KHAMIS, 9 NOVEMBER - Seramai 135 peserta menghadiri Persidangan Antarabangsa Transformasi Sosial, Komuniti dan Pembangunan Lestari 2017 (ICSTCSD) yang dianjurkan oleh Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW) Universiti Malaysia Sabah (UMS) kelmarin.

Persidangan anjuran bersama Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Institut Sains dan Teknologi Imus, Filipina itu turut disertai oleh peserta dari Indonesia dan Brunei Darussalam.

Pada majlis tersebut, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin berharap penganjuran persidangan itu dapat memberi ruang perbincangan yang menyeluruh dalam transformasi sosial ke arah mencapai matlamat pembangunan lestari (SDGs) menjelang tahun 2030.

“Saya menyeru agar semua peserta dapat menjadikan persidangan ini sebagai platform untuk mencari persamaan dalam menangani isu atau konflik yang berkaitan secara aman,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Dekan FKSW, Profesor Dr. Ismail Ibrahim.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Panglima Abdul Rahman Dahlan.

Antara pembentang kertas kerja yang hadir pada persidangan tersebut adalah, Profesor Dato’ Dr. Morshidi Sirat (Universiti Sains Malaysia), Datuk Joniston Lumai (Lembaga Pelancongan Sabah), Dr. Abhoud Syed M.Lingga (Institut Pengajian Bangsamoro Selatan Filipina) dan Profesor Madya Dr. Norizan Abdul Ghani (UnisZA).

KHAMIS, 09 NOVEMBER - Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn. Bhd menandatangani Memorandum  Persefahaman (MoU) hari ini bagi kerjasama dalam beberapa bidang termasuklah berkaitan pembangunan kampus pintar.

Majlis pertukaran dokumen MoU diadakan di Kuala Lumpur sempena program Huawei Asia-Pacific Innovation Day dengan disaksikan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Dato’ Seri Ong Ka Chuan; dan Ketua Pegawai Eksekutif Bergilir (Rotating) Huawei, Guo Ping.

Pada majlis tersebut UMS diwakili Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin,  manakala Huawei  Technologies (Malaysia) Sdn. Bhd. diwakili Ketua Pegawai Eksekutif,  Abraham Liu Kang.

Turut hadir ialah Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Tun Zaki Tun Azmi dan Presiden Huawei bagi Wilayah Asia Tengah dan Caucasus, Liu Hongyun.

Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin dalam satu kenyataan kemudiannya berkata, kesediaan pihak Huawei untuk menjadi rakan industri UMS adalah amat dialu-alukan.

“Sebagai sebuah universiti ke arah proses Transformasi Universiti/Industri (IR) 4.0, pelbagai inisiatif telah dan sedang dirancang.

“Ini termasuklah pembangunan kampus digital dan mereka bentuk semula kurikulum prasiswazah mengikut keperluan IR 4.0,” katanya.

Menurut beliau,  kerjasama akademia dan pihak industri seperti Huawei ini adalah penting untuk membantu UMS dalam merealisasikan agenda IR 4.0.

“Harapan saya, dengan kerjasama ini akan dapat meningkatkan lagi kapasiti dan keupayaan UMS untuk menghadapi era IR 4.0,” tambah Prof. Datuk Dr. D Kamarudin.

 

KHAMIS, 9 NOVEMBER - Sabah memiliki kepelbagaian flora dan fauna yang perlu dipelihara dan dilindungi bagi memastikan ianya tidak pupus dan dapat diwariskan kepada generasi akan datang

Saintis kanan merangkap Penasihat Budaya Pemeliharaan Alam Semula jadi Hawaii, Dr. Sam ‘Ohu Gon berkata, usaha konservasi perlu diterapkan dalam komuniti masyarakat termasuk keperluan untuk menggubal undang-undang berkaitan agar lebih bermanfaat kepada kepelbagaian biologi di Sabah.

“Sabah merupakan salah satu lokasi dengan kepelbagaian biologi dunia yang sangat berbeza dan lebih cantik daripada apa yang boleh dilihat di media sosial seperti YouTube.

“Justeru, penting untuk masyarakat di sini diberi pengetahuan tentang sumber kekayaan alam semula jadi yang mereka miliki agar mereka turut bersama dalam usaha konservasi yang dilaksanakan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada media selepas menyampaikan ceramah bertajuk Pemeliharaan Alam Sekitar, Mengimbangi Pembangunan Ekonomi dan Pemuliharaan Alam Sekitar Melalui Pendekatan Berdasarkan Komuniti di Auditorium Perpustakaan, Universiti Malaysia Sabah.

Sementara itu, Ketua Pustakawan UMS, Dg Rukiah Ag Amit menyifatkan program tersebut bertepatan untuk memberi kesedaran dalam pelbagai usaha konservasi di Sabah.

“Ini adalah supaya kita sentiasa bersedia dan terdedah kepada cara-cara melindungi alam sekitar,” katanya.

Siri ceramah tersebut merupakan salah satu program bulanan di bawah kerjasama Perpustakaan UMS dan American Corner melalui perjanjian persefahaman yang ditandatangani antara UMS dan Pejabat Kedutaan Amerika Syarikat pada 23 September tahun lalu.

 

 

 

 

RABU, 8 NOVEMBER – Seramai 32 mahasiswa Tahun 3 Program Hubungan Antarabangsa dan Geografi, Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW), Universiti Malaysia Sabah (UMS) menganjurkan Program Goin’ Green Day 2017 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandaraya, Kota Kinabalu baru-baru ini.  

Pengarah program, Mohamad Sharizal Murad berkata, program yang melibatkan pelajar Tingkatan Empat Pertanian Kelas 4 Tekvo 2, SMK Bandaraya itu bertujuan memberi pendedahan awal kepada para peserta terhadap cabaran-cabaran yang bakal dihadapi di menara gading kelak.

“Justeru adalah diharapkan, program seumpama ini dapat memberi motivasi kepada pelajar pertanian SMK Bandaraya agar terus bersemangat mencari dan menuntut ilmu sehingga mampu melanjutkan pengajian ke universiti,“ katanya.

Program yang berlangsung selama sehari itu diisi dengan pelbagai aktiviti seperti gotong-royong menceriakan keindahan Taman Mini sekolah dan sesi memperkenalkan diri.

Turut diadakan satu sesi ceramah dan khidmat nasihat berkenaan ‘Tanaman Fertigasi dan Tanaman Hidroponik’ yang disampaikan Penolong Pegawai Pertanian, Jabatan Pertanian Labuan, Rody Sibawon.

Hadir sama pada majlis itu, Pensyarah Kanan FKSW UMS merangkap Penasihat Program, Marja Azlima Omar; Guru SMK Bandaraya, Victor Atin dan Jacqueline George Mool; serta penyumbang pokok bunga, Chong Li Fah dan Chong Yun Chin daripada wakil ibubapa pelajar sekolah berkenaan.

RABU, 8 NOVEMBER - Tiga pelajar dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) merupakan antara 15 pelajar dari Institut Pendidikan Tinggi (IPT) di Malaysia yang terpilih dan berjaya mengikuti program Huawei Seeds For The Future di Shenzhen, China baru-baru ini.

Mereka ialah Viliana Jainih, Lai Yik Chen dan Razmin Mohd Kamshah.

Ketiga-tiga mereka bersama 12 lagi wakil dari IPT lain diraikan dalam satu Majlis Penutupan Program Huawei Seeds For The Future di ibu pejabat Huawei, Shenzhen, China.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, Datuk Mary Yap Kain Ching yang turut bersama-sama Naib Presiden Global Public Affairs of Huawei Technologies, David Harmon menyampaikan sijil tamat program kepada pelajar-pelajar dari Malaysia.

Turut hadir pada majlis tersebut Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr D Kamarudin D Mudin, dan wakil dari Huawei Technologies (M) Sdn. Bhd., Vicky Zhang Yuan dan Simon Ng.