Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Malaysia Sabah (UMS) bersama Kursi Kadazan-Dusun UMS telah menganjurkan program ceramah secara dalam talian yang bertajuk "Sogit: Perubahan Pelaksanaan Amalan Sogit dalam Kalangan Masyarakat Kadazandusun di Sabah” baru-baru ini.

Ketua penganjur Dr. Trixie Marjorie Tangit berkata ceramah yang disertai 800 peserta termasuk pelajar tahun satu UMS itu bertujuan meningkatkan pengetahuan para peserta tentang keunikan masyarakat Sabah melalui kursus teras fakulti yang bertajuk ‘Budaya dan Masyarakat di Sabah’.

“Pada program tersebut, tiga penceramah iaitu Ketua Anak Negeri (KAN), Roger Meylin Impou (Mahkamah Anak Negeri Daerah Kota Kinabalu), Ketua Anak Negeri (KAN), Viola Giluk Dompok (Mahkamah Anak Negeri Daerah Penampang) dan Ketua Kampung, David Raji Joy (Kampung Kopimpinan, Putatan, wakil Ketua Daerah OKK Datuk Stephen Sondoh (Mahkamah Anak Negeri Daerah Putatan) telah berkongsi refleksi tentang amalan sogit dalam kalangan masyarakat KadazanDusun di Sabah,” ujarnya.

Menurut Roger, sogit adalah tradisi lama dalam masyarakat Anak Negeri yang bertindak sebagai penalti kerana melanggar undang-undang Anak Negeri.

“Sogit bertujuan menjaga keamanan, menyelesai konflik, meredakan ketegangan selain dari mengenakan pampasan bagi pelanggaran adat di Sabah. Dalam konteks Mahkamah Anak Negeri, sogit melibatkan hukuman berdarah (melibatkan sembelihan binatang) berpandukan Enakmen Anak Negeri (Undang-undang Adat Anak Negeri 1995).

“Dari segi sejarah, sogit diperluaskan kepada interaksi dengan roh terutamanya dalam ritual pagan. Namun demikian, pada masa ini, upacara sebegini jarang berlaku di Kota Kinabalu kerana penganutan agama dan sukar untuk mendapatkan bobolian, tetapi masih diamalkan di kawasan luar bandar,” jelasnya.

Tambah Roger, walaupun peredaran zaman yang semakin moden membawa kepada perubahan cara hidup sosial dan penganutan agama, perlaksanaan amalan sogit dalam kalangan etnik Kadazan Dusun tidak banyak berubah disebabkan amalan sogit merupakan amalan yang diwarisi sejak dulu lagi.

“Generasi muda hari ini berpendapat bahawa amalan sogit ini suda lapuk, ketinggalan zaman dan berfikiran kolot. Namun mereka tidak ada pilihan. Langgar adat, langgar pantang mesti kena sogit,” tegas Roger.

Pada program tersebut, para penceramah menegaskan bahawa denda dan amalan sogit adalah berbeza di setiap daerah (kampung masing-masing) dengan ketua kampung diberi kuasa untuk mengenakan denda sogit terutamanya dalam kes pelanggaran adat atau konflik dan boleh bertindak sebagai orang tengah untuk penyelesaian secara aman di peringkat kampung.

Sementara itu, KAN Viola Giluk Dompok berkata sogit berkenaan dengan pelanggaran undang-undang adat Anak Negeri adalah tidak mengira agama atau bangsa, selagi melibatkan Anak Negeri maka sogit akan tetap dikenakan.

Katanya sebagai contoh tindakan keterlaluan dan tidak senonoh yang pernah dilakukan oleh warga asing ke atas Gunung Kinabalu dikenakan sogit melibatkan upacara korban haiwan seperti kerbau, ayam atau babi dan diikuti ritual untuk menenangkan semangat dan roh-roh di gunung mengikut kepercayaan masyarakat Kadazan Dusun.

“Pada zaman moden ini, memang terdapat perubahan dalam adat tradisional (sogit). Beberapa amalan tradisi terutamanya dalam golongan orang tua masih diamalkan. Namun generasi muda mungkin tidak sedar kerana kurang pengetahuan mengenai amalan sogit dalam kalangan masyarakat Kadazan Dusun di Sabah.

“Ini kerana, Ketua Kampung hanya mempunyai peluang untuk membincangkan adat-adat sogit pertunangan dalam upacara pertunangan dan majlis berkaitan sahaja.

“Kebanyakan amalan tradisi ini diamalkan oleh masyarakat pagan sebelum ini. Tetapi kebanyakan kita sudah mempunyai agama masing-masing. Jadi tidak semua adat masih diamalkan. Hanya beberapa adat yang sering kita lalui setiap hari,” jelas David Raji.

Turut hadir pada ceramah tersebut, Pemegang Kursi Kadazan-Dusun UMS, Profesor Datuk Seri Panglima Clarence B. Malakun

 

Karnival Kerjaya MyFuture Jobs @ MOHE Zon Borneo yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) menawarkan lebih 1000 peluang pekerjaan pelbagai jawatan untuk diisi anak-anak tempatan khususnya graduan di institut pengajian tinggi (IPT).

Karnival yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud itu merupakan anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi dengan melibatkan kolaborasi strategik antara Universiti Malaysia Sabah (UMS), Jabatan Pengurusan Sumber Manusia (JPSM) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Negeri Sabah.

Menurut Mustapha, penganjuran karnival tersebut merupakan usaha kerajaan yang berterusan dalam memastikan pencari kerja termasuk golongan rentan mendapat peluang pekerjaan dari pelbagai sektor sekali gus menangani isu pengangguran dan kehilangan pekerjaan yang dialami oleh rakyat Malaysia.

“Dalam situasi masa kini, kerjasama antara sektor kerajaan, sektor swasta, pemain industri dan institusi pendidikan adalah kunci untuk mencapai matlamat kita dalam mengembangkan sumber manusia yang berkualiti khususnya di Sabah.

“Segenap daripada kita perlukan kesatuan dalam tindakan demi menangani isu kebolehpasaran graduan ini.

“Justeru, platform seperti karnival kerjaya, sesi dialog di antara industri dan akademia serta siri kolaborasi program seperti ini haruslah dilaksanakan secara berkala,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, menurut Statistik melalui Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) yang dikeluarkan KPT pada tahun 2022, jumlah graduan siswazah yang menganggur dicatatkan seramai 29,099 graduan, iaitu menurun sebanyak 12,368 graduan berbanding tahun sebelumnya iaitu 41,467 graduan.

“Kadar pengangguran siswazah pada 2022 menurun sebanyak 4.7 peratus kepada 9.8 peratus berbanding 14.5 peratus pada tahun sebelumnya, manakala bagi negeri Sabah, Kadar Belum Kerja Graduan turut mencatatkan penurunan pada tahun 2022 sebanyak 7.6% kepada 14.2% berbanding tahun 2021 sebanyak 21.8%.

“Ini menunjukkan hasil usaha bersama pelbagai pihak, tahap kebolehpasaran graduan semakin meningkat sementara peluang pekerjaan juga semakin bertambah terutama pada era pasca pandemik,” katanya.

Mustapha menambah, IPT awam mahupun swasta perlu memastikan usaha menyediakan graduan berkualiti, bersifat global dan sentiasa relevan dilaksanakan sebaiknya agar dapat memasuki pasaran kerja tempatan dan juga berupaya menembusi pasaran kerja antarabangsa.

“Graduan juga perlu didedahkan dan mempunyai kemahiran berfikir secara kritis, kepimpinan, kerja berpasukan dan mempunyai karakter global.

“Dunia pekerjaan dengan ketidaktentuan ekonomi hari ini amat mencabar, untuk itu para graduan perlu bersedia untuk bersaing demi pekerjaan dan masa depan,” ujar beliau.

Sejumlah 23 majikan dari pelbagai sektor terlibat dalam menjayakan karnival tersebut.

Pada majlis itu, Mustapha turut menyerahkan sijil tawaran bekerja kepada beberapa siswazah yang berjaya dan menyerahkan sijil penghargaan kepada rakan kolaborasi daripada JPSM dan PERKESO Sabah.

Hadir sama pada majlis tersebut Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Prof. Dr. Shahril Yusof dan dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Madya Dr. Raman Noordin.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus giat menjalankan Knowledge Transfer Programme (KTP) dalam memenuhi fungsinya untuk menyebar luas ilmu kepada masyarakat.

Terbaharu UMS melalui Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) telah menjalankan KTP melalui program Pendidikan Literasi Politik dan Kewarganegaraan Demokratik kepada para pelajar North Borneo University College (NBUC).

Dekan PPIB Prof. Madya Dr. Lai Yew Meng selaku Ketua Projek berkata penganjuran program itu telah meningkatkan tahap literasi politik dan kesedaran kewarganegaraan demokratik kepada peserta program yang merupakan golongan belia.

“Program yang bermula pada bulan September 2023 ini dilaksanakan melalui modul-modul latihan dan penerapan bersiri mengenai pengetahuan demokrasi dan perlembagaan berdasarkan kepada kuliah, latihan dan penilaian dalam kalangan pelajar NBUC.

“Pihak penganjur berharap modul dan program yang julung kali dilaksanakan ini dapat diteruskan dalam meningkatkan tahap kesedaran dan literasi politik kalangan belia di Sabah sebagai salah satu hasil penerapan falsafah bernegara Malaysia.

“Ini juga sekali gus mendukung salah satu fokus Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) 2024 iaitu memberdayakan komuniti dan industri melalui program pemindahan dan perkongsian ilmu,” jelasnya.

Sementara itu, Penolong Naib Canselor Kanan NBUC, Prof. Madya Dr. Steward G. Stephen berkata melalui pelaksanaan program tersebut, para peserta dari Fakulti Keselamatan dan Governan NBUC telah mendapat manfaat secara langsung dalam mendalami pemahaman mengenai literasi politik dan kewarganegaraan demokratik.

Dalam pada itu, salah seorang peserta program, End Andron Rizaly berkata melalui program ini, golongan belia dan pelajar dapat meningkatkan kefahaman mengenai politik, demokrasi dan perlembagaan Persekutuan.

“Saya harapkan program ini akan diteruskan agar kesedaran terhadap golongan belia dan juga pelajar dapat ditingkatkan dan diteruskan lagi”, katanya.

Majlis penutupan program ini turut meraikan penghargaan kepada para peserta melalui penyerahan sijil penyertaan dan beberapa kategori istimewa seperti peserta paling ceria, peserta lelaki terbaik dan peserta wanita terbaik.

Program tersebut turut disertai oleh ahli-ahli akademik UMS yang berperanan sebagai penceramah dan fasilitator antaranya Prof. Madya Dr. Anantha Raman Govindasamy, Prof. Madya Dr. Mohd Azri Ibrahim, Dr. Kavitha Ganesan dan Dr. Shaffarullah Abdul Rahman.

Selain itu turut serta ialah Dr. Budi Anto Mohd Tamring, Dr. Amy Azuan Abdullah, Dr. Mohd Hatib Ismail dan Mohammad Aqmal Hafidz Musa.

 

Pasukan mewakili Kolej Kediaman Tun Fuad  (KKTF) Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjaya menjuarai Piala FA UMS yang julung kali dianjurkan sempena Liga Sukan UMS 2023/2024.

Pada perlawanan akhir, pasukan KKTF berjaya menewaskan pasukan Fakulti Kejuruteraan dengan jaringan 2-0 yang berlangsung di Stadium UMS di sini Sabtu lalu.

Turut diadakan pada saingan liga itu adalah Liga Premier UMS; Liga UMS; Liga Futsal Wanita UMS 2023 dan Liga Bola Tampar UMS.

Bagi saingan Liga Premier UMS, pasukan mewakili Kolej Kediaman Tun Pengiran Ahmad Raffae (KKTPAR) dinobatkan sebagai juara dan diikuti Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) ditempat kedua dan ketiga dimenangi KKTF.

Juara Liga UMS berjaya dimenangi Fakulti Pengajian Islam (FIS) dan tempat kedua dimenangi Kolej Kediaman Non resident (KKNR).

Manakala tempat ketika bagi Liga UMS dimenangi Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP).

Sementara itu, pasukan mewakili KKTPAR turut menjuarai Liga Futsal Wanita UMS selepas menewaskan Kolej Kediaman Tun Mustapha (KKTM) di tempat kedua dan KKTF ditempat ketiaga.

KKTPAR sekali lagi menjuarai Liga Bola Tampar UMS selepas menewaskan pasukan KKTM di tempat kedua dan FPEP ditempat ketiga.

Hadiah disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UMS Prof Madya Dr Raman B Noordin.

 

Penyedia transformasi digital, teknologi dan perkhidmatan di Asia Tenggara, Neurogine Group of Companies telah bekerjasama dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk menubuhkan makmal teknologi di Labuan.

Inisiatif berkenaan dikenali sebagai "Pusat Kecemerlangan Asia UMS untuk Rantaian Blockchain" (UMS ACoE), ditubuhkan bagi mewujudkan kluster inovasi tertumpu pada teknologi blockchain (lejer digital terbuka) khususnya dalam aplikasi kewangan dan platform menangani keselamatan makanan. 

Ia berkata usaha bersama itu akan melibatkan kumpulan bakat (pekerja berkemahiran) dari Sabah, Sarawak, Brunei, Indonesia dan Asia Timur sekali gus menempatkan UMS ACoE sebagai hab inovasi kewangan blockchain.
 
Pengerusi Neurogine, Chen Chee Peng berkata, keputusan itu dicapai susulan Mesyuarat Tahunan Lembaga Penasihat 2024 yang diadakan buat kali pertama di Labuan.
 
Beliau berkata, ahli lembaga itu telah melawat Kampus Antarabangsa Labuan (LIC) UMS sebelum ini dan meninjau lokasi berpotensi dan memilih dua lokasi kerana kerana saiz dan sumbernya.
 
Chen berkata, jumlah bakat ketika ini dalam teknologi blockchain adalah rendah walaupun kepentingannya semakin meningkat, menekankan peranan pusat itu dalam menarik dan membangunkan bakat.
 
"UMS ACoE yang dicadangkan akan mencari bakat yang sesuai dan menyediakan platform khusus untuk mereka mempamerkan dan menunjukkan aplikasi dan penyelesaian kewangan blockchain mereka.
 
"Kami mencadangkan kerjasama rapat dengan dua fakulti di UMS LIC iaitu Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan dan Fakulti Pengkomputeran dan Informatik kerana kedua-duanya berada pada kedudukan tepat untuk membangunkan bakat dalam bidang ini yang menggabungkan teknologi dan kewangan," katanya.
 
Selain itu, Chen menjangkakan pusat itu memainkan peranan penting dalam mata wang digital bank pusat di seluruh Asia dengan menekankan permintaan untuk bakat dalam landskap yang berkembang ini.
 
Sehubungan itu, inisiatif itu bukan sahaja akan mencipta peluang pekerjaan tetapi juga menarik pelaburan asing ke Labuan yang berpotensi mengubah aspek perdagangan dan sosial di rantau ini, katanya.
 
Selain itu, beliau berkata, syarikat itu menyasarkan untuk memupuk bakat belia melalui pusat itu, memperkasakan agenda pendigitalan untuk memberi manfaat kepada komuniti Labuan terutamanya dengan penempatan semula ibu kota Indonesia kelak.
 
Chen meluahkan keyakinan bahawa kerjasama dengan UMS akan menghasilkan pertumbuhan ekonomi, teknologi dan sosial yang positif di Labuan.