JUMAAT, 1 NOVEMBER - Universiti Malaysia Sabah (UMS) berhasrat untuk membuat penyelidikan bagi merungkai kunci rahsia di sebalik perpaduan dan kerharmonian dalam kepelbagai etnik di Sabah.

Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UMS, Prof. Madya Ts. Dr. Ramzah Dambul berkata, semua pihak sudah sedia maklum tentang keunikan di negeri ini, namun resepi di sebalik perpaduan itu masih belum dirungkai sehingga mempunyai kekangan untuk memindahkannya ke tempat lain serta berhadapan masalah bagaimana mengekalkan resipi keharmonian berkenaan.

“Jadi saya berfikir, sudah sampai masanya UMS sebagai satu-satunya universiti utama di Sabah merungkai isu ini secara penyelidikan dan akademik kerana perkara ini sangat penting dan perlu diarusperdanakan.

“UMS akan menggagaskan satu usaha di mana kita akan kumpulkan penyelidik-penyelidik pelbagai disiplin, dan membuat kajian yang mungkin bersifat fundamental untuk mencari rahsia atau kunci dan bagaimana kunci itu dapat digunakan untuk membuka pintu-pintu keharmonian dan perpaduan di tempat lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Pertemuan Bersama Sasterawan dan Ilmuan Negara di sini, baru-baru ini.

Menurut Dr. Ramzah, penyelidikan itu akan dibuat pada tahun hadapan menggunakan sekitar RM100,000 – RM150,000 geran penyelidikan dalaman UMS.

Ujarnya, geran yang akan digunakan itu adalah daripada RM10 juta yang telah diperuntukkan sebagai geran penyelidikan dalaman UMS bagi tahun 2020 seperti yang diumumkan Naib Canselor, Prof. Datuk ChM. Dr. Taufiq Yap Yun Hin sebelum ini.

“Oleh kerana kita mempunyai lebih 800 penyelidik dengan pelbagai kepakaran, saya tidak fikir bidang kajian ini hanya terbatas dalam bidang sains sosial dan bidang kemanusiaan sahaja, mungkin juga ia akan merentas kepada bidang-bidang lain seperti pendidikan, ekonomi dan sebagainya.

“Justeru, kita akan akan buka penyelidikan bagi merungkai resepi keharmonian di Sabah ini kepada semua penyelidik UMS dan kita akan pilih berdasarkan penilaian terhadap kertas cadangan penyelidikan yang terbaik,” katanya.

KHAMIS, 31 OKT - Untuk mencapai kemajuan dalam era Revolusi Industri 4.0, (IR 4.0), kesihatan mental yang baik untuk semua perlu diberi penekanan, terutama di tempat kerja kata Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Yusof Yacob.

Katanya kesihatan mental yang baik, mampu membantu seseorang individu menampung tekanan di tempat kerja.

"Tempat kerja harus menjadi tumpuan dalam menguruskan isu-isu kesihatan mental serta menangani aspek-aspek lain dalam kerja, yang bertujuan mengurangkan ketidakhadiran dan meningkatkan produktiviti," katanya di majlis pelancaran Persidangan Antarabangsa Psikologi, Kaunseling dan Pendidikan (ICPCE) Kali Kedua, di Universiti Malaysia Sabah, hari ini.

Persidangan tiga hari itu bertujuan memudahkan kolaborasi penyelidikan dan rangkaian profesional dalam bidang psikologi, kaunseling dan pendidikan dalam kalangan pakar psikologi, kaunselor, pendidik, pengamal kerja sosial dan penyelidik.

Yusof berkata secara umum, kesihatan mental telah mendapat perhatian dari golongan profesional, penyelidik dan orang ramai dan penyakit tersebut boleh menyebabkan kerugian kepada ekonomi dalam pelbagai peringkat termasuk individu, keluarga, organisasi dan juga di peringkat kebangsaan.

Sementara itu Pengerusi ICPCE, Dennis Relojo-Howell berkata persidangan yang bertujuan untuk melihat penyelidikan dalam bidang psikologi, kaunseling dan pendidikan disertai perwakilan dari Brunei, Kemboja, India, Indonesia, Filipina, United Kingdom dan Malaysia yang akan membincangkan isu-isu dalam ketiga-tiga bidang itu.

Sumber : BERNAMA

KHAMIS, 31 OKTOBER – Kumpulan pelajar daripada kalangan Generasi Z atau Gen-Z, iaitu mereka yang lahir seawal tahun 1994 sehingga tahun 2010 lebih cenderung atau berminat terhadap aktiviti pengajaran yang berorientasikan penggunaan teknologi secara interaktif pada masa kini.

Timbalan Pengarah (Komunikasi Korporat) Pusat Pengurusan Strategik dan Komunikasi Korporat Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Jakaria Dasan berkata, terdapat satu kajian yang mendapati Gen-Z mengharapkan bahan pengajaran berasaskan teknologi digital digunakan dalam kelas dan tugasan di luar kelas.

“Pelajar Gen-Z ini mempunyai minat yang tinggi untuk berkreativiti dalam pelaksanaan tugasan, umpamanya penghasilan video pendek berdurasi satu minit menjadi kegemaran mereka.

“Jika durasi video pengajaran pula, mereka lebih fokus untuk tiga atau lima minit pertama, dan selebihnya mereka akan melihat pesanan ringkas dalam telefon bimbit mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi perkongsian 1st AMC Academic Coffee Table Talk anjuran AMC College yang diadakan di Hotel Grandis, Kota Kinabalu baru-baru ini.

Sesi perkongsian tersebut turut melibatkan Pengarah Pusat E-Learning UMS, Prof. Dr. Fong Soon Fook dan Pengarah Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi UMS, Prof. Madya Dr. Ag Asri Ag. Ibrahim selaku ahli panel bersama.

Dr. Jakaria yang juga merupakan Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) UMS menambah, senario dalam aktiviti pengajaran masa kini telah berubah yang menuntut setiap tenaga pendidik untuk seiring dengan perkembangan teknologi masa kini dan memanfaatkannya untuk aktiviti pengajaran mengikut cita rasa anak muda sekarang.

“Peranan para tenaga pengajar amat penting bukan sahaja untuk menyampaikan pengajaran menggunakan teknologi tetapi juga mendidik para pelajar bagaimana teknologi ini digunakan secara bermanfaat, apatah lagi kumpulan Gen-Z ini bakal mengisi ruang dan peluang pekerjaan kelak.

“Kebolehpasaran mereka adalah sejauh mana mereka boleh menguasai teknologi agar mereka sukses dalam prasarana persekitaran Revolusi Industri 4.0,” ujar Dr. Jakaria.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif AMC College, Jeffry Goh dalam ucapan pembukaannya pada program tersebut menjelaskan bahawa objektif program itu diadakan adalah untuk mengumpulkan kalangan pakar akademia untuk berkongsi mengenai harapan dan kemahiran yang diperlukan oleh para pelajar khususnya Gen-Z bagi memenuhi keperluan kerja masa depan.

“Program ini juga adalah bagi meningkatkan kemahiran pengajaran dalam kalangan tenaga pengajar AMC College, dan diharap para peserta yang terlibat dapat memanfaatkan sesi perkongsian ini dengan sebaiknya,” kata Jeffrey.

Lebih 20 kakitangan kumpulan pengurusan dan pensyarah AMC College terlibat dalam menjayakan program sehari itu.

 

RABU, 30 OKTOBER - Sastera mengajar masyarakat berbudi pekerti melalui penggunaan bahasa yang baik termasuk bagaimana melafazkan kata-kata secara lemah lembut bukan sahaja penulisan malah dituturkan secara harian termasuk di kampung-kampung, pementasan atau  tayangan layar putih.

Sasterawan Negara Prof. Emeritus Dr Haji Mohamad Salleh berkata, justeru, penggabungan sastera dan sains dalam sistem pendidikan negara merupakan suatu langkah yang wajar daripada Kementerian Pendidikan Malaysia bagi membentuk masyarakat yang saling hormat menghormati serta mempunyai adab kesopanan yang tinggi.

“Berdasarkan pengalaman saya melawat lebih 70 buah negara, saya berpendapat rakyat di negara ini berada antara pada kedudukan yang tertinggi jika dinilai mengikut kriteria tahap kekasaran masyarakat.  

“Saya percaya peminggiran sastera selama bertahun-bertahun dalam sistem pendidikan merupakan antara penyebab masyarakat di negara ini berkelakuan sedemikian, kurangnya adab dan rasa hormat kepada orang lain.

“Bukan sahaja dari segi pertuturan seharian, malah saya sendiri tidak berani untuk terlalu kerap ke pasar raya kerana sering dilanggar mungkin kerana saiz tubuh badan yang agak kecil yang bagi saya sikap individu seumpama ini agak keterlaluan serta tidak menghormati orang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sesi Dialog sempena Program Pertemuan Bersama Sasterawan dan Ilmuan Negara anjuran Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW) Universiti Malaysia Sabah (UMS), hari ini.

Menurut Prof. Emeritus Dr Haji Mohamad, pengasingan aliran sastera dan sains tidak berlaku di negara Jepun dan beberapa negara lain yang lebih maju di barat.

Katanya, ungkapan-ungkapan rasa atau expresi diri dengan lenggok dan gaya bahasa mengikuti tatasusila budaya masyarakat Malaysia tidak diajar dalam mata pelajaran seperti kejuruteraan, sains atau matematik.

 “Oleh yang demikian saya memuji usaha Menteri Pendidikan Dr. Maszlee Malik untuk menggabungkan semula aliran sastera dan sains ini ke arah membentuk generasi yang seimbang, yang lebih berfikir dan menjadi manusia yang lebih baik.

“Seperti yang saya nyatakan tadi, pemisahan dua aliran ini tidak berlaku di Jepun kerana mereka sangat bangga dengan budaya mereka, sastera mereka dan malah Jepun adalah paling tinggi tamadunnya paling halus manusianya, dan kalau kita perlu mencontohi mereka kita harus mencontohi negeri-negeri seperti Jepun,” jelasnya yang sebelum ini pernah menjadi pensyarah felo di negara matahari terbit tersebut.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah, Datuk Ismaily Bungsu; Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UMS, Prof. Madya Ts. Dr. Ramzah Dambul; Timbalan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Sabah, Rusdi Awang; dan  Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni FKSW UMS, Dr. Mohammad Puad Bebit.

 

RABU, 30 OKT - Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Profesor Datuk Dr. Salleh Jaafar menyeru agar semua institusi pengajian tinggi mewujudkan penganugerahan kepada ahli akademik di peringkat kampus masing-masing.

Katanya usaha tersebut adalah untuk memastikan lebih ramai ahli akademik menyumbang kepada pelbagai cabang ilmu baharu seiring dengan kehendak pasaran pekerjaan semasa dan akan datang.

Menurut Prof. Datuk Dr. Salleh, ahli akademik wajar mendapat pengiktirafan atas segala usaha dan pencapaian mereka di peringkat kampus masing-masing, seterusnya di peringkat yang lebih tinggi pada masa hadapan.

“Saya amat berharap pengiktirafan kepada ahli akademik diwujudkan di peringkat institusi pengajian masing-masing, tidak kira sama ada universiti awam, swasta, matrikulasi, politeknik, latihan perguruan atau kolej vokasional,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir ke Program Bulan Akademia 2019 Peringkat Sabah di Auditorium Perpustakaan Universiti Malaysia Sabah (UMS), kelmarin.

Tambah beliau, sumbangan ahli akademik adalah melibatkan keseluruhan aspek dan berfungsi untuk membantu anak-anak bangsa dalam memenuhi konteks keperluan semasa.

“Sumbangan para akademia adalah menyeluruh dan tidak terhad di bilik kuliah sahaja. Ia meliputi ilmu di luar bilik kuliah, tutorial, dalam kajian penyelidikan serta dari sudut pembangunan masyarakat.

“Cabaran dalam membentuk para pelajar masa kini adalah lebih mencabar dan memerlukan kreativiti ahli akademik untuk berdepan generasi Z yang mahir dengan pelbagai bentuk teknologi. Oleh itu, ahli akademik perlu mempersiapkan diri pada masa sekarang agar sentiasa menjadi relevan,” jelasnya.

Pada program itu, Profesor Datuk Dr. Salleh juga turut memuji usaha UMS dalam mewujudkan persekitaran kampus yang mesra pelancong melalu edutourism. 

“UMS kini menjadi universiti penanda aras dalam sektor edutourism dan saya rasa ini sekaligus dapat memberi manfaat kepada para pelajar kerana berpeluang melibatkan diri dengan lebih aktif dalam bidang industri.

“Bagi saya ini adalah satu perkara yang baik kerana ilmu yang diberi oleh ahli akademik kepada pelajar adalah menyeluruh dan tidak terhad kepada kursus atau disiplin utama yang diikuti oleh pelajar itu sahaja,” katanya lagi.

Kira-kira 250 peserta terdiri daripada pensyarah dan kakitangan akademik univesiti, kolej dan institut perguruan di seluruh Sabah hadir dalam program yang dianjurkan oleh Persatuan Staf Akademik UMS (PSAUMS) itu.

Turut hadir, Naib Canselor UMS Profesor Datuk ChM. Dr. Taufiq Yap Yun Hin dan Pengerusi PSAUMS, Dr. Mohd Azan Abdullah.