Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (SUKSIS) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan Program Bakti SUKSIS UMS 2024 bersama komuniti di Kudat, baru-baru ini.

Program itu antara lain bertujuan memberikan khidmat masyarakat kepada penduduk Kampung Tinangol serta pelajar-pelajar Sekolah Menengah Kebangsaaan (SMK) Pinawantai.

Menurut Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, ACP Abdul Rahman Kassim, sikap serta semangat kerja berpasukan yang ditunjukkan oleh pelatih SUKSIS UMS sememangnya amat diperlukan bagi memangkin kejayaan dan kecemerlangan sesebuah program.

“Pada kesempatan ini, setinggi-tinggi syabas dan tahniah saya ucapkan kepada pelatih-pelatih Kor Sukarelawan Polis UMS, para jurulatih dan tidak lupa juga Pegawai Penyelaras Kor SUKSIS UMS.

“Harapan saya semoga program seumpama ini akan dapat memberi suntikan semangat kepada kita semua untuk memperkasakan lagi nilai-nilai kemasyarakatan dalam diri kita semua,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program tersebut yang dihadiri kira-kira 200 peserta bersama 65 kor pelatih SUKSIS UMS.

Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang program adalah ceramah pemantapan sahsiah untuk pelajar sekolah, gotong royong membersihkan kawasan sekitar, perkhidmatan gunting rambut secara percuma dan lukisan mural di bangunan SMK Pinawantai.

Sementara itu Pengarah Program Bakti SUKSIS UMS 2024, Jesnita Jsbal berkata program itu juga diadakan bagi melatih para pelatih kor SUKSIS untuk menghayati serta menjayakan slogan Polis Diraja Malaysia (PDRM) iaitu ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’.

“Di samping itu, ia juga bagi memberikan kesedaran dalam kalangan pelatih SUKSIS tentang kepentingan sikap prihatin terhadap permasalahan masyarakat dan tidak hanya tertumpu kepada kehidupan kampus dan akademik semata-mata,” katanya.

Hadir sama Pegawai Turus Koordinasi Sumber Sokongan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Kontinjen Sabah, Supt. Awang Anak Suanda; Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Daerah Kudat, ASP Rugis Anak Lidom; Timbalan Komandan Kor SUKSIS UMS, Supt/KS Profesor Madya Dr. Peter Voo Su Kiong serta Pengetua SMK Pinawantai, Abdul Gani Haiyun.

 

Bekalan air di kampus induk Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah pulih sepenuhnya dan bersedia untuk menampung keperluan pelajar sedia ada dan pelajar baharu sesi kemasukan 2024/2025 yang dijangka akan mula mendaftar awal Oktober ini.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor dalam satu kenyataan berkata, ini adalah berdasarkan rekod bacaan air harian yang dilakukan oleh pihak Jabatan Pembangunan dan Penyelenggaraan (JPP) UMS yang mendapati bekalan air terawat daripada Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) stabil dan mencukupi ketika ini.

“Trend bekalan air JANS yang diperoleh UMS dari bulan Januari 2024 semakin meningkat berbanding sebelumnya, dan terkini pada tahap stabil, konsisten dan mencukupi iaitu pada purata 5 juta liter sehari (MLD).

“Di samping itu juga, projek pembinaan telaga tiub (tubewell) menerusi dana peruntukan yang disalurkan seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia dan Menteri Pendidikan Tinggi juga telah siap sepenuhnya dan berfungsi dengan baik.

“Bekalan air telaga tiub ini merupakan bekalan air alternatif bagi mengurangkan impak kepada para pelajar sekiranya terdapat gangguan bekalan air JANS akibat kerja-kerja penyelenggaraan terancang, berjadual atau berlaku insiden yang tidak dapat dielakkan,” katanya.

Justeru itu kata Kasim, berdasarkan perkembangan bekalan air daripada JANS yang stabil dan konsisten, serta bekalan air alternatif telaga tiub yang telah siap dan berjalan dengan lancar, maka UMS pada ketika ini tidak mempunyai sebarang isu bekalan air.

Untuk rekod, populasi terkini di dalam kampus induk UMS yang mempunyai keluasan sekitar 999 ekar dengan kawasan yang telah dibangunkan sekitar 70% adalah mencecah 20,000 orang sehari, dan berdasarkan populasi tersebut, keperluan air dalam kampus induk UMS adalah sekitar 3MLD ke 5MLD sehari.

Justeru, Kasim merakamkan ucapan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sabah dan Persekutuan yang responsif dengan sebarang keperluan universiti.

 

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor menyeru para pelajar baharu Pusat Persediaan Sains dan Teknologi (PPST) UMS Sesi Akademik 2024/2025 agar memanfaatkan peluang menyambung pengajian di UMS bagi menambah ilmu pengetahuan serta mempelajari aspek kehidupan di dalam kampus.

Katanya, kehadiran para pelajar bagi menjalani program Asasi di UMS merupakan satu titik permulaan dalam perjalanan hidup mereka sebagai seorang pelajar universiti.

“Pengajian Asasi UMS ini adalah bagi memperkukuh asas dalam bidang sains dan teknologi untuk melanjutkan pelajaran ke program ijazah di UMS, sejajar dengan misi dan visi penubuhan PPST, UMS.

“Selain itu, kehadiran anda di sini juga merupakan satu proses peralihan dari alam persekolahan ke alam universiti sebelum peringkat ijazah kelak.

“Saya berharap agar pengajian di Asasi UMS ini akan menjadi suatu memori indah bagi mengorak langkah sebagai seorang pakar yang dapat menyumbang kepada negara sama ada dalam bidang sains ataupun teknologi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika merasmikan penutupan Minggu Suai Mesra (MSM) Asasi UMS Sesi 2024/2025 kali ke-15.

Beliau turut mengingatkan para pelajar bahawa kewujudan universiti adalah disebabkan permintaan masyarakat sekeliling yang ingin melihat perubahan hidup menerusi tahap pendidikan tinggi.

“Selain bekalan transkrip akademik yang dibawa untuk memasuki alam pekerjaan, aspek-aspek lain seperti keterlibatan dalam aktiviti universiti juga dapat meningkatkan tahap keyakinan diri.

“Sehubungan itu, suka saya mengingatkan, ikuti dan sertailah segala program kurikulum dan kokurikulum serta saya doakan agar anda semua mampu memperkukuhkan iltizam dan menzahirkan usaha dalam menuntut ilmu dengan bersungguh-sungguh demi melakar masa depan yang lebih terjamin,” ujar beliau.

Pada majlis tersebut, seramai 468 pelajar program Asasi UMS, yang terdiri daripada 332 pelajar Asasi Sains, 96 pelajar Asasi Teknologi Maklumat, dan 40 pelajar Asasi Agrisains membacakan lafaz ikrar di hadapan para pegawai utama dan kanan universiti.

Hadir sama pada majlis tersebut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Madya Dr. Raman Noordin; Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar; dan Pengarah PPST, ChM. Dr. Newati Wid.

 

Confucius Institute (CI) Universiti Malaysia Sabah (UMS) berhasrat untuk mengadakan kolaborasi bersama Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) bagi kerjasama dalam aktiviti akademik dan perundingan sebagai menyokong pertumbuhan industri pelancongan di Sabah yang menerima jumlah kemasukan pelancong dari China yang tinggi.

Hasrat kolaborasi tersebut dimeterai dalam satu acara menandatangani Surat Hasrat (LoI) antara CI UMS dan KTYS di kampus induk KTYS baru-baru ini.

UMS diwakili oleh Pengarah CI UMS (Malaysia), Prof. Ts. Dr Chong Khim Phin menandatangani LoI tersebut, manakala KTYS diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Hajjah Tah Nia Haji Jaman.

Chong dalam satu kenyataan berkata, menerusi LoI itu, CI@UMS akan menyediakan latihan bahasa Mandarin kepada pelajar KTYS yang merupakan pemandu pelancong dan terlibat dalam industri pelancongan.

“Latihan itu juga akan menggabungkan pendidikan budaya Cina dan sejarah Cina tempatan di Sabah untuk meningkatkan pemahaman dan komunikasi yang lebih baik dalam kalangan pelajar KTYS selepas tamat kursus mereka kelak.

“Dengan peningkatan jumlah pelancong Cina di Sabah, pembelajaran bahasa Mandarin yang turut mendapat sokongan dana daripada Jabatan Perdana Menteri akan membolehkan CI@UMS dan KTYS melatih lebih ramai penduduk tempatan untuk bertutur dalam bahasa Mandarin yang lebih baik dan meningkatkan peluang pekerjaan mereka dalam industri ini,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, melalui pemeteraian LoI tersebut, kedua-dua pihak bersetuju untuk menjalankan program berkaitan seperti bengkel atau aktiviti kemasyarakatan bersama.

“Latihan bahasa Mandarin yang pertama akan bermula dalam bulan Julai ini untuk tempoh tiga bulan.

“Justeru, sekalung penghargaan diberikan kepada pengurusan KTYS atas kepercayaan dan keyakinan mereka kepada CI@UMS dalam kerjasama ini,” katanya.

Ujar beliau, persediaan dalam pengajaran bahasa Mandarin yang berkualiti dan berkesan sentiasa menjadi antara keutamaan CI UMS sejak penubuhannya.

Turut hadir pada acara tersebut Pengarah CI UMS (China). Prof. Madya Dr. Huang Yue Hua.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerima kumpulan pertama program Asasi Agrisains menerusi saluran UPU Online pada sesi pendaftaran pelajar baharu Pusat Persediaan Sains dan Teknologi (PPST) universiti itu.

Seramai 468 pelajar mendaftar program Asasi di UMS tahun ini dengan jumlah 40 daripadanya program Asasi Agrisains, 96 Asasi Teknologi Maklumat dan 332 Asasi Sains.

Menurut Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor, pelajar-pelajar Asasi Agrisains tersebut akan meneruskan pengajian ke peringkat sarjana muda di Fakulti Pertanian Lestari, Sandakan selepas tamat pengajian asasi kelak.

“Ini merupakan salah satu inisiatif UMS untuk menambah pelajar dalam bidang pertanian dan sekali gus menambah bilangan keperluan graduan dan tenaga kerja dalam sektor pertanian apabila mereka tamat pengajian.

“Pada masa kini, kampus UMS Sandakan mampu menampung seramai 1,000 pelajar dalam satu masa. Maka dengan adanya program Asasi Agrisains ini, kita dapat meningkatkan jumlah pelajar bidang pertanian di kampus tersebut.

“Kita berbesar hati menerima pelajar bukan sahaja dari Sabah malah dari Sarawak dan Semenanjung untuk mengikuti program asasi sains di UMS,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir sesi ramah mesra bersama pelajar baharu program Asasi UMS, baru-baru ini.

Tambah Kasim, bagi pelajar-pelajar program Asasi Sains dan Asasi Teknologi Maklumat pula akan melanjutkan pengajian menerusi program ditawarkan di fakulti-fakulti sains UMS yang akan merancakkan bidang STEM dan TVET.

“Bidang STEM dan TVET amat penting pada masa kini. Justeru, UMS turut bersama-sama dengan kerajaan dalam memastikan negara mampu melahirkan pelajar dan graduan unggul dalam bidang tersebut,” ujarnya.

PPST UMS ditubuhkan pada tahun 2010 dengan misi untuk membentuk dan melahirkan pelajar-pelajar yang mempunyai asas pengetahuan sains yang kukuh untuk bersedia melanjutkan pengajian ke peringkat seterusnya.