ISNIN, 19 MAC – Hampir 250 peserta menyertai Konvensyen Fiqh Borneo 5.0 yang buat julung kalinya diadakan di Dewan Resital, Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini.

Konvensyen Fiqh Borneo 5.0 merupakan kemuncak kepada Program Minggu Penghayatan Islam (MPI) bertemakan Islam is The Way of Life yang telah berlangsung selama seminggu.

Majlis perasmian Konvesyen anjuran Kelab Rakan Masjid (KRM) UMS itu telah disempurnakan Pegawai Hal Ehwal Islam, Pusat Islam UMS, Ustaz Mohammad Fazri Abdul Hamid.

Terdahulu dalam ucapannya beliau berkata konvensyen itu antara lain bertujuan untuk mewujudkan persekitaran Islam di dalam kampus disamping memberi peluang kepada siswa-siswi untuk menonjolkan bakat mereka dalam pelbagai pertandingan seperti pertandingan pidato, seni khat, sukan bola jaring, futsal dan pertandingan menulis puisi.         

“Penganjuran program seumpama ini mampu untuk membantu meningkatkan ilmu pengetahuan para peserta serta membentuk mahasiswa seimbang dari segi intelek, sahsiah dan kerohanian,” katanya.

Beliau turut merakamkan setinggi tahniah kepada jawatankuasa pelaksana dan semua yang terlibat dalam memastikan Konvensyen Fiqh Borneo 5.0 berlangsung dengan jayanya.

Antara panel penceramah pada konvensyen tersebut adalah Mudir Darul Hadis Sabah, Ustaz Mat Razali Mat Lazin dan Pensyarah  Kanan Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan, UMS, Dr. Aliakhbar Gulasan.

Hadir sama pada majlis itu,  Pengarah Program, Muhammad Kamran Baharon dan Presiden Kelab Rakan Masjid UMS, Safwan Adam.

 

 

ISNIN, 19 MAC - Program FreeMarket@ UMS anjuran Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Pusat Islam UMS (PIUMS) mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada pengunjung baru-baru ini.

Menurut jurucakap PIUMS, Ainah Ramlan Angusa, dianggarkan lebih 400 pengunjung hadir pada program yang diadakan bertempat di ruang letak kereta Fakulti Kejuruteraan (FKJ).

“Terdapat lebih 20 gerai sumbangan telah dibuka melibatkan pelbagai barangan terpakai seperti pakaian wanita dan lelaki, barangan dapur, barangan elektrik selain makanan yang diberikan secara percuma kepada para pengunjung yang terdiri daripada pelajar dan kakitangan UMS serta masyarakat sekitar.

“Selain dari memberi sumbangan kepada yang memerlukan, program ini bertujuan mengajak lebih ramai orang ramai menyertai program seumpama ini,” tambahnya.

Bertemakan ‘Senyum Memberi, Sopan Menerima’, Program FreeMarket@UMS itu bakal menjadi program tahunan FKI dan PIUMS.

JUMAAT, 16 MAC – Dengan tekad dan kesabaran mengusahakan perniagaan Aquafarm, alumni Universiti Malaysia Sabah (UMS), Azizul Julirin cemerlang apabila beliau terpilih sebagai penerima anugerah “MOSTI SOCIAL INNOVATION 2018”  daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) baru-baru ini.

Kejayaan itu menyaksikan Azizul yang juga pelajar Fakulti Sains dan Sumber Alam UMS dari tahun 2006 hingga 2010 turut menerima geran sebanyak RM200,000 dari MOSTI.

“Perniagaan Aquafarm ini merupakan ladang bercirikan Aquaponik iaitu gabungan sistem akuakultur dan hidroponik yang pertama di Sabah.

“Saya terinspirasi untuk memulakan perniagaan dengan konsep mesra alam ini selepas menimba pengalaman semasa menjalani latihan industri di Jepun,” katanya ketika ditemui media.

Azizul berkata, beliau menanam coral lettuce, pak-choi, green tomato, raspberry dan beberapa sayuran lain di dalam rumah hujan bersama-sama dengan ternakan ikan dan udang lobster.

Katanya, konsep ini menjadikan tanaman lebih subur tanpa menggunakan baja dan racun perosak.

“Kebaikan menggunakan kaedah Aquaponik ini adalah dalam jangka panjang kaedah ini jauh lebih jimat, tanaman bebas baja dan racun perosak serta cepat mengeluarkan hasil iaitu sekitar dua hingga tiga minggu.

“Aquaponik yang diusahakan ini berjaya menarik minat pelawat dalam dan luar negara antaranya dari Jepun, dan setiap pelawat diberi peluang untuk memilih sayur segar untuk dibawa balik,” jelasnya.

Tambah beliau, hasil tanaman yang diusahakan juga sudah mendapat permintaan di negara Brunei. 

Azizul turut menyediakan khidmat nasihat dan bimbingan kepada sesiapa yang berminat untuk mempelajari perniagaan aquaponik tersebut.

“Saya ingin mengajak orang ramai khususnya para alumni UMS untuk mempelajari dan melibatkan diri dalam perniagaan ini sekali gus memperkembangkan lagi bidang perniagaan aquafarm ini bersama-sama,” ujarnya.

Sehubungan itu, mereka yang berminat boleh menghubungi Pusat Alumni UMS di talian 017-6809371.

 

 

JUMAAT, 16 MAC – Siswa-siswi Universiti Malaysia Sabah (UMS) digesa untuk merebut peluang dalam industri dan ekonomi digital yang semakin berkembang maju di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Datuk Yasmin Mahmood berkata, ini kerana industri digital dan teknologi maklumat semakin memainkan peranan penting dalam aspek kehidupan seharian, serta turut mengubah landskap bidang perniagaan pada masa kini.

“Dunia pada hari ini berhubung dengan secara aktif melalui pelbagai aplikasi seperti Facebook, Twitter, YouTube, Instagram dan sebagainya, dan elemen-elemen ini turut diguna pakai dalam bidang perniagaan masa kini.

“Teknologi seperti Mobile Wallet dan Virtual Reality juga mula diguna pakai dalam perkhidmatan perniagaan di luar negara, menjadikan ekonomi digital di negara ini berpotensi untuk berkembang maju melalui permintaan terhadap pelbagai teknologi serba canggih dalam bidang perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu siri ceramah CEO Talk bertajuk “Championing Malaysia’s Digital Economy” di Dewan Kuliah Pusat Ke-2.

Tambah beliau, pihak kerajaan juga telah memperkenalkan pelbagai inisiatif seperti eUsahawan dan eRezeki bagi membuka peluang kepada rakyat untuk turut serta dalam ekonomi digital sekali gus membantu memperkembangkan perniagaan mereka serta menambah pendapatan individu.

“Industri kreatif juga semakin berkembang luas dengan pelbagai animasi tempatan seperti Upin Ipin, Boboiboy dan sebagainya turut mendapat pasaran di luar negara,” ujar beliau.

Lebih 500 pelajar hadir pada sesi ceramah yang turut dihadiri Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin.

KHAMIS, 15 MAC – Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) Kolej Kediaman Tun Mustapha (KKTM), Universiti Malaysia Sabah (UMS) menganjurkan Program Pengurusan Jenazah 2017/2018 di Dewan Utama kolej kediaman tersebut baru-baru ini.

Pengarah Program, Norhisam Hashimudin berkata, penganjuran program itu bertujuan memberi pendedahan kepada tatacara pengurusan jenazah yang betul kepada pelajar UMS.

“Melalui program ini juga diharapkan sedikit sebanyak dapat membantu para pelajar menjalankan kewajipan fardhu kifayah untuk berbakti kepada masyarakat pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.

Program yang bermula seawal jam 7.00 pagi itu dikendalikan oleh penceramah jemputan daripada Pusat Islam UMS, Ustaz Jimmis Jumaat.

Dalam ceramahnya beliau menerangkan tiga perkara yang harus segera dilakukan setiap individu Muslim, pertama hendaklah menikahkan segera anak perempuan bila sampai waktunya, yang kedua melunaskan hutang piutang dan ketiga adalah menyegerakan pengurusan jenazah.

“Di sini dapat dilihat betapa pentingnya menyegerakan pengurusan jenazah dan ia dituntut oleh setiap individu yang masih hidup kepada yang telah meninggal dunia, ingatlah setiap yang hidup pasti akan merasai mati,” tambahnya sebelum menutup sesi ceramah tersebut.

Program sehari itu disertai seramai 42 pelajar dari Kolej Kediaman Tun Mustapha, Kolej Kediaman Excellent dan Kolej Kediaman Angkasa.