ISNIN, 16 DISEMBER - Universiti Malaysia Sabah (UMS) melakar satu lagi sejarah apabila menubuhkan Institut Confucius (CI) iaitu sebuah institut bahasa Mandarin yang pertama di Borneo.

Menurut Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Yusof Yacob, penubuhan CI di UMS dapat memberi pendedahan dan mengembangkan lagi pengajaran bahasa Mandarin, budaya Cina dan hubungan dua hala antara UMS dan institusi pengajian tinggi di China.

Katanya langkah yang diambil oleh UMS untuk menubuhkan CI adalah satu pendekatan yang memenuhi aspirasi dan sememangnya dititikberatkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Menguasai mana-mana satu bahasa asing akan membawa keuntungan kepada seseorang. Apatah lagi bahasa Mandarin yang menjadi salah satu bahasa penting di peringkat antarabangsa.

“Saya difahamkan bahawa pihak Hanban, iaitu Ibu Pejabat CI, selain memberikan sokongan dari segi kewangan, akan menghantar guru bahasa Mandarin profesional dan guru sukarelawan bahasa Mandarin ke CI di UMS. Tindakan ini sememangnya menguntungkan sesiapa sahaja yang ingin belajar bahasa Mandarin.

“Saya menyeru kepada semua rakyat Malaysia yang berada di Sabah, ambillah peluang keemasan ini untuk belajar bahasa Mandarin, yang sememangnya akan menguntungkan diri anda. Selain bahasa Inggeris, bahasa Mandarin ialah salah satu lingua-franca yang penting di seluruh dunia,” katanya dalam ucapan sempena majlis Pelancaran Institut Confucius UMS, baru-baru ini.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Mohammad Mohamarin.

Terdahulu, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk ChM. Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata sebanyak USD 136, 000 diperuntukkan oleh ibu pejabat CI di China bagi membuka institut berkenaan di UMS.

Tambahnya peruntukan tersebut membabitkan perbelanjaan pengubahsuaian pejabat, kos pentadbiran, penganjuran aktiviti dan kerja pelancaran.

“Sokongan yang diberikan kepada UMS tidak hanya berbentuk kewangan malah turut membekalkan guru pakar bahasa Cina serta aktiviti CI secara berterusan,” ujarnya.

Turut hadir pada majlis tersebut, Konsul General China ke Sabah, Liang Caide, Setiausaha Jawatankuasa Parti Changsha University of Science and Technology China, Profesor Dr. Fu Hongyuan, Pengarah CI UMS, Profesor Dr. Low Kok on.

JUMAAT, 13 DISEMBER – Seramai 48 pelajar Program Kerja Sosial, Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menjayakan program komuniti “Mahasiswa Perintis Komuniti Sejahtera” di Kampung Tinangol, Kudat baru-baru ini.

Menurut Ketua Program Kerja Sosial UMS, Dr Peter Voo, program ini bertujuan untuk menerapkan budaya menuntut ilmu sepanjang hayat khususnya kepada masyarakat Kampung Tinangol, Kudat.

“Program yang mendapat kerjasama daripada pihak Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Sabah ini diharap dapat menarik minat golongan komuniti di kampung tersebut untuk menimba ilmu keusahawanan dengan lebih gigih.

“Selain itu beberapa barang keperluan yang disumbangkan oleh pihak SazaRice Sabah dan F&N Sabah turut diagihkan kepada penduduk di sekitar kawasan Kampung Tinangol sebagai satu aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada penduduk kampung ini,” katanya ketika berucap dalam satu majlis di kampung tersebut.

Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat terutamanya penduduk Kampung Tinangol yang sudi menerima pelajar dari UMS  untuk menjayakan program tersebut.

Sementara itu, Penolong Pegawai Perpaduan Daerah Matunggong, Mohd Nasir Adli Zainuddin berkata, komitmen semua pihak dalam menyokong usaha dan program komuniti kerja sosial yang dijalankan amatlah dihargai khususnya oleh penduduk kampung.

“Diharapkan melalui program komuniti kerja sosial ini akan mampu memberikan pengalaman kepada pelajar terutama pelajar dari semenanjung Malaysia untuk mengenali budaya dan cara hidup penduduk kampung di daerah Kudat khususnya Kg Tinangol yang terkenal dengan  perusahaan membuat Manik.

“Semoga program seumpama ini akan dapat dilaksanakan lagi pada masa akan datang,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu Setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Ghani Mohammad @ Zul; pensyarah program Kerja Sosial UMS, Wanda Kiyah Anak George Albert; dan pengarah program, Mohd Sharizal Salim.

 

 

 

 

JUMAAT, 20 DISEMBER – Seramai 58 pelajar tahun akhir program Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan (FKJ) Universiti Malaysia Sabah (UMS) diberi pendedahan berkenaan ‘Peranan Bomba di dalam Proses Kelulusan Pelan Pembangunan dan Bangunan serta Akta-Akta Berkaitan’ dalam satu program yang berlangsung di bangunan FKJ, baru-baru ini.

Program tersebut melibatkan ceramah oleh dua pegawai dari Jabatan Bomba, iaitu Ketua Cawangan Perakuan Pembangunan dari Jabatan Bomba dan Keselamatan Lintas, Sabah, PgB Hussein Hj Abdul dan wakil Cawangan Perakuan Pembangunan, PKPgB Runzee Thani.

PgB Hussein dalam ceramahnya menjelaskan para pelajar sebaiknya didedahkan kepada asas-asas Bahagian Kebombaan dan kaitan bahagian tersebut dalam kejuruteraan awam dan perancangan pembangunan.

Kenyataan beliau disokong oleh PKPgB Runzee Thani yang menyatakan bahawa secara realiti, jurutera profesional masih melakukan kesilapan dalam pelan pembangunan.

“Ini membuktikan kepentingan program pendedahan sebegini dalam peringkat awal bagi menangani sebarang kesilapan dalam pelan pembangunan oleh jurutera muda khususnya pada masa akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, pensyarah FKJ, Sr Asmawan Mohd. Sarman menjelaskan penganjuran program ini adalah penting untuk memberi gambaran awal kepada para bakal graduan kejuruteraan.

“Generasi jurutera muda ini perlu diberi pendedahan terhadap kepentingan dan peranan bomba dalam proses kelulusan bangunan, kerana pengetahuan sebegini amat penting terutama apabila melangkah ke dalam bidang ini kelak,” ujar beliau.

Pada program tersebut, para pelajar juga turut didedahkan tentang keselamatan bangunan dalam perspektif Jabatan Bomba dan Keselamatan, yang ternyata memberi input yang berguna kepada pelajar yang hadir.

KHAMIS, 12 DISEMBER – Pelajar Program Perniagaan Antarabangsa, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah turun padang bagi mengadakan aktiviti kebajikan bersama penduduk Kampung Air, Semporna baru-baru ini.

Menurut pengarah projek ini James Maxwell Anak Buie, projek ‘We Care, We Share’ bagi membantu penduduk di kawasan pedalaman itu memfokuskan aktiviti di Sekolah Altenatif Semporna dan di sekitar kawasan Kampung Air, Semporna dengan melibatkan seramai 34 pelajar serta pensyarah FPEP, Chan Hak Liong sebagai penyelia projek.

“Objektif utama aktiviti kebajikan ini  adalah bagi memupuk sikap keprihatinan pelajar UMS terhadap masyarakat di pedalaman, dengan para pelajar UMS telah menyumbangkan barangan terpakai yang sudah tidak digunakan untuk meringankan beban para murid dan tenaga pengajar di Sekolah Alternatif Semporna.

“Di samping itu, tujuan lain kerja sosial ini diadakan adalah untuk merapatkan silaturahim di antara siswa-siswi UMS dengan masyarakat pedalaman ini serta menarik minat kanak-kanak ini untuk belajar bersungguh-sungguh sehingga ke menara gading,” katanya.

Kata James lagi, antara aktiviti yang dijalankan pada program tersebut adalah aktiviti mengecat dinding kayu sekolah yang turut disertai kanak-kanak sekolah tersebut, dan  aktiviti gotong-royong di sekitar kawasan Kampung Air yang bermatlamat untuk menekankan kepentingan menjaga kebersihan alam sekitar agar penyakit seperti wabak denggi dapat dicegah di kawasan tersebut.

“Aktiviti kebajikan seperti ini telah mengajar kami, untuk sentiasa tidak melupakan orang yang dalam kesusahan.

“Dorongan semangat yang kami berikan kepada kanak-kanak tersebut mungkin menjadi pemangkin semangat untuk mereka mengubah nasib keluarga mereka suatu hari nanti,” ujar James.

Pada akhir  program tersebut, siswa-siswi UMS kemudiannya menyampaikan hadiah kepada setiap kanak-kanak di Sekolah Alternatif, Semporna yang ternyata memberi pancaran keceriaan di wajah setiap kanak-kanak yang menerima.

RABU, 11 DISEMBER - Universiti Malaysia Sabah (UMS) sedang dalam proses menaik taraf dan penggantian infrastruktur Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) di semua kampusnya bagi mencapai status kampus pintar.

Naib Canselor UMS Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin berkata untuk menjadikan UMS sebagai sebuah kampus pintar, infrastruktur dan keperluan asas harus ditingkatkan termasuk kadar kelajuan dan tahap capaian rangkaian dan sambungan internet.

“Oleh itu UMS akan meningkatkan sistem rangkaian dan keselamatan ICT penggantian sistem komunikasi (Unified Communication System – UCS) yang akan menggunakan telefon sepenuhnya.

“Selain itu UMS akan memperluaskan liputan dan ketumpatan perkhidmatan Wi-Fi di dalam bangunan dan persekitaran luar bangunan. Semua ini, saya difahamkan masih dalam proses penilaian tender,” katanya semasa menyampaikan perutusan bersempena 100 hari menjadi naib canselor UMS, di sini, hari ini.

Beliau berkata sebagai permulaan, UMS telah mewujudkan inisiatif Kepintaran Buatan (AI) UMS, yang dikenali sebagai Kukuro, iaitu Intelligent Virtual Assistant bagi menangani masalah berkaitan ICT yang dihadapi oleh pelajar dan kakitangan UMS.

Taufiq berkata dalam masa sama UMS juga terus merancakkan lagi pembangunan sistem bersepadu universiti.

“Ini termasuk membangunkan sendiri sistem kewangan dan perakaunan, pentadbiran, penyelidikan dan akademik. Kita tahu sistem-sistem ini adalah agak besar dan pastinya rumit, tapi saya yakin dan percaya, dengan kepakaran yang kita ada, sistem bersepadu ini akan berjaya dibangunkan.

“Kita juga telah mempergiatkan usaha menukar dan mengintegrasikan sistem-sistem sedia ada yang buat masa ini dicapai secara berasingan. Antara sistem yang telah berjaya dibangunkan adalah Staff Attendance Recording System (STARS), Smart Hadir, Sistem Maklumat Pelajar, Sistem Maklumat Penyelidikan dan Inovasi,” katanya.

Beliau berkata UMS juga telah melaksanakan kampus tanpa tunai dan menerusi inisiatif itu, pelajar tidak perlu lagi berurus niaga secara tunai.

Sumber: BERNAMA