RABU, 8 JANUARI – Universiti Malaysia Sabah (UMS) muncul naib juara pada Pertandingan Debat Perubatan antara Universiti Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di Universiti Kebangsaan Malaysia baru-baru ini.

UMS yang buat julung kalinya menyertai pertandingan itu diwakili oleh pelajar tahun satu Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK).

Mereka ialah Jivanarajahn Rajendra Kumar, Kuhaneshvaren Elanggovan, Nurul Firzanah Mohd Darwis dan Siti Maisarah Shamsul Bahri.

UMS berjaya mengetepikan pesaing dari beberapa universiti perubatan lain termasuk Universiti Sains Malaysia (USM), Monash Medical University, dan tuan rumah UKM.

Walau bagaimanapun UMS terpaksa akur dengan pasukan debat dari Universiti Malaya (UM) apabila tewas tipis di peringkat akhir kepada universiti yang lebih veteran dalam pertandingan tersebut.

Selaku naib juara, UMS membawa pulang hadiah wang RM500. Pendebat UMS, Jivanarajahn turut dinobatkan sebagai Pendebat Terbaik Keseluruhan oleh pihak juri.

Sebanyak 18 universiti perubatan seluruh Malaysia menyertai pertandingan berkenaan.

 

ISNIN, 23 DISEMBER - Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Malaysian Palm Oil Council (MPOC) telah menganjurkan program Karnival dan Pelancaran Palm Oil Student Ambassador 2019 bertempat di Auditorium Perpustakaan UMS baru-baru ini.

Program yang menyasarkan penyertaan siswa-siswi UMS tersebut telah dirasmikan oleh Dekan FSSA, Profesor Dr. Baba Musta.

Menurut beliau, program tersebut adalah bertujuan untuk memberikan penerangan berkaitan isu-isu mutakhir mengenai industri sawit memandangkan minyak sawit adalah antara bahan komoditi eksport utama negara.

“Program ini turut memberi peluang kepada para pelajar dan warga kampus bagi mengambil tanggungjawab memberi kesedaran umum tentang kebaikan minyak sawit berbanding produk lain.

“20 orang pelajar dari kampus utama UMS telah terpilih dan dilantik menjadi Palm Oil Student Ambassador selama 1 tahun, dan mereka akan mempromosikan minyak sawit serta produk yang berkaitan dengannya di dalam negara,” katanya.

Dua panel jemputan iaitu Pengurus Kelestarian - Sawit Kinabalu, Nazlan Mohamad dan Clinical Dietitian - KPJ Specialist Hospital Damai,Kota Kinabalu, Joanne Bernadette John telah memberikan perkongsian informasi berkenaan usaha-usaha pembangunan industri Sawit di Sabah khususnya serta pengambilan makanan yang sihat dengan menggunakan minyak sawit dalam program tersebut.

Karnival tersebut turut menyaksikan seramai 150 orang pelajar telah mengambil bahagian dalam acara pertandingan pidato dan poster Infografik berkaitan minyak sawit, dengan isu-isu berbangkit berkenaan naratif negatif industri sawit telah dibahaskan oleh para pelajar yang terlibat dalam program tersebut.

Dalam pada itu, Pengurus Komunikasi Bahagian Promosi dan Penjenamaan MPOC, Suzanna Dato Mohamad Dahan turut menyampaikan penghargaan atas sambutan baik penganjuran program itu di UMS.

"Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak UMS atas kerjasama dan sambutan yang memberangsangkan dalam siri jelajah pertama promosi Palm Oil Student Ambassador di negeri Sabah ini,” ujar Suzanna.

 

 

JUMAAT, 20 DISEMBER - Perjanjian persefahaman (MoU) yang dimeterai di antara Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universitas Pasundan (UNPAS) tiga tahun lalu telah memberi peluang kepada program pertukaran pelajar melalui program mobiliti berkredit pelajar kerja sosial di kedua-dua universiti.

Program mobiliti berkredit kumpulan mahasiswa pertama telah bermula pada tahun 2017 dan kumpulan kedua pada tahun seterusnya.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Fakulti Pendidikan dan Psikologi (FPP) UMS, melalui program tersebut, pelajar Program Kerja Sosial UMS  dan pelajar Prodi Kesejahteraan Sosial UNPAS akan berada selama satu semester dengan mengikuti kuliah seperti biasa dan mengambil ujian serta peperiksaan mengikut syarat sebagai pelajar pra siswazah Universiti  masing-masing.

Kenyataan itu menambah, keputusan peperiksaan pelajar mobiliti akan dibawa balik dan disetarakan dalam transkrip setelah menamatkan program mobiliti.

“Baru-baru ini program mobiliti pensyarah antara kedua-dua institusi telah dilaksanakan sebagai sebahagian daripada kesinambungan Program Mobiliti pelajar. Pensyarah dari program Kesejahteraan sosial,  Dr. Abu Huraerah telah datang ke UMS sebagai pensyarah mobiliti sementara pensyarah program Kerja Sosial Dr. Peter Voo berada di UNPAS untuk mengajar pelajar prasiswazah program Kesejahteraan sosial,”tambah kenyataan itu.

Seramai enam pelajar UMS dan empat pelajat UNPAS terlibat dalam program mobiliti tahun ini. Kedua-dua universiti itu sedang merancang untuk melaksanakan program mobiliti pelajar kumpulan ketiga yang dijangka berlangsung pada tahun hadapan.

JUMAAT, 20 DISEMBER – Seramai 31 peserta yang terdiri daripada kakitangan dan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), guru-guru sekolah, kakitangan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah, Jabatan Pelajaran Negeri Sabah, Agensi Anti Dadah Kebangsaan Negeri Sabah dan orang awam di sekitar Kota Kinabalu telah hadir bagi menjayakan program ‘Disability Awareness Training’ yang diadakan di Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) UMS baru-baru ini.

Ketua Unit Penyelidikan Psikologi dan Kesihatan Sosial (UPPsiKS), Prof. Madya Dr. Muhammad Idris Bullare @ Bahari berkata, program anjuran UPPsiKS ini antara lain bertujuan untuk  menunjukkan kesedaran kepada masyarakat tentang halangan-halangan persekitaran dan sikap yang dialami oleh Orang Kurang Upaya (OKU) sepanjang mereka berada di institusi atau di mana-mana sahaja serta cara-cara yang boleh dikenal pasti bagi mengatasi halangan-halangan tersebut.

“Program ini juga memberi peluang kepada golongan OKU dan bukan OKU untuk mengetahui tentang perundangan yang menyokong OKU sekiranya hak mereka dicabuli oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

“Bengkel ini sarat dengan pengisian bermanfaat yang mampu membuka minda para peserta mengenai persepsi mereka terhadap golongan OKU,” katanya.

Menurut Dr. Muhammad Idris , melalui perkongsian yang diberikan oleh peserta, interaksi mereka bersama OKU sangat terhad kerana pengetahuan yang sedikit namun selepas mengikuti bengkel ini, mereka bersemangat untuk mengenali golongan OKU dengan lebih mendalam.

“Melalui bengkel ini juga mereka dapat mengetahui cara yang terbaik untuk berinteraksi dengan OKU berdasarkan kategori kekurangupayaan yang mereka alami,” kata Dr. Muhammad Idris.

Dalam pada itu, Profesor di FPP, Prof. Dr. Haji Mohd Dahlan A. Malek yang menjadi salah seorang peserta bengkel ini menyatakan bahawa bengkel ini amat bermanfaat dan amat membantu dalam memahami apa itu OKU dan bagaimana kita perlu berinteraksi dengan mereka yang berkeperluan khas.

“Bengkel seperti ini perlu diteruskan lagi pada masa akan datang dan perlu disebarluaskan kepada masyarakat di luar sana agar mereka turut mengetahui dan memahami mereka yang berkeperluan khas,” ujar beliau.

Program selama dua hari itu dikendalikan oleh  jurulatih bertauliah dari Inspirize Consulting PLT, Fariz Hj Abd Rani yang juga merupakan pengerusi kepada Persatuan Berkerusi Roda Kota Kinabalu.

 

KHAMIS, 19 DISEMBER – Program ‘Stop Pedofilia 3.0’ anjuran pelajar Kursus Interaksi Institusi dan Masyarakat (INTERIM), Seksyen 2 Sesi 2019/2020, Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang berlangsung baru-baru ini mampu membina dan memupuk kesedaran serta pengetahuan kepada masyarakat tentang isu-isu dan perbuatan jenayah pedofilia yang semakin berleluasa masa kini.

Menurut Timbalan Pengarah Pusat Ko-Kurikulum dan Pemajuan Pelajar (PKPP) UMS, Dr. Pathma Nathan K. Supiah, adalah tanggungjawab dalam masyarakat  setempat mengambil tahu tentang isu-isu jenayah pedofilia terhadap kanak-kanak serta bagaimana untuk mencegah pedofilia ini.

“Saya percaya bahawa penganjuran program ini dapat menyedarkan orang ramai terhadap bahayanya isu pedofilia ini dan berharap masyarakat di luar sana mampu mengekang ancaman  pedofilia terhadap kanak-kanak dan sebagai masyarakat prihatin dapat menyelamatkan lebih banyak lagi masa hadapan kanak-kanak di luar sana.

“Setinggi-tinggi tahniah dan syabas saya tujukan kepada pihak penganjur kerana berjaya merealisasikan penganjuran program yang turut dapat mewujudkan hubungan silaturrahim dan kerjasama erat antara pelajar dalam satu pasukan yang berbeza agama dan bangsa tetapi satu matlamat untuk mencapai objektif program pada hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena perasmian program tersebut di Dewan Kuliah Pusat Ke-2, UMS.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Penyelaras INTERIM Seksyen 2 UMS, Mohd Juhar  Harun.

Terdahulu, pengarah program,  Kerlina Anak Kebil berkata, kehadiran peserta program kali ini bukan sahaja dalam kalangan pelajar UMS malah turut dihadiri daripada pelajar sekolah rendah dan menengah serta orang awam.

“Semoga kehadiran mereka pada program ini dapat menyuntik kesedaran dan menambah lagi pengetahuan tentang jenayah pedofilia terhadap kanak-kanak dengan memupuk nilai tanggungjawab dalam masyarakat setempat serta mewujudkan persekitaran selamat dan harmoni melalui pendekatan kempen dan forum seperti program hari ini,” ujar beliau.

Program yang disertai lebih 70 peserta itu turut melibatkan tiga panel jemputan bagi acara Forum Stop Pedofilia 3.0 iaitu Pegawai Penyiasat Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu, Inspektor Nur Sabirah Ramlee; Pegawai Perubatan di Hospital Mesra Kota Kinabalu, Dr. Lee Sze Chet; dan Guru Kaunseling SM All Saint Kota Kinabalu, Mohd. Abdullah bin Samat.