Universiti Malaysia Sabah (UMS) memeterai memorandum perjanjian persefahaman (MoA) selama tiga tahun bersama Power Transcoteq and Services Sdn Bhd. (PTSSB) bagi menjalankan penyelidikan dan pembangunan teknologi peranti pintar untuk alat ubah (transformer) kuasa, baru-baru ini.

MoA itu merupakan satu lagi langkah stategik UMS dalam memperkukuh hubungan bersama industri bagi memperluas impak penyelidikan akademik ke dalam sektor tenaga dan teknologi elektrik.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata kerjasama tersebut memberi tumpuan kepada pembangunan peranti berasaskan kecerdasan buatan (AI) untuk memantau, mengenal pasti dan memberikan notifikasi mengenai ‘state of health’ minyak penebat.

Katanya kerjasama itu juga amat signifikan dalam memastikan keberkesanan dan keselamatan operasi alat ubah kuasa yang menjadi tulang belakang kepada sistem penghantaran dan pengagihan tenaga elektrik khususnya di Sabah.

“Penyelidikan dan inovasi adalah elemen penting dalam pembangunan negara, sejajar dengan agenda nasional ke arah Revolusi Industri 4.0 dan kelestarian tenaga.

“Kami percaya bahawa kolaborasi antara akademia dan industri seperti yang terjalin dengan PTSSB ini akan membuahkan hasil yang bermanfaat, bukan sahaja dalam konteks akademik tetapi juga dalam aplikasi industri sebenar,” katanya.

Kerjasama tersebut turut mendapat sokongan kewangan dengan jumlah keseluruhan RM273,110.

“Projek ini mendapat pembiayaan sebanyak RM248,110 daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di bawah dana Industri Matching Program (IMaP) bagi fasa satu tahun 2024. Selain itu PTSSB turut menyumbang dana sebanyak RM25,000 bagi menyokong pelaksanaan penyelidikan.

“Kami amat menghargai kepercayaan dan sokongan yang diberikan dalam merealisasikan kajian ini ke tahap yang lebih tinggi,” tambah Kasim.

Kasim berkata dana tersebut akan digunakan untuk memperkukuh penyelidikan yang dijalankan oleh Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) UMS dan memastikan teknologi yang dihasilkan dapat memberi impak yang berkesan kepada industri tenaga negara.

“UMS dan PTSSB komited untuk terus memperkukuh kerjasama ini dan berharap ia dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak penyelidikan serta inovasi yang mampu menyumbang kepada keperluan industri,” katanya.

Turut hadir, Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar dan Dekan FSSA, Profesor Dr. Jualang @ Azlan Abdullah Gansau.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus komited dalam membudayakan aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) dalam kalangan pelajar, khususnya di kolej-kolej kediaman.

Sebagai usaha mencapai matlamat tersebut, Pusat Pengurusan Non Residen dan Fasiliti Perumahan Pelajar (PNRF) dengan kerjasama Pusat Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (COSH), UMS telah mengadakan Majlis Anugerah Penarafan Pengurusan KKP Kolej Kediaman Sesi 2023/2024 baru-baru ini.

Pengarah PNRF, Stella @ Nurul Martini Gontol berkata, penganugerahan penarafan bintang kepada kolej-kolej kediaman tersebut adalah penting bagi menunjukkan komitmen universiti untuk mengekalkan piawaian keselamatan yang tinggi dalam persekitaran kampus universiti khususnya di kolej kediaman.

“Ini juga adalah bagi menggalakkan pelajar agar turut bertanggungjawab serta peka terhadap aspek KKP.

“Usaha ini turut selaras dengan matlamat universiti untuk mendapatkan pensijilan Sistem Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (ISO 45001: 2018),” katanya.

Stella turut menjelaskan, penarafan bintang kepada semua kolej kediaman UMS diberikan berdasarkan penilaian Jawatankuasa Penilai yang telah diadakan sebanyak dua siri iaitu siri 1 bermula pada 7 Disember 2023, manakala siri 2 telah diadakan bermula 4 Jun 2024.

Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor UMS (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Raman Noordin, yang mewakili Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berharap agar program seumpama itu dapat dilaksanakan sebagai salah satu program tahunan organisasi sebagai memupuk semangat kerja berpasukan.

Tambah beliau, amalan budaya kerja selamat dan sihat di tempat kerja perlu diterapkan dan diamalkan oleh semua pihak bagi memastikan dan mencegah kemalangan dan penyakit pekerjaan dari berlaku.

Pada majlis tersebut, Kolej Kediaman Antarabangsa Kingfisher mendapat penarafan tempat pertama, manakala Kolej Kediaman Kampus Antarabangsa Labuan di tempat tempat kedua, dan Kolej Kediaman Lestari, Sandakan di tempat ketiga.

Hadir sama pada majlis tersebut wakil Sedafiat Sdn Bhd., Datin Dr. Mariam Mahmun, dan Pengarah COSH, Prof. Dr. Khamisah Awang Lukman.

 

Program Pensijilan Kepimpinan dan Governan Eksekutif yang dibangunkan oleh Universiti Malaysia Sabah (UMS) mampu menjadi inisiatif baharu universiti dalam memperkukuhkan keupayaan kepimpinan dan melahirkan pemimpin masa hadapan untuk negeri Sabah.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, program tersebut dibangunkan oleh Bahagian Kepimpinan dan Pembangunan Bakat (BKePT) dengan kerjasama dari Pusat Pembelajaran Fleksibel UMS (UMSFLEC) serta tenaga pakar UMS dalam bidang kepimpinan dan governan.

“Program buat julung kalinya diadakan ini dirangka secara eksklusif, mengambil kira kepentingannya dalam senario lanskap kepimpinan masa kini yang semakin mencabar, keperluan menangani krisis dan konflik dalam persekitaran multi-budaya.

“Ini ditambah pula dengan tekanan globalisasi, perkembangan teknologi, serta tuntutan keterbukaan dan akauntabiliti dalam memainkan peranan sebagai pemimpin berwibawa.

“Justeru, modul-modul yang diperkenalkan dalam program ini dijangka berupaya membantu pemimpin organisasi, persatuan politik, perniagaan dan eksekutif dalam memperkasakan kemahiran kepimpinan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi taklimat bersempena pelancaran Program Pensijilan Kepimpinan dan Governan Eksekutif UMS Tahun 2025 di sini.

Menurut Kasim, program itu juga adalah hasil cetusan buah fikiran daripada Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Panglima Abdul Rahman Dahlan yang mahu melihat pemerkasaan kepimpinan dan governan berlaku dalam lanskap politik di Sabah.

“Dalam konteks kepimpinan di Sabah, program ini bakal memainkan peranan yang amat signifikan mengambil kira keunikan Sabah sebagai sebuah negeri yang kaya dengan kepelbagaian budaya dan sumber ekonomi yang strategik ke arah pembangunan yang mampan.

“Keperluan ini hanya dapat digarap oleh pemimpin yang inovatif, inklusif, berdaya saing dan berpandangan jauh.

“Untuk itu, saya yakin melalui program ini para pemimpin di Sabah akan dapat meluaskan pemahaman terhadap aspek governan, membangunkan kapasiti kepimpinan baharu yang mampu menangani cabaran-cabaran unik khususnya di Sabah, dan mengaplikasikan amalan terbaik dalam kepimpinan dan governan yang sejajar dengan kehendak semasa,” katanya.

Dalam pada itu, ahli lembaga pengarah UMS, Datuk Hasnol Ayub ketika berucap pada sesi tersebut menyokong penuh usaha UMS memperkenalkan program yang dilihat mampu menjadi platform dalam menyokong pelan peralihan kepimpinan kepada generasi muda di negeri Sabah melalui pembentukan pemimpin berpotensi yang berkualiti.

Katanya, ini penting kerana pemimpin yang sentiasa terlibat dalam membuat keputusan seharusnya berkeupayaan membuat keputusan yang bernas berteraskan data saintifik, selain perlu untuk mereka membentuk satu pemikiran yang sama khususnya dalam memperjuangkan isu-isu di negeri Sabah.

Program tersebut yang menyasarkan penyertaan antaranya dalam kalangan eksekutif tinggi, pengurusan kanan organisasi, pemimpin persatuan, usahawan atau pemilik perniagaan, mahupun pengurus berprestasi tinggi dijangka akan dijalankan secara intensif selama 12 hari dengan enam modul dan jumlah jam pengajaran sebanyak 84 jam, bermula dari 14 April hingga 26 April 2025.

Hadir sama pada sesi taklimat pelancaran program itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, Datuk Yakub Khan; ADUN Balung, Datuk Hamild @ Hamid Awang; Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar; Pengarah UMSFLEC, Dr. Lim Thien Sang; dan Ketua BKePT, Kamisah Husin

 

Institut Penyelidikan Bioteknologi (IPB) Universiti Malaysia Sabah (UMS) menggerakkan program STI 100 on the Power of Three (STI 100^3) di dua buah sekolah rendah di negeri Sabah bagi menyahut seruan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membangunkan bidang STEM dalam memacu perkembangan ekonomi negara.

IPB UMS mengadakan program STI 100^3 tersebut di Sekolah Kebangsaan (SK) Sampir Kota Marudu dan SK Mutiara Kota Kinabalu yang melibatkan kira-kira 120 orang murid.

Menurut penyelidik IPB UMS, Profesor Madya Ts. Dr. Mailin Misson, program tersebut merupakan bukti komitmen UMS untuk menjayakan program pemindahan ilmu khususnya kepada komuniti di Sabah dengan usaha membudayakan bidang sains, teknologi dan inovasi (STI).

“Selaras dengan pengenalan 5 Lensa Utama UMS yang dinyatakan oleh Naib Canselor UMS Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor pada majlis amanat beliau baru-baru ini, pemindahan dan perkongsian ilmu menjadi tonggak lensa ketiga UMS dalam usaha membantu komuniti di Sabah serta memperkukuh kedudukan UMS sebagai universiti untuk rakyat, selain mendokong saranan daripada kerajaan negeri dan persekutuan.

“Antara pengisian program yang diadakan di dua sekolah rendah berkenaan adalah aktiviti interaktif STI yang melibatkan pengenalan kepada alat radas makmal, konsep asid dan alkali serta penggunan mikroskop cahaya.

“Selain itu, murid-murid juga turut berpeluang menjalani eksperimen pengekstrakan DNA dan membina model ‘double-helix’ DNA sambil didedahkan kepada asas penyelidikan dalam bioteknologi,” kataya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan.

Tambah Mailin, program tersebut dijalankan selama dua bulan di SK Sampir dan SK Mutiara yang dipimpin oleh beliau bersama rakan penyelidik Dr. Nur Athirah Yusof dan Pn Grace Joy Chin Wei Lie serta dibantu oleh pelajar-pelajar pascasiswazah IPB UMS.

“Murid-murid SK Sampir juga telah berkesempatan untuk melawat makmal-makmal yang terdapat di IPB UMS dan melihat sendiri proses dan aktiviti yang dijalankan di IPB seperti penyelidikan dalam bidang mikrobiologi, kimia hasilan semulajadi dan penyelidikan kejuruteraan bioproses,” katanya.

Program STI 100^3 adalah program melibatkan 100 saintis, 100 sekolah dan 100 hari di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) memperkenalkan Program Pensijilan Kepimpinan dan Governan Eksekutif sebagai satu inisiatif penting dalam usaha meningkatkan kemahiran kepimpinan dalam kalangan pemimpin organisasi, persatuan, politik, perniagaan, dan eksekutif.

Program ini dibangunkan oleh Bahagian Kepimpinan dan Pembangunan Bakat (BKEPT) dengan kerjasama Pusat Pendidikan Fleksibel (UMSFLEC) serta tenaga pakar yang berpengalaman dalam bidang kepimpinan dan governan.

Menurut Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar, program ini antara lain bertujuan untuk meningkatkan kemahiran kepimpinan dengan membantu peserta membangunkan kemahiran kepimpinan strategik yang dapat membawa organisasi mereka ke tahap yang lebih tinggi.

“Selain itu, program ini juga adalah inisiatif universiti dalam melahirkan pemimpin masa hadapan dengan memupuk kebolehan berfikir secara kritis dan bertindak secara proaktif bagi memastikan kelangsungan organisasi dan persatuan.

“Para peserta juga akan dilatih untuk menjadi pemimpin yang lebih fleksibel dalam menangani pelbagai cabaran dan situasi dalam organisasi mereka,” katanya.

Tambahnya lagi, program ini menyasarkan peserta dalam kalangan eksekutif tinggi seperti Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Ketua Pegawai Kewangan (CFO), Ketua Pegawai Operasi (COO), dan Pengarah Urusan; Pengurusan Kanan, Pemimpin Pasukan atau Persatuan; Pengarah Lembaga atau Ahli Lembaga Pengarah organisasi; Usahawan atau Pemilik Perniagaan; Pengurus Berprestasi Tinggi yang dikenal pasti berpotensi untuk memegang peranan kepimpinan lebih tinggi; dan Pemimpin Dalam Peralihan yang sedang beralih ke peranan eksekutif baharu.

“Walau bagaimanapun untuk kohort pertama, program ini akan menyasarkan peserta dalam kalangan pemimpin parti – parti politik di seluruh Negeri Sabah.

“Program ini dicadangkan berlangsung selama enam bulan dengan enam modul, di mana setiap modul akan dijalankan sebulan sekali selama dua hari, iaitu 14 jam.

“Namun, bagi pelaksanaan pertama pada tahun 2025, program akan dijalankan secara intensif selama 12 hari dengan enam modul dan jumlah jam pengajaran sebanyak 84 jam, bermula dari 14 April hingga 26 April 2025.

“Modul-modul yang ditawarkan antaranya Fundamentals of Leadership, Leadership Skills, Navigating Choices: The Art and Science of Leadership Decisions, Conflict Management, Leadership In Diversity: Navigating Multicultural Environments, dan Crisis Managment,” katanya.

Maklumat lanjut berkaitan program ini bolehlah berhubung dengan Jamli Ikhwan di talian 010-8879886, e-mel Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.