JUMAAT, 2 JUN – Program Hari Industri anjuran Kelab Psikologi Industri dan Organisasi, Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) Universiti Malaysia Sabah baru-baru ini mampu menjadi platform khusus buat siswa-siswi UMS mendalami peluang-peluang kerjaya dan kepelbagaian industri yang terdapat di negeri ini.

Pensyarah Kanan FPP, Dr. Ismail Maakip ketika merasmikan penutupan program tersebut berkata, program yang dianjurkan buat julung kalinya itu adalah wajar bagi merapatkan lagi jurang di antara dunia akademik dan dunia industri.

“Ini mampu memberi pendedahan secara praktikal buat pelajar, dan pengalaman yang mereka peroleh ini penting agar mereka mampu bersedia untuk memenuhi kehendak pasaran pekerjaan masa kini dan lebih berdaya saing,” katanya.

Ujar beliau, para pelajar perlu memanfaatkan peluang kehadiran syarikat daripada pelbagai bidang industri ini dengan sebaiknya untuk mendapatkan pendedahan berkaitan ruang kerjaya dalam sesebuah industri, dan menimba ilmu pengetahuan berkaitan perkembangan kerjaya melalui slot perkongsian kerjaya daripada Maybank.

Program dengan kerjasama Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) Kolej Kediaman Seri Angkasa dan Maybank ini menyaksikan penyertaan slot pameran kerjaya daripada pelbagai syarikat antaranya Hotel Le’ Meridien, EZ Money Express, Borenos Fried Chicken,  Amazing Borneo, Great Eastern, Prudential Insurance, G & A Corporate Services dan Maybank.

 

KHAMIS, 1 JUN - Kelab Ekonomi Sumber Manusia (HUREC), Fakulti Perniagaan, Ekonomi, dan Perakaunan (FPEP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengadakan program Khidmat Masyarakat di Rumah Anak-Anak Yatim, Darul Bakti, Kota Belud baru-baru ini.

Program yang melibatkan seramai 65 siswa UMS tersebut antara lain bertujuan untuk melahirkan sifat kemasyarakatan dalam diri para peserta program sekali gus memberikan hiburan dan kegembiraan buat golongan yang kurang bernasib baik.

Beberapa aktiviti yang diadakan bersama 48 penghuni rumah kebajikan tersebut, antaranya aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan sekitar Rumah Anak-anak Yatim Darul Bakti, sukaneka “main jabat” dan “pening lalat”, dan aktiviti permainan hiburan “kanda dinda” dan “arkitek bisu”.

Program tersebut diakhiri dengan satu majlis penutupan yang disempurnakan oleh Ketua Program Ekonomi Sumber Manusia, FPEP, Rostika Petrus Boroh dan turut dihadiri Pengetua Rumah Anak-Anak Yatim Darul Bakti, Rahmat Lokman.

KHAMIS, 1 JUN - Persatuan Mahasiswa Psikologi dan Pendidikan (PERMAPS) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengambil inisiatif untuk membudayakan semangat cintakan ilmu di samping mempromosikan bidang psikologi melalui penganjuran program Klinik Psikologi sepanjang Semester 2 Sesi 2016/2017.

Bertempat di Blok Psikologi, Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP), program ini membabitkan kakitangan akademik yang sukarela untuk menyampaikan ilmu dalam pelbagai topik berkait dengan psikologi.

Menurut Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni FPP, Dr Getrude Cosmas, program ini amat berkesan dalam menarik minat pelajar bukan sahaja dari fakulti ini, malah termasuklah pelajar fakulti lain.

“Bidang psikologi merupakan bidang baharu dan masyarakat masih belum melihat bagaimana bidang ini membantu dalam pelbagai aspek kehidupan.

“Melalui ceramah dan bengkel dalam Klinik Psikologi ini, pelajar-pelajar didedahkan dengan pelbagai teknik dan kemahiran untuk membantu dan membentuk perkembangan sahsiah diri mereka,” katanya dalam satu kenyataan sempena penutupan program tersebut baru-baru ini.

Program yang dijalankan selama 14 minggu itu menyaksikan lebih 50 orang pelajar dan kakitangan hadir ke program ini setiap minggu bagi meningkatkan lagi ilmu mereka dalam bidang psikologi.

Antara topik-topik yang disampaikan ialah Kesihatan Mental Bencana, Mengenal Pasti Kanak-kanak Autisme, Rileksasi Menggunakan Teknik Hipnoterapi, Strategi Pembelajaran Berdasarkan Ilmu Psikologi, Kreativiti dalam Pengajaran dan Pembelajaran, dan sebagainya.

Pengarah program tersebut, Muhammad Zhafran menjelaskan, program ini mendapat maklum balas positif melalui kehadiran pelajar-pelajar khususnya dari Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW) dan Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) yang berminat untuk berkunjung ke FPP untuk mendengar dan mempelajari topik-topik yang dibentangkan.

“Pada masa yang sama, program ini juga dapat mempromosikan FPP kepada pelajar-pelajar lain.

“Program ini juga dijangka akan diteruskan lagi pada semester hadapan dengan topik-topik yang menarik seperti gaya bercinta, pengurusan kewangan dan kemahiran berbahasa Inggeris,” ujar beliau.

ISNIN, 29 MEI – Bersempena dengan bulan Ramadan Al-Mubarak, Pusat Islam Universiti Malaysia Sabah (PIUMS) telah menganjurkan Bengkel Penghayatan Ramadan 1438H/2017M dan Kempen Derma Darah Universiti Malaysia Sabah baru-baru ini.

Bertempat di Masjid UMS, bengkel sehari itu dihadiri lebih seratus orang peserta yang terdiri daripada staf dan pelajar UMS, Saudara baru dari Teratak Fitrah, Hidayah Centre dan Sekolah Tunas Bakti, Kota Kinabalu.

Para peserta berpeluang berkongsi pengetahuan khususnya berkaitan ibadah-ibadah dalam bulan Ramadan melalui dua slot ceramah bertajuk “Madrasah Ramadan” yang disampaikan oleh Pengarah PIUMS, Dr. Muhamad Suhaimi Taat dan ceramah “Berinteraksi dengan al-Quran”yang disampaikan oleh wakil dari Sinergi Training Kota Kinabalu, Ustaz Hafiez Hamzah.

Terdahulu, menurut salah seorang jawatankuasa penganjur, Ainah Ramlan Angusa, seramai 50 orang peserta daripada kalangan staf dan pelajar UMS serta masyarakat luar telah mengambil bahagian dalam kempen menderma darah yang turut berlangsung bersempena bengkel tersebut.

Bagi menghargai para penyumbang darah, pihak penganjur telah menghadiahkan sagu hati berupa bahan asas seperti beras, minyak masak dan minuman kotak kepada penderma,” katanya.

Selain ceramah agama dan kempen derma darah, PIUMS turut menyediakan perkhidmatan antaranya kaunter klinik al-Fatihah, kaunter wakaf dan infaq atau sumbangan serta kaunter kiraan bayaran Fidyah bagi bayaran puasa yang tidak dapat ditunaikan.

Bengkel tersebut dengan penyampaian sijil penyertaan yang disempurnakan oleh Pegawai Kanan Hal Ehwal Islam, PIUMS, Md. Razali Saibin.

 

 

 

 

 

ISNIN, 29 MEI – Pusat Persediaan Sains dan Teknologi (PPST) Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjadi satu titik permulaan buat pelajar asasi  sains UMS memperkukuhkan asas dalam bidang sains dan teknologi.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah berkata, ia adalah sejajar dengan misi dan visi penubuhan PPST untuk mempersiapkan pelajar sebelum mereka melangkah ke program Ijazah kelak.

“UMS bertekad untuk menjadi pusat penyebaran ilmu pengajian bagi melahirkan pendidikan tinggi yang berkualiti kepada pelajar dan cendekiawan global dan setempat melalui penyediaan bimbingan dan peluang pembelajaran dalam suasana persekitaran yang menekankan inovasi dan bakat.

“Justeru, adalah menjadi harapan saya agar anda semua memanfaatkan segala peluang dan kesempatan ini dengan sebaiknya bagi meraih kecemerlangan dalam bidang akademik mahupun kemahiran insaniah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan Minggu Suai Mesra Asasi Sains sesi 2017/2018 di Bangunan PPST.

Beliau turut menyeru kepada 246 pelajar baharu Asasi Sains untuk tidak menjadikan program ini sebagai hanya suatu persinggahan, tetapi menjadikannya suatu memori indah untuk bekalan hari mendatang.

“Hakikatnya, para pelajar dan seluruh warga UMS tidak mengira pangkat dan lapisan umur perlu berganding bahu untuk bersama mencapai visi dan misi universiti.

“Ia mampu disempurnakan dengan keikhlasan agar kita semua dapat bersatu, menetapkan fikiran yang satu, bagi menyempurnakan matlamat universiti ini agar senantiasa melangkah dan melangkah maju ke hadapan,” ujar beliau.

Turut hadir pada majlis itu Dekan Fakulti Sains dan Sumber Alam, Prof. Dr. Baba Musta dan Pengarah PPST, Prof. Madya Dr. Sazmal Effendi Arshad.