Pusat Minda Lestari (PML) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengagihkan sebanyak 3,500 juadah berbuka bubur lambuk kepada pelajar, kakitangan serta orang awam dalam program ‘Bah, Sungkai Kita Bubur Lambuk 3.0!’.

Menurut Pengarah PML, Dr. Suwaibah Zakaria, program tajaan Adabi Sabah Distribution Sdn. Bhd (Adabi) tersebut antara lain bertujuan mengeratkan hubungan dan memupuk semangat kerjasama antara warga PML dan kakitangan UMS serta agensi luar.

“Program ini juga salah satu aktiviti tanggungjawab sosial korporat kami di samping meraih keberkatan dan fadhilat dalam bulan Ramadan Al-Mubarak.

“Antara aktiviti yang dijalankan hari ini adalah penyediaan bahan masakan, memasak, membungkus serta pengagihan bubur lambuk kepada semua warga UMS dan orang awam.

“Diharapkan pelaksanaan program ini dapat memberi manfaat kepada semua warga UMS dan agensi terlibat dalam menyemarakkan budaya bersedekah dalam bulan Ramadan Al-Mubarak,” katanya.

Program anjuran kali ketiga sejak 2022 itu disempurnakan oleh Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor di pintu utama UMS.

Program tersebut turut mendapat kerjasama daripada Pusat Persediaan Sains dan Teknologi, Fakulti Psikologi dan Pendidikan, Fakulti Pengajian Islam, Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, Kelab Suri Rumah dan Staf Wanita UMS serta Kesatuan Kakitangan Am UMS.

Turut serta dalam agihan tersebut Ketua Pustakawan, Md Sazali Md Salleh; Pengurus Adabi Sabah, Muhammad Zahari Muhammad Nasir; Penolong Naib Canselor (Strategik), Profesor Dr. Mohammad Saffree Jeffree serta ketua-ketua jabatan UMS.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus menekankan aspek Darjah Kegembiraan dalam kalangan kakitangannya sebagai usaha meningkatkan produktiviti para kakitangan dalam melaksanakan penyampaian perkhidmatan.

Penekanan tersebut diukur hasil dari Kaji Selidik Darjah Kegembiraan UMS (DK-UMS) yang diambil dalam kalangan kakitangan sama ada staf akademik, pengurusan mahupun kakitangan kumpulan sokongan universiti.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, Kaji Selidik DK-UMS itu sangat penting dalam membantu UMS melakukan penambahbaikan berterusan dalam pelbagai aspek di tempat kerja.

“Hasil kaji selidik ini telah membantu pihak pengurusan strategik UMS untuk merangka strategi organisasi yang berkesan, inisiatif strategik yang mampu meningkatkan kepuasan kakitangan, pelan tindakan untuk membudayakan aktiviti-aktiviti yang meningkatkan darjah kegembiraan kakitangan dan memastikan kelestarian dan kejayaan jangka panjang universiti.

“Perkara ini dimasukkan dalam Pelan Strategik UMS 2023-2027 di bawah Bidang Keberhasilan Utama Ke-6 iaitu Pemerkasaan Tadbir Urus, Sumber Manusia dan Sistem Penyampaian,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan sempena sesi perjumpaan bersama Jawatankuasa DK-UMS bagi membentangkan laporan hasil kaji selidik tersebut.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kaji Selidik DK-UMS, Prof. Madya Dr. Muhammad Idris ketika membentangkan laporan tersebut memaklumkan, peningkatan DK-UMS kepada 73% pada tahun 2023 mencerminkan peningkatan yang berterusan dan proses perubahan yang positif sedang berlaku terhadap usaha memastikan setiap staf mencapai kepuasan, keseronokan dan kesejahteraan keseluruhan yang berkait dengan tugas dan tanggungjawab kakitangan.

Katanya, peningkatan tersebut turut selari dengan kedudukan Malaysia iaitu berada di tangga ke-55 negara paling bahagia di dunia pada tahun 2023 berbanding kedudukan ke-70 pada tahun 2022.

“Kegembiraan dalam bekerja boleh dilihat melalui keterlibatan, motivasi dan semangat yang ditunjukkan oleh semua kakitangan UMS.

“Faktor-faktor seperti memiliki autonomi dalam pekerjaan, hubungan yang baik dengan rakan kerja dan pihak atasan, peluang untuk berkembang, keseimbangan antara kehidupan kerja dan peribadi, serta keselarasan nilai individu dengan tujuan organisasi, semuanya mempengaruhi tahap kegembiraan di tempat kerja,” jelas beliau.

Hadir sama pada perjumpaan tersebut Ketua Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Sirahim Abdullah.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerima lebih RM150,000 sumbangan daripada pelbagai pihak bagi membiayai beberapa program yang dikendalikan universiti itu.

Sumbangan itu diterima pada Majlis Sungkai Perdana UMS 2024 yang turut dihadiri isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah Toh Puan Norlidah RM Jasni.

Majlis yang diadakan di Pusat Islam UMS itu turut dihadiri Pengerusi Lembaga Pengarah UMS Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dan Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr Kasim Mansor.

Antara sumbangan yang diterima UMS adalah daripada Etiqa Family Takaful Berhad berjumlah RM80,000 bagi tujuan pembangunan koleksi Islamic Corner di Perpustakaan UMS.

Selain itu, UMS turut menerima sumbangan berjumlah RM10,000 daripada Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS).

Turut menyerahkan sumbangan adalah Tabung Haji (TH) berjumlah RM64,000 bagi bantuan pengajian kepada pelajar Program Profesional Huffaz Al-Quran UMS.

Penyerahan sumbangan itu juga sebagai simbolik kepada pelancaran Program Profesional Huffaz Al-Quran UMS.

Sementara itu, seramai 16 pelajar UMS terdiri daripada pelajar tahun satu  dan tahun dua  UMS terpilih sebagai kumpulan ambilan pertama bagi program anjuran Fakulti Pengajian Islam UMS dengan kerjasama Pusat Islam UMS.

Terdahulu, Toh Puan Norlidah turut mengagihkan agihan zakat kepada 16 penerima, yang terdiri daripada lapan  kakitangan dan lapan pelajar UMS.

 

 

Kira-kira lima juta liter sehari (MLD) bekalan air dijangka dapat disalurkan ke Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi sistem agihan air di universiti itu dalam masa terdekat.

Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr Kasim Mansor berkata, dari jumlah bekalan air yang disalurkan, empat MLD merupakan bekalan yang disalurkan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dan satu MLD lagi menerusi lapan telaga tiub yang sedang disiapkan.

“Alhamdulilah daripada analisis yang telah kita buat, lapan telaga tiub telah berjaya digerudi dan boleh menjana sekurang-kurangnya satu MLD dan ia dapat menampung kekurangan yang ada selain JANS turut membekalkan air sebanyak empat MLD.

“Jadi dengan adanya telaga tiub itu, jumlah itu boleh menampung keperluan kira-kira 22,000 warga UMS yang berada di kawasan kampus pada siang hari, termasuk pelajar yang tinggal di kolej kediaman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sungkai Perdana UMS di Pusat Islam UMS, di sini malam tadi.

Hadir sama, isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Norlidah RM Jasni dan Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Beliau menambah, semua enam telaga tiub yang dibina menerusi peruntukan berjumlah RM3 juta yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mei tahun lalu kini sudah siap digerudi.

Katanya, ketika ini kontraktor sedang menyiapkan sistem takungan dan kerja perpaipan ke kolej kediaman pelajar dengan tiga daripadanya dijangka siap sepenuhnya seperti yang dijadualkan pada 26 Mac ini.

“Manakala tiga lagi bersama dua telaga yang dibiayai menerusi peruntukan RM2 juta dari Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) hanya dijangka siap pada April depan.

“Pada masa ini, semua penggerudian sudah dibuat, kandungan air juga sudah diuji dan keputusannya kita sudah tahu, jadi sekarang kontraktor sedang melaksanakan urusan membina takungan air dan kerja berkaitan, selain paip pengagihan ke kolej kediaman,” ujar beliau.

 

 

Dalam perkembangan baru-baru ini, Universitas Tanjungpura, Pontianak Indonesia (UNTAN) mengadakan lawatan ke Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) di Universiti Malaysia Sabah pada 4 Mac 2024.

Objektif utama lawatan penanda aras ini adalah untuk meneroka potensi kerjasama peluang dalam aktiviti akademik, usaha penyelidikan, dan peluang pasca siswazah di UMS

Delegasi yang diketuai oleh Dr. Rosyadi, S.E., M.Si, merangkumi lebih 20 pelajar pascasiswazah.

Kunjungan tersebut disambut baik oleh Dr. Noor Fzlinda Fabeil, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Pasca Siswazah di UMS.

Dekan FPEP UMS, Profesor Madya Dr. Mohd. Rahimi Abd. Karim, mengucapkan selamat datang kepada perwakilan UNTAN, yang institusinya ditubuhkan pada 1959.

Kedua-dua pihak memeterai komitmen mereka untuk bekerjasama dengan menandatangani Surat Niat, menggariskan rancangan untuk aktiviti pertukaran akademik, inisiatif penyelidikan bersama, dan memudahkan mobiliti untuk kakitangan dan pelajar.

Sesi tersebut disertai oleh Dr. Izyanti Awang Razli, Pascasiswazah oleh Penyelaras Penyelidikan, dan Dr. Allif Anwar, Penyelaras Kerja Kursus Postgarden, dan Profesor Madya Dr. Zaiton Osman, mantan dekan di UMS Kampus Antarabangsa Labuan.

Semasa lawatan itu, Datu Razali Datu Eranza dan Andy Lee Chen Hiung berkongsi pengalaman tentang program mobiliti FPEP.

Sebagai penyelaras untuk program mobiliti, mereka menghuraikan pengalaman mereka dalam menguruskan program mobiliti masuk dari pelbagai negara termasuk China, Indonesia, Vietnam, Laos, Thailand, Korea Selatan, Gabon dan Kemboja. 

Agenda hari itu juga termasuk sesi untuk pelajar pascasiswazah dari kedua-dua universiti, yang difasilitasi oleh Andrew Sean, ketua persatuan komuniti pelajar pascasiswazah. Sesi ini bertujuan untuk memupuk pertukaran pengalaman, meneroka potensi kerjasama, dan membincangkan aktiviti masa depan.

Dr. Rosyadi dan pelajar pascasiswazah UNTAN terpesona dengan pemandangan indah UMS dan kemegahan Masjid UMS yang terkenal. Sebelum berlepas ke Sarawak pada hari berikutnya, mereka menikmati lawatan kampus yang menyeluruh.

Usaha kerjasama ini menandakan satu langkah penting ke arah meningkatkan kerjasama akademik dan memupuk pertumbuhan bersama antara UMS dan UNTAN.