai dengan DBP menerbitkan buku bercetak, manakala UMS membangunkan aplikasi Augmented Reality.

“Bersesuaian dengan trend penerbitan masa kini dan juga memenuhi kehendak generasi muda, DBP tidak ketinggalan menyebarluaskan bahan bacaan berbahasa Melayu dalam persekitaran digital yang pesat supaya dapat dicapai secara maya,” katanya.

Inovasi penerbitan buku “Gergasi dan Penghuni di Rumah Panjang” dengan aplikasi Augmented Reality diusahakan bersama Ketua Unit Penyelidikan Warisan Borneo, Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW) UMS, Prof. Madya Dr. Low Kok On dan Dekan Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) UMS, Prof. Madya Dr. Ag. Asri Ag. Ibrahim.