Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC), Universiti Malaysia Sabah (UMS) terlibat secara aktif dalam Program Jerayawara Komuniti Siap Siaga Bencana YTM-UPNM-NADMA yang telah diadakan di daerah Kudat, baru-baru ini.

Program Jerawaya tersebut merupakan anjuran Yayasan TM bersama Pusat Penyelidikan Bantuan Kemanusiaan dan Peredaan Bencana (HADR), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Pejabat Daerah Kudat, MET Malaysia Sabah, dan NDRC, UMS.

Program ini telah dirasmikan oleh Ainol Shaharina Sahar, yang merupakan Pengarah Yayasan TM.

Menurut Pengarah NDRC, UMS, Prof. Madya Ts. Gs. Dr. Carolyn Melissa Payus jerayawara tersebut merupakan susulan daripada Bengkel Kajian Semula Pelan Tindak Balas Kecemasan Tsunami (TERP) untuk daerah Kudat yang telah diadakan pada bulan November 2024 yang lalu, yang mana NDRC UMS turut aktif sebagai pakar rujuk dalam bengkel semakan semula pelan tindakan TERP tersebut.

“Program ini dapat memperkukuh kesiapsiagaan dan respon komuniti terutamanya, apabila menghadapi bencana tsunami dan termasuklah gempa bumi di daerah Kudat, di samping dapat meningkatkan penyelarasan kordinasi serta kerjasama pengurusan bencana rentas sektoral antara agensi kerajaan, institusi pendidikan tinggi awam Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan komuniti tempatan.

“Pengisian aktiviti dalam Jerayawara ini termasuklah Taklimat Mengenai Peranan Agensi NADMA dan Komuniti dalam Mengendalikan Bencana, Pengenalan Kepada Bencana Tsunami, Simulasi Tindak Balas Kecemasan Untuk Gempa Bumi, TERP Kudat dan Kesiapsiagaan Bencana (Evakuasi), Penyediaan Grab Bag, Latihan Penyelamatan Nyawa Asas (CPR) dan Latihan First Aid untuk murid-murid sekolah oleh institusi, agensi dan badan berkaitan seperti UPNM, NADMA, MET Malaysia, Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Kudat dan NDRC UMS,” katanya.

Dalam Program yang berlangsung selama empat hari itu, NDRC UMS telah memberikan khidmat latihan dan simulasi tindak balas gempa bumi kepada komuniti di Sikuati, komuniti sekitar Pekan Kudat, murid-murid dan guru sekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) St. Peter dan di SJK (C) Lok Yuk Batu 1 dan SK Lok Yuk, Kudat.

Tambah Carolyn, aktiviti-aktiviti dalam program tersebut dapat memberikan peluang kepada komuniti untuk meningkatkan pengetahuan, kemahiran serta respon yang betul ketika menghadapi bencana selain dapat meningkatkan kecekapan dan kesedaran dalam menangani situasi kecemasan.

“Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan semua pihak dalam usaha menjadikan komuniti lebih berdaya tahan terhadap ancaman bencana alam, khususnya di kawasan-kawasan yang telah dikenalpasti berisiko tinggi akan mengalami gempa bumi dan tsunami seperti Kudat,” katanya.

Turut hadir, Ketua Komuniti dan Pembangunan Negara, Yayasan TM, Datin Noorul Syifa Mohd Isa; Pengarah Pusat Penyelidikan Bantuan Kemanusiaan dan Peredaan Bencana (HADR) UPNM, Kdr Ts. Dr. Haliza Mohd Zahari; Ketua Projek dan Pegawai Penyelidik Kanan HADR-UPNM, Mohd Muhaimin Ridwan Wong serta Pegawai Penyelidik NDRC UMS, Eldawaty Madran.

 

Kursi Rumpun Bajau Samah, Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menganjurkan Majlis Berbuka Puasa dan Sumbangan Bakul Makanan di Kampung Rampayan, Manggatal sebagai usaha mengeratkan ukhuwah dalam kalangan masyarakat khususnya pada bulan Ramadan.

Penganjuran majlis tersebut diadakan di kediaman Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor yang juga merupakan Pemegang Kursi Rumpun Bajau Samah.

Menurut beliau, bulan Ramadan bukan sekadar bulan menahan lapar dan dahaga, tetapi juga waktu terbaik untuk berkongsi rezeki serta memperkukuhkan hubungan kekeluargaan dan persaudaraan dalam masyarakat.

“Ramadan mengajar kita erti kesabaran, ketabahan, dan kepedulian terhadap sesama insan.

“Atas semangat inilah, Kursi Rumpun Bajau Samah UMS menganjurkan majlis ini yang bukan sekadar inisiatif kebajikan, tetapi satu simbol perpaduan dan kasih sayang sesama kita,” katanya.

Kasim menambah, sebagai individu yang diberikan amanah untuk menerajui Kursi tersebut, beliau akan memastikan usaha kebajikan, pemerkasaan komuniti, serta pemeliharaan warisan dan budaya terus diperluas dan diperkukuhkan.

“Saya percaya bahawa dengan semangat perpaduan dan kebersamaan, kita mampu membentuk sebuah komuniti yang lebih berdaya saing, progresif, dan sejahtera.

“Semoga setiap usaha yang kita lakukan hari ini menjadi langkah penting ke arah masa depan yang lebih gemilang dan bermakna buat kita semua.

Pada majlis tersebut, Kasim menyampaikan sumbangan duit raya kepada 14 anggota Bahagian Keselamatan UMS sebagai tanda penghargaan atas usaha memastikan kelancaran majlis tersebut.

Terdahulu, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk. Ts. Mustapha Sakmud yang hadir pada majlis tersebut turut berkesempatan menyantuni penduduk Kampung Rampayan serta menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada penduduk kampung.

 

Penganjuran Program Penggerak Pendaulat Borneo 9.0 hasil kolaborasi bersama siswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini telah memangkin satu perubahan yang signifikan dalam memberi manfaat terhadap kehidupan masyarakat kampung di Tawau.

Usaha tersebut direalisasikan menerusi inisiatif pemasangan unit panel suria dan unit lampu jalan solar bagi menerangi kawasan sekitar Kampung Serudong Laut, Tawau pada waktu malam, selain penganjuran Festival Akademik sebagai inisiatif pengukuhan dan perkembangan ilmu kepada pelajar sekolah di Tawau.

Program yang digerakkan oleh siswa Kolej Dato’ Onn UKM dan Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) Kolej Kediaman Tun Mustapha UMS itu menyaksikan sejumlah 12 panel suria dipasang di tiga tempat, iaitu di Surau, Gereja dan Balai Raya Kampung Serodung Laut, selain 40 lampu jalan solar di sekitar kampung tersebut.

Pemasangan tersebut yang turut mendapat bantuan dan sumbangan tenaga kerja daripada Kolej Vokasional Tawau dan pihak Gabungan Persatuan Belia Bahagian Tawau (GABETA) sedikit sebanyak membawa perubahan dari segi suasana pada waktu malam yang menerangi jalan di sekitar Kampung Serudong Laut.

Program itu turut mendapat sokongan daripada pihak Adabi yang telah menyumbangkan 15 goodies bag dan 35 pek makanan kepada penduduk di kawasan itu, selain dua orang tukang masak utama dan dua orang kakitangan syarikat Adabi yang turut terlibat dalam penyediaan makanan sepanjang program dengan menggunakan produk-produk Adabi yang ditaja sepenuhnya.

Terdahulu, siswa-siswi UMS dan UKM turut bersama-sama menjayakan Festival Akademik yang berlangsung selama tiga hari di SMK Umas-Umas, Tawau.

Program tersebut yang menyampaikan enam modul, iaitu modul Ikhlas, modul Analisis SWOT, modul Hubungan dan Nilai Murni, modul Sahsiah dan Amal, modul Visual, Auditori dan Kinestatik serta modul Keterampilan Diri dan Pengurusan Masa, telah disertai seramai 142 pelajar SPM dan STPM yang terdiri daripada pelajar dari beberapa buah sekolah di sekitar Tawau.

Pameran daripada beberapa institusi pengajian tinggi dan kolej TVET turut dibawakan khas untuk para pelajar di dalam Festival Akademik ini, selain beberapa slot ceramah mengenai hala tuju universiti, ceramah pencegahan jenayah oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan sesi penerangan ringkas bersama wakil IPT dan kolej TVET.

Bantuan barangan persekolahan seperti beg sekolah dan alat tulis sumbangan Malaysian Relief Agency (MRA) juga turut diberikan kepada pelajar yang layak.

Dalam pada itu, wakil majlis tertinggi JAKMAS KKTM, Allen Paul Justinus Situ menyuarakan harapan agar program tersebut dapat memberikan manfaat serta gambaran hala tuju kepada pelajar sekolah yang terlibat, selain memberi sedikit kemudahan kepada penduduk kampung di Kampung Serudong Laut.

“Selain manfaat kepada komuniti, diharap agar siswa-siswi yang menyertai program ini sendiri dapat mempelajari dan menerapkan nilai murni dalam kehidupan dengan lebih baik agar sentiasa bersyukur dan memiliki rasa empati untuk membantu golongan yang memerlukan.

“Harapan juga agar lebih banyak program sebegini yang melibatkan masyarakat dapat dilaksanakan agar mereka yang memerlukan bantuan dapat mengukir senyuman atas manfaat yang diterima,” ujar beliau.

Perasmian penutupan program tersebut kemudiannya disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik, Datuk Hassan A Gani Pg. Amir

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) bersama Kumpulan BTC Berhad menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi membangunkan penyelesaian makanan yang mampan dan mampu milik untuk pelajar.

Menurut Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor, melalui projek kerjasama itu UMS dan Kumpulan BTC Berhad akan bekerjasama dalam menyediakan makanan berkhasiat, berkualiti tinggi serta mesra alam yang dapat menyokong kesejahteraan dan prestasi akademik pelajar.

Selain itu katanya MoU itu juga akan memberikan tumpuan kepada penyelidikan dan inovasi dalam sistem perkhidmatan makanan serta pembangunan produk melalui Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP) UMS.

“Dengan gabungan kepakaran akademik dan pengalaman industri, UMS dan Kumpulan BTC akan meneroka teknologi baharu dan metodologi dalam keselamatan makanan, pemprosesan dan kawalan kualiti yang akan memacu inovasi dalam bidang ini.

“Kerjasama ini membuktikan komitmen UMS terhadap kecemerlangan akademik dan penglibatan industri serta memastikan pelajar dan penyelidik kami mendapat manfaat daripada pengalaman industri makanan serta menyumbang kepada inovasi dan kelestarian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis menandatangani MoU bertempat di Wisma BTC, baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BTC, Datuk Haji Abdul Kadir ME Sikkandar turut menyatakan keterujaan beliau dalam kerjasama tersebut.

“Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan UMS dalam membangunkan penyelesaian makanan yang mampan. MoU ini membolehkan kami berkongsi kepakaran dalam perkhidmatan makanan bagi membawa perubahan yang bermakna dalam sektor akademik dan komersial.

“MoU ini turut menggalakkan kolaborasi dalam program fakulti dan keterlibatan komuniti.

“UMS dan Kumpulan BTC Berhad akan menyokong program akademik, bengkel, serta inisiatif perkongsian ilmu yang memberi manfaat kepada pelajar, profesional industri, dan masyarakat umum bagi menghubungkan dunia akademik dengan industri dan memastikan hasil penyelidikan dapat digunakan secara praktikal,” katanya.

Kerjasama tersebut turut membuka peluang pertukaran dan pemerkasaan staf dalam berkongsi kepakaran dan amalan terbaik sekali gus dapat meningkatkan pembangunan profesional, kemahiran serta pertumbukan kerjaya dalam sektor sains makanan dan pemakanan.

Hadir sama, Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar dan Dekan FSMP UMS, Profesor Ts. Dr. Hasmadi Mamat.

 

Dua subjek yang ditawarkan Universiti Malaysia Sabah (UMS) tersenarai dalam kelompok terbaik dunia menerusi penarafan QS World University Rankings by Subject 2025 yang diumumkan baru-baru ini.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, subjek Kejuruteraan Petroleum berada di kedudukan antara 101-150 terbaik dunia, satu peningkatan berbanding di kedudukan 151-160 pada tahun 2023.

Satu lagi subjek, iaitu subjek Pertanian dan Perhutanan terus mengekalkan kedudukan seperti tahun sebelumnya dengan berada di kelompok 251-300 terbaik dunia.

Kasim berkongsi perkara tersebut dalam Majlis Sungkai Perdana UMS Bersama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa Hj. Aman di Masjid UMS baru-baru ini.

Tambah beliau, pencapaian kedua-dua subjek tersebut telah menaikkan lagi nama UMS di peringkat antarabangsa, dan UMS akan terus menyampaikan perkhabaran baik menerusi pelbagai pencapaian cemerlang seumpama itu.

Pada majlis tersebut, Kasim menerima replika cek berjumlah RM776,634.90 daripada Bahagian Zakat dan Fitrah, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) yang disampaikan oleh wakil MUIS, Wan Mohd. Zakri Wan Yaacob sebagai simbolik penyerahan agihan zakat harta kepada UMS.

Majlis penyerahan tersebut turut disaksikan oleh Tun Musa; Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud; dan Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Panglima Abdul Rahman Dahlan.

Agihan kutipan zakat harta bagi tahun 2024 itu adalah hasil Memorandum Perjanjian (MoA) yang telah dimeterai pada tahun 2022 bagi membantu meringankan kewangan golongan asnaf dalam kalangan pelajar dan kakitangan UMS.

Terdahulu, Tun Musa turut berkesempatan memotong reben sebagai simbolik perasmian fasiliti Orang Kurang Upaya (OKU) untuk kemudahan golongan tersebut di Masjid UMS, serta menyampaikan bantuan zakat kepada lapan pelajar UMS.