Hubungan diplomatik Malaysia dan China yang telah wujud sejak lima dekad bukan hanya melibatkan pembangunan ekonomi dan perdagangan malah pendidikan.

Terbaharu, Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah memperkukuh hubungan menang-menang Malaysia dan China menerusi pembangunan program pesisir Sijil Asasi Sains Sosial.

Menurut Pensyarah Kanan Program Komunikasi UMS, Dr. Intan Soliha Ibrahim, usaha tersebut penting dalam memperkukuh dan memartabatkan bidang kepakaran Sains Sosial di dua buah universiti di China.

Katanya, bagi peringkat awal, dua buah universiti terlibat dengan program Asasi Sains Sosial iaitu Ocean University of China dan Weifang Vocational College of Food Science and Technology.

“Kerjasama antara UMS Flexible Education Centre (UMSFLEC) dan Pusat Pengantarabangsaan dan Penglibatan Global (PPPG) UMS telah membawa kepada pembangunan program Asasi Sains Sosial.

“Seramai 39 kakitangan akademik UMS dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Fakulti Pengajian Ekonomi dan Perniagaan (FPEP) serta Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) terlibat dalam pembangunan program ini,” katanya.

Sementara itu, Penyelaras Program Asasi Sains Sosial UMS, Dr. Mivolil Duinong berkata usaha menawarkan program asasi di China telah mempelbagaikan penawaran program asasi di UMS, selain program asasi sains yang ditawarkan di Pusat Persediaan Sains dan Teknologi (PPST) UMS.

“PPST bertanggungjawab dalam menjamin dan menjaga kualiti program asasi. Selain program asasi sains sosial, PPST UMS turut menawarkan program Asasi Sains, Asasi Teknologi Maklumat dan Asasi Agrisains yang masing-masing mula ditawarkan pada tahun 2010, 2020 dan 2024.

“Dengan adanya Asasi Sains Sosial di China ia dijangka dapat menggalakkan pemahaman mengenai budaya antara dua negara dan perkongsian pengetahuan,” katanya.

Program persisir Sijil Asasi Sains Sosial UMS di China mula ditawarkan pada bulan Oktober 2024 dan telah menerima seramai 99 pelajar bagi pengambilan pertama.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjadi tuan rumah bagi Mesyuarat Majlis Perumahan Universiti-Universiti Malaysia (MAPUM) Kali ke-91 baru-baru ini.

Mesyuarat tersebut yang dihadiri 25 wakil universiti awam seluruh Malaysia dipengerusikan oleh Timbalan Naib Canselor HEP (UiTM), Profesor Dr. Hj. Mohd Sazili Shahibi.

Delegasi MAPUM disambut oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Madya Dr. Raman Noordin dan Pengarah Pusat Pengurusan Non Residen dan Fasiliti Perumahan Pelajar (PNRF), Stella @ Nurul Martini Gontol di Bangunan Canselori UMS, lokasi berlangsungnya mesyuarat tersebut.

Menurut kenyataan dari PNRF, mesyuarat itu antara lain membincangkan isu-isu berkaitan kebajikan pelajar, penyelarasan pengurusan perumahan, serta cadangan untuk menambah baik infrastruktur kolej kediaman, di samping memperbaiki pengurusan perumahan dan infrastruktur kolej kediaman di institusi masing-masing.

“Perbincangan turut membuka ruang kepada tambahan idea-idea baharu untuk memastikan kolej kediaman terus menjadi tempat yang selesa dan kondusif bagi para pelajar universiti awam.

“Medium pertemuan ini turut memangkin usaha jalinan hubungan baik yang telah terjalin antara universiti awam untuk terus diperkukuh dan diteruskan pada masa hadapan,” demikian menurut kenyataan daripada PNRF.

Selain menghadiri mesyuarat rasmi, delegasi MAPUM turut dibawa melawat beberapa tempat menarik di sekitar kampus termasuk di Akuarium dan Muzium UMS, Hatceri Ikan, Pantai Kemudi Ilmu UMS, serta dibawa ke Aquafarm Kundasang bagi melihat kaedah penanaman sayur salad secara hidroponik yang diusahakan oleh usahawan tempatan.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) sekali lagi menjalin kerjasama dengan Shangri-La Rasa Ria resort bagi memperkukuh bidang penyelidikan sains makanan dan pemakanan melalui Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP) UMS, baru-baru ini.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata memorandum persefahaman (MoU) tersebut antara lain bertujuan memberikan peluang pembelajaran yang luas, latihan industri dan pendedahan kepada pelajar mengenai sektor perhotelan.

Katanya ia juga penting bagi memastikan pelajar-pelajar UMS mendapat pengalaman praktikal dalam persekitaran sebenar serta mengembangkan kemahiran yang relevan dengan keperluan industri.

“Selain itu, melalui kerjasama ini kita dapat menjalankan penyelidikan bersama bagi memajukan bidang sains makanan dan pemakanan, mencetuskan penemuan baharu, pembangunan produk, serta meningkatkan kelestarian dan keselamatan makanan.

“Di samping itu juga, kolaborasi ini bermanfaat kepada pembangunan dan pembaharuan kurikulum akademik terus relevan dan sejajar dengan keperluan industri melalui pemerkasaan program pembangunan profesional serta perkongsian pengetahuan antara fakulti dan pihak industri.

“Ia juga bagi menggalakkan perkongsian kepakaran dan latihan untuk pertumbuhan bersama, membolehkan kedua-dua pihak memperoleh manfaat daripada pengalaman, pandangan, dan pembangunan profesional secara bersama,” katanya.

Tambah Kasim, MoU tersebut menandakan era baharu dalam hubungan antara UMS dan Shangri-La Rasa Ria Resort.

“Ia akan membuka peluang berharga kepada pelajar, penyelidik, dan tenaga pengajar untuk bekerjasama rapat dengan pakar industri dalam usaha memacu inovasi dan kecemerlangan akademik," kataya.

Sementara itu, Pengurus Besar Shangri-La Rasa Ria Resort, Fiona Hagan menekankan kepentingan dalam hubungan akademia dan industri.

"Kami sangat teruja untuk bekerjasama dengan UMS dalam inisiatif bermakna ini. Kolaborasi ini bukan sahaja akan melahirkan bakat baharu, malah turut membuka laluan kepada amalan inovatif dan lestari dalam sektor perhotelan serta sains makanan.

“Dengan termeterainya Memorandum Persefahaman ini, UMS dan Shangri-La Rasa Ria Resort komited untuk terus memperkukuh kerjasama yang memberi manfaat jangka panjang kepada pelajar, tenaga akademik, dan industri perhotelan.

“Diharapkan inisiatif ini akan menjadi pemangkin kepada lebih banyak peluang kolaborasi yang inovatif, seterusnya menyumbang kepada kemajuan bidang sains makanan dan pemakanan di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya.

Hadir sama, Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar; Dekan FSMP, Prof. Ts. Dr. Hasmadi Mamat serta Pengarah ESG Shangri-La Rasa Ria Resort, Yvonne Sipain.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Kejuruteraan Jutakaya Sdn. Bhd. (KJKSB) menandatangani Perjanjian Penyelidikan (RA) sebagai langkah strategik dalam pembangunan teknologi pencegah kebakaran bateri lithium ion.

Majlis menandatangani perjanjian tersebut disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Ir. Dr. Rosalam Hj. Sarbatly bersama Pengarah Urusan KJKSB, Raychell Martin.

Menurut Rosalam, perjanjian tersebut melibatkan geran padanan bernilai RM100,000 bertujuan membangunkan protokol dan teknologi inovatif untuk meningkat keselamatan bateri lithium ion yang digunakan secara meluas dalam kenderaan elektrik (EV).

“Kajian awal menunjukkan bahan pemadam api yang sedang dibangunkan berjaya memadam kebakaran bateri lithium ion dengan berkesan, dan ujian lanjut sedang dijalankan untuk menguji keupayaannya terhadap bateri pelbagai kapasiti tenaga.

“Perjanjian ini mencerminkan komitmen UMS dalam menerajui penyelidikan inovatif yang berpotensi memberi impak besar kepada industri dan masyarakat, sejajar dengan aspirasi untuk menjadikan Malaysia sebagai peneraju dalam teknologi hijau dan keselamatan tenaga masa hadapan,” katanya.

Kerjasama penyelidikan itu diketuai oleh pensyarah Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) UMS, Profesor Madya. ChM. Ts. Dr. Zuhair Jamain dengan sokongan pensyarah Fakulti Kejuruteraan UMS, Profesor Dr. Jidon @ Adrian Janaun.

Majlis menandatangani perjanjian tersebut turut dihadiri oleh Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar; Dekan FSSA, Profesor Dr. Jualang @ Azlan Abdullah Gansau; Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) FSSA, Profesor Ts. Dr. Rodeano Roslee serta Pengurus Besar KJKSB, Albert Lor Huai Yuan.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) meneruskan tradisi tahunan pada bulan Ramadan dengan mengagihkan sebanyak 4,000 pek bubur lambuk sebagai juadah berbuka puasa kepada kakitangan, pelajar, dan orang awam menerusi penganjuran program “Bah! Sungkai Kita Bubur Lambuk 2025".

Menurut kenyataan dari Pusat Minda Lestari (PML), program yang mendapat sokongan tajaan dari Adabi Sdn. Bhd. itu dijayakan oleh kakitangan dari PML, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Pusat Persediaan Sains dan Teknologi (PPST), Fakulti Pengajian Islam (FIS), Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB), serta Fakulti Psikologi dan Kerja Sosial (FPKS).

“Matlamat utama penganjuran program ini adalah untuk mengeratkan hubungan dan memupuk semangat kerjasama antara warga PML dan kakitangan UMS yang terlibat, sekali gus dapat bersama-sama meraih keberkatan dan fadhilat yang ada dalam bulan Ramadan.

“Selain itu, ini juga adalah bertujuan untuk memperkukuh amalan jariah dengan berkongsi rezeki bersama seluruh komuniti kampus khususnya pelajar-pelajar UMS,” demikian menurut kenyataan tersebut.

Penyediaan bubur lambuk tersebut diadakan secara bergotong-royong di kawasan perkarangan PML, yang kemudiannya diagihkan ke pejabat dan kolej kediaman di kampus UMS.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor turut memberikan sokongan terhadap penganjuran program tersebut dengan membantu pengagihan bubur lambuk di pintu utama UMS.

Turut serta dalam agihan tersebut Pengurus Adabi Sabah, Muhammad Zahari Muhammad Nasir; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Ir. Dr. Rosalam Sarbatly; Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar; Dekan FPKS, Prof. Dr. Mohd. Dahlan A. Malek; Dekan FIS, Prof. Dr. Muhamad Suhaimi Taat; Dekan PPIB, Prof. Madya Dr. Lai Yew Meng; Pengarah PML, Dr. Suwaibah Zakaria; dan Pengarah PPST, ChM. Dr. Newati Wid.