RABU, 18 MAC - Unit Penyelidikan Psikologi dan Kesihatan Sosial (UPPsiKS) telah menganjurkan bengkel “Mastering Research Level 1” baru-baru ini di Bilik Mesyuarat Abdul Halim Othman, Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP), Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Menurut Ketua UPPsiKS, Profesor Madya Dr. Muhammad Idris Bullare @ Haji Bahari, bengkel tersebut diadakan bertujuan untuk memberi peluang kepada para pelajar serta pensyarah untuk mendalami ilmu penyelidikan dan juga menambah pengetahuan dalam bidang ini.

“Ini kerana setiap penyelidikan yang dilakukan perlu melalui beberapa proses yang tertentu.

“Bengkel ini juga sebagai persediaan kepada pelajar prasiswazah apabila mereka menceburi bidang penyelidikan dan menjadi asas dalam penyelidikan,” katanya.

Bengkel yang disertai oleh 30 orang peserta yang terdiri daripada pelajar pascasiswazah dan prasiswazah UMS dan luar UMS serta pensyarah UMS dikendalikan oleh professor dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Profesor Dr. Zainudin Awang

 

SELASA, 17 MAC – Pusat Minda Lestari (PML) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengadakan Majlis Perjumpaan Pendaftar Bersama Ibu Bapa, Penjaga Murid/Kanak-Kanak, baru-baru ini.

Majlis tersebut merupakan acara tahunan PML sebagai medan pertemuan dan interaksi ibu bapa, penjaga murid/kanak-kanak PML dengan Pendaftar, guru-guru dan pihak pengurusan PML.

Pendaftar UMS, Vina Zahriani Yusof berkata majlis tersebut merupakan satu platform untuk semua pihak berkaitan mengetahui isu-isu semasa berkenaan pendidikan awal kanak-kanak di PML.

Selain itu beliau turut mengajak para kakitangan untuk mengambil kemudahan taska PML untuk dijadikan pilihan sebagai tempat asuhan anak-anak mereka.

“Saya ingin menasihatkan kepada kakitangan universiti agar mengambil peluang dan  bersyukur dengan kemudahan taska di UMS kerana bukan semua universiti mempunyai taman asuhan/didikan mereka sendiri,” ujarnya.

Vina turut menyeru para ibu bapa dan penjaga kanak-kanak PML untuk sentiasa mengamalkan kebersihan dan kesihatan diri dan juga ahli keluarga.

“Selari dengan isu semasa berkenaan penyakit berjangkit, Coronavirus atau COVID-19 yang kian merebak, adalah penting untuk semua orang mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi sebagai langkah perlindungan mencegah jangkitan.

“Pihak universiti telah mengambil beberapa inisiatif bagi memberi kesedaran dan berkongsi tips pencegahan serta kawalan kepada warga universiti melalui taklimat serta hebahan dalam bentuk poster mengenai penyakit berkenaan,” katanya.

Tambah beliau, usaha PML mengadakan forum berkaitan penjagaan kesihatan dan perkembangan kanak-kanak dalam majlis tersebut adalah sangat bertepatan pada masanya.

Forum penjagaan kesihatan itu dibicarakan oleh Pakar Kanak-kanak Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) Prof. Dr. Kew Seih Teck; Timbalan Pengarah Penerbit UMS Dr. Yasmin Ooi Beng Hui dan Pengarah Pusat Kesihatan UMS, Dr. Muhammad Syafiq Bin Abdullah.

Pada majlis tersebut, PML turut melancarkan “Program Nutrition In Community Engagement (NICE) iaitu program yang dijalankan oleh Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan untuk kanak-kanak PML serta Penyerahan Fail Kesihatan Murid/Kanak-Kanak PML iaitu kerjasama dengan Pusat Kesihatan Universiti (PKU). 

Antara aktiviti dalam majlis ini adalah Tarian Cuci Tangan yang dijayakan oleh murid-murid tadika, Pusat Minda Lestari sebagai simbolik kepada amalan menjaga kebersihan.

Selain itu, ibu bapa turut diberi taklimat mengenai Peraturan Pusat Minda Lestari yang disampaikan oleh Penolong Pendaftar Kanan PML, En. Faddili Kasin. 

Majlis turut dijayakan dengan kerjasama pihak Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) yang membuat Pameran Kesihatan serta pihak Hospital Queen Elizabeth II, Kota Kinabalu yang mengadakan kempen menderma darah.

 

ISNIN, 16 MAC – Pelajar sekolah disaran untuk berusaha mengenal pasti potensi diri lebih awal bagi membantu mereka menentukan bidang yang mereka akan ceburi kelak.

Menurut Ketua Unit Penyelidikan Psikologi dan Kesihatan Sosial (UPPsiKS), Profesor Madya Dr. Mohammad Idris Bullare @ Haji Bahari, amat penting bagi pelajar untuk mengenal pasti personaliti diri mereka agar dapat mengetahui bidang yang ingin mereka ceburi kelak.

“Melalui personaliti, pelajar akan dapat mengetahui tentang minat dan bakat yang terdapat dalam diri mereka.

“Mengenal pasti diri dan potensi diri menjadi kayu ukur dan panduan kepada pelajar dan juga kepada sesiapa sahaja untuk menentukan hala tuju hidup mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah bertajuk “Personality and Career Talk” sempena Program Cuti Sekolah Pelajar Tajaan Yayasan Sabah 2020 yang mengangkat tema “Leading the Future Leader” yang diadakan di Mesindung Homestay, Papar.

Pada akhir program tersebut, Dr. Muhammad Idris turut serta menjayakan Majlis Penutupan Program Cuti Sekolah: Pelajar Pertukaran Sabah/Sarawak dan Penempatan Pelajar Luar Bandar ke Bandar.

JUMAAT, 13 MAC – Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui UPPsiKS telah mengadakan kolaborasi bagi membentuk satu Modul Interaktif Perkahwinan Kanak-Kanak (MIPK): Tangani Perkahwinan Kanak-Kanak sebagai usaha untuk membendung isu perkahwinan dalam kalangan kanak-kanak

Bagi mengukuhkan lagi pelaksanaan modul itu kelak, satu Bengkel Pemurnian Modul Interaktif Tangani Perkahwinan Kanak-Kanak Versi Sekolah Rendah anjuran Jabatan Hal Ehwal Wanita Negeri Sabah (JHEWA) diadakan di Wisma Wanita, Kota Kinabalu.

Bengkel yang diketuai Ketua UPPsiKS, Profesor Madya Dr. Muhammad Idris Bin Bullare @ Haji Bahari adalah inisiatif pihak JHEWA yang dibelenggu kebimbangan mengenai isu perkahwinan yang berlaku dalam kalangan kanak-kanak terutamanya di negeri Sabah.

Bengkel tersebut antara lain melihat adalah untuk melihat sama ada modul tersebut sesuai untuk diguna pakai dalam program-program anjuran JHEWA.

Menurut Dr. Muhammad Idris, modul yang bakal dibentuk itu sangat berguna kepada ibu bapa, guru sekolah, pemimpin masyarakat, badan kerajaan dan bukan kerajaan serta komuniti dan boleh disampaikan melalui pelbagai saluran seperti ceramah, perbincangan, pentadbiran soal selidik dan juga melalui pembelajaran melalui pengalaman.

“Objektif modul ini sangat penting kerana dapat memberi panduan kepada fasilitator iaitu kaunselor, guru bimbingan dan kaunseling tentang cara mengendalikan sesi dan aktiviti dalam MIPK.

“Selain itu, modul ini juga dapat memberikan kesedaran dan pengetahuan kepada kanak-kanak, ibu bapa, penjaga, masyarakat mengenai isu perkahwinan dalam kalangan kanak-kanak terutamanya di negeri Sabah yang masih berleluasa,” katanya.

Tambah beliau, kanak-kanak adalah golongan yang perlu diberikan perhatian, namun perhatian yang mereka inginkan bukan berbentuk paksaan dan perkahwinan bukanlah caranya.

“Oleh yang demikian, semua pihak perlu berganding bahu menangani masalah perkahwinan kanak-kanak dan menyedari bahawa isu perkahwinan dalam kalangan kanak-kanak tidak sepatutnya berlaku,” ujar Dr. Muhammad Idris.

KHAMIS, 12 MAC - U-Science yang diwujudkan di bawah Perpustakaan Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan menggiatkan pelbagai aktiviti bagi menggalakkan minat pelajar sama ada dari peringkat pra sekolah, Sekolah Rendah, Sekolah Menengah dan Menengah Atas dan tertiari terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM. Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata, U-Science merupakan pusat perkhidmatan STEM setempat dan Hub STEM di UMS kepada pelbagai peringkat sekolah.

“U-Science dipertanggungjawabkan untuk menggalakkan minat pelajar terhadap STEM, sekali gus menggalakkan kreativiti dan inovasi dalam bidang STEM bagi menyediakan lebih ramai murid yang berkelayakan dapat meneruskan pengajian di peringkat tertiari dalam bidang Sains dan Teknologi serta memenuhi keperluan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam industri bagi memacu ekonomi Malaysia.

“Ini adalah selaras dengan usaha kerajaan untuk memacu pembangunan ekonomi negara yang berlandaskan Revolusi Industri 4.0,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika merasmikan Pra-Pelancaran U-Science dan Program STEM4ALL@UMS, Peringkat UMS di Ruang Megalab, Perpustakaan UMS.

Prof. Datuk Taufiq turut memaklumkan, U-Science menganjurkan Program STEM4ALL@UMS  dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi, Pusat STEM Negara, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Planetarium Negara, Pusat Citra, Universiti Kebangsaan Malaysia, dan Pusat Sains Negara dengan tujuan untuk sebaran, kesedaran pendidikan, pembudayaan dan pemerkasaan STEM kepada sasaran peserta yang terdiri daripada warga & pelajar UMS, pelajar & guru sekolah sekitar Kota Kinabalu, Tuaran, Penampang dan Papar, pelajar universiti dan kolej swasta serta institut perguruan di Sabah.

“Saya dimaklumkan lebih 31 penyertaan dari agensi luar dan dalaman UMS serta pihak industri dari pelbagai bidang seperti Marine , Terrestrial Biodivisity, Robotics, Astronomy, Coding, Kejuruteraan, Bioteknologi , Food Science, Aviation, Gamification in education dan banyak lagi terlibat dalam program sepanjang dua hari ini.

“Lebih 50 orang pelajar juga terlibat di dalam pembangunan pengetahuan sebagai fasilitator dan pempamer yang datang dari pendidikan sains dan sains sosial, dan saya lihat ini akan menggalakkan pemantapan di dalam pembudayaan STEM di UMS,” kata Prof. Datuk Taufiq.

Beliau turut berharap agar pelbagai program STEM sedemikian akan terus dilaksanakan bagi meningkatkan tahap kefahaman, minat dan sebaran maklumat berkaitan dunia STEM yang sangat sinonim dalam kehidupan seharian manusia serta perkembangan arus kehidupan manusia sejagat.

Pada majlis tersebut, Prof. Datuk Taufiq turut meluangkan masa menyampaikan ceramah bertajuk ‘Sains dan Teknologi Dalam Kehidupan Manusia’ dalam program Bicara Saintis.

Hadir sama pada program tersebut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Madya Ts. Dr. Ramzah Dambul; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Madya Dr. Raman Noordin; Ketua Pustakawan merangkap Penasihat Program STEM4ALL@UMS, Zawawi Tiyunin; Pengarah Pusat STEM Negara, Dr. Ihsan Ismail; Pengarah Pusat Sains Negara, Mismah Jimbun; dan Pengarah Planetarium Negara, Anita Bahari.