Jabatan Perubatan Kecemasan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengadakan bengkel “Chemical, Biological, Radiological, Nuclear & Explosives (CBRNE) Terrorism Awareness & Medical Emergency Consequence Management Workshop 2024”, baru-baru ini.

Program yang julung kalinya diadakan di Kota Kinabalu itu antara lain bertujuan memberikan pengenalan asas kepada pelbagai institusi dan agensi di negeri Sabah mengenai bahaya ancaman CBRNE yang semakin mendapat perhatian di seluruh dunia.

Ia juga bagi memulakan inisiatif kerajaan negeri untuk mengorak langkah bagi mengenal pasti sebarang risiko dan juga ancaman CBRNE yang boleh berlaku di negeri ini, sekali gus mewujudkan pelan bencana yang mampan untuk bersedia menangani ancaman tersebut melalui penglibatan kesemua agensi yang menyertai bengkel tersebut.

Majlis perasmiannya disempurnakan oleh Ketua Kepakaran Perubatan Kecemasan dan Trauma Negeri Sabah, Dr. Abd. Adzim E Arim Sasi.

Menurut Abd. Adzim, bengkel CBRNE merupakan salah satu platform utama bagi memberikan ilmu pengetahuan, pendedahan dan juga kemahiran asas kepada petugas kesihatan dalam melakukan fasa respons dalam situasi bencana CBRNE.

“Sebagai sebahagian dari kesiapsiagaan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dalam menangani bencana CBRNE, JKNS telah membuat perancangan awal melalui pelan kontigensi bagi menghadapi ancaman atau bencana CBRNE ini khususnya di Sabah.

“Di samping itu, kakitangan yang dilatih boleh menjadi pelopor kepada pusat latihan CBRNE di rantau ini, khususnya untuk petugas KKM bagi meneruskan keberlangsungan latihan kakitangan di negeri Sabah,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, pada tahun 2023 sahaja terdapat sebanyak enam kes CBRNE yang berlaku di Sabah.

“Kes terakhir yang berlaku adalah pada bulan November 2023 di Tawau iaitu kejadian keracunan gas klorin Kolam Udang Pegagau Aquaculture di Kampung Wakuba yang telah melibatkan seramai enam mangsa dan seorang daripadanya terkorban dalam kejadian tersebut.

“Justeru, adalah perlu untuk hospital-hospital dan kesihatan awam di negeri Sabah mendalami ilmu CBRNE ini bagi memberi persediaan kepada kakitangan agar lebih bersedia dengan ancaman alaf baru ini,” tambahnya.

Program dengan kerjasama Jabatan Kecemasan Hospital Queen Elizabeth, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Southeast Asia Regional Centre for Counter Terrorism (SEARCCT) dan Jabatan Bomba Negeri Sabah itu disertai oleh 250 peserta daripada pelbagai agensi di seluruh negeri.

Selain itu, program tersebut turut disokong oleh Jabatan Kimia Negeri Sabah, Angkatan Tentera Malaysia, Pasukan Unit Pemusnah Bom Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Atomic Energy Licensing Board (AELB).

Hadir sama, Timbalan Dekan FPSK, Prof. Madya Dr. Fairrul Kadir; Timbalan Ketua Bomba Negeri Sabah, Farhan Sufyan bin Borhan; Pengarah Bahagian Perancangan dan Latihan Pencegahan Keganasan (SEARCCT), Superitendan Yong Thian Foh serta Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam), Dr Maria Suleiman.

 

Universiti Malaysia Sabah terus berusaha memperkasa bidang inovasi dalam kalangan masyarakat dengan menganjurkan Hari Bioteknologi sempena Karnival SENADI 2024 bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Badin, di sini, baru-baru ini.

Program anjuran Kelab Bioteknologi UMS dan Persatuan Himpunan Ilmuan UMS (HiUMS) tersebut bertujuan menarik minat pelajar-pelajar di peringkat sekolah menengah ke arah bidang STEM.

Menurut penyelaras program, Profesor Madya Dr. Mohd Khalizan Sabullah, Karnival SENADI 2024 merupakan salah satu program SULAM (Servis Learning Malaysia and University for Society) untuk mempererat hubungan antara universiti dan komuniti setempat.

“Program ini sebagai salah satu usaha UMS memperkasa peranan universiti dalam pembangunan masyarakat dengan memperkenalkan para peserta kepada aplikasi praktikal sains dan teknologi dalam kehidupan seharian.

“Selain itu, ia juga memberi peluang kepada para pelajar UMS untuk mempraktikkan teori dalam konteks sebenar kepada masyarakat di samping mengembangkan keterampilan diri dalam memperkukuh kerja berpasukan, kemahiran kepimpinan dan komunikasi,” katanya.

Tambah Mohd Khalizan, melalui program ini juga para pelajar UMS dapat meningkatkan kesedaran sosial serta peka kepada isu-isu keperluan komuniti setempat.

“Program ini melibatkan 69 pelajar UMS yang menjalani kursus Rekabentuk Projek dalam Bioteknologi dan disertai oleh para pelajar dalam golongan keluarga B40 SMK Badin.

“Antara aktiviti yang dijalankan ialah pameran kelestarian alam, teknologi hijau dan keselamatan makanan, latihan berkumpulan serta senamrobik,” tambahnya.

Majlis perasmian karnival tersebut disempurnakan oleh Pengetua SMK Badin, Awang Seman Awang Tahir.

 

Jabatan Radiologi Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Jabatan Radiologi Hospital Queen Elizabeth telah menganjurkan Sabah 1st Musculoskeletal Imaging Conference (SFMIC) 2024, baru-baru ini.

SFMIC 2024 merupakan program pertama seumpamanya diadakan di Borneo yang telah disertai oleh 150 peserta tempatan dan antarabangsa.

Pengerusi penganjur SFMIC 2024, Dr. Sumithra Sannasey yang juga merupakan Ketua Jabatan Radiologi Hospital Queen Elizabeth berkata, program tersebut bertujuan memberi pendedahan kepada peserta mengenai Musculoskeletal Imaging di samping meningkatkan kemahiran ultrasonografi dalam bidang tersebut.

“Program ini bukan hanya disasarkan kepada golongan ahli radiologi sahaja malah ia merupakan salah satu platform yang terbaik bagi para peserta dari silang bidang untuk saling berkongsi pengetahuan, pengalaman dan inovasi terkini dalam bidang pengimejan radiologi.”

“Musculoskeletal Imaging adalah satu subkepakaran dalam bidang Perubatan Diagnostik Radiologi yang memainkan peranan penting dalam mendiagnosis kecederaan dan penyakit yang melibatkan sendi, tisu, otot, dan tulang.

“Di samping itu, subkepakaran ini dapat membantu pasukan dari jabatan lain, khususnya Ortopedik, Reumatologi, Rehabilitasis, Perubatan Sukan dan lain-lain dalam rawatan dan pemulihan pesakit mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan SFMIC 2024 bertempat di Hotel Le Meridien, di sini.

Tambah Sumithra, SFMIC 2024 juga merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan dalam pembelajaran dan ekspolari kolaboratif.

“Dengan adanya program seumpama ini, peserta berpeluang untuk meningkatkan kecekapan diagnostik, kemahiran komunikasi serta menyumbang secara signifikan kepada perkembangan bidang radiologi, khususnya dalam Pengimejan Muskuloskeletal,” ujarnya.

Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang dua hari program tersebut adalah sesi ceramah dan perbincangan panel yang menampilkan pakar-pakar terkemuka dalam bidang Ortopedik dan Musculoskeletal Radiology, sesi “Live Ultrasound Demonstration in Musculoskeletal Imaging” dan sesi praktikal (Hands-on ultrasound).

Sementara itu, Pensyarah Kanan di Jabatan Radiologi FPSK UMS, Dr. Cindy Chin Yeen Ling yang juga merangkap Timbalan Pengerusi penganjur SFMIC 2024 berharap agar program tersebut dapat menjadi pencetus kepada lebih banyak program seumpamanya di masa hadapan, sekali gus memperkukuhkan lagi kedudukan Malaysia, khususnya Sabah, dalam bidang “Musculoskeletal Imaging” di peringkat global.

 

 

Pelajar tahun akhir program Ijazah Sarjana Muda Perakaunan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) dipilih sebagai salah seorang penerima anugerah National Accounting Student Excellence Award (NASEA) 2023.

Mohammad Immtiaz Laimon yang berasal dari daerah Putatan kini sedang menjalani latihan industri di firma audit antarabangsa KPMG di Kota Kinabalu.

Menurut Immtiaz, kejayaan merangkul anugerah tersebut merupakan detik berharga yang dihadiahkan untuk keluarga, rakan seperjuangan dan para pensyarah yang menjadi tonggak utama kejayaan beliau.

“Saya percaya anugerah ini akan dapat memberi lebih banyak ruang dan peluang untuk saya di alam pekerjaan kelak.

“Saya juga bangga kerana dapat membawa nama UMS ke dalam dunia perakaunan di peringkat kebangsaan dan saya percaya selepas ini lebih banyak kejayaan yang akan mengangkat nama UMS di peringkat nasional dan antarabangsa,” ujarnya teruja dan bersyukur atas kejayaan tersebut.

Immtiaz menerima anugerah tersebut pada Malaysian Institute of Accountants International Conference (MIAC) 2024 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, baru-baru ini.

“Saya berharap lebih ramai pelajar akan cuba mempraktikkan keseimbangan dalam

bidang akademik serta penglibatan kokurikulum serta mengambil masa cuti semester untuk menjalani latihan industri secara sukarela (voluntary internship) untuk mengembangkan pengetahuan dan kemahiran insaniah,” tambahnya.

Sementara itu, UMS dalam satu kenyataan menjelaskan anugerah tersebut diberikan kepada pelajar terbaik bagi universiti tempatan yang diiktiraf di bawah Akta Akauntan 1967, sekali gus mengharumkan nama UMS di peringkat kebangsaan.

“Anugerah tersebut menitikberatkan kecemerlangan akademik dan kokurikulum pelajar sepanjang pengajian di universiti tempatan.

“Selain pengiktirafan di bawah Akta Akauntan 1967, program Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian UMS juga diiktiraf oleh beberapa badan perakaunan profesional termasuk Malaysian Institute of Certified Public Accountants (MICPA), Association of Certified Chartered Accountants (ACCA) dan Chartered Institute of Management Accountants (CIMA),” ujar kenyataan itu.

 

Penganjuran Program Pelancongan Berasaskan Komuniti di Kg. Malubang, Pitas oleh kumpulan pelajar dan ahli akademik dari Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini mampu membantu dalam usaha meningkatkan ekonomi penduduk kampung melalui bidang pelancongan.

Pensyarah Kanan FPEP, Dr. Mohamad Isa Abd Jalil berkata, ini kerana Kg. Malubang, Pitas dikenal pasti mempunyai potensi besar dalam bidang pelancongan dan pemuliharaan sumber marin.

“Program ini bertujuan untuk memperkasakan komuniti Kg. Malubang dan Kampung Berungus yang terletak dalam zon kuning di Taman Laut Tun Mustapha atau dikenali sebagai Zon Penggunaan Komuniti (CUZ).

“Pemilihan kedua-dua kampung ini sebagai projek perintis adalah bertepatan kerana lokasinya dalam zon yang diwartakan ini memberikan peluang untuk membangunkan aktiviti pelancongan yang mampan selain memberi tumpuan utama terhadap pemuliharaan marin.

“Matlamat utamanya adalah untuk mencipta model yang boleh diguna pakai oleh kawasan perlindungan marin lain khususnya di negeri Sabah,” katanya dalam satu kenyataan bersempena dengan program tersebut.

Menurut beliau, penglibatan FPEP amat penting dalam menjayakan program tersebut.

“Melalui kepakaran berkaitan pelancongan luar bandar yang terdapat di FPEP ini, sekali gus membolehkan sumbangan ilmu dan pengalaman untuk membangun dan memperkukuhkan ekonomi tempatan melalui penglibatan aktiviti penduduk.

“Kerjasama ini bukan sahaja mengukuhkan hubungan antara universiti dan komuniti tetapi juga memperlihatkan peranan penting institusi pendidikan dalam menyumbang pembangunan masyarakat,” katanya.

Isa turut memaklumkan program tersebut direka untuk mencapai beberapa objektif utama antaranya untuk menyumbang kepakaran FPEP dalam usaha mempertingkatkan ekonomi kawasan luar bandar, selain memperkasakan keupayaan komuniti dalam menjalankan aktiviti pelancongan.

“Program ini juga bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran tentang keperluan penjagaan alam sekitar, terutamanya kepada generasi muda serta sebagai satu usaha untuk membentuk jaringan kerjasama berterusan dengan pihak berkepentingan dalam pembangunan pelancongan di kawasan perlindungan.

“Projek ini dijangka dapat mempromosikan pelancongan yang bertanggungjawab dan lestari di samping memperkasakan komuniti tempatan untuk menjadi pemimpin dalam pemuliharaan dan pembangunan ekonomi yang mampan.

“Ini menunjukkan komitmen UMS, khususnya FPEP dalam membantu komuniti marginal melalui program pembinaan kapasiti,” katanya.

Program yang mendapat kerjasama daripada Taman-Taman Sabah itu juga katanya diharap dapat menjadi model bagi pelaksanaan program seumpama di komuniti lain di Taman Laut Tun Mustapha dan kawasan perlindungan marin.

“Ini dilihat dapat memperkukuhkan lagi usaha pemuliharaan dan pembangunan komuniti luar bandar di kawasan pesisir pantai selari dengan konsep pembangunan lestari,” ujar beliau.

Program yang berlangsung selama empat hari itu mendapat penglibatan penyertaan komuniti tempatan yang terdiri daripada belia, wanita dan pelajar sekolah rendah.