ISNIN, 18 DISEMBER – Kepelbagaian sambutan perayaan di Malaysia mampu menjadi medium terbaik bagi saling kenal-mengenal dan mengukuhkan lagi jalinan kemesraan sesama masyarakat tanpa mengira perbezaan latar agama dan bangsa.
Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Johnity Ongkili berkata, sambutan Pesta Krismas di Universiti Malaysia Sabah (UMS) misalnya memberi kesempatan kepada para pelajar dan orang awam untuk berkumpul bersama-sama dan beramah mesra antara satu sama lain.
“Perayaan seperti ini sememangnya membuka peluang kepada kita semua untuk berkenalan dengan lebih dekat dan mengurangkan jurang perbezaan antara kita.
“Peluang dan kesempatan seumpama ini harus dihargai dan diteruskan agar pemikiran kita akan lebih terbuka untuk menerima persamaan dan perbezaan pelbagai kaum dan agama di Malaysia, sekali gus menggalakkan budaya saling menghormati,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan sambutan Pesta Krismas UMS Kali Ke-6 di Dewan Kuliah Pusat 2 baru-baru ini.
Menurut beliau, tema pesta pada tahun ini, iaitu Perpaduan (Unity) sangat bersesuaian bagi menyarankan kepada masyarakat agar sentiasa bersatu-padu dan memperjuangkan jiwa dan raga demi negeri Sabah khususnya dan negara Malaysia tercinta secara amnya.
“Perpaduan bukan sahaja penting di antara bangsa atau kaum, tetapi juga penting wujud di antara agama, dan amalan kebebasan beragama haruslah dipraktikkan tanpa membelakangkan perpaduan,” ujar beliau.
Terdahulu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin berkata, majlis seperti ini melambangkan semangat harmoni dan semangat 1Malaysia yang ada dalam kalangan siswa-siswi UMS.
“Penganjuran majlis ini juga sebenarnya menyumbang kepada perkembangan jati diri dan kemahiran sahsiah kepada pelajar universiti.
“Justeru, pihak universiti tidak ingin melepaskan peluang untuk mengadakan majlis ini bagi tujuan perkembangan sahsiah serta mengeratkan lagi silaturahim antara pelajar, dan akan terus menyokong pelaksanaan majlis berkaitan budaya dan agama masyarakat Malaysia dengan harapan acara seperti ini boleh menerapkan nilai-nilai murni dalam kalangan pelajar universiti,” katanya.
Lebih 2,500 orang terdiri daripada warga kakitangan dan pelajar UMS, pelajar dari institusi pendidikan tinggi awam dan swasta serta orang awam hadir memeriahkan lagi sambutan Pesta Krismas UMS yang penuh dengan kepelbagaian persembahan.
Hadir sama Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Dr. Lucas Umbul, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Dr. Ismail Ali, dan Pengarah Pesta Krismas UMS 2017, Alvin Roy Oilon.



ISNIN, 18 DISEMBER – Kejohanan sukan IPT Sabah Piala YB Datuk Dr Mary Yap Kain Ching kali ke-2 anjuran bersama Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Kementerian Pendidikan Tinggi disambut meriah dengan penyertaan 20 kontinjen daripada Institut Pendidikan Tinggi (IPT) seluruh Negeri Sabah di Kompleks Sukan UMS baru-baru ini.
JUMAAT,15 DISEMBER - Universiti Malaysia Sabah (UMS) yakin Pusat e-Pembelajaran mampu mengukuhkan semula hala tuju, strategi, dan pelan tindakan yang ditetapkan.
JUMAAT, 15 DISEMBER – Penganjuran Program ‘No Trash In Stash (NTrIS) 2017’ oleh Pusat Pengurusan Ecocampus Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) serta Kelab Surirumah dan Staf Wanita UMS (KESUMBA) mampu mewujudkan kesedaran dan minat warga UMS, khasnya para mahasiswa/i UMS dan orang awam dalam melaksanakan aktiviti kitar semula bahan terpakai (upcycling) untuk menjadi produk yang bernilai.
JUMAAT, 15 DISEMBER – Kontinjen Universiti Malaysia Sabah (UMS) sedia menggalas cabaran untuk mempertahankan kejuaraan Sukan Institut Pendidikan Tinggi (IPT) Sabah Kali ke-2 Piala YB Datuk Dr. Mary Yap Kain Ching yang akan bermula esok.