Graduan yang seimbang dalam pelbagai aspek merupakan aset negara yang diperlukan untuk memacu kemajuan pembangunan negara dan mampu bersaing ke peringkat antarabangsa.

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, ini sejajar dengan visi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) iaitu Pendidikan Tinggi Berkualiti, Insan Cemerlang, Negara Sejahtera.

“Amatlah jelas hasrat negara dalam melahirkan graduan yang berkualiti dan terdidik bukan hanya cemerlang dalam akademik, tetapi turut cemerlang sahsiahnya.

“Justeru itu, UMS melalui Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar telah menawarkan kursus-kursus yang memfokuskan potensi pelajar dalam mengasah bakat dan kemahiran insaniah para pelajar melalui silibus kursus yang sesuai dan program-program yang dianjurkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan Karnival Kokurikulum UMS (KARKUMS) Sesi 1 2023/2024 di Dewan Canselor, UMS.

Kasim menambah, salah satu inisiatif yang dilakukan adalah melalui Karnival Inovasi dengan tema “Inovasi Mudah dan Realistik”.

“Menerusi inisiatif ini, pelajar diberi pendedahan tentang inovasi dengan bimbingan daripada jurulatih yang bertauliah.

“Usaha ini merupakan inisiatif yang baik untuk membuka mata pelajar dalam inovasi dan memberi peluang kepada mereka untuk berfikir secara kreatif sejajar dengan slogan UMS Peneraju Masyarakat Berinovatif,” katanya.

Melalui penganjuran KARKUMS juga katanya para pelajar berpeluang mempamerkan hasil pembelajaran mereka di meja pameran masing-masing dengan penuh kreatif dan ceria.

“Dengan bertemakan kebudayaan dan tradisional, semangat cintakan warisan budaya dapat dipupuk dalam kalangan pelajar, selari dengan slogan Karnival Kokurikulum kali ini iaitu “Pembudayaan Tradisi Warisan Bangsa, Melestari Jati Diri Sejati,” ujar beliau.

Pada majlis tersebut, Kasim turut menyempurnakan pelancaran logo KARKUMS bersempena dengan 30 tahun penubuhan UMS.

Hadir sama pada majlis itu Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Raman Noordin; Pengarah PKPP, Prof. Madya Dr. Jurry Foo; dan Pengarah Program KARKUMS, Awang Ku Syaiffudinsah Awang Ku Zainuddin.

 

Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB) Universiti Malaysia Sabah (UMS) diiktiraf sebagai Pusat Kecemerlangan Pendidikan Tinggi (HiCoE) bagi penghasilan benih ikan marin yang bernilai tinggi.

Menurut Pengarah IPMB, Prof. Madya Dr. Ching Fui Fui, IPMB menerima pengiktirafan tersebut daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan skim geran dana HiCoE sebanyak RM6.75 juta.

Katanya, IPMB merupakan HiCoE pertama di Borneo dengan bidang penyelidikan berfokus kepada Sekuriti Makanan Laut yang menjurus kepada penghasilan benih ikan bernilai tinggi seperti ikan kerapu dan ikan maming.

“IPMB telah melakar sejarah dalam industri akuakultur kerapu dengan kejayaan menghasilkan ikan kerapu hibrid sebelum ini, yang mempunyai kadar pertumbuhan pantas dalam tempoh tujuh bulan berbanding tiga tahun bagi ikan kerapu biasa.

“Pertumbuhan pantas ikan kerapu ini penting untuk memenuhi permintaan pasaran makanan laut bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di rantau Asia.

“Selain ikan kerapu, IPMB juga sedang giat menjalankan penyelidikan ikan maming dalam pelbagai aspek termasuklah genetik dan pembiakan, pemakanan dan kesihatan serta pengurusan sistem ternakan. Setakat ini, IPMB telah berjaya mengenal pasti jantina dan tahap kematangan induk ikan maming dan berupaya memperolehi telur ikan maming yang berkualiti dan sedia disenyawakan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd. Kadir ke Hatceri Ikan IPMB sempena lawatan kerja sulungnya ke UMS, baru-baru ini.

Turut mengiringi lawatan Zambry ialah Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Azlinda Azman dan Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor.

Menurut Kasim, impak penyelidikan ikan kerapu hibrid UMS telah menghasilkan nilai ekonomi sebanyak USD630 juta seperti yang didokumentasikan oleh Food and Agriculture (FAO) pada tahun 2015 dan nilai ekonominya terus meningkat sehingga kini.

“Saya yakin kejayaan yang sama boleh dilakukan terhadap ikan-ikan bernilai tinggi lain khususnya ikan maming bagi memastikan keterjaminan makanan laut menerusi penghasilan benih ikan berkualiti tinggi.

“Usaha ini dijangka mampu mengurangkan isu kepupusan ikan bernilai tinggi yang akan menjamin kelestarian sumber perikanan selain dapat memacu sumber ekonomi menerusi kerjasama dengan rakan akuakultur dan industri,” katanya.

Pada lawatan tersebut, Kasim turut menzahirkan penghargaan kepada KPT atas penyaluran dana sebanyak RM3 juta untuk tahun pertama pelaksaaan program HiCoE IPMB.

HiCoE IPMB juga akan bekerjasama dengan Kindai Universiti dan beberapa universiti di dalam dan luar negara serta Kerajaan Negeri Sabah dalam memacu ekonomi biru yang menjadi agenda pembangunan negeri Sabah sebagai hab ekonomi negara.

 

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) meluluskan peruntukan tambahan RM2 juta bagi membantu menyelesaikan masalah bekalan air di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, peruntukan itu sebagai tambahan kepada peruntukan RM3 juta yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa program temu siswa di UMS, tahun lalu.

Beliau berharap masalah bekalan air di UMS dapat diselesaikan dengan segera menerusi peruntukan keseluruhan yang berjumlah RM5 juta tersebut.

“Saya tidak mahu beri tempoh tetapi saya beri penekanan (selesai) dengan kadar yang segera. Jadi, mungkin mengambil masa selama dua bulan atau empat bulan. Proses teknikal seperti menggali telaga tiub untuk mencari sumber air memerlukan masa. Dari segi teknikal yang lain seperti penyediaan tempat dan paip-paip yang baharu untuk disambung ke kolej-kolej kediaman juga perlu dilakukan.

“Namun, saya telah memberi penekanan tadi bahawa jangan ambil masa terlalu panjang. Kalau ada masalah disebabkan birokrasi yang tidak boleh diluluskan, maklumkan dengan pihak saya supaya masalah birokrasi ini dapat kita kurangkan. Jangan jadikan kerenah birokrasi penghalang utama untuk selesaikan masalah (air) ini,” katanya selepas majlis penyerahan sumbangan Yayasan Perkasa Siswa di UMS, hari ini.

Menurutnya lagi, tambahan peruntukan itu membolehkan UMS mengepam air naik ke tangki-tangki di kawasan yang tinggi. Dana itu juga boleh digunakan untuk menggali beberapa telaga tiub lagi. Namun, langkah membina telaga tiub itu adalah penyelesaian jangka pendek.

Zambry berkata, menerusi taklimat yang diberikan, Kerajaan Negeri Sabah dikatakan ada perancangan untuk membina kolam tangki air yang besar tapi mungkin ia mengambil sedikit masa.

Malah katanya, beliau telah memaklumkan pihak UMS dalam kalangan professor yang mempunyai kepakaran dalam bidang ini untuk sama-sama membantu dengan memaklumkan kepada KPT tentang langkah-langkah yang boleh dilaksanakan segera bagi menyelesaikan isu air di kampus induk UMS tersebut.

Menyentuh tentang peruntukan RM3 juta yang diluluskan Perdana Menteri sebelum ini, beliau berkata, peruntukan itu telah diterima dan kerja-kerja membina telaga tiub telah pun dimulakan. 

 

Delegasi dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengadakan kunjungan hormat kepada Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah, Datuk Sr. Bernard Liew Chau Min di Wisma Tanah dan Ukur sebagai usaha meningkatkan hubungan universiti dengan jabatan-jabatan kerajaan dan agensi di peringkat negeri.

Menurut kenyataan UMS, kunjungan delegasi UMS yang diketuai oleh Penolong Naib Canselor (Strategik), Prof. Dr. Mohammad Saffree Jeffree yang mewakili Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj Mansor antara lain bertujuan untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang-bidang berkaitan bagi menjadikan UMS sebagai rakan strategik yang sentiasa siap siaga menggunakan kepakaran yang ada dalam menjayakan agenda pembangunan negeri Sabah.

“Selain memberi maklum balas mengenai perkembangan UMS, sesi kunjungan ini juga adalah medium terbaik UMS untuk menyampaikan hasrat universiti dalam memaksimumkan impak ilmunya kepada para penduduk negeri ini khasnya kepada komuniti luar bandar.

“Beberapa cadangan pembangunan tanah untuk tujuan mengintegrasikan pembangunan ilmu yang memberi manfaat kepada komuniti di luar bandar merupakan antara hal yang dibincangkan,” demikian menurut kenyataan tersebut.

Kenyataan itu turut menyebut, kunjungan hormat itu turut membincangkan mengenai cadangan kerjasama dalam bidang latihan dan pembangunan kerjaya khasnya kakitangan perkhidmatan awam negeri yang boleh dilaksanakan dengan UMS sebagai salah satu universiti awam yang didirikan di negeri Sabah.

Turut sama dalam kunjungan hormat tersebut Pengarah Bahagian Pengurusan Tanah UMS, Haji Firdaus Abdullah; Pengarah Pusat Komunikasi Korporat, Dr. Jakaria Dasan; dan Pengarah Jabatan Pembangunan dan Penyelenggaraan, Ir. Ts. Mohd. Ari Nazrul Abdul Rahman.

 

 

Program Ceramah Industrialised Building System (IBS) berfokuskan ‘Light Steel Frame’ anjuran Kelab Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini mampu membantu pelajar program kejuruteraan UMS khususnya untuk memasuki dunia perindustrian selepas menamatkan pengajian.

Pengarah program ceramah tersebut, Natasha Oswen Bernard Lojikim berkata, program yang diadakan di Perpustakaan UMS itu antara lain bertujuan untuk menambahkan ilmu pengetahuan berkaitan dengan konsep IBS yang kini semakin terkenal di dunia perindustrian.

“Program dengan kerjasama Beau Villas IBS Sdn Bhd ini juga bertujuan memperkenalkan dan sebagai satu platform untuk mempelajari salah satu elemen penting dalam aspek pembangunan dan pembinaan yang mampan kepada para pelajar kejuruteraan awam.

“Ini sekali gus mampu meningkatkan peluang pekerjaan kepada pelajar Kejuruteraan Awam khususnya kerana pelajar telah didedahkan dengan pengetahuan berkenaan industri,” katanya.

Natasha turut memaklumkan, tiga wakil dari daripada Beau Villas IBS Sdn Bhd., iaitu Pemilik dan Ketua Pegawai Eksekutif, Michael He Long; Pengurus Projek, Clifford Darwin; dan Pentadbir Pemasaran, Bexter Jimmy telah hadir untuk memberikan ceramah IBS dan penggunaan ‘Light Steel Frame’.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Kejuruteraan Awam, Sr Ts. Dr. Asmawan Mohd Sarman ketika merasmikan program tersebut mengalu-alukan kerjasama bersama industri tersebut dan mengharapkan agar semua pelajar mendapat ilmu pengetahuan yang baharu dan berguna untuk masa hadapan yang cemerlang.

Beliau turut mengambil peluang untuk berkongsi beberapa kemajuan masa kini dalam penggunaan IBS dan memberikan beberapa contoh projek-projek yang menggunakan sistem IBS.

Lebih 100 pelajar  yang terdiri daripada pelajar Ijazah Doktor Falsafah dan pelajar tahun 2 dan tahun 4 Program Kejuruteraan Awam terlibat dalam menjayakan program ceramah tersebut.