JUMAAT, 19 MEI – Program Inovasi Sosial MOSTI Ops Jelajah Cyber anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui CyberSecurity Malaysia mampu meningkatkan tahap kesedaran serta pengetahuan asas teknikal kepada masyarakat dalam bidang keselamatan siber.

Ketua Pegawai Teknologi CyberSecurity Malaysia, Dr. Solahuddin Shamsuddin berkata, program itu turut menyediakan peluang kepada komuniti setempat menjana ekonomi melalui program keusahawanan yang ditawarkan.

“Selain perkhidmatan pemulihan data, sanitasi data dan perkhidmatan berkaitan keselamatan siber, Ops Jelajah Cyber juga turut memperkenalkan Program Pembangunan Keusahawanan atau Entrepreneurship Development Program MyCyberSecurity Clinic (MyCSC).

“Program ini dibangunkan sebagai ‘touch point’ antara kerajaan dan rakyat dalam menangani isu keselamatan siber serta masalah berkaitan forensik digital, sekali gus menjadi pemangkin kepada bidang keusahawanan berteraskan teknologi keselamatan siber,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian program tersebut, yang disempurnakan Pengerusi PUSPANITA Cawangan Sabah, Puan Sri Hairani Hussaini di Bilik Kuliah Pusat Persediaan Sains dan Teknologi (PPST), Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Ujar beliau, dengan bantuan teknikal dan sokongan program yang disediakan, ia diharap dapat melonjakkan aktiviti perniagaan dan meningkatkan status ekonomi usahawan tempatan di Malaysia.

Terdahulu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah berkata, penganjuran program tersebut memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa dunia telah berubah menjadi digital dan masyarakat perlu memperkasa diri dengan menimba ilmu berkaitan kehidupan yang serba digital.

“Sehubungan itu, saya menyarankan agar orang ramai dapat datang beramai-ramai ke program ini, serta mengambil manfaat daripadanya, kerana ilmu yang bakal diperoleh dapat menjadi bekalan yang terbaik bagi mendepani isu-isu semasa yang berkaitan dengan alam siber di negara ini.

“Dengan ini, kita akan menjadi lebih peka terhadap apa juga gejala yang melanda, melalui ancaman siber dengan penuh kesiapsiagaan dan menanganinya dengan lebih bijaksana, berhemah dan bertanggungjawab,” ujar beliau.

Lebih 250 peserta hadir dalam program yang berlangsung selama dua hari itu.

 

JUMAAT, 19 MEI - Pengguna alam siber diingatkan agar sentiasa mengamalkan integriti dalam setiap aktiviti di laman sosial.

Menurut Ketua Penolong Pengarah, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Polis Diraja Malaysia Bukit Aman, Dato’ Abdul Majid Mohd Ali, pengguna laman sosial harus sentiasa meneliti sesuatu berita mahupun cerita sebelum memajukan kepada orang lain.

“Kita bimbang bila perkara yang disampaikan itu tidak benar atau tidak tepat, ia akan mengundang fitnah kepada orang lain dan ianya sangat tidak berintegriti,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah bertajuk ‘Integriti di Alam Siber’ sempena program Ops Jelajah Siber yang dianjurkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bertempat di Pusat Persediaan Sains Teknologi (PPST) Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Tambah beliau, jenayah siber boleh menjadi ancaman kepada keluarga sekiranya masyarakat lalai dan terlalu berkongsi maklumat di media sosial seperti melalui aplikasi Facebook, Instagram dan WhatsApp.

Sementara itu, ceramah bertajuk ‘Internet Safety for Women’ yang disampaikan oleh wakil daripada Cyber Security Malaysia, Izwadee Hamzah menasihatkan golongan wanita agar tidak manjadi mangsa pelbagai scam seperti Love Scam, Parcel Scam, African Scam dan sebagainya.

“Banyak kes yang dilaporkan melibatkan golongan wanita yang mengalami kerugian beratus ribu ringgit akibat tertipu dengan pelbagai scam.

“Melalui ceramah ini, saya berharap golongan wanita lebih peka dan dapat membezakan dengan lebih jelas tentang ancaman jenayah siber,” katanya.

Menurut beliau, dilaporkan 60 peratus jenayah siber yang terjadi adalah disebabkan oleh kelalaian pengguna siber itu sendiri.

“Pastikan anda membuat Data Sanitation untuk telefon bimbit atau komputer anda bagi mengelak daripada terjadinya ugutan jenayah siber,” ujar beliau.

Lebih 250 peserta program menghadiri ceramah tersebut yang terdiri daripada ahli Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (PUSPANITA) Sabah,  Kelab Surirumah dan Staf Wanita Universiti Malaysia Sabah (KESUMBA), serta para pelajar dan kakitangan UMS.

 

 

 

JUMAAT, 19 MEI - Bagi menyemarakkan Pelancongan EcoCampus di Universiti Malaysia Sabah (UMS), Pusat Pengurusan EcoCampus telah mengadakan pertemuan bersama syarikat-syarikat pengusaha pelancongan di Sabah bagi memasukkan UMS sebagai salah satu destinasi dalam pakej pelancongan mereka.

Sesi perjumpaan dimulakan dengan penyampaian taklimat daripada Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan EcoCampus UMS, Prof. Dr Jennifer Chan Kim Lian tentang tempat-tempat menarik di sekitar kampus yang menjadi tumpuan kehadiran pelancong dari dalam dan luar negara.

“Kita mempunyai landskap yang unik, pantai yang cantik selain pusat penyelidikan yang dilengkapi dengan muzium dan galeri yang pasti memberi pengalaman berbeza bagi mereka yang datang berkunjung.

“Setiap pelancong yang datang akan mempelajari sesuatu yang baru kerana mereka akan melihat sendiri penemuan para penyelidik UMS termasuk juga hasil kajian mereka yang dipamer di galeri penyelidikan, galeri borneensis, muzium perubatan serta muzium dan akuarium marin,” katanya sambil memaklumkan beberapa lokasi lain yang turut mencuri perhatian para pelancong untuk merakamkan foto kenangan.

Justeru beliau berkata, UMS dengan tangan terbuka menjemput pengusaha industri pelancongan untuk memasukkan UMS sebagai salah satu destinasi utama dalam pakej pelancongan dengan mengemukakan sebarang kertas cadangan kepada Pusat Pengurusan Ecocampus.

“Pihak UMS juga sentiasa bersedia memberikan kerjasama sekiranya para pengusaha pelancongan ingin mendapatkan khidmat nasihat kerana kita disini mempunyai pakar-pakar dalam bidang ini,” ujarnya yang juga pensyarah Program Pelancongan di Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perkaunan (FPEP).

Kesemua wakil syarikat pengusaha pelancongan yang hadir kemudiannya dibawa melawat ke seluruh destinasi menarik di UMS bagi menikmati sendiri keunikan dan keindahan universiti diiringi Timbalan Pengarah Pusat Pengurusan EcoCampus, Kueh Boon Hee..

Hadir sama, Pengarah Pusat Pengurusan EcoCampus UMS, Prof. Madya Dr. How. Siew Eng.

 

JUMAAT, 19 MEI – Seramai 542 pelajar menyertai Karnival Sukan Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW) 2017 bertempat di Kompleks Sukan, Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini.

Pengarah Program, Joenyson Jami berkata, karnival sukan itu bertujuan membina semangat kerjasama antara pelajar dan mengukuhkan semangat berpasukan sekali gus mengeratkan hubungan antara pelajar dan pensyarah.

“Program seumpama ini juga bagi melahirkan pelajar yang sihat dan cergas dari segi fizikal dan mental,” katanya dalam satu kenyataan kepada media.

Ujar beliau, sebanyak tujuh acara sukan dipertandingkan iaitu bola jaring, futsal kategori lelaki dan wanita dan bola tampar (lelaki/wanita).

“Acara selebihnya melibatkan acara balapan iaitu 100 meter (lelaki/wanita), 200 meter (lelaki/wanita), 400 meter (lelaki/wanita) dan larian berganti-ganti 4 x 100 meter juga untuk kategori lelaki dan wanita,” jelas Joenyson.

Bagi acara bola jaring, johan disandang pasukan Ayam Irians Squad, manakala naib johan dan tempat ketiga masing-masing dimenangi pasukan All IR Girls dan Quest Lady HA14.

Acara futsal kategori lelaki pula menyaksikan pasukan Hubungan Industri HA12 Tahun 2 muncul sebagai johan, disusuli Geo HA18 sebagai naib johan dan G3 Ft di tempat ketiga.

Acara futsal wanita pula memperlihatkan pasukan Ansos Girl berjaya merebut gelaran johan, diikuti Magistra Vitae Ft sebagai naib johan dan Historian FC di tempat ketiga.

Dalam pada itu, bola tampar lelaki nampaknya berjaya mencuri perhatian pada kejohanan itu yang menyaksikan pasukan Ansosian All Star mantap sebagai johan, manakala naib johan disandang oleh Watershade VC dan tempat ketiga diraih pasukan Hambur.

Bagi kategori wanita pula johan dimenangi pasukan Masscom Halilintars, manakala IR Volleyball dan Geguri HA24 masing-masing mendapat naib johan dan tempat ketiga.

Pada acara balapan individu 100 meter lelaki,  johan menjadi milik Mohammad Sharizal Murad, manakala Sylvester Sumayung dan Efrain Fizae masing-masing mendapat naib johan dan tempat ketiga.

Sementara itu, 100 meter wanita johan disandang Edra Dominic, manakala naib johan dan tempat ketiga diperoleh oleh Clarice Yaban dan Vivi Olviana Filemon.

Bagi acara 200 meter lelaki, sekali lagi johan disandang Mohammad Sharizal Murad, manakala naib johan dan tempat ketiga masing-masing dimenangi oleh Ramario Tanjong dan Iqram Che Onn.

Bagi kategori 200 meter wanita pula, menyaksikan johan disandang Clarice Yaban, manakala naib johan menjadi milik Atty Majivs dan Siti Nurmas Mail di tempat ketiga.

Acara 400 meter lelaki juga bersaing sengit, namun kejayaan lebih memihak kepada Romario Tanjong yang muncul sebagai johan, disusuli Bong Poh Siang di tempat kedua dan Wan Misly Kindon di tempat ketiga.

Bagi kategori 400 meter wanita pula menyaksikan johan menjadi milik Edna Dominic, naib johan Alisa Demin dan Nur Izzati Nazihah Junaidi di tempat ketiga.

Acara paling menarik, lari berganti-ganti 4x100 meter,  kategori lelaki johan disandang pasukan Ansos, naib johan dari pasukan Hubungan Industri dan pasukan Geografi meraih tempat ketiga.

Kategori wanita bagi acara ini menyaksikan pasukan Ansos sekali lagi tampil juara, dan pasukan Komunikasi dan Geografi masing-masing mendapat naib johan dan tempat ketiga.

Juara keseluruhan Karnival Sukan FKSW 2017 dirangkul oleh pasukan Ansos.

Majlis perasmian penutupan dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) FKSW, Dr. Mohamad Puad Bebit.

Hadir sama pada majlis itu, Dr. Md Saffie Abdul Rahim dan Salmie Jemon, Pensyarah Kanan, FKSW.

JUMAAT, 19 MEI – Aspirasi belia pada masa ini perlu mengambil kira usaha mengekalkan perpaduan dan keamanan yang dikecapi negara pada masa kini kerana elemen tersebut merupakan tunjang kepada pembangunan mampan sesebuah negara.

Wakil Rakyat Bongawan, Datuk Mohamad Alamin ketika berhujah pada program Wacana Belia dan Tatanegara “Aspirasi TN50” DI Dewan Kuliah A1, Universiti Malaysia Sabah (UMS) menegaskan, segala perancangan pembangunan negara tidak akan tercapai sekiranya tiada perpaduan antara masyarakat dan negara berada dalam keadaan tidak selamat.

“Sejauh mana kekayaan sesebuah negara tidak akan berguna sekiranya rakyat tidak mengecapi keamanan, saling berbalah dan tiada toleransi yang akhirnya merencatkan pertumbuhan pembangunan negara.

“Elemen ini perlu diambil serius oleh belia dalam menggariskan Aspirasi Transformasi Nasional 2050 (TN50), kerana pada akhirnya belia pada masa ini juga yang akan menikmati segala kemudahan yang diusahakan pada masa hadapan,” katanya.

Menurut beliau, Negeri Sabah adalah contoh terbaik dalam mengetengahkan aspek perpaduan dan toleransi dalam kehidupan masyarakat berbilang kaum.

Beliau turut menasihatkan para belia, khususnya siswa-siswi di Institut Pendidikan Tinggi agar membuat kajian lebih mendalam dan menimba ilmu pengetahuan secukupnya sebagai bekalan ke arah mengusahakan Aspirasi TN50.

Sementara itu, Pengarah Biro Tatanegara (BTN) Negeri Sabah, Dato’ Armizan Ali mengingatkan siswa-siswi agar mengkaji dahulu setiap fakta terhadap sesuatu isu khususnya isu berkaitan soal politik, ekonomi atau sosial.

“Tiada masalah untuk siswa-siswi bersifat kritikal dalam mengutarakan sesuatu isu, tetapi pastikan segala fakta berkaitan isu adalah benar dan diperoleh dari sumber yang sahih,” katanya.

Ujar beliau, Aspirasi TN50 digagaskan kerajaan adalah bagi mewujudkan kesejahteraan berterusan kepada rakyat hasil daripada suara belia pada masa kini.

Lebih 100 siswa-siswi UMS hadir pada program yang turut dihadiri Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Madya Dr. Ismail Ali.