KHAMIS, 15 JUN – Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Dr. D Kamarudin D  Mudin dilantik sebagai Naib Canselor UMS ke-5 berkuat kuasa 18 Jun 2017. 

D Kamarudin, 49 tahun, bakal menggantikan Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah yang akan tamat penggal pada 17 Jun ini. 

Pelantikan ini sekali gus menjadikan D Kamarudin sebagai anak kelahiran negeri Sabah ketiga memegang jawatan tertinggi universiti tersebut selepas Datuk Harun dan mantan Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Seri Panglima Dr. Kamaruzaman Hj Ampon. 

D Kamarudin, anak kelahiran Kota Belud, Sabah, merupakan Profesor Gred Khas C (Perubatan) dengan kepakaran dalam bidang Anesthesiology, dan pernah menyandang jawatan sebagai Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan sebelum dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor pada April 2015. 

Beliau yang mula menyertai UMS pada 2004, sebelum ini berkhidmat bersama Kementerian Kesihatan Malaysia di Hospital Queen Elizabeth selama 12 tahun, dan merupakan Pakar Bius Anak Sabah yang pertama.

Pelantikan beliau diumumkan Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia dalam satu kenyataan rasmi hari ini.

SELASA, 13 JUN - Pelajar Tahun 3 Program Geografi Fakulti Kemanusiaan Seni dan Warisan (FKSW), Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini mengadakan Program Jalinan Kasih Geografi dengan Universiti Chulalongkorn di Bangkok, Thailand.

Program selama empat hari itu disertai 18 pelajar dan seorang pensyarah penasihat Geografi, Dr. Mohammad Tahir Mapa.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Program Geografi FKSW, rombongan UMS disambut Ketua Program Geografi Universiti Chulalongkorn, Pannee W. Cheewinsiriwat.

Panee kemudian bersama-sama pelajar universiti itu membawa ahli rombongan  melawat sekitar fakulti mereka.

Selain itu, pelajar universiti itu juga mengadakan perkongsian tentang kajian yang dijalankan disusuli dengan perkongsian balas dari pihak UMS tentang suasana dan keindahan kampus UMS.

Yang menarik perhatian para ahli rombongan ialah bas elektrik yang menjadi salah satu sistem pengangkutan di universiti itu selain setiap fakulti disimbolkan menggunakan jenis bunga serta para mahasiswa diwajibkan menggunakan uniform untuk ke kelas.

Rombongan itu juga turut berkesempatan mengadakan lawatan ke Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok dan pelbagai destinasi pelancongan seperti Muzium Wang Na Palace, Chocolate Ville, Wat Pho, dan Asiatique The River Front.

 

Sumber: Program Geografi, FKSW

SELASA, 13 JUN - Seramai 60 orang peserta menyertai Kursus dan Latihan Kepimpinan (Kilap) anjuran comittee of Financial and Banking Management Club (FMBC) sesi 2016/2017 baru-baru ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh FMBC, kesemua peserta terdiri daripada pelajar Tahun 1 dan Tahun 2 Program Pengurusan kewangan dan Perbankan HE06.

Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah pengenalan terhadap tatacara penulisan proposal yang berkesan,  ceramah teknik membuat latihan proposal, ceramah bertajuk ‘Hala Tuju Mahasiswa Semasa dan Selepas Universiti’, serta beberapa aktiviti membina kesepakatan dan hubungan dalam kumpulan peserta.

Bertempat di Dewan Kuliah Pusat 29, program tersebut antara lain bertujuan memberi pengenalan awal kepada peserta yang bakal menggantikan ahli jawatan kuasa FMBC pada sesi yang akan datang.

Program itu telah dilaksanakan dengan bimbingan daripada presiden dan timbalan presiden FMBC yang banyak memberi tunjuk ajar kepada ahli jawatankuasa pelaksana Kilap.

 

Sumber: Financial and Banking Management Club

 

ISNIN, 12 JUN - Kelab Green Team di bawah naungan Kelab Kewangan dan Perbankan HE06 baru-baru ini mengadakan program berkaitan kebersihan pantai bertempat di Pantai ODEC, Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh kelab itu, program tersebut bertujuan untuk membangkitkan kesedaran ahli-ahli kelab terhadap amalan budaya hijau.

Selain itu, ia juga bagi memupuk dan membina semangat cintakan alam sekitar di samping mengeratkan silaturahim sesama mereka.

Menurut kenyataan itu lagi, selain pembersihan pantai turut diadakan acara sukaneka seperti permainan tali panjang, teka gambar dan permainan bola beracun.

Program tahunan kelab itu disertai  31 peserta dan 16 ahli jawatankuasa Kelab Green Team.

 

Sumber: Kelab Green Team

ISNIN, 12 JUN - Lentera Tari Kolej Kediaman E, Universiti Malaysia Sabah (UMS) menganjurkan Program Fitness Dance 3.0 sebagai usaha untuk menerapkan amalan gaya hidup sihat ke arah melahirkan individu yang cergas dan cerdas sekali gus memupuk semangat kekitaan antara pelajar, kakitangan universiti dan masyarakat awam.

Pengarah Program, Hasmida Bakri berkata, seramai 305 peserta terdiri daripada mahasiswa, kakitangan dan masyarakat sekitar menyertai aktiviti senamrobik dan tarian zumba itu yang bertempat di Stadium, Kompleks Sukan UMS.

“Berikutan pelbagai jenis penyakit yang boleh dihidapi akibat kurangnya aktiviti senaman, Lantera Tari mengambil inisiatif untuk menganjurkan program ini sebagai kesedaran dan membudayakan amalan pencegahannya di peringkat awal,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, dalam masa yang sama ia juga merupakan salah satu wadah bagi mengeratkan lagi keakraban sesama warga universiti.

“Oleh itu, golongan mahasiswa khususnya haruslah menjadikan budaya beriadah seperti berzumba dan senamrobik ini sebagai sebahagian daripada rutin ketika menuntut pengajian di universiti,” ujar Hasmida.

Turut menjayakan program itu, Pengetua Kolej Kediaman E, Dr. Syahruddin Hj. Awang Ahmad dan Timbalan Pengetua, Mohd. Hilmey Saili.

 

Sumber: Lantera Tari, Kolej Kediaman E