Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP) menjalin kerjasama strategik dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) menerusi pertukaran surat niat, baru-baru ini.

Dekan FSMP, Profesor Ts. Dr. Hasmadi Mamat berkata jalinan kerjasama tersebut bertujuan menyebarluas ilmu dan kepakaran dalam bidang pemakanan dan kesihatan kepada komuniti setempat melalui penganjuran program Nutrition in Community Engagement (NiCE) dalam kalangan pelajar, guru dan ibu bapa murid-murid Sekolah Agama Negeri (SAN).

Katanya ia juga merupakan salah satu inisiatif pembelajaran berasaskan perkhidmatan dalam kalangan pelajar FSMP khususnya bagi Program Sarjana Muda Pemakanan dengan Kepujian.

‘‘Selain itu, melalui penyelarasan penyelidikan dan pembangunan Makmal Hidup NiCE, jalinan kerjasama ini dilihat mampu mengenalpasti dan menangani isu-isu pemakanan semasa dalam komuniti terutamanya beban berganda malpemakanan dalam kalangan kanak-kanak yang semakin membimbangkan.

“Pendekatan model sosial-ekologi boleh diterapkan dalam penyelidikan yang akan dijalankan bagi mengenalpasti pelbagai faktor yang mempengaruhi amalan pemakanan dan gaya hidup, sekali gus membolehkan intervensi yang bersesuaian dan berkesan dapat dilaksanakan.

‘‘Di samping itu, jalinan kerjasama ini juga mampu meningkatkan pengetahuan, kemahiran praktikal dan kemahiran insaniah dalam kalangan pelajar, menjadikan pelajar lebih bersedia untuk menghadapi cabaran dunia sebenar yang bakal mereka hadapi dalam kerjaya mereka sebagai ahli pemakanan profesional yang berdaya saing dalam sektor sains kesihatan,’’ katanya.

Sementara itu Ketua Progam Pemakanan UMS, Dr. Noor Atiqah Aizan Abdul Kadir berkata program NiCE merupakan satu program yang memberi impak kepada komuniti yang terlibat.

“Sehingga kini, Program Pemakanan telah menjangkau 173 orang mahasiswa, dan telah melahirkan seramai 72 graduan dan Ahli Pemakanan yang sedang bergiat aktif dalam pelbagai sektor yang berkaitan.

“Setakat ini, dengan jumlah klien yang mencapai kira-kira 285 orang, tidak dinafikan bahawa program NiCE mampu memantapkan lagi usaha untuk menangani penyakit-penyakit kronik yang berkaitan pemakanan secara menyeluruh dan berkesan demi kemakmuran bersama,” ujarnya.

Pada upacara pertukaran surat niat, UMS diwakili oleh Hasmadi manakala JHEAINS diwakili oleh Timbalan Pengarah (Pengurusan), Haji Ahmad Haji Yusop yang dilaksanakan selesai Perasmian Penutupan Program NiCE 2024.

Pada majlis tersebut juga, seramai 27 pelajar tahun akhir Program Pemakanan menerima sijil tamat khidmat komuniti selama 280 jam sepanjang empat tahun pengajian dan sebanyak sembilan buah keluarga yang merupakan komuniti NiCE kohot 2021 telah menerima sijil penghargaan atas kejayaan melengkapkan Program NiCE.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) sebagai langkah penting memperkukuh kerjasama akademik dan penyelidikan kedua-dua pihak.

Kerjasama MoU berkenaan antaranya merangkumi penyelidikan akademik dan penerbitan ilmiah berkaitan isu-isu agama, ekonomi islam, dan pembangunan masyarakat.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Haji Mansor berkata kolaborasi tersebut merupakan sebahagian daripada usaha UMS memperkukuh hubungan dengan institusi-institusi penting dalam negara bagi meningkatkan kualiti pendidikan dan penyelidikan.

“Sebagai sebuah universiti awam yang sedang meniti usia matang, UMS menyedari bahawa tanggungjawab dan sumbangan kami tidak terhad kepada pengajaran di dalam bilik kuliah sahaja.

“Oleh yang demikian, UMS sentiasa berusaha untuk meneroka program-program yang boleh memberikan impak positif terhadap pelbagai aspek kehidupan komuniti setempat.

“Antara contoh, UMS terlibat dalam penyelidikan yang menyumbang kepada kemajuan ilmu pengetahuan dan teknologi, di mana hasil penyelidikan tersebut boleh menyelesaikan masalah masyarakat, mencipta inovasi, dan meningkatkan kualiti hidup,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) UMS, Profesor Dr. Ts. Coswald Stephen Sipaut @ Mohd Nasri mewakili Naib Canselor UMS dalam upacara penyerahan dan pertukaran dokumen MoU berkenaan.

Tambah Kasim, UMS komited untuk menyediakan latihan tambahan, kursus profesional dan peluang pembangunan untuk pelajar dan masyarakat dalam membantu mereka melengkapkan diri dengan kemahiran dan pengetahuan yang relevan dengan industri.

“UMS sangat teruja untuk melangkah setapak ke hadapan dengan memformalkan kerjasama dengan PMWP.

“PMWP merupakan antara jabatan yang diakui memiliki reputasi tinggi di Wilayah Persekutuan atas sumbangan besar terhadap masyarakat Islam khususnya dalam aspek agama dan kebajikan masyarakat secara amnya.

“Justeru itu, kerjasama ini akan menyatukan kekuatan dan kepakaran UMS dan PMWP dalam bidang masing-masing, dan saya yakin ia akan memberi manfaat besar bukan sahaja kepada kedua-dua institusi kita malahan kepada komuniti,” ujarnya.

Turut hadir, Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan, Haji Jamali Mohd Adnan; Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar; Penolong Mufti Kanan Wilayah Persekutuan, Ahmad Noor Syaiful serta Dekan Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Profesor Madya Dr. Geoffrey Harvey Tanakinjal.

 

Semangat kesukarelawan dalam kalangan siswa perlu terus dipupuk sebagai asas kepada pembentukan warganegara yang prihatin, bertanggungjawab, dan saling bantu membantu tanpa mengira agama, kaum dan warna kulit.

Justeru, Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa Non Residen (JAKMAS NR) Universiti Malaysia Sabah (UMS) Sesi 2023/2024 telah mengadakan program khidmat masyarakat di Pusat Rumah Anak Yatim, Baitul Amin, Pitas baru-baru ini sebagai usaha berterusan dalam menyemai dan memperkukuh semangat kesukarelawan dalam kalangan pelajar universiti.

Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) itu turut mendapat kerjasama daripada Pusat Pengurusan Non Residen dan Fasiliti Perumahan Pelajar (PNRF).

Menurut Pengarah PNRF, Stella @ Nurul Martini Gontol, program murni tersebut adalah menyokong kepada amanat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) iaitu pemerkasaan pelajar melalui program-program pembangunan sahsiah seumpama itu.

“Ini juga menyahut seruan salah satu program utama di bawah KPT iaitu Semarak Siswa Madani atau juga dikenali sebagai S4S (Student for Society).

“Program ini juga bertujuan untuk menambah pengetahuan dan pengalaman pelajar dalam berinteraksi dengan masyarakat.”

“Di samping itu, program ini juga dapat menekankan kepentingan ilmu pengetahuan dan pendidikan melalui pelbagai medium dalam kehidupan dan memberi pengalaman berkualiti kepada pelajar,” katanya.

‘Bertemakan ‘Kami Peduli, Kami Sayangi’, program yang melibatkan kumpulan pelajar non residen itu diketuai Pengarah Program, Nabila Noridayu Jaryed.

Kehadiran 17 pelajar NR di Rumah Anak Yatim Baitul Hidayah disambut mesra oleh pengurusan dan 25 penghuni rumah anak yatim serta dibantu oleh para warden yang sentiasa bersama sepanjang program tersebut berlangsung.

Arnidah Abd Sari, Setiausaha Rumah Anak Yatim tersebut turut merakamkan penghargaan kepada UMS khususnya PNRF atas usaha melaksanakan aktiviti kemasyarakatan di rumah tersebut.

Menurut beliau, kehadiran kumpulan pelajar dari UMS amat bermakna kerana dapat memberikan sedikit motivasi dan galakan untuk anak-anak di rumah tersebut untuk terus belajar bersungguh-sungguh hingga ke menara gading dan pada masa sama turut mengharapkan program sedemikian dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMS), Prof. Madya Dr. Raman Noordin turut menyokong program sahsiah seumpama itu dilaksanakan secara giat dan berterusan.

Hadir sama dalam program tersebut Setiausaha JAKMAS NR, Malyana Aniqah Jinam bersama-sama kakitangan PNRF antaranya Mokrin Hj Basrin, Edwin Lumbating, Arieon Maison, dan En. Rahman @ Abdul Rahman Ibrahim.

 

Warga Universiti Malaysia Sabah (UMS) disaran agar memberi penekanan kepada inovasi baharu yang mampu memberi manfaat kepada komuniti.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata, sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi, UMS mempunyai sumber kepakaran yang boleh dimanfaatkan untuk membantu komuniti setempat.

“Usaha ini adalah sejajar dengan langkah pemerkasaan komuniti yang merupakan antara tujuh fokus utama yang digariskan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pada tahun ini.

“Kerjasama strategik antara UMS dan syarikat tempatan, Maha Sawit dalam model penanaman halia misalnya dilihat mampu memberi pendapatan tambahan kepada pelajar-pelajar B40 yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan kunjungan sulung beliau ke Fakulti Pertanian Lestari, UMS Kampus Sandakan baru-baru ini.

Mustapha menambah, model tersebut sekiranya dilaksanakan mampu membantu pelajar-pelajar dan staf untuk menambah pendapatan mereka.

Terdahulu, Dekan FPL, Prof. Dr. Abdul Hamid Ahmad ketika menyampaikan taklimat sempena kunjungan tersebut merakamkan penghargaan kepada Mustapha serta rombongan KPT atas keprihatinan dalam memastikan isu pembangunan dewan kuliah pusat baharu di fakulti tersebut dapat diselesaikan secepat mungkin.

Menurut beliau, bangunan dewan kuliah pusat yang dicadangkan bakal memberi manfaat kepada lebih 500 pelajar semasa di samping tambahan pelajar melalui penawaran dua lagi program baharu pada tahun ini iaitu Program Perladangan Kepersisan Pintar dan Program Agro Pelancongan Lestari.

Program lawatan Mustapha bersama rombongan antara lain adalah bertujuan untuk mendapat maklumat awal berhubung isu pembangunan dewan kuliah pusat, meninjau fasiliti kampus di samping menyantuni warga FPL.

Pada sesi lawatan tersebut beliau turut berkesempatan menyempurnakan tanaman anak pokok mangga Chukanan dan kemudian dibawa melihat sendiri operasi harian di Fidlot Lembu Pedaging, FPL.

Mustapha mengakhiri kunjungan dengan sesi beramah mesra dengan pelajar dan bergambar kenangan di lokasi menarik sekitar kampus FPL.

Hadir sama pada sesi kunjungan tersebut Ketua Pentadbiran FPL, Dr. Roslan Hj. Gimba dan Timbalan Pengarah Pusat Komunikasi Korporat, Mohd Ezni Hezri Mohd Yusop.

 

Seramai 386 pelajar Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA), Universiti Malaysia Sabah (UMS), diraikan dalam Majlis Anugerah Dekan Semester 2, Sesi 2023/2024 yang berlangsung di Bankuasi, Dewan Canselor UMS baru-baru ini.

Majlis tersebut antara lain bertujuan untuk mengiktiraf pencapaian cemerlang para pelajar yang telah menunjukkan prestasi luar biasa dalam bidang pengajian mereka, termasuk 18 pelajar yang meraih Purata Nilai Gred Semester (PNGS) 4.0, sekali gus membuktikan kecemerlangan akademik yang dicapai di UMS.

Dekan FSSA, Prof. Dr. Jualang Azlan Gansau, dalam ucapan beliau menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang telah memainkan peranan penting dalam kejayaan para pelajar, terutamanya ibu bapa serta tenaga pengajar fakulti.

Beliau turut menekankan pentingnya pembelajaran sepanjang hayat bagi memastikan pelajar sentiasa relevan dan bersedia menghadapi cabaran dalam dunia pekerjaan yang semakin mencabar.

"Kejayaan ini bukan sahaja mencerminkan usaha gigih para pelajar, tetapi juga dedikasi dan sokongan daripada pensyarah serta ahli keluarga.

“Saya berharap agar kecemerlangan ini dapat diteruskan dan dijadikan inspirasi serta pemangkin semangat kepada pelajar lain untuk terus berusaha mencapai kejayaan," ujar beliau.

Pada majlis tersebut, dua wakil pelajar cemerlang, Arman Idlan Haidis dari Program Bioteknologi dan Yvone Tse Iyi Wen dari Program Sains Marin, turut berkongsi pengalaman serta cabaran yang mereka hadapi sepanjang pengajian.

Turut hadir pada majlis itu Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa, Prof. Madya Dr. Darmesah Gabda; Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Madya Dr. Chee Fuei Pien; Ketua Pentadbiran FSSA, Aidah Noordin; dan Pengarah Majlis Anugerah Dekan, Ts. Dr. Abu Bakar Abd Rahman.