KHAMIS, 15 MAC - Menteri Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Madius Tangau berkata Malaysia memerlukan tenaga kerja dinamik, yang memiliki pelbagai kemahiran dan kepakaran dalam bidang berkaitan marin untuk menangani isu alam sekitar, ekonomi, sosial dan budaya.
Beliau berkata disebabkan Malaysia mempunyai kawasan marin yang lebih luas daripada kawasan daratan, maka negara ini memiliki banyak sumber dan sekali gus memikul tanggungjawab besar dalam menguruskannya.

"Malaysia adalah sebuah negara maritim, yang banyak bergantung pada pelayaran serta pengangkutan bagi menghubungkan bahagian timur dan barat negara ini serta dengan dunia luar, di samping bagi banyak tujuan lain.

"Malaysia mempunyai kepentingan nasional dalam melindungi perkhidmatan ekosistem marin, yang memainkan peranan semakin penting dalam ekonomi, gaya hidup dan kehidupan harian.

"Dalam konteks ini, saya perlu menyebut bahawa Universiti Malaysia Sabah (UMS), melalui program pendidikan dan aktiviti penerangan berkaitan lautan, boleh memberi sumbangan besar dalam usaha melahirkan profesional dalam bidang kelautan serta tenaga kerja di pelbagai peringkat bagi membantu negara ini mengurus warisan marinnya dengan lebih berkesan," kata beliau.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Sains dan Inovasi, Profesor Madya Dr. Ramzah Dambul yang mewakili beliau merasmikan Persidangan Antarabangsa Sains Marin dan Akuakultur (ICOMSA) anjuran Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB) Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Tambah Dr. Ramzah, input daripada golongan pakar amat diperlukan dalam menghasilkan polisi pemuliharaan alam marin yang lebih baik.

“Kurangnya input daripada saintis dan pihak yang memahami ekosistem alam sekitar antara masalah yang dihadapi penggubal polisi di negara ini. Ini menyebabkan wujudnya jurang antara golongan saintis dengan penggubal polisi, ujarnya.

Tambah beliau, para saintis perlu memahami tentang proses penggubalan polisi supaya mereka boleh memberikan input yang bersesuaian.

Seramai 114 peserta termasuk penyertaan luar negara menyertai persidangan tersebut selama dua hari bermula kelmarin.

Pada majlis itu juga, UMS dan Sutera Harbour Resort menandatangani perjanjian penajaan bersama dengan Jebsen & Jessen (Sea) Ptd Ltd.

Turut Hadir Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin; Pengarah IPMB Profesor Dr. Rossita Shapawi; Pengerusi Jebsen & Jesson (Sea) Heinrich Jessen; Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Sutera Harbour Resort Kenneth Goi Kok Ming serta Pegawai-pegawai Utama dan Kanan Universiti.

RABU, 14 MAC 2018 -  Universiti Malaysia Sabah (UMS) bakal memiliki ‘Teaching Resort’ dalam kampus hasil pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) bersama Traverse Tours Sdn. Bhd, menjadikannya sebagai universiti pertama di Malaysia yang akan menyediakan kemudahan tersebut.

MoA tersebut dimeterai dalam satu majlis di Fakulti Komputeran dan Informatik kelmarin, dengan Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin mewakili UMS menandatangani dokumen perjanjian tersebut, manakala Traverse Tours Sdn Bhd diwakili oleh Pengarah Urusannya, Dares Saham.

Turut menyaksikan majlis menandatangani dokumen antara kedua-dua pihak adalah Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Tun Zaki Tun Azmi; Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Yeoh Boon Hai; dan Dekan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) UMS, Prof. Madya Dr. Raman Noordin.

Melalui kerjasama tersebut, UMS bakal mempunyai resort yang menyediakan kemudahan 30 unit chalet berkonsepkan eco-friendly berserta kemudahan restoran dan spa dijangka mampu menarik para pelancong luar dan dalam negara menginap di tepi pantai di kelilingi suasana kampus.

Ini sekali gus dapat memberi latihan dan pengalaman industri secara terus kepada pelajar-pelajar jurusan perhotelan dan pelancongan UMS melalui bantuan pihak Traverse Tours Sdn. Bhd. yang berpengalaman dalam industri pelancongan selama hampir 30 tahun.

Dalam pada itu, Datuk D Kamarudin dalam satu kenyataan berkata, teaching resort tersebut bakal memberi nilai tambah yang tidak ternilai kepada para pelajar perhotelan dan pelancongan UMS bagi memenuhi pasaran kerja dan industri.

“Ini selari dengan hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang mahu memperkasakan konsep industry in campus dengan membawa pihak industri bekerjasama dengan pihak universiti.

“Hasil kolaborasi bersama dengan pihak industri akan memberi nilai tambah dan kelebihan kepada bakal-bakal graduan khususnya dalam bidang pelancongan dan hospitaliti selain menyasarkan untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan,” katanya.

Teaching Resort tersebut bakal dibina berdekatan dengan bangunan FPEP serta berhampiran dengan pantai memberikan landskap resort yang menarik kepada bakal pelancong yang menginap di chalet yang akan disediakan nanti.

 

 

 

 

RABU, 14 MAC - UMS bakal memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) pada April depan bagi menjalin kerjasama erat dalam reka bentuk kayu dan perabot.

Dekan Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA), Prof. Dr. Baba Musta berkata langkah itu selaras dengan hasrat UMS mewujudkan program latihan berkaitan reka bentuk kayu berkonsepkan program 3 Universiti 1 Industri (3U1I) dalam pengambilan pelajar akan datang.

“Program ini melibatkan pelajar program Teknologi dan Industri Kayu yang akan terpilih untuk diberi peluang kepada mereka mengasah lagi kemahiran serta kreativiti sekali gus memberi peluang kepada mereka untuk diserap di mana-mana syarikat mahupun industri perabot,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Seminar ‘Professional Design Programme (PDP)’ di Galeri Majlis, UMS baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau berkata Seminar PDP anjuran bersama UMS dan MTIB tersebut adalah bagi memberikan kesedaran dan pendedahan terhadap seni dalam reka bentuk kayu dan perabot.

“Diharapkan penganjuran program sebegini mampu merangsang dan memperkembangkan potensi penghasilan produk berasaskan kayu yang lebih berkualiti dan setanding dengan produk antarabangsa,” katanya.

Seramai lima pereka perabot profesional dari Itali, Australia dan Belgium berkongsi ilmu bersama lebih 200 pelajar FSSA dan Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan dalam seminar tersebut.

Hadir sama Pengarah Bahagian Pembangunan Industri MTIB, Haji Mahpar Atan dan Ketua MTIB Wilayah Sabah, Mazree Iman.

 

 

SELASA, 13 MAC – Pusat Islam Universiti Malaysia Sabah (PIUMS) menganjurkan Program Ziarah Ukhuwah PIUMS 2018 di Wad Onkologi Dewasa pesakit kanser lelaki dan perempuan, Hospital Wanita dan Kanak-kanak Kota Kinabalu baru-baru ini.

Menurut Pengarah PIUMS, Prof. Madya Dr. Mohd. Suhaimi Taat, program itu bertujuan untuk memberi sokongan dan motivasi serta pada masa yang sama untuk  menunjukkan keprihatinan pusat itu menyampaikan mesej dan membuka mata masyarakat mengenai kepentingan amalan menziarahi pesakit.

“Beberapa sumbangan turut diberikan kepada pesakit-pesakit yang berada di wad kanser lelaki dan perempuan berupa buah-buahan, biskut dan minuman kotak,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, seramai sembilan kakitangan PIUMS dan seorang kakitangan Perpustakaan UMS turut menjayakan program ziarah ukhuwah kali ini.

Rombongan Ziarah PIUMS telah disambut petugas hospital, Ustaz Zulkifli Muntak.

 

Sumber:  Ustaz Yusri Sumin

Pen. Pegawai Hal  Ehwal Islam Kanan, PIUMS

SELASA, 13 MAC - Pengaruh dadah boleh menjejaskan institusi kekeluargaan dan memusnahkan masa depan individu yang terlibat, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut, Datuk Haji Mohd Arifin Haji Mohd Arif.

Menurut beliau, orang ramai harus menghindari musuh nombor satu negara itu yang nyata mampu memberi pelbagai kesan negatif kepada mereka yang terlibat dan masyarakat di sekelilingnya.

“Justeru, saya berharap agar semua belia di daerah ini dapat mengelakkan daripada penyalahgunaan najis dadah ini,” katanya ketika merasmikan Program Komuniti Pelajar di Dewan Masyarakat

Pekan Membakut baru-baru ini.

Datuk Ariffin juga berharap agar pihak UMS dapat meneruskan program-program sedemikian di daerah itu pada masa-masa akan datang.

Program yang bertemakan “Kami Menentang Dadah” dianjurkan Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui pelajar Speciality Programme for Alcohol and Drug Abuse (SPADA) dengan kerjasama Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) dan Kedai Motor Hin Lee Membakut.

Program yang dihadiri 300 belia Membakut turut diisi dengan sesi pameran anti dadah dan beberapa slot ceramah termasuk ceramah bertajuk “Penyalahgunaan Syabu” yang disampaikan Pensyarah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) UMS, Prof. Madya Dr. Mohd. Nazri Mohd Daud.

Hadir sama pada program itu, Pengarah SPADA UMS, Mejar Ismail Merah; Penolong Pegawai Daerah Membakut merangkap Pengerusi PEMADAM Daerah Membakut, Hj Sanudin Hj Ismail; Pengarah Bersama Perhimpunan Membakut,  Chiam Moi Fah; serta Ketua-ketua Daerah dan Kampung sekitar Membakut.