Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui One Health Student Club (OHSC) di bawah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) telah mengadakan kolaborasi strategik dengan beberapa agensi sebagai usaha kempen terhadap kesedaran keselamatan jalan raya dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).

Kolaborasi bagi penganjuran program “Road Safety Awareness Campaign” anjuran bersama Persatuan Alumni IATSS Forum Jepun, Malaysia (MIFA) yang diadakan di FPSK baru-baru ini turut melibatkan sokongan dari pelbagai agensi antaranya dari Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), pejabat Konsulat Jepun dan Honda Malaysia.

Menurut kenyataan dari OHSC, antara objektif penganjuran program tersebut termasuklah meningkatkan tahap kesedaran para penuntut IPT mengenai kepentingan keselamatan jalan raya, memberikan pengetahuan yang praktikal mengenai langkah-langkah keselamatan, dan menggalakkan amalan bertanggungjawab dalam penggunaan jalan.

“Program ini turut memberikan informasi yang jelas dan ringkas mengenai peraturan lalu lintas, tanda-tanda jalan, dan langkah-langkah keselamatan semasa berjalan kaki atau menggunakan kereta.

“Untuk memastikan objektif program tercapai, pelbagai aktiviti menarik telah diadakan seperti pertandingan TikTok, Explorace dan aktiviti latihan dalam kumpulan,” demikian menurut kenyataan tersebut.

Dalam pada itu, Dekan FPSK, Datuk Dr. Mohd. Yusof Hj Ibrahim dalam ucapannya sempena perasmian program tersebut menyatakan sokongan penuh UMS terhadap penganjuran program tersebut.

“Program ini diharap mampu menjadi perintis kepentingan keselamatan jalan raya dalam kalangan masyarakat.

“Ada banyak sebenarnya kepentingan yang boleh diperoleh daripada mempelajari peraturan jalan raya antaranya adalah mengurangi risiko kemalangan jalan yang mungkin boleh berlaku kepada pengguna jalan raya,” jelas beliau.

Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Malaysia IATSS Forum Jepun, Dato’ Zuraidah Atan dalam ucapannya turut menekankan kepentingan sikap tanggungjawab dalam menjaga keselamatan jalan raya terutamanya di peringkat IPT.

“Justeru, adalah diharapkan program seumpama ini mampu melahirkan lebih ramai mahasiswa yang mempunyai kesedaran tentang keselamatan jalan raya serta mampu menjadi penerus kepada legasi kelestarian keselamatan dan kesihatan pengguna jalan raya di Malaysia,” ujarnya.

Seramai 81 orang pelajar daripada lima buah IPT termasuklah UMS, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sabah, Politeknik Kota Kinabalu, Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) KK dan Cyberjaya College Sabah hadir pada program tersebut.

Hadir sama Konsulat Jeneral Jepun ke Malaysia, Yamashita Yoshito; Penyelaras Kanan, Honda Malaysia, Makoto Uchida; dan Pengurus Besar, IATSS Forum Jepun, Yoshinari Takagaki.

 

Kerjasama strategik Pusat Sains Negara (PSN) dan U-Science Universiti Malaysia Sabah (UMS) dapat membantu menggerakkan dan menjayakan program pembudayaan sains di kawasan luar bandar Sabah.

Pengarah Pusat Sains Negara, Mohammad Fuad Rahman, berkata U-Science UMS adalah rakan strategik PSN di Sabah dalam menjayakan program pembudayaan sains di negeri itu termasuk Minggu Sains Negara peringkat negeri dan Kembara Sains Borneo pada tahun lalu.

Beliau juga berharap kerjasama strategik itu dapat diperkukuhkan dan diteruskan pada masa akan datang demi kebaikan masyarakat terutama di luar bandar negeri berkenaan.

Justeru, beliau berpandangan adalah penting untuk memformalisasikan kerjasama antara kedua-dua pihak menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara PSN dan U-Science UMS.

"Kita berharap kerjasama erat dengan U-Science UMS akan diperkukuhkan lagi selepas memeterai MoU yang dijangka akan dibuat tahun ini bagi merancakkan agenda Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) di Sabah seperti terkandung dalam Dasar Sains, Teknologi & Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030

"Menerusi MoU ini nanti, lebih banyak kerjasama dalam pelbagai aspek dapat dilaksanakan," katanya.

Terdahulu, beliau melakukan lawatan ke Pusat U-Science UMS bersama delegasinya dengan objektif kunjungan terbaru itu bagi membincangkan program kerjasama antara kedua pihak.

Sementara itu, Ketua U-Science UMS, Zawawi Tiyunin, berkata apa yang dicapai oleh pihaknya sekarang ini tidak dapat direalisasikan tanpa jalinan kolaborasi dengan PSN.

"U-Science tidak akan berada pada kedudukan hari ini tanpa kerjasama erat yang diberikan pihak PSN.

"Kita harap kerjasama strategik secara berterusan dengan PSN menerusi program jangkau luar pembudayaan sains, latihan sangkutan di antara kakitangan serta pertukaran bahan pameran dapat dipertingkatkan pada masa akan datang," katanya.

Zawawi berkata, sejak penubuhan U-Science UMS pada Mac 2020, PSN adalah entiti yang sentiasa bersama unit itu dalam menjayakan program pembudayaan sains di Sabah.

Pada 2023, sebanyak 80,970 penyertaan untuk semua program pembudayaan sains yang dianjurkan U-Science UMS.

 

Seramai 154 peserta menyertai Persidangan Antarabangsa Sains Marin dan Akuakultur 2024 (ICOMSA) anjuran Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB) Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang berlangsung pada Rabu.

Persidangan selama dua hari itu turut disertai oleh peserta antarabangsa dari Indonesia, China, Japan, Korea Selatan dan Rusia.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata sebagai sebuah pemain industri marin negara, peranan UMS tertumpu kepada usaha menyokong kerajaan dalam membuat keputusan berkaitan sains dan hal ehwal marin dan maritim, selain memberikan pendidikan berkualiti tinggi dalam bidang berkenaan.

Katanya, projek penyelidikan yang dijalankan oleh UMS adalah relevan pada masa kini untuk menangani isu-isu antarabangsa seperti pemanasan global dan kesan perubahan iklim kepada alam sekitar dan penduduk dunia.

“Ini termasuklah penyelidikan karbon biru mengenai rumpai laut dan paya bakau yang penting sebagai tempat perlindungan, pembenihan dan makanan untuk ikan, udang dan ketam termasuk spesies komersial.

“Kesan perubahan iklim yang meluas menyebabkan kemerosotan yang signifikan kepada ekosistem laut. Kesannya sudah dirasai oleh mereka yang terlibat bukan sahaja dalam industri perikanan tetapi juga rakyat yang bergantung kepada sumber laut,” ujarnya.

Teks ucapan kasim dibacakan oleh Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) UMS, Profesor ChM. Ts. Dr. Coswald Stephen Sipaut.

Tambah Kasim, dengan memiliki kemudahan akuakultur terbaik, UMS dapat melatih lebih ramai pelajar dan penyelidik dari dalam dan luar negara dengan menggunakan kemudahan di IPMB seperti hatceri dan inkubator.

“Selain daripada penyelidikan akuakultur, penyelidikan marin juga sangat penting, seperti perikanan, terumbu karang dan pemulihan rumput laut, penubuhan kawasan perlindungan marin, dan pemuliharaan biodiversiti, sejajar dengan matlamat Pembangunan Mampan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu SDG14 mengenai Kehidupan di Bawah Air.

“UMS misalnya sedang melaksanakan beberapa projek pemulihan karang besar yang diterajui WWE-Malaysia bersama Taman-Taman Sabah di Kudat. UMS juga bekerjasama rapat dengan Taman-Taman Sabah dalam penubuhan kawasan perlindungan baru, seperti cadangan kawasan perlindungan marin Teluk Darvel,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian ICOMSA 2024 yang dirasmikan oleh Ketua Pegawai Penyelaras Sekretariat Sabah Maju Jaya, Datuk Rosmadi Datu Sulai.

Terdahulu Pengerusi ICOMSA 2024, Dr. Zarina Waheed berkata ICOMSA 2024 menekankan usaha dan kesungguhan penyelidikan dalam memajukan sains marin dan penyelidikan akuakultur yang mampan.

Katanaya ia bukan sahaja mengukuhkan strategi pengurusan berasaskan sains yang memenuhi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, matlamat 14 mengenai Kehidupan di Bawah Air, tetapi juga mempromosikan matlamat SDG 4 mengenai Pendidikan Berkualiti.

“Tema persidangan, ‘Ocean Futures: Advancing Sustainable Marine Science and Aquaculture for a Changing World’, sejajar dengan isu-isu sebenar dan mendesak mengenai keadaan laut pada masa kini. Sesi persidangan ini terdiri daripada 11 subtema, dengan topik daripada Akuakultur dan Perikanan kepada Mitigasi dan Adaptasi Perubahan Iklim, kepada Pencemaran Marin dan Kesihatan Laut.

“Dengan mengadaptasi kemajuan dalam teknologi maklumat, para penyelidik telah mempelbagaikan cara untuk mempamerkan penyelidikan melalui pelbagai platform termasuk secara maya dengan penglibatan generasi muda yang akan memikul tanggungjawab masa depan dalam penyelidikan dan pembuat dasar.

“Landskap akademik dan kolaboratif ini menekankan kepentingan acara seperti persidangan yang dianjurkan. Saya percaya persidangan ini berpotensi untuk menarik lebih ramai peserta ke Sabah sekali gus memacu kemajuan substantif dalam sains marin dan akuakultur dalam dunia yang sentiasa berubah,” katanya.

Turut hadir, Pengarah IPMB UMS, Profesor Madya Dr. Ching Fui Fui @ Faihana Ching Abdullah.

 

Penawaran program Diploma Lepasan Ijazah-Diploma Amalan Kehakiman dan Guaman Syarie (DIJAP) secara pesisir di kampus Univesiti Malaysia Sabah (UMS) mampu membantu dalam melatih dan menghasilkan tenaga profesional yang berkelayakan dalam amalan kehakiman dan guaman syarie.

Program yang ditawarkan melalui Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu akan mula dilaksanakan bermula Oktober tahun ini.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, usaha ini adalah suatu langkah yang sangat relevan dengan keperluan semasa yang menjadi fardu kifayah dalam masyarakat Islam yang perlu ditangani bersama.

“Melahirkan pakar-pakar yang mahir dalam bidang ini dilihat memenuhi tuntutan fardu kifayah dalam membentuk tenaga profesional dalam sistem kehakiman bagi tujuan keadilan secara menyeluruh sesuai dengan prinsip-prinsip syariat Islam.

“Ini juga dapat menggalakkan pemahaman yang mendalam tentang prinsip-prinsip syariah, selain menyokong pembangunan masyarakat sebagai ejen perubahan berteraskan akidah, syariah dan akhlak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan sempena dengan pelancaran program tersebut yang disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah USIM, Tan Sri Dr. Norzrul Thani Nik Hassan Thani di UMS.

Sementara itu, Norzrul Thani dalam ucapan perasmiannya memberitahu, memiliki DIJAP merupakan salah satu syarat utama bagi melayakkan graduan undang-undang dan syariah beramal dalam bidang kehakiman dan guaman syarie termasuk di negeri Sabah.

“Melihat kepada keperluan ini, FSU USIM telah mengambil inisiatif bersama dengan Fakulti Pengajian Islam (FIS) UMS bagi membuka ruang dan peluang kepada pelajar di Zon Sabah dan Sarawak untuk mengikuti program ini.

“Sebagai makluman, DIJAP juga merupakan program lepasan ijazah yang ulung di sini kerana belum ada program seumpama ini yang ditawarkan di Sabah.

“Program ini dirangka untuk memberikan penekanan kepada pemahaman undang-undang Islam, prosedur mahkamah syariah, perundangan keluarga Islam, perundangan jenayah, tatacara mal dan tatacara jenayah, pengurusan firma, etika guaman dan aspek-aspek lain yang berkaitan dengan sistem kehakiman syariah dan kepeguaman syarie,” katanya.

Tambah beliau, penawaran program DIJAP tersebut bakal memberikan nilai tambah kepada prospek kerjaya pelajar dalam perkhidmatan kehakiman dan perundangan Islam serta amalan guaman syariah.

“Program ini bukan sahaja memenuhi keperluan akademik yang ditetapkan, tetapi juga memberi pendedahan yang luas kepada fahaman dan aplikasi enakmen-enakmen Syariah Negeri Sabah dan arahan-amalan Mahkamah Syariah Negeri Sabah,” ujar beliau.

Turut hadir pada majlis pelancaran tersebut Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Ts. Dr Sharifudin Md Shaarani; Ketua Hakim Syarie Sabah, Ahadin Arinen; Pengerusi Persatuan Peguam Syarie Sabah, Abdul Razak Hj. Jamil; Dekan FSU USIM, Prof. Madya Dr. Nik Salida Suhaila Nik Saleh; dan Dekan FIS UMS, Prof. Dr. Hj. Dahlan Hj. Abdul Malek.

 

Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) sedia bekerjasama dengan Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Wilayah Persekutuan Labuan mengelolakan pelbagai program belia dan sukan.

Pengarah UMSKAL, Prof. Madya Dr. Mohamad Rizal Abd Hamid berkata pihaknya sebagai sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang tunggal di pulau ini akan sentiasa berganding bahu dengan jabatan dan agensi kerajaan mengadakan program yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak khususnya mahasiswa UMSKAL.

“UMSKAL sentiasa bersedia bekerjsama dengan jabatan dan agensi kerajaan menganjurkan pelbagai program yang membabitkan mahasiswa dan komuniti di Wilayah Persekutuan Labuan.

“Pelbagai program belia dan sukan sememangnya sesuai dengan kehendak mahasiswa dan kakitangan UMSKAL.

“Kami mengalu-alukan penganjuran bersama acara belia dan sukan dengan jabatan dan agensi kerajaan di Labuan,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat delegasi Jabatan Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan Labuan yang diketuai pengarahnya, Mahanum Fauzi diBilik Mesyuarat Eksekutif, Aras 13, Bangunan Menara UMSKAL pada Jumaat.

Delegasi JBS turut disertai Penolong Pengarah Belia, Tracy Tumay Rigar, Pegawai Pembangunan Rakan Muda, Zulhairi Isnean, Pegawai Pembangunan Sosial, Rayner Justine dan Pengurus Kompleks Sukan, Abang Syamsulzainuri Abang Sapini.

Turut hadir Ketua Pentadbiran UMSKAL, Zamri Haji Mohammad Tuah, Ketua Sektor Sukan dan Rekreasi (SSR) UMSKAL, Dr Ahmad Fadly Abdul Rahman serta wakil Sektor Hal Ehwal Pelajar.

Dr. Mohamad Rizal berkata, dengan adanya kemudahan seperti dewan kuliah, bilik kuliah dan gelanggang sukan, pihaknya mampu mengendalikan pelbagai acara yang membabitkan belia dan sukan.

Malah, katanya, UMSKAL juga bersedia berkongsi ilmu dan kepakaran yang dimiliki pensyarah dan pegawai serta kakitangan dengan komuniti setempat.

“Sudah beberapa kali mahasiswa dan pensyarah serta kakitangan UMSKAL memberikan kerjasama menjayakan pelbagai program anjuran jabatan dan agensi kerajaan,”katanya.

Sementara itu, Mahanum memaklumkan JBS dengan kerjasama jabatan dan agensi kerajaan akan menganjurkan Hari Belia Negara (HBN) 2024 Peringkat WP Labuan pada 18 dan 19 Mei ini di Dewan Kompleks Ujana Kewangan Labuan.

Katanya, HBN 2024 yang bertemakan ‘Yakin Boleh’ itu menampilkan pelbagai program menarik untuk disertai warga Labuan khususnya golongan belia.

“JBS Labuan mengucapkan terima kasiih kepada jabatan dan agensi kerajaan yang bekerjasama menjayakan HBN 2024.

“Pelbagai program menarik menanti warga Labuan pada 18 dan 19 Mei ini di Ujana Kewangan Labuan,” katanya.