Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Commonwealth of Learning (COL) telah melancarkan platform inovatif "Openbook@UMS" dalam satu majlis yang berlangsung di Bangunan Canselori UMS baru-baru ini.

Majlis ini telah dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Panglima Haji Abdul Rahman Dahlan, yang menekankan kepentingan inisiatif ini dalam menyediakan sumber pendidikan tanpa kos kepada pelajar dan keluarga B40.

Menurut Abdul Rahman, Openbook@UMS akan memainkan peranan penting dalam merapatkan jurang digital dengan menawarkan rujukan terkini dalam format digital yang boleh diakses melalui peranti mudah alih biasa.

"Platform ini bukan sahaja memudahkan akses kepada bahan pendidikan berkualiti tinggi, tetapi juga menyokong objektif kerajaan untuk memastikan pendidikan lebih inklusif dan saksama bagi semua lapisan masyarakat.

“Openbook@UMS akan memberi manfaat besar kepada pelajar dan keluarga B40 dengan menyediakan sumber pendidikan tanpa kos," katanya.

Terdahulu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor dalam ucapannya menyatakan bahawa Openbook@UMS adalah platform yang mesra pengguna dan inovatif yang bakal menginspirasi pensyarah untuk membangunkan buku terbuka multimedia interaktif.

"Ini akan meningkatkan kualiti kandungan kursus dan keterlihatan pensyarah serta UMS di peringkat global," tambah beliau.

Dalam pada itu, Pengarah Pusat E-Pembelajaran, Prof. Dr. Fong Soon Fook memaklumkan, projek Openbook@UMS merupakan hasil daripada perjanjian yang dimeterai antara UMS dan COL pada 8 September 2023.

“Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha global untuk memperluas penggunaan Sumber Pendidikan Terbuka (OER), dengan tujuan menjadikan bahan pendidikan lebih mudah diakses dan berpatutan bagi pelajar serta pendidik di seluruh dunia.

“Platform ini disokong oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Mesyuarat Ketua-Ketua Penyelaras e-Pembelajaran IPTA Malaysia (MEIPTA).

“Platform ini yang mula dibuka kepada umum pada 27 Ogos 2024, dikeluarkan di bawah lesen Creative Commons, membolehkan ia diakses, digunakan, dan diedarkan secara percuma oleh sesiapa sahaja,” katanya.

Tambah beliau, dengan ciri-ciri mesra pengguna dan serba boleh, Openbook@UMS memudahkan penciptaan, penyesuaian, dan perkongsian buku teks yang interaktif dan berorientasikan web.

“UMS berharap Openbook@UMS akan menjadi model contoh bagi universiti awam di Malaysia dan seterusnya menggalakkan kerjasama antara semua institusi pendidikan tinggi dalam negara.

“Melalui inisiatif ini, UMS berhasrat untuk memupuk inovasi dalam pendidikan tinggi dan mendemokrasikan akses kepada pendidikan berkualiti,” ujar Dr. Fong.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) bertekad untuk memperkasakan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada semua pemegang taruh melalui penambahbaikan berterusan tatakelola perkhidmatan dan peraturan-peraturan sedia ada.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, usaha ini adalah sesuai dengan Key Result Area (KRA6): Empowerment of Governance, Human Resources and Delivery System seperti yang digariskan dalam Pelan Strategik UMS 2023-2027.

“UMS merupakan sebuah organisasi yang memberikan pelbagai perkhidmatan kepada pihak berkepentingan termasuk pelajar, kakitangan, dan orang awam.

“Kualiti perkhidmatan yang kita berikan mencerminkan komitmen, imej dan kecekapan kita terhadap kecemerlangan dan reputasi UMS secara keseluruhan.

“Untuk mencapai tahap kecemerlangan dalam penyampaian perkhidmatan, kita perlu memberi tumpuan kepada beberapa aspek penting seperti pembudayaan kualiti, program latihan yang komprehensif, kecekapan teknologi dan pengurusan sumber yang cekap,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Anugerah Kecemerlangan Universiti (AKU) 2024 di Pusat Islam, UMS.

Menurut beliau, penambahbaikan kualiti penyampaian perkhidmatan bukanlah satu usaha jangka pendek, tetapi satu komitmen berterusan yang memerlukan kerjasama dan komitmen daripada setiap warga UMS.

“UMS juga menarik perhatian kepada penguasaan Kemahiran Abad ke-21 yang juga merupakan salah satu teras dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) dan UMS telah pun memiliki Dasar Digital sendiri.

“Saya berharap agar dasar ini berjaya membina ekosistem digital yang holistik dan inklusif, termasuk memastikan bahawa seluruh warga UMS, dari pelajar hingga staf, dilengkapi dengan kemahiran digital yang relevan dan dapat memanfaatkan teknologi untuk meningkatkan produktiviti dan kualiti kerja.

“Transformasi digital bukan lagi sekadar pilihan, tetapi satu keperluan tanpa mengira bidang untuk meningkatkan produktiviti, efisiensi dan keberkesanan,” katanya.

Dalam pada itu, Kasim memaklumkan Majlis AKU merupakan manifestasi penghargaan dan pengiktirafan terhadap sumbangan dan dedikasi warga UMS yang telah mencurahkan khidmat bakti demi kecemerlangan universiti.

Kecemerlangan itu katanya telah dicapai melalui usaha secara individu dan kolektif dalam pelbagai bidang, sama ada dalam pengajaran, penyelidikan, penerbitan, inovasi, khidmat masyarakat mahupun pentadbiran.

Pada majlis tersebut, Kasim menyempurnakan penyampaian anugerah kepada 454 orang kakitangan dan pesara yang menerima anugerah dalam enam kategori.

Jumlah tersebut meliputi 35 orang pesara UMS yang menerima Anugerah Jasamu Dikenang, selain 166 kakitangan penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, 47 penerima Anugerah Sanjungan Budi, 71 penerima Anugerah Jasa Setia, 69 penerima Anugerah Jasa Bakti, dan 66 penerima Anugerah Inovasi yang terdiri daripada staf dan Pusat Tanggungjawab.

Hadir sama pada majlis itu Ahli Lembaga Pengarah UMS, Datuk Hj. Aliasgar Hj. Basri, Norali @ Ag Norali Ag Damit, dan Prof. Dr. Baba Musta; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Ir. Dr. Rosalam Hj. Sarbatly; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Raman Noordin; Pendaftar UMS merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Majlis AKU, Luqman Ridha Anwar; serta Pegawai Utama dan Kanan UMS.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Hospital UMS (HUMS) terus menggiatkan usaha meningkatkan kesedaran berkaitan kesihatan mata dan telinga menerusi inisiatif penganjuran Program Komuniti Sihat Melihat dan Mendengar (KoSiMM).

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, Program KoSiMM yang dilaksanakan sejak tahun 2021 telah memberikan impak signifikan kepada peningkatan taraf kesihatan komuniti luar bandar di Sabah.

“Penganjuran program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dalam komuniti tentang peri pentingnya pemeriksaan kesihatan terutamanya mata dan telinga secara berkala untuk mencegah masalah kesihatan yang lebih teruk.

“Selain itu, program ini turut menyediakan akses mudah pemeriksaan awal mata dan telinga dalam komuniti untuk mengenal pasti masalah pada peringkat awal, seterusnya merujuk kepada pakar sekiranya perlu.

“Alhamdulillah, UMS dan Hospital UMS mendapat maklum balas yang sangat positif berhubung dengan penganjuran program ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan perasmian program tersebut yang disampaikan oleh wakil beliau, Penasihat Undang-Undang UMS, Awang Suhaizam Bungso di Pusat Islam UMS.

Beliau turut memaklumkan, menerusi program tersebut, seramai 10 pelajar dari SK Rampayan akan menerima bantuan kaca mata, selain tiga pesakit dari Hospital Queen Elizabeth yang mengalami masalah pendengaran yang akan menerima alat bantuan pendengaran.

“Saya juga difahamkan staf HUMS akan ke Pulau Mantanani bagi program jangkauan (outreach) untuk pelajar dan penduduk di sana.

“Melalui program ini dan saringan yang dilakukan, kaca mata dan alat bantu dengar boleh disumbangkan lebih awal kepada komuniti tanpa perlu menunggu bantuan kerajaan seperti dari JPA, Kebajikan ataupun Zakat.

“Hal yang demikian kerana apabila masalah kurang dengar dikesan lebih awal, intervensi dan terapi dapat dilakukan segera agar perkembangan pendengaran dan pertuturan tidak terganggu,” katanya.

Tambah Kasim, usaha sebegini dapat memastikan golongan kanak-kanak yang mengalami masalah pendengaran tidak tercicir dalam pendidikan.

“Kolaborasi pihak HUMS bersama Kelab Surirumah dan Staf Wanita UMS (KESUMBA), Sekolah Kebangsaan Pulau Mantanani, dan pihak JSK Mantanani Island Resort diharap dapat memberikan impak yang baik kepada semua.

“Saya percaya, keberhasilan program ini tidak mungkin tanpa usaha bersama dan komitmen yang tinggi daripada semua pihak,” ujar beliau.

Pada majlis tersebut, Awang Suhaizam menyempurnakan penyampaian kaca mata dan alat bantuan pendengaran kepada penerima.

Hadir sama pada majlis tersebut Pengarah HUMS, Prof. Madya Dr. Malehah Datuk Mohd. Noh; Pegawai Perubatan Pakar ENT Hospital Queen Elizabeth, Dr. Ahmad Nordin; Guru Besar SK Rampayan, Ropinah Mokhtar; dan Pengarah Pusat Urbanisasi dan Kesihatan Komuniti HUMS, Dr. Muhammad Syafiq Abdullah.

 

Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti Awam Malaysia (SUKUM) kali-45 menutup tirai dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) mengekalkan kejuaraan selepas merangkul 15 emas, 16 perak dan 14 gangsa pada kejohanan yang berlangsung di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Sementara itu, naib johan temasya SUKUM dimenangi Universiti Sains Malaysia (USM), selepas berjaya merangkul 15 emas, 10 perak dan 19 gangsa, manakala tuan rumah UMS meraih tempat ketiga dengan kutipan 14 emas, 14 perak dan 29 gangsa.

Pada majlis penutupan, Naib Canselor UMS Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua kontinjen yang telah mengambil bahagian pada temasya SUKUM ke-45.

“Tahniah kepada pengurus, jurulatih, dan atlet yang telah menunjukkan komitmen tinggi dalam memastikan kejayaan pasukan masing-masing. Semangat juang dan kesukanan tinggi yang dipamerkan oleh semua atlet sepanjang kejohanan telah mengangkat nama dan maruah universiti.

“Saya percaya, penyertaan dalam kejohanan SUKUM ini pastinya menghadirkan kegembiraan dan kesedihan demi mendapatkan kemenangan buat semua kontinjen yang bertanding.

“Menang atau kalah, itu adat bertanding. Tiada pendekar yang tak bolos, tiada juara yang tak kalah,” katanya.

 

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutupan Kejohanan SUKUM kali ke-45 yang berlangsung di Dewan Resital UMS. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar.

 

Tambah Kasim, kejohanan tersebut diharap dapat memberi kenangan dan memori indah buat para atlet yang sudah berjuang sepanjang seminggu kejohanan tersebut berlangsung.

 

“Terima kasih juga kepada sukarelawan pelajar yang sanggup mengorbankan cuti semester untuk menjadi sebahagian daripada jawatankuasa pelaksana SUKUM kali ini.

 

“Saya berharap semoga tali persaudaraan dan silaturahim dalam kalangan semua Universiti Awam yang menyertai kejohanan ini terus erat dan harmoni demi kesinambungan pada kejohanan yang akan datang,” ujar beliau.

 

Majlis penutupan turut menyaksikan penyerahan bendera SUKUM kepada Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), yang akan menjadi tuan rumah bagi edisi ke-46.

 

Pusat Pengurusan NR dan Fasiliti (PNRF) Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjalankan sesi pemeriksaan audit ke atas keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) di kolej-kolej kediaman UMS.

Menurut Pengarah PNRF, Hasmi Hashim, pemeriksaan audit tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran kepentingan dan penambahbaikan pengurusan KKP di kolej-kolej kediaman UMS.

“Kolej kediaman adalah rumah kedua bagi para pelajar UMS. Kita mahu pastikan pelajar-pelajar sentiasa berada dalam keadaan selamat dan sihat sepanjang mereka berada di sini.

“PNRF UMS juga hari ini berbesar hati kerana pemeriksaan audit ini turut mendapat kerjasama dan sokongan daripada pihak industri iaitu Syarikat Sedafiat Sdn. Bhd. yang turut menyumbang sejumlah dana bagi membiayai sebahagian kos audit,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan.

“UMS komited untuk sentiasa menjaga KKP khususnya berkenaan pelajar-pelajar kita.

“Penarafan bintang KKP hasil sesi pemeriksaan audit ini akan dapat meningkatkan kepercayaan para pelajar untuk tinggal dan bekerja untuk kakitangan yang berada di kolej kediaman dengan selesa dan selamat,” katanya.

Sesi audit tersebut telah dijalankan di semua kolej kediaman UMS induk, Kampus Antarabangsa Labuan dan Sandakan yang diketuai oleh Pengarah Pusat Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan UMS, Profesor Dr. Kamisah Awang Lukman bersama Pensyarah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UMS, Profesor Madya Dr. Shamsul Bahari Shamsudin.