Seramai 386 pelajar Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA), Universiti Malaysia Sabah (UMS), diraikan dalam Majlis Anugerah Dekan Semester 2, Sesi 2023/2024 yang berlangsung di Bankuasi, Dewan Canselor UMS baru-baru ini.

Majlis tersebut antara lain bertujuan untuk mengiktiraf pencapaian cemerlang para pelajar yang telah menunjukkan prestasi luar biasa dalam bidang pengajian mereka, termasuk 18 pelajar yang meraih Purata Nilai Gred Semester (PNGS) 4.0, sekali gus membuktikan kecemerlangan akademik yang dicapai di UMS.

Dekan FSSA, Prof. Dr. Jualang Azlan Gansau, dalam ucapan beliau menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang telah memainkan peranan penting dalam kejayaan para pelajar, terutamanya ibu bapa serta tenaga pengajar fakulti.

Beliau turut menekankan pentingnya pembelajaran sepanjang hayat bagi memastikan pelajar sentiasa relevan dan bersedia menghadapi cabaran dalam dunia pekerjaan yang semakin mencabar.

"Kejayaan ini bukan sahaja mencerminkan usaha gigih para pelajar, tetapi juga dedikasi dan sokongan daripada pensyarah serta ahli keluarga.

“Saya berharap agar kecemerlangan ini dapat diteruskan dan dijadikan inspirasi serta pemangkin semangat kepada pelajar lain untuk terus berusaha mencapai kejayaan," ujar beliau.

Pada majlis tersebut, dua wakil pelajar cemerlang, Arman Idlan Haidis dari Program Bioteknologi dan Yvone Tse Iyi Wen dari Program Sains Marin, turut berkongsi pengalaman serta cabaran yang mereka hadapi sepanjang pengajian.

Turut hadir pada majlis itu Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa, Prof. Madya Dr. Darmesah Gabda; Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Madya Dr. Chee Fuei Pien; Ketua Pentadbiran FSSA, Aidah Noordin; dan Pengarah Majlis Anugerah Dekan, Ts. Dr. Abu Bakar Abd Rahman.

 

Seramai 61 pelajar tahun dua program Kejuruteraan Awam dari Fakulti Kejuruteraan (FKJ), Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menyertai aktiviti 'On-Site Learning' di Sandakan baru-baru ini.

Pensyarah FKJ, Dr. Asmawan Mohd Sarman memaklumkan, aktiviti tersebut antara lain mengadakan lawatan ke tapak Projek Pembinaan Taman Didikan Kanak-Kanak Kurang Upaya dan Kompleks Latihan Untuk Orang Kurang Upaya.

“Program lawatan ini bertujuan memperkenalkan konsep 3D, iaitu Sukar (Difficult), Bahaya (Dangerous), dan Kotor (Dirty) dalam industri pembinaan.

“Dengan pengalaman ini, mereka dapat menggambarkan suasana sebenar dalam pelaksanaan projek dan bersedia menghadapi cabaran kerjaya mereka nanti,” katanya.

Pengarah program, Atalarick Firman Syach Suhaini turut berkongsi bahawa aktiviti tersebut memberikan nilai tambah kepada pelajar melalui interaksi dengan jurutera profesional di tapak pembinaan.

Program tersebut yang mendapat kerjasama daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Bandaraya Sandakan, Babankong Sdn Bhd dan Rigi Development Sdn Bhd. memberi peluang kepada peserta untuk mendapat penerangan dan perkongsian pengalaman sendiri daripada jurutera yang terlibat dalam projek pembinaan.

Program itu turut melibatkan aktiviti jejak alumni menerusi kehadiran Jurutera JKR Bandaraya Sandakan, Nur Elfira Afifa Mansor dan Azamawi yang merupakan alumni FKJ UMS.

Kedua-dua mereka berkesempatan menyampaikan perkongsian pengalaman dan memberi nasihat kepada pelajar tentang persiapan kerjaya dalam industri pembinaan.

 

Kejohanan Pickleball Junior Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) 2025 membuka tirai kalendar kejohanan pickleball Sabah bagi tahun ini.  

Acara itu dianjurkan oleh Kelab Kebajikan dan Rekreasi HUMS (KKRHUMS) dengan kerjasama Persatuan Pickleball Sabah (Sapa). Menariknya, ini adalah kejohanan pertama di Sabah yang dikhususkan sepenuhnya untuk pemain junior.  

Menurut Presiden Sapa, Julita Akabal, tujuan kejohanan ini adalah untuk mencungkil bakat baharu dalam kalangan pemain junior dan menggalakkan pemain baharu untuk terus memupuk minat serta pencapaian dalam sukan ini.  

“Kejohanan ini juga merupakan platform terbaik untuk memberi peluang kepada pemain junior berpengalaman untuk bersaing dalam pertandingan berkualiti tinggi di peringkat tempatan sebagai persediaan menghadapi kejohanan antara negeri dan antarabangsa.  

“Sehubungan itu, kejohanan ini dibahagikan kepada kategori Novice dan Intermediate, untuk menggalakkan pemain baharu dan kurang berpengalaman mendapat pengalaman bersaing tanpa rasa takut ditandingi oleh pemain negeri,” katanya.  

Sementara itu, Pengarah HUMS Profesor Madya Dr. Malehah Datuk Mohd Noh, yang hadir menyaksikan majlis penutupan kategori bawah 12 tahun (U12) dan menyampaikan hadiah kepada pemenang, memuji sukan pickleball sebagai sebahagian daripada strategi kesihatan awam yang penting, terutama bagi golongan muda yang kini berhadapan dengan dua cabaran utama iaitu ketagihan telefon pintar dan obesiti.  

“Saya gembira melihat ramai golongan muda menyertai kejohanan ini dan bangga bahawa untuk sukan yang baru diperkenalkan, terdapat tahap keterlihatan, latihan, dan pertandingan yang begitu tinggi.  

“Saya berharap Sapa dan HUMS akan menganjurkan lebih banyak kejohanan pickleball untuk pemain junior serta pertandingan berkala, dan saya berharap Arena Pickleball UMS suatu hari nanti akan mencapai piawaian kejohanan,” katanya.  

Kejohanan tersebut menampilkan 30 pemain junior berusia antara 7 hingga 17 tahun, mewakili lebih 10 sekolah rendah dan menengah, termasuk dua pemain yang memiliki kewarganegaraan British.

 

Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC), Universiti Malaysia Sabah (UMS) mahu terus meneroka kerjasama pintar dengan pelbagai agensi bagi mengukuhkan lagi aspek pengurusan bencana alam.

Perkara ini dinyatakan Pengarah NDRC, Prof. Madya Ts. Gs. Dr. Carolyn M. Payus ketika mengalu-alukan lawatan kerja daripada delegasi Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang (PSUKPP) yang diketuai Ketua Unit Pengurusan Bencana, Ambika Devi a/p Daran ke UMS baru-baru ini.

Menurut Carolyn, lawatan kerja PSUKPP itu antara lain bertujuan untuk mengenal pasti fungsi dan kajian yang dijalankan oleh NDRC dengan lebih mendalam serta meneroka peluang kolaborasi rentas sektor dalam pengurusan bencana.

“Kami amat mengalu-alukan kunjungan daripada agensi kerajaan serta NGO yang lain seperti pihak PSUKPP yang mampu membuka peluang kolaborasi dalam bidang penyelidikan serta perundingan yang berkaitan dengan pengurusan bencana negara di peringkat rentas sektoral.

“Kunjungan seumpama ini dilihat dapat menggalakkan kolaborasi pihak akademia serta menerokai persefahaman pintar antara pihak NDRC UMS dengan pihak agensi kerajaan negeri seperti PSUKPP ke arah memperkasa agenda pengurangan risiko bencana negara,” katanya.

Beliau menambah, NDRC sememangnya berperanan sebagai pusat tumpuan untuk semua penyelidikan yang berkaitan dengan bencana alam di Sabah.

“Pusat ini juga aktif dalam aktiviti-aktiviti melibatkan pengurusan dan pengurangan risiko bencana melalui penyelidikan dan program kesedaran awam terutamanya dalam kesiapsiagaan komuniti terhadap bencana.

“Ini termasuk program memperkasakan perlaksanaan Community-based Disaster Risk Management (CBDRM), iaitu pengurusan risiko bencana yang berasaskan komuniti di Sabah,” katanya.

Pada sesi kunjungan tersebut, Carolyn berkesempatan memperkenalkan ahli penyelidik NDRC serta pegawai yang hadir dalam lawatan tersebut, antaranya Felo Penyelidik untuk Komunikasi Bencana dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanuasiaan (FSSK) UMS, Dr. Mumamad Ikhram Mohamad Ridzuan; Timbalan Pengarah I, Pusat Operasi Cuaca dan Gempa Bumi Sabah, Jabatan Meteorologi Malaysia, Dr.Chai Mui Fatt yang juga merupakan Felo Penyelidik Bersekutu NDRC; dan Pegawai Penyelidik NDRC, Eldawaty Madran.

Pada akhir lawatan tersebut, delegasi seramai 9 orang itu telah dibawa melawat Sistem Pemantauan Gempa Bumi, SEISCOMP3 di Makmal NDRC, Stesen Seismologi Kota Kinabalu (UMS) dan Stesen Tolok Pasang Surut (Tsunami), MET Malaysia di Jeti UMS.

Penerangan mengenai fungsi teknikal SEISCOMP3, Stesen Seismologi dan Tolok Pasang Surut (Tsunami) ini telah disampaikan oleh Dr. Chai Mui Fatt.

Hadir bersama dalam lawatan tersebut Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia PSUKPP, Roziyah Shariff; Ketua Unit Komunikasi Korporat & Inovasi, Saiful Syarizal Yaakob; Ketua Unit Integriti, Mohd Faizal Che Meh; dan Setiausaha Bahagian Pengurusan Majlis dan Protokol, Mohd Roshidi Azmi.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjadi tuan rumah bagi Persidangan Antarabangsa Borneo Research Council (BRC) Kali Ke-15 yang menghimpunkan ahli-ahli akademik dan penyelidik dalam dan luar negara bagi membincangkan pelbagai aspek Kajian Borneo.

Majlis perasmian persidangan tersebut disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan.

Beliau dalam ucapannya berkata, BRC telah secara konsisten menyokong dan mempromosikan penyelidikan dalam bidang sains sosial, biologi, alam sekitar dan perubatan di Borneo sejak penubuhannya pada tahun 1968.

“Pemilihan UMS sebagai tuan rumah persidangan tahun ini menegaskan komitmen universiti ini dalam memajukan pengetahuan tentang kepulauan Borneo.

“Kepulauan Borneo, pulau ketiga terbesar di dunia, mempunyai kepentingan strategik di Asia Tenggara dan terkenal dengan kepelbagaian biodiversiti serta ciri-ciri geologi yang unik, termasuk Gunung Kinabalu, puncak tertinggi di rantau ini.

“Pulau ini telah menjadi pusat migrasi dan pembangunan sosial manusia selama ribuan tahun, dengan Borneo Utara, yang kini dikenali sebagai Sabah, dipercayai sebagai titik penyebaran utama bagi masyarakat Austronesia,” katanya.

Beliau menambah, kajian linguistik, terutamanya yang dijalankan oleh Summer Institute of Linguistics (SIL) Malaysia sejak tahun 1970-an, telah mengenal pasti 58 bahasa Austronesia utama yang dituturkan di bahagian utara Borneo, dengan lebih daripada 35 bahasa berasal dari Sabah.

“Bahasa-bahasa ini, termasuk Dusun, Paitan, dan Murut, adalah unik di rantau ini dan telah menjadi subjek penyelidikan genetik dan linguistik yang luas di UMS,” katanya.

Jeffrey turut menekankan kepentingan pengetahuan tradisional dalam amalan kelestarian alam sekitar, dengan mengambil kaedah pertanian sawah padi oleh masyarakat Dusun di Tambunan sebagai contoh utama.

“Varieti padi tradisional di rantau ini, yang terkenal dengan ketahanan dan hasil tinggi, telah ditanam selama beberapa generasi tanpa memerlukan baja kimia atau racun perosak.

“Walaupun menghadapi cabaran seperti penurunan populasi kerbau, petani masih mengekalkan amalan pertanian ini.

“Selain itu, sistem pemuliharaan sungai pribumi yang dikenali sebagai "bombon" dalam kalangan Dusun dan "tagal" dalam kalangan Rungus juga telah diiktiraf sebagai pendekatan tradisional yang berkesan dalam kelestarian alam sekitar.

“Sistem ini, yang melibatkan larangan menangkap ikan dalam kawasan tertentu, telah diintegrasikan dalam usaha pemuliharaan moden dengan sokongan kerajaan Sabah sejak tahun 2003,” jelas beliau.

Justeru katanya, penganjuran persidangan tersebut mampu menjadi platform terbaik membincangkan lebih lanjut berkaitan warisan dan tradisional masyarakat Borneo, serta menyokong usaha UMS yang telah memainkan peranan penting dalam menjalankan penyelidikan ke atas artifak budaya dan menyumbang kepada pemahaman yang lebih mendalam mengenai warisan di Borneo.

Terdahulu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Ir. Dr. Rosalam Sarbatly ketika berucap mewakili Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, fokus utama penyelidikan di UMS adalah berkaitan dengan aspek sosial, biologi, alam semula jadi dan sains perubatan di Borneo, khususnya di Sabah.

“Sejajar dengan itu, UMS telah dikenali sebagai pusat rujukan serantau dalam bidang penyelidikan Borneo.

“Objektif penyelidikan di UMS adalah selari dengan matlamat BRC, oleh itu saya berasa amat gembira kerana UMS sekali lagi terpilih sebagai tuan rumah persidangan ini," katanya.

Beliau turut berharap agar semua pembentang dan peserta mendapat manfaat daripada persidangan tersebut melalui perbincangan yang produktif, interaksi yang bermakna, serta perkongsian inspirasi dan penemuan baharu.

Persidangan yang berlangsung selama tiga hari itu menghimpunkan lebih 100 peserta termasuk hampir 40 peserta antarabangsa dari negara Jerman, Amerika Syraikat, Kanada, Jepun, Korea Selatan, Indonesia, Singapura, dan Brunei Darussalam.

Hadir sama pada perasmian majlis tersebut Pengarah Borneo Institute for Indigenous Studies (BorIIS), UMS, Prof. Madya Dr. Normah Abdul Latip selaku pengerusi penganjur; Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Prof. Dr. Asmady Idris; dan Pemegang Kursi Kadasan-Dusun UMS, Datuk Seri Panglima Clarence Bongkos Malakun.