Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP) telah mengadakan satu kerjasama bersama Jabatan Dietetik dan Sajian Hospital Negeri Sabah dalam berkongsi kepakaran bagi memperkasa hidangan menu makanan bagi pesakit disfagia.

Pensyarah Program Perkhidmatan Makanan FSMP, Dr. Aizul Azri Azizan dalam satu kenyataan menerangkan bahawa risiko disfagia, satu keadaan apabila pesakit mengalami gangguan menelan disebabkan faktor-faktor seperti penuaan, strok, kanser dan lain-lain, banyak dilaporkan dalam kalangan warga tua di negara ini.

“Ini sekali gus menjadikan Malaysia berisiko dengan keadaan disfagia memandangkan jangkaan 20 peratus daripada jumlah penduduk menjelang tahun 2056 adalah terdiri daripada warga tua.

“Justeru, melalui kerjasama ini, UMS dan Jabatan Dietetik dan Sajian Hospital Negeri Sabah akan memperkasakan menu disfagia berpandukan kerangka kerja International Dysphagia Diet Standardization Innitiatives (IDDSI) iaitu panduan penyediaan dengan kaedah pengujian yang digunakan banyak negara di dunia dalam pengurusan pesakit disfagia.

“Usaha tersebut juga adalah bagi memastikan menu yang disediakan di hospital selari dengan intervensi dan preskripsi klinikal yang diberikan dari penilaian yang dijalankan oleh pakar perubatan dan pakar pemulihan pertuturan (speech therapist),” katanya dalam kenyataan bersempena dengan lawatan Jabatan Dietetik dan Sajian Negeri Sabah ke FSMP baru-baru ini.

Tambah Aizul, melalui jaringan kerjasama antara akademik dan industri itu, perkongsian sumber dan kepakaran berkaitan dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan makanan kesihatan melalui penyediaan diet disfagia patuh IDDSI di hospital-hospital seluruh Sabah.

“Pelaksaaan IDDSI ini belum pernah dilaksanakan di mana-mana fasiliti kesihatan di Malaysia sekali gus menjadikan usaha ini sebagai satu anjakan dalam pengurusan disfagia negara.

“Justeru, FSMP UMS amat berbesar hati untuk terus menyumbang dan berkolaborasi dengan Jabatan Dietetik dan Sajian melalui perkongsian kepakaran dan sumber untuk pelaksanaan IDDSI di semua hospital negeri Sabah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kepakaran Dietetik dan Sajian, Norafizah Mohd Nordin berkata pelaksanaan IDDSI di negeri Sabah menunjukkan komitmen perkhidmatan makanan kesihatan negeri dalam membantu meningkatkan pengambilan pemakanan pesakit di hospital, selain turut memastikan tekstur makanan yang disediakan selamat dimakan oleh pesakit sebagaimana berdasarkan keperluan klinikal.

“Usaha kerjasama ini juga bagi meningkatkan kemahiran penyedia makanan di hospital-hospital kerajaan untuk merancang menyedia diet yang mematuhi spesifikasi IDDSI.

“Sisa pinggan tinggi untuk menu pesakit disfagia, contohnya diet puri sehingga mencapai 68 peratus dalam kajian terdahulu menunjukkan isu ini perlu diberikan perhatian serius bagi memastikan rawatan melalui pemakanan pesakit disfagia dapat diperbaiki,” ujar beliau.

Hadir sama dalam lawatan kerja tersebut Ketua-Ketua Jabatan Dietetik dan Sajian, Pegawai Dietetik dan Penolong Pegawai Perkhidmatan Makanan bagi zon pantai barat dan pantai timur negeri Sabah.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) merupakan antara lapan universiti di peringkat antarabangsa yang terlibat dalam membangunkan polisi “Open Science Asia” baru-baru ini.

Ini menerusi penyertaan sekumpulan penyelidik UMS yang diketuai oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ir. Dr. Rosalam Hj. Sarbatly dalam sebuah mesyuarat konsortium pertama bagi pembangunan polisi “Open Science Asia” yang berlangsung di Mandal's Narsee Monjee Institute of Management Studies (NMIMS) Mumbai, India.

Rosalam dalam satu kenyataan menjelaskan, projek tersebut merupakan sebuah kolaborasi antarabangsa di antara Malaysia, India, Netherlands, Finland serta Slovenia dan dibiayai oleh dana dari ERASMUS+ Kesatuan Eropah (European Union) berjumlah EUR 779,000.

“Objektif utama projek ini adalah untuk membangunkan polisi dan dasar pelaksanaan Sains Terbuka (Open Science) bagi membolehkan perkongsian pengetahuan hasil penyelidikan dan inovasi di peringkat global.

“Open Science ini adalah selaras dengan lima fokus utama Kementerian Pendidikan Tinggi terutamanya dalam pengukuhan ekosistem penyelidikan dan inovasi serta sejajar dengan matlamat UMS untuk memacu keterampilan penyelidikan universiti di persada antarabangsa,” katanya.

Beliau menambah, aspek utama yang ditekankan adalah dalam pembangunan polisi pelaksanaan Open Science dan penyediaan infostruktur serta infrastruktur bagi membolehkan akses kepada para penyelidik dalam perkongsian maklumat secara beretika terutamanya dari sudut perkongsian dan penggunaan data-data penyelidikan.

“Ini dijangka dapat memacu proses penghasilan teknologi dan inovasi baharu dalam penyelesaian masalah.

“Sebagai contoh, pembangunan vaksin yang sebelum ini mengambil masa bertahun lamanya kini dapat dihasilkan dalam tempoh yang singkat, sebagaimana yang dilaksanakan untuk pembangunan vaksin Covid-19,” katanya.

Dalam pertemuan konsortium tersebut, turut berlangsung satu forum sebagai langkah pendedahan kepada komuniti berkenaan Open Science menerusi perkongsian dari beberapa pakar dan industri dalam bidang berkenaan.

Ini termasuklah ucaptama oleh Emeritus Prof Dr Man Mohan Sharma dari Institute of Chemical Technology India, dan Ketua Pegawai Digital UMS, Profesor Dr. Ag. Asri Ag. Ibrahim.

Timbalan Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan, Prof. Madya Dr. Fatimah Ahmedy yang merupakan penyelaras pelaksanaan projek dari UMS turut hadir sebagai salah seorang perwakilan mesyuarat bersama beberapa penyelidik dari Universiti Malaya dan Universiti Malaysia Sarawak yang juga merupakan rakan konsortium dari Malaysia.

 

Pusat Minda Lestari (PML) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengagihkan sebanyak 3,500 juadah berbuka bubur lambuk kepada pelajar, kakitangan serta orang awam dalam program ‘Bah, Sungkai Kita Bubur Lambuk 3.0!’.

Menurut Pengarah PML, Dr. Suwaibah Zakaria, program tajaan Adabi Sabah Distribution Sdn. Bhd (Adabi) tersebut antara lain bertujuan mengeratkan hubungan dan memupuk semangat kerjasama antara warga PML dan kakitangan UMS serta agensi luar.

“Program ini juga salah satu aktiviti tanggungjawab sosial korporat kami di samping meraih keberkatan dan fadhilat dalam bulan Ramadan Al-Mubarak.

“Antara aktiviti yang dijalankan hari ini adalah penyediaan bahan masakan, memasak, membungkus serta pengagihan bubur lambuk kepada semua warga UMS dan orang awam.

“Diharapkan pelaksanaan program ini dapat memberi manfaat kepada semua warga UMS dan agensi terlibat dalam menyemarakkan budaya bersedekah dalam bulan Ramadan Al-Mubarak,” katanya.

Program anjuran kali ketiga sejak 2022 itu disempurnakan oleh Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor di pintu utama UMS.

Program tersebut turut mendapat kerjasama daripada Pusat Persediaan Sains dan Teknologi, Fakulti Psikologi dan Pendidikan, Fakulti Pengajian Islam, Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, Kelab Suri Rumah dan Staf Wanita UMS serta Kesatuan Kakitangan Am UMS.

Turut serta dalam agihan tersebut Ketua Pustakawan, Md Sazali Md Salleh; Pengurus Adabi Sabah, Muhammad Zahari Muhammad Nasir; Penolong Naib Canselor (Strategik), Profesor Dr. Mohammad Saffree Jeffree serta ketua-ketua jabatan UMS.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus menekankan aspek Darjah Kegembiraan dalam kalangan kakitangannya sebagai usaha meningkatkan produktiviti para kakitangan dalam melaksanakan penyampaian perkhidmatan.

Penekanan tersebut diukur hasil dari Kaji Selidik Darjah Kegembiraan UMS (DK-UMS) yang diambil dalam kalangan kakitangan sama ada staf akademik, pengurusan mahupun kakitangan kumpulan sokongan universiti.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, Kaji Selidik DK-UMS itu sangat penting dalam membantu UMS melakukan penambahbaikan berterusan dalam pelbagai aspek di tempat kerja.

“Hasil kaji selidik ini telah membantu pihak pengurusan strategik UMS untuk merangka strategi organisasi yang berkesan, inisiatif strategik yang mampu meningkatkan kepuasan kakitangan, pelan tindakan untuk membudayakan aktiviti-aktiviti yang meningkatkan darjah kegembiraan kakitangan dan memastikan kelestarian dan kejayaan jangka panjang universiti.

“Perkara ini dimasukkan dalam Pelan Strategik UMS 2023-2027 di bawah Bidang Keberhasilan Utama Ke-6 iaitu Pemerkasaan Tadbir Urus, Sumber Manusia dan Sistem Penyampaian,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan sempena sesi perjumpaan bersama Jawatankuasa DK-UMS bagi membentangkan laporan hasil kaji selidik tersebut.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kaji Selidik DK-UMS, Prof. Madya Dr. Muhammad Idris ketika membentangkan laporan tersebut memaklumkan, peningkatan DK-UMS kepada 73% pada tahun 2023 mencerminkan peningkatan yang berterusan dan proses perubahan yang positif sedang berlaku terhadap usaha memastikan setiap staf mencapai kepuasan, keseronokan dan kesejahteraan keseluruhan yang berkait dengan tugas dan tanggungjawab kakitangan.

Katanya, peningkatan tersebut turut selari dengan kedudukan Malaysia iaitu berada di tangga ke-55 negara paling bahagia di dunia pada tahun 2023 berbanding kedudukan ke-70 pada tahun 2022.

“Kegembiraan dalam bekerja boleh dilihat melalui keterlibatan, motivasi dan semangat yang ditunjukkan oleh semua kakitangan UMS.

“Faktor-faktor seperti memiliki autonomi dalam pekerjaan, hubungan yang baik dengan rakan kerja dan pihak atasan, peluang untuk berkembang, keseimbangan antara kehidupan kerja dan peribadi, serta keselarasan nilai individu dengan tujuan organisasi, semuanya mempengaruhi tahap kegembiraan di tempat kerja,” jelas beliau.

Hadir sama pada perjumpaan tersebut Ketua Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Sirahim Abdullah.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerima lebih RM150,000 sumbangan daripada pelbagai pihak bagi membiayai beberapa program yang dikendalikan universiti itu.

Sumbangan itu diterima pada Majlis Sungkai Perdana UMS 2024 yang turut dihadiri isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah Toh Puan Norlidah RM Jasni.

Majlis yang diadakan di Pusat Islam UMS itu turut dihadiri Pengerusi Lembaga Pengarah UMS Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dan Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr Kasim Mansor.

Antara sumbangan yang diterima UMS adalah daripada Etiqa Family Takaful Berhad berjumlah RM80,000 bagi tujuan pembangunan koleksi Islamic Corner di Perpustakaan UMS.

Selain itu, UMS turut menerima sumbangan berjumlah RM10,000 daripada Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS).

Turut menyerahkan sumbangan adalah Tabung Haji (TH) berjumlah RM64,000 bagi bantuan pengajian kepada pelajar Program Profesional Huffaz Al-Quran UMS.

Penyerahan sumbangan itu juga sebagai simbolik kepada pelancaran Program Profesional Huffaz Al-Quran UMS.

Sementara itu, seramai 16 pelajar UMS terdiri daripada pelajar tahun satu  dan tahun dua  UMS terpilih sebagai kumpulan ambilan pertama bagi program anjuran Fakulti Pengajian Islam UMS dengan kerjasama Pusat Islam UMS.

Terdahulu, Toh Puan Norlidah turut mengagihkan agihan zakat kepada 16 penerima, yang terdiri daripada lapan  kakitangan dan lapan pelajar UMS.