ISNIN, 6 DISEMBER – Program E-Mobiliti antara ahli akademik dan pelajar Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) Universiti Malaysia Sabah dengan Universiti Wako, Jepun mampu membuka ruang kolaborasi pelbagai bidang antara kedua-dua universiti.

Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa FPEP, Dr Beatrice Lim berkata, program webinar Autumn in My Heart: E-Mobility to Tokyo, Japan yang dianjurkan bersama Program Ekonomi Sumber Manusia FPEP dan Universiti Wako itu telah mendapat sambutan hangat dengan penyertaan lebih 500 peserta dalam dan luar negara.

“Program ini dilihat berjaya membentuk hubungan baru antara pelajar UMS dengan pelajar Universiti Wako dengan menghimpunkan ahli -ahli akademik dan para pelajar untuk bertukar pengalaman tentang keunikan budaya, makanan, dan cara pembelajaran semasa pandemik di negara masing-masing.

“Kolaborasi sebegini sekali gus memberi nilai impak yang tinggi dalam meningkatkan reputasi dan keterlihatan UMS di peringkat antarabangsa,” katanya. 

Dr Beatrice turut menjelaskan, pelbagai aktiviti dijalankan dalam program tersebut antaranya live bonding session dan sesi pembelajaran bahasa yang memberi peluang kepada peserta dari kedua-dua universiti untuk saling mempelajari dan berinteraksi secara langsung.

“Para peserta turut menyaksikan demonstarsi masakan makanan dari Malaysia dan Jepun yang dipersembahkan oleh pelajar dari kedua-dua universiti, selain kuiz berkenaan budaya kedua-dua negara turut diadakan bagi memeriahkan lagi program tersebut. 

“Peserta juga turut berpeluang mendengar perkongsian pengalaman oleh ahli akademik dari Universiti Wako yang pernah dilantik sebagai Profesor Pelawat di FPEP, Profesor Iwao Kato melalui ucaptama bertajuk KK Friendship: Peer to Peer and University to University,” kata Dr. Beatrice. 

Program tersebut katanya diakhiri dengan sesi refleksi bagi melihat keberkesanan program mobiliti terhadap pembangunan sosial, keperibadian dan pembelajaran antara budaya terhadap pelajar.  

Mengulas lanjut, Dr. Beatrice berkata Program E-Mobiliti yang dijayakan pada dasarnya telah memberi peluang kepada pelajar mempelajari budaya, nilai dan etika serta amalan positif dari negara luar dengan mengadaptasi norma baharu pada ketika dunia masih berada dalam situasi pandemik.

“Pengalaman yang diperoleh ini akan meningkatkan keyakinan berkomunikasi dan mematangkan tahap pemikiran para pelajar.

“Selari dengan usaha UMS dalam menaikkan semangat pengantarabangsaan yang merupakan sebahagian daripada pelan strategik UMS, program ini diharapkan mampu menjadi penanda aras serta dapat diteruskan pada masa hadapan,” ujar Dr. Beatrice. 

JUMAAT, 3 DISEMBER – Pakar Sains Sekitaran Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Nur Zaida Zahari memaklumkan konsep bioremediasi mampu mengatasi pencemaran alam sekitar dengan cepat dan selamat.

Menurutnya, konsep itu menggunakan organisma hidup untuk pemulihan atau pembersihan medium yang tercemar seperti air, tanah atau sisa industri yang mengandungi bahan toksik.

“Seperti yang kita sedia maklum, bahan-bahan buangan terjadual sama ada akibat daripada aktiviti perindustrian atau aktiviti seharian amatlah membimbangkan kerana ia boleh memusnahkan alam sekitar dalam tempoh yang sangat singkat.

“Ia bukan sahaja menyebabkan pencemaran setempat tetapi membawa kepada kesan global, selain memerlukan tempoh yang lama untuk dipulihkan semula.

“Namun, dengan menggunakan konsep bioremediasi, kesan pencemaran mampu dikurangkan sekali gus ditangani kerana kaedah ini bertindak menyahtoksik atau mengubah bahan-bahan pencemar toksik menjadi bahan pencemar kurang toksik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan webinar secara dalam talian bertajuk “Bioremediasi – Teknologi Hijau bagi Alam Sekitar” baru-baru ini.

Webinar itu dianjurkan dengan gabungan kerjasama U-Science, Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) UMS, dan MySTEM Ambassador UMS.

Menurut Nur Zaida, penggunaan konsep teknologi hijau itu amat digalakkan kerana ia dilakukan secara proses semula jadi tanpa kesan sampingan yang berbahaya.

“Melalui konsep bioremediasi ini,  persekitaran yang tercemar seperti tanah, air bawah tanah serta persekitaran marin akan mengalami proses pemulihan dengan lebih cepat.

“Selain itu kos yang terlibat jauh lebih murah dengan penggunaan peralatan yang minimum,” katanya.

Webinar penuh berdurasi hampir 50 minit itu boleh diikuti melalui saluran Youtube Pusat UScience UMS di

.

JUMAAT, 3 DISEMBER - Universiti Malaysia Sabah (UMS) dijangka akan melahirkan seramai 4,405 graduan dalam pelbagai bidang kepakaran bagi tahun 2021.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Prof. Dr. Rasid Mail berkata, daripada keseluruhan jumlah tersebut, 521 pelajar terdiri daripada graduan Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD).

“Bagi pelajar di peringkat prasiswazah, dijangka 3,663 graduan akan menerima skrol ijazah sarjana muda, di samping 134 graduan di peringkat diploma, dan 87 graduan peringkat Diploma Pascasiswazah.

“Ini merupakan usaha berterusan universiti bagi memenuhi keperluan negara dan tuntutan masyarakat bagi menghasilkan graduan yang berkepakaran dalam pelbagai bidang dan disiplin ilmu,” katanya dalam satu kenyataan.

Walau bagaimanapun, Rasid memaklumkan, senarai muktamad para graduan itu akan diisytiharkan Yang DiPertua Negeri Sabah merangkap Canselor UMS, Tun (Dr.) Hj. Juhar Datuk Hj. Mahiruddin sebelum penghujung tahun 2021. 

“Untuk makluman, istiadat konvokesyen yang biasanya diadakan pada bulan November setiap tahun ditangguhkan berikutan ancaman dan isu keselamatan ekoran penularan pandemik Covid-19. 

“Dengan mengambil kira beberapa faktor seperti kelancaran dan hal-hal keselamatan yang saya nyatakan tadi, maka majlis istiadat konvokesyen bagi graduan UMS 2021 dirancang untuk dilaksanakan pada Jun 2022,” jelas Rasid.

Sementara itu, hampir kesemua 4,639 graduan prasiswazah dan pascasiswazah UMS yang diisytiharkan Canselor UMS pada 30 Disember 2020 telah pun menerima skrol dan transkrip keputusan masing-masing.

Menurut Rasid, skrol tersebut dihantar melalui pos, dan terdapat juga yang hadir mengambil sendiri di UMS. 

“Satu berita gembira untuk graduan yang tamat pengajian pada tahun berkenaan, UMS merancang untuk mengadakan majlis istiadat konvokesyen bagi kesemua anda pada bulan Mac 2022. 

“Penangguhan majlis ini, yang sepatutnya dilaksanakan pada bulan November 2020 adalah disebabkan halangan dan isu keselamatan kesihatan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.      

“Jika keadaan mengizinkan, majlis istiadat konvokesyen bagi graduan tahun 2022 pula akan dilaksanakan pada bulan November, sekali gus menjadikan tiga majlis konvokesyen diadakan UMS pada tahun hadapan,” tambahnya.

Dalam pada itu, Rasid turut memaklumkan bahawa komposisi graduan UMS adalah terdiri daripada 40-45 peratus berasal dari luar Sabah, termasuk pelajar antarabangsa.

“Justeru, keadaan ini memerlukan perancangan yang lebih rapi, berbanding rakan Istitusi Pengajian Tinggi yang lain terutama keperluan perjalanan dan pergerakan rentas negeri dalam kalangan graduan dan keluarga mereka.    

“Pada masa ini, semua proses persiapan sedang giat dijalankan, dan harapan kita semoga ketiga-tiga istiadat majlis konvokesyen UMS ini dilaksanakan dengan baik mengikut perancangan yang dibuat,” katanya.

 

SELASA, 5 OKTOBER - Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Pusat Pengurusan Non Residen dan Fasiliti Perumahan Pelajar (PNRF) dan UMS Investment (UiNVEST) telah melancarkan satu sistem digital bagi memudahkan proses aduan pelajar residen berkaitan kerosakan perabot di bilik-bilik pelajar kolej kediaman.

Computerized Maintenance Management System (CMMS) yang dibangunkan tersebut merupakan sebahagian daripada Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah dimeterai antara kedua-dua pihak.

Pelancaran sistem tersebut diadakan dalam satu majlis yang berlangsung secara maya dan disempurnakan oleh Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin. 

Dalam ucapan perasmiannya, beliau memaklumkan sistem CMMS  akan memudahkan proses aduan pelajar residen kolej kediaman sekiranya terdapat kerosakan perabot di bawah selenggaraan syarikat UiNVEST di bilik-bilik pelajar kolej kediaman.

“Dengan adanya sistem ini akan memudahkan seramai 828 pelajar Kolej Kediaman Tun Mustapha dan seramai 896 pelajar Kolej Kediaman Tun Fuad untuk membuat aduan berkaitan dengan pantas sekiranya berkeperluan,” katanya. 

Turut berlangsung pada acara tersebut perasmian Food Bank PNRF, yang merupakan satu inisiatif bagi membantu semua pelajar UMS terutama pelajar non residen dalam kategori B40, zon Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan sebagainya untuk mendapatkan bantuan makanan kering sebagai meringankan beban pelajar yang berkeperluan.

Terdahulu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Raman Noordin berkata, pelancaran program Food Bank tersebut adalah sejajar dengan hasrat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berhubung penekanan kebajikan pelajar yang tinggal di luar kampus seperti terkandung dalam fokus strategik keenam KPT.

“Diharapkan agar usaha murni ini akan diteruskan bagi membantu pelajar UMS sama ada residen atau non residen yang berkeperluan sebagai mendukung slogan UMS sebagai Kampus Rahmah,” kata Raman.

Untuk rekod, sejumlah 708 bakul makanan kering telah diagihkan kepada pelajar non residen yang berkeperluan menerusi 53 sesi serahan ringkas bermula bulan Februari sehingga bulan September tahun ini. 

Turut hadir dalam sesi pelancaran tersebut Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar; Penolong Naib Canselor (Strategik), Prof. Madya Dr. Mohd Rahimie Abd. Karim; Pemangku Ketua Syarikat UMSiNVEST Holdings Sdn. Bhd., Francis Vincent Ariffin Jr; dan Pengarah PNRF, Hasmi Hashim.  

RABU, 6 OKTOBER -  U-Science Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kolaborasi Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) mempelawa pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh Sabah untuk menyertai program STEM4ALL: D.I.Y. STEM Exploration bertemakan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Pertandingan yang dijalankan sepenuhnya secara dalam talian itu telah bermula pada 13 September dan akan berakhir pada 29 Oktober 2021. 

Menurut kenyataan U-Science UMS, pertandingan tersebut bertujuan memberi peluang kepada pelajar sekolah untuk menggunakan kebolehan kognitif dan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif melalui aktiviti-aktiviti berasaskan STEM. 

Jelas U-Science UMS, dengan menggunakan bahan atau material yang mudah dan senang didapati di rumah masing-masing, tugas peserta adalah untuk mereka cipta projek STEM yang ingin mereka jalankan sepanjang tempoh pertandingan. 

“Ianya boleh dikategorikan daripada masalah yang dihadapi oleh mereka atau cara-cara untuk mempermudahkan tugas-tugas harian dengan menggunakan konsep-konsep sains, teknologi, kejuruteraan atau matematik. 

“Bagi pertandingan ini, tidak terdapat tema yang spesifik dan para peserta adalah bebas untuk meneroka projek masing-masing dan mengemukakan hasil inovasi melalui video ringkas yang dihasilkan pada akhir pertandingan berkenaan,” jelas kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menambah, video kreatif dengan durasi maksimum selama 5 minit daripada para peserta adalah berdasarkan aktiviti mereka menjalankan eksplorasi berkenaan dan hendaklah merangkumi perkara seperti pernyataan masalah, metodologi penyelesaian, konsep STEM yang digunakan, hasil daripada metodologi penyelesaian dan konsep STEM yang digunakan, rumusan projek dan faedah kepada masyarakat. 

“Peserta hanya perlu memuat naik video kreatif di mana-mana media sosial seperti Facebook atau Youtube dan memberikan tanda pagar #STEM4ALL atau #DIYSTEMExploration2021.

“Pelajar yang telah lengkap menghantar butiran penyertaan layak untuk menerima sijil dan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK),” katanya.

Setiap peserta berpeluang memenangi hadiah bernilai RM300 bagi hadiah utama dan terdapat lima pemenang bertuah bagi setiap kategori sekolah rendah dan sekolah menengah. 

Maklumat lanjut serta video penerangan mengenai program tersebut boleh didapati melalui pautan https://youtu.be/BiwnqtvYlts, laman Facebook UScience UMS atau berhubung dengan pegawai bertugas, Deidre Faye di talian 016-7733889.