Oleh: Norfazliana binti Lim Wing Sang, Pelajar Tahun Tiga Program Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan

 

Biarpun sudah berada dalam alam persaraan setelah berkhidmat lebih 40 tahun dalam bidang penyiaran dan akademik, semangat Dr. Haji Saat Haji Awang Damit, seorang veteran Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan bekas pensyarah di Universiti Malaysia Sabah (UMS) masih kental untuk mencapai tahap tertinggi dalam pengajian.

Atas usaha gigihnya, beliau berjaya menamatkan pengajian dan menerima skrol Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan dalam Majlis Konvokesyen UMS kali ke-25 baru-baru ini.

Penganugerahan ijazah pada usia 64 tahun menjadikan Dr. Saat sebagai graduan PhD tertua dalam sidang konvokesyen UMS pada tahun ini.

Dr. Saat yang pernah memegang pelbagai jawatan sejak menyertai RTM pada tahun 1979 termasuk Timbalan Pengarah Penyiaran di Negeri Sembilan, beralih ke bidang akademik dengan menyertai UMS sebagai pensyarah pada tahun 2000, sebelum bersara sebagai pensyarah kanan pada tahun 2018 dan dilantik semula sebagai Felo sehingga bulan Oktober 2020.

Beliau ketika berkongsi perasaannya setelah memperoleh ijazah PhD tersebut memberitahu, usahanya untuk mencapai kejayaan tersebut tidak mudah dan banyak menempuhi cabaran dan laluan berliku.

“Dalam tempoh pengajian ini saya telah mempunyai seramai 7 orang penyelia dari Universiti Sains Malaysia (USM) yang datang ke UMS, dan setiap kali pertukaran penyelia, tajuk tesis saya akan bertukar.

“Sejujurnya, saya hampir berputus asa kerana terpaksa bermula dari awal dengan tajuk yang baru sebanyak 6 kali, mujur penyelia terakhir saya, iaitu Prof, Dr. Fong Soon Fook terus memberi semangat untuk saya meneruskan pengajian.

“Di bawah bimbingan beliau, saya berjaya mereka bentuk satu penerbitan program TV dan mencipta reka bentuk yang baru untuk penulisan tesis PhD saya,” katanya.

Menceritakan lebih lanjut, Dr Saat memberitahu sewaktu tempoh pengajian juga beliau pernah melalui proses pembedahan apendisitis yang memberi kesan terhadap pengajian kerana telah memperlahankan penulisan tesisnya selama tiga bulan pada waktu itu.

“Selain itu, saya turut kehilangan isteri tercinta pada ketika telah pun melengkapkan tesis dan dalam proses untuk menghantar penulisan.

“Saya tidak dapat fokus untuk sesi “Viva” saya walaupun tesis PhD saya telah siap selepas pemergian isteri saya selama 8 bulan,” katanya, selain turut berkongsi kelewatannya menghantar buku tesis pada tahun lalu menyebabkan beliau tidak sempat untuk tersenarai bagi majlis konvokesyen pada tahun lalu.

Namun, kepercayaan beliau terhadap pencarian ilmu yang berterusan dan kedinamikan pendidikan menyemarakkan keazamannya untuk mencapai pencapaian akademik yang penting ini.

“Bagi saya, saya suka mencari ilmu pengetahuan yang saya belum ada dan meningkatkan lagi pengetahuan yang sedia ada serta memperbaiki kelemahan-kelemahan dari segi konteks pengetahuan yang saya ada.

“Untuk hidup yang lebih inovatif, untuk hidup terus berkembang, dinamik, kita perlu melalui satu proses-proses ilmu yang lebih tinggi.

“Inilah pegangan yang saya pegang semasa saya menyiapkan PhD saya walaupun saya terlambat,” katanya.

Melihat ijazah PhD yang dimilikinya sebagai alat untuk menyumbang kepada masyarakat, Dr Saat masih menanamkan azam untuk terus menulis buku akademik yang memfokuskan kepada kaedah penerbitan video, serta mahu mencari peluang untuk terus menyumbang sebagai tenaga pengajar khususnya dalam bidang komunikasi agar beliau dapat terus berkongsi ilmu pengetahuan kepada pelajar walaupun tanpa sebarang bayaran.

 

Karnival Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) anjuran Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini merupakan usaha berterusan UMS untuk menginspirasi bakat-bakat muda mengembangkan minat mereka dalam bidang STEM.

Menurut kenyataan dari FPP, penganjuran karnival tersebut selari dengan hasrat UMS melalui slogan “Leading Towards Innovative Societies” yang diperkenalkan Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor yang antara lain mahu memartabatkan bidang sains dan teknologi melalui pelbagai inisiatif.

“Karnival ini memberi ruang kepada pelajar untuk mengutarakan idea inovatif dan dalam penyelesaian  masalah yang berkesan melalui beberapa aktiviti dan pertandingan.

“Selain itu, para peserta yang terdiri dari pelajar sekolah rendah, sekolah menengah mahupun orang awam juga mendapat pendedahan berkaitan bidang STEM menerusi siri ceramah dan perkongsian oleh penceramah jemputan,” demikian kenyataan dari FPP.

Kenyataan tersebut turut menjelaskan, dalam siri ceramah bersama Pengerusi National STEM Movement, Prof. Dato’ Dr. Noraini Idris misalnya banyak mengupas berkaitan penekanan keperluan guru untuk menjadi kreatif dalam mencipta peluang agar anak murid boleh melakukan eksplorasi seperti seorang saintis, selain menekankan bahawa pendedahan terhadap bidang STEM perlu bermula seawal usia bayi dan prasekolah sesuai dengan sifat semula jadi kanak-kanak yang suka menjelajah dengan deria mereka.

“Selain itu, perkongsian daripada pensyarah Institut Pendidikan Guru Kent, Dr. Chiam Sun May berkaitan amalan terbaik pendidikan STEM di IPG juga sedikit sebanyak memberi gambaran kepada para pendidik dan bakal pendidik berkaitan kaedah untuk menyesuaikan sistem pengajaran yang berkesan dalam mata pelajaran STEM.

“Turut diadakan dalam program ini pertandingan TikTok Innovation Challenge 2023 yang menjadi platform terbaik kepada peserta muda untuk mengetengahkan pemahaman terhadap bidang STEM menerusi daya kreativiti,” jelas kenyataan tersebut.

Penganjuran karnival tersebut turut selari dengan fokus pihak kerajaan melalui Kementerian Sains, Teknologi, dan Inovasi dalam membentuk masyarakat yang mampan, inklusif dan saintifik ke arah negara berteknologi tinggi.

Pihak FPP selaku penganjur turut merakamkan penghargaan kepada rakan strategik yang terdiri daripada Jesselton University College (JUC), LTT STEM Career, Matroll Solutions dan Institute For Development Studies (IDS) di atas pelbagai sumbangan dan sokongan yang tidak berbelah bagi dalam menjayakan karnival tersebut, serta berharap kejayaan penganjurannya dapat memberi peluang kepada para pelajar untuk menyertai pertandingan inovasi di peringkat lebih tinggi, mendengar perkembangan STEM dalam negara dan memupuk minat terhadap STEM melalui aktiviti yang dilaksanakan.

 

(Artikel Oleh: Pensyarah Kanan FPP, Dr. Connie Shin @ Connie Cassy Ompok yang juga merupakan Pengerusi Karnival STEM FPP UMS)

 

Oleh: Iffah Atirah Abdul Momin, Pelajar Tahun Tiga Program Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan

 

Penganjuran Tamu Gadang (TG) Universiti Malaysia Sabah (UMS) sempena Majlis Konvokesyen UMS kali ke-25 baru-baru ini memberi pendedahan pengurusan organisasi kepada para pelajar dalam penganjuran aktiviti berskala mega.

 

Menurut Timbalan Pengarah TG, Ct Zuelaika Yusri, pelajar berpeluang mendapat pelbagai pengalaman dan manfaat apabila terlibat sebagai ahli jawatankuasa (AJK) TG  kerana mereka akan berurusan dengan ramai orang seperti kakitangan universiti, penggerai serta pengunjung.

 

Tambahnya, persiapan TG kali ini mengambil masa selama dua bulan untuk menjayakannya yang dimulai dengan proses pencarian AJK melalui temu duga, tajaan dan penyewa gerai serta pemilihan aktiviti yang bersesuaian.

 

“Semua AJK disediakan makan minum, pemberian markah merit peringkat antarabangsa dan elaun sepanjang tamu berlangsung.

 

“Walaupun tema TG ialah Indie, namun tema untuk keempat-empat hari adalah berbeza, contohnya tema untuk hari pertama ialah Kids Day, esoknya Girls Day dan selanjutnya untuk hari-hari mendatang.

 

“Kami turut selitkan beberapa pembaharuan seperti menambah aktiviti jualan but kereta di hadapan pentas mini,” katanya ketika ditemui media.

 

Ujarnya lagi, sepanjang beberapa hari, beberapa orang artis dijemput seperti Stacy, Harris Baba, Keewon, Dabra Sia untuk turut serta memeriahkan TG.

 

Beliau berharap agar pelajar yang menyertai jawatankuasa ini akan dapat menimba pengalaman berharga untuk digunakan di alam pekerjaan kelak.

 

Tamu Gadang yang berlangsung dari 10 hingga 15 Disember bertempat di Anjung Siswa telah ditaja oleh Jabatan Penerangan Malaysia, Hotlink, Sabah International Convention Centre (SICC), Iriz Studio dan lain-lain.

 

Sekumpulan penyelidik Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengadakan program Training of Trainers (ToT) berkaitan Antimicrobial Resistance (AMR) dalam kalangan murid sekolah rendah di SK Pekan, Kota Belud baru-baru ini.

Program itu bertujuan melatih peserta untuk menjadi pembimbing rakan sebaya bagi menyebarkan kesedaran berkenaan AMR.

Selain itu, ia juga bagi meningkatkan pengetahuan dan amalan berkenaan AMR dalam kalangan peserta.

Majlis pembukaan program ini disempurnakan oleh Guru Besar, SK Pekan Kota Belud, Rusdi bin Suin.

Menurutnya, program seperti ini sangat memberi manfaat bukan kepada murid-murid malahan juga kepada guru-guru.

“Seperti yang kita sedia maklum, AMR merupakan salah satu ancaman yang besar kepada negara. Jadi, amatlah sesuai jika pendedahan tentang AMR diberikan sejak dari sekolah.

“Kami dari pihak sekolah sentiasa mengalu-alukan penglibatan pihak universiti demi pembangunan anak watan,” katanya.

Diketuai oleh Ketua Jabatan Pendidikan Perubatan FPSK, Dr. Zulkhairul Naim bin Sidek Ahmad, katanya peningkatan AMR menjadi ancaman membimbangkan di seluruh dunia termasuk Malaysia kerana ia menyebabkan penyakit sukar diubati dan akan meningkatkan risiko morbiditi dan kematian.

“Oleh yang demikian, kempen pendidikan awal berkenaan AMR amatlah membantu dalam mengurangkan penyebaran AMR.

“Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya dan saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada United States Agency for International Development- Southeast Asia One Health University Network (USAID-SEAOUN) kerana sudi menaja program ini,” katanya yang juga merupakan Ketua Projek AMR.

Untuk rekod, seramai 20 orang murid dari darjah 4 sehingga 6 dari SK Pekan dan SK Piasau, Kota Belud dan tiga orang guru pengiring telah menyertai program ini.

 

Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC), Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA), Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menerima kunjungan hormat daripada pihak Disaster Preparedness and Prevention Center (DPPC), Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT), Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur (UTMKL), baru-baru ini.

Pengarah DPPC, UTMKL, Dr. Khamarrul Azahari Razak yang mengetuai kunjungan tersebut berkata, sesi ini bertujuan meneroka persefahaman pintar antara pihak NDRC, UMS dan DPPC, UTMKL.

“Kunjungan hormat ini merupakan susulan daripada penglibatan NDRC sebagai rakan strategik dalam penganjuran bersama Program Minggu Sains dan Teknologi untuk Pengurangan Risiko Bencana dan Daya Tahan.

“Kunjungan ini juga bertujuan untuk meneroka peluang kerjasama dalam bidang pengurangan risiko bencana dan daya tahan serta memperkasa agenda pengurangan risiko bencana negara,” katanya.

Sementara itu, Pengarah NDRC, Prof. Madya Ts. Gs. Dr. Carolyn Melissa Payus yang mempengerusikan perbincangan dalam kunjungan hormat ini menyambut baik hasrat DPPC untuk menjalinkan kerjasama strategik dalam pengurusan bencana alam di Sabah.

“NDRC yang telah ditubuhkan sejak tahun 2006 ini merupakan focal point untuk semua penyelidikan di UMS berkaitan dengan bencana alam di Sabah.

“Diharapkan dengan adanya kerjasama seumpama ini akan dapat memberi peluang kerjasama yang lebih luas dalam bidang penyelidikan bencana.

“Oleh itu, kerjasama ini akan memantapkan lagi peranan serta penglibatan NDRC sebagai rakan strategik DPPC pada masa akan datang,” ujarnya.

Pusat ini merupakan pusat penyelidikan yang aktif dalam aktiviti-aktiviti melibatkan pengurusan dan pengurangan risiko bencana melalui penyelidikan dan program kesedaran awam termasuklah Program Kesedaran CBDRM iaitu pengurusan risiko bencana berasaskan komuniti di Sabah.

Hadir sama dalam kunjungan hormat ini, Timbalan Pengarah MET Malaysia, Sabah, Dr. Chai Mui Fatt; Felo Penyelidik Utama NDRC, UMS; Prof. Madya Ts. Dr. Ejria Saleh; Felo Penyelidik Bersekutu NDRC, UMS, Dr. Janice Lynn Ayog dan Pegawai Penyelidik NDRC; Eldawaty Madran.