Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Haji Juhar Datuk Haji Mahiruddin dan isteri Toh Puan Datuk Seri Panglima Hajah Norlidah Tan Sri Datuk R. M. Jasni meluangkan masa berbuka puasa bersama kakitangan dan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada Majlis Iftar Perdana @UMS yang diadakan di Pusat Islam UMS malam tadi.

Pada majlis itu, Juhar yang juga merupakan Canselor UMS bersama-sama Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor menyaksikan penyampaian sumbangan zakat berjumlah RM34,500.00 oleh Bahagian Zakat dan Fitrah, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) kepada UMS.

Sumbangan zakat tersebut disampaikan oleh Penolong Setiausaha Kanan, Agihan Bahagian Zakat dan Fitrah MUIS, Ustaz Saffruddin Manshuruddin kepada Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Panglima Abdul Rahman Dahlan.

Juhar turut menyaksikan acara penyerahan zakat wakalah Bank Islam Berhad berjumlah RM40,000.00 kepada UMS yang disampaikan oleh Pengarah Bank Islam Negeri Sabah, Nona Baria Sarudin.

Beliau kemudiannya menyampaikan sumbangan agihan zakat kepada wakil pelajar dan wakil kakitangan UMS yang layak.

Sejumlah 1,198 pelajar dan 24 orang kakitangan UMS layak menerima agihan zakat tersebut, dengan bantuan zakat pelajar daripada golongan asnaf merangkumi bantuan sara diri, yuran pengajian, yuran asrama, dan bantuan untuk menjalani latihan industri.

Hadirin pada majlis tersebut kemudian mendengar sesi tazkirah Ramadan yang disampaikan oleh Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Sabah, Ustaz Datuk Haji Abdul Manap Haji Lakaribah, sebelum berbuka puasa selepas berkumandangnya azan tepat jam 6.26 petang.

Juhar kemudian menunaikan Solat Maghrib, Isyak dan Solat Sunat Tarawih di Masjid UMS bersama kira-kira 300 kakitangan dan pelajar UMS.

 

Pusat Pengurusan NR dan Fasiliti Perumahan Pelajar (PNRF) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengadakan Bengkel Semakan HIRARC Kluster Kolej Kediaman sebagai langkah awal dalam memastikan sebarang risiko keselamatan di kolej kediaman UMS dapat dikenal pasti.

Menurut Pengarah PNRF, Hasmi Hashim, semakan terhadap HIRARC (Hazard Identification , Risk Assessment and Risk Control) adalah penting bagi mengenal pasti bahaya dan cadangan langkah kawalan bahaya tersebut.

“Selain itu, bengkel ini juga diadakan bagi mengenal pasti, mengurus dan mengurangkan sebarang risiko yang terdedah di kolej kediaman, di samping memberi kefahaman dan latihan kepada kakitangan dalam menyediakan dokumen HIRARC.

“Usaha ini sekali gus dapat mengurangkan risiko dalam kalangan pelajar terutamanya yang tinggal di kolej kediaman dan seterusnya meningkatkan kualiti terhadap aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan di kediaman pelajar,” katanya.

Hasmi turut menyampaikan penghargaan kepada Pusat Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (PKKP) yang diketuai oleh pengarahnya,  Prof. Dr. Khamisah Awang Lukman yang hadir untuk memberi bimbingan kepada kakitangan PNRF khususnya dalam penyediaan dokumen HIRARC.

Bengkel yang berlangsung selama dua hari di Bilik Seminar, Pusat Islam itu dihadiri lebih 15 orang warga perumahan pelajar yang terdiri daripada Pengetua, Timbalan Pengetua, kakitangan pengurusan Kolej Kediaman dan kakitangan PNRF sendiri.

 

Seramai 39 peserta mengambil bahagian pada Festival Kesenian Islam 2023 (FKI'23) peringkat Kebangsaan anjuran Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) Kolej Kediaman Tun Fuad (KKTF), Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Kesemua peserta terdiri daripada murid sekolah rendah dan menengah, serta pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

Program yang berlangsung selama tiga hari di Dewan Serbaguna KKTF dirasmikan Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj Mansor, kelmarin.

Menurut Dr. Kasim, penganjuran FKI’23 amat signifikan dengan keperluan generasi pada masa ini.

“Program ini memberi pendedahan meluas mengenai kesenian dalam Islam merangkumi pelbagai aspek seperti seni suara, pertahanan diri, sukan, tulisan dan sebagainya.

“Program kerohanian seperti ini juga membuka peluang kepada masyarakat untuk mendekatkan diri dengan Islam dan menambah ilmu seni kebudayaan Islam.

“Ia juga merupakan platform bagi membincangkan hal-hal berkaitan isu agama yang dihadapi oleh generasi muda terutamanya dalam kalangan pelajar,” katanya.

Dr. Kasim turut mengalu-alukan penganjuran program tersebut yang disifatkannya mampu menerapkan seni warisan Islam dalam institusi masyarakat.

“Saya sangat mengalu-alu program seumpama ini dan berharap penganjurannya akan terus berkesinambungan pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Program Nurhikmah Kasiran ketika dihubungi berkata, sebanyak enam pengisian telah diadakan sepanjang FKI’23.

“Antaranya, pertandingan Tilawah al-Quran, laungan azan, seni khat, pidato umum, sirah nabi dan acara ‘merewang’ memasak bubur lambuk.

“Kita juga telah mengadakan Quran Hour secara hibrid sempena Nuzul Al-Quran pada 8 April 2023,” katanya.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya. Dr. Raman Noordin; Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Mohd Raffie Hj. Janau; dan Pengetua KKTF, Dr. Khair Beddu Asis.

 

Perubahan dunia global yang dilihat hari ini memerlukan kita merancang secara strategis, berfikiran secara kritis serta berkebolehan untuk berkomunikasi dalam pelbagai bahasa.

Menurut Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Datuk Dr. Kasim Hj Mansor, kemahiran menguasai pelbagai jenis bahasa selain Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dapat membuka banyak peluang kepada rakyat Malaysia.

Katanya, memiliki kebolehan berkomunikasi dalam pelbagai bahasa seperti Bahasa Mandarin dapat memberi lebih banyak peluang berbanding mereka yang tidak memilikinya.

“Kepesatan pembangunan Republik Rakyat China yang merupakan salah satu kuasa besar dunia pada masa ini telah membuka banyak peluang kerjasama dengan Malaysia dalam pelbagai bidang temasuklah ekonomi, pendidikan dan penyelidikan di samping peluang pekerjaan yang meluas serta interaksi dengan meraka dalam kehidupan seharian kita.

“Apabila sempadan kedua-dua negara Malaysia dan China dibuka semula selepas pandemik Covid-19 baru-baru ini, saya percaya sekali lagi kita akan dapat lihat dan nikmati yang negeri Sabah akan terus mendapat sambutan dari pelabur serta pelancong China.

“Melalui penguasaan Bahasa Mandarin yang baik yang ditawarkan oleh Institut Confucius di UMS, rakyat Malaysia umumnya serta pelajar dan kakitangan UMS akan berpeluang merebut peluang ini untuk terlibat sama dalam aktiviti-aktiviti berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyampaian Sijil Tamat Kursus Bahasa Mandarin (HSK) Institut Conficius UMS, di sini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar.

Tambah Kasim, hasil hubungan baik Malaysia-China, sebuah syarikat China iaitu Kibing Group telah membuat pelaburan sebanyak RM10 billion di Sabah dan ianya bakal menawarkan peluang pekerjaan kepada penduduk di negeri ini khasnya graduan UMS.

“Institut Confucius UMS dijangka akan memainkan peranan penting untuk menawarkan latihan Bahasa Mandarin dan kefahaman budaya kepada bakal pekerja tempatan Kibing Group yang merupakan graduan tempatan UMS.

“Latihan tersebut dijangka akan mempertingkatkan koordinasi, persefahaman serta mewujudkan usaha kerjasama yang berterusan antara penduduk tempatan dan Kibing Group,” ujarnya.

Pada majlis tersebut, seramai 82 pelajar berjaya menamatkan kursus Sijil Tamat Kursus Bahasa Mandarin (HSK) yang berlangsung di Galeri Majlis UMS.

Institut Confucius UMS kini menawarkan kursus Bahasa Mandarin secara percuma kepada jabatan-jabatan kerajaan negeri seperti Jabatan Imigresen Sabah, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Sabah) serta beberapa agensi lain termasuklah kakitangan dan pelajar UMS yang memerlukan penguasaan Bahasa Mandarin dalam membantu tugasan seharian.

Turut hadir, ketua Pustakawan UMS, Md Sazali Md Salleh; Pengarah CI (Malaysia), Profesor Ts. Dr. Chong Khim Phin dan Pengarah CI (China), Profesor Madya Deng Rong.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerima dana sebanyak RM2 juta daripada Kerajaan Sabah bagi tujuan aktiviti penyelidikan, kata Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Haji Mansor.

Menurut beliau, sebahagian daripada dana yang diterima pada Mac lalu itu akan digunakan sebagai dana makmal hidup (Living Lab) di universiti tersebut.

“Aplikasi Living Lab merupakan pendekatan kolaboratif untuk inovasi yang melibatkan pelbagai pihak berkepentingan dan sering digunakan dalam bidang bandar pintar, penjagaan kesihatan, kelestarian dan pendidikan.

“Ia juga bagi merealisasikan hasrat negara menjadikan inovasi sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPT) telah merangka Pelan Pembangunan 10 tahun sehingga 2025 bagi menyokong pertumbuhan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Living Lab di di Akuarium dan Muzium Marin, Institut Penyelidikan Marin Borneo UMS, di sini, pada Rabu.

Menurut Dr. Kasim, UMS sebagai universiti komprehensif telah memulakan pembangunan Living Lab pada pertengahan tahun 2022 dan merupakan antara universiti yang komited dalam mewujudkan makmal hidup.

“Misi UMS adalah untuk memastikan Living Lab ini menjadi inspirasi kepada universiti, komuniti dan industri dalam mencipta inovasi yang bermanfaat kepada masyarakat dan industri, selaras dengan tema universiti sebagai Peneraju Masyarakat Berinovatif, “Leading Towards Innovative Societies”.

“Ia merangkumi perkongsian kolaboratif antara ahli akademik, industri, kerajaan dan komuniti, bagi memastikan pertumbuhan yang mampan terlaksana dengan pantas sekali gus mampu berkongsi idea agar pengkomersialan dapat direalisasikan.

“Dengan adanya Living Lab ini sebagai pemangkin inovasi, ia akan menghasilkan produk-produk serta perkhidmatan yang bermutu tinggi, termasuk memberi impak kepada mempertingkatkan sosio ekonomi masyarakat. Ia juga sekali gus merealisasikan Agenda Sabah Maju Jaya dalam konteks Malaysia Madani pada hari ini,” katanya.

Selain penyaluran sebahagian dana daripada sumbangan Kerajaan Sabah, Dr Kasim turut mengumumkan peruntukan UMS sebanyak RM500 ribu untuk Living Lab.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UMS, Prof Ir. Dr. Rosalam Sarbatly, Pegawai-pegawai Utama dan Kanan UMS, serta wakil daripada pihak industri dan komuniti.