JUMAAT, 25 OKTOBER  - Pandangan negatif dalam kalangan segelintir pihak terhadap individu yang mendapatkan khidmat kaunseling perlu dikikis.

Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Agnis Sombuling berkata, sebaliknya mereka sepatutnya memberikan sokongan moral agar rakan-rakan atau saudara mara yang mendapatkan bimbingan daripada kaunselor dapat menangani sebarang konflik atau masalah yang dihadapi.

“Tidak dinafikan, walaupun kini sudah berada pada tahun 2019, masih wujud stigma ini yang mana mereka yang berjumpa dengan kaunselor dikaitkan dengan masalah berkaitan kewarasan.

“Sebenarnya terdapat pelbagai faktor yang membawa seseorang itu datang berjumpa dengan kaunselor, dan tindakan mereka tersebut adalah wajar dalam memastikan sebarang kesulitan atau masalah dalaman dapat dihadapi dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Penutupan Bulan Kaunseling Kebangsaan 2019 peringkat FPP UMS, di fakulti itu, hari ini.

Hadir sama Ketua Program Psikologi Kaunseling FPP, Dr. Norzihan Ayub; Pengerusi Program Bulan Kaunseling Kebangsaan FPP, Sobri Ismail; Pengarah Program Bulan Kaunseling Kebangsaan, Putri Anis Aqilah Ahmad; para pensyarah dan pelajar-pelajar program psikologi.

Menyentuh mengenai program itu Agnis berkata, ia banyak mendatangkan manfaat kepada semua pihak khususnya kepada pelajar FPP.

Katanya, Bulan Kaunseling Kebangsaan ini diraikan seiring dengan objektif-objektifnya termasuklah mempertingkatkan persepsi positif masyarakat terhadap perkhidmatan kaunseling, meningkatkan kebolehcapaian perkhidmatan kaunseling dan mempromosikan perkhidmatan kaunseling kepada masyarakat.

“Saya ucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada pihak penganjur, pensyarah FPP dan juga kepada barisan ahli jawatankuasa pelaksana Program Bulan Kaunseling Kebangsaan 2019 atas sumbangan idea, tenaga dan komitmen dalam memastikan program sepanjang bulan kaunseling pada tahun ini dapat dilaksanakan dengan jayanya,” ujar beliau.

Bertemakan “Membawa Perkhidmatan Kaunseling kepada Komuniti”, sambutan tersebut turut diisi dengan pelbagai pengisian seperti ceramah, pameran, lawatan, ujian psikometrik, tayanganfilem berkaitan psikologi, Therapeutic Run, dan gotong royong.

 

JUMAAT, 25 OKTOBER - Peradaban yang dibentuk oleh kepelbagaian etnik adalah aset penting dalam konteks negara Malaysia.

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk ChM. Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata, peradaban bukan hanya dilihat dalam aspek kemodenan tetapi juga dari sudut nilai budaya yang terbentuk hasil daripada kepelbagaian etnik.

“Nilai budaya ini telah mencorak peradaban yang terbentuk pada masa kini dan pada masa akan datang.

“Oleh yang demikian, peradaban adalah identiti negara Malaysia dan keunikan peradaban etnik serantau dalam konteks Borneo ini wajar dikongsi kepada masyarakat global,” katanya.

Beliau berucap demikian ketika merasmikan Persidangan Serantau Peradaban dan Etnik (PERSEP) 2019 di Kampus  Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), kelmarin.

Program anjuran Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) UMS itu disertai lebih 200 peserta termasuk 63 pembentang kertas kerja.

Menurut Prof. Datuk Dr. Taufiq, PERSEP merupakan satu platform yang sangat baik untuk menggabungkan pakar-pakar dalam bidang peradaban dan etnik di seluruh rantau Asia Tenggara agar dapat berkongsi idea dan kepakaran masing-masing seterusnya dapat berkolaborasi dalam bidang penyelidikan dan penerbitan.

Ujar beliau, peradaban etnik serantau menunjukkan kepada dunia bahawa kita boleh membentuk peradaban daripada kepelbagaian etnik peribumi khususnya di rantau Borneo berdasarkan khazanah, warisan dan nilai budaya yang dimiliki.

“Diversiti etnik yang kita miliki bukan sahaja menjadi daya tarikan pelancong asing tetapi menjadi contoh yang baik kepada negara lain.

“Oleh itu, janganlah kita membenarkan arus permodenan dan kemajuan yang ada pada hari ini menjadi penghalang untuk menghargai budaya etnik masing-masing,” tambahnya.

Persidangan selama dua hari itu dianjurkan dengan kerjasama INTAN Kampus Sabah, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), dan Pusat Pengajian Pascasiswazah Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Brunei Darusalam.

Pada majlis itu, Prof. Datuk Dr. Taufiq turut menyaksikan upacara menandatangani Surat Niat (LoI) antara UMS dan UNISSA yang diwakili masing-masing oleh Dekan PPIB UMS, Prof. Dr. Jualang Azlan Gansau dan Hajah Sri Rahayu @ Nurjana Haji Dollah.

 

 

SELASA, 29 OKT - Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Datuk ChM. Dr. Yap Yun Hin berkata UMS sentiasa mempertingkatkan usaha untuk membantu menyelesai masalah yang dihadapi oleh pihak industri menerusi penghasilan inovasi.

Menurut beliau, dalam era globalisasi dan ledakan Revolusi Industri 4.0, UMS tidak mahu ketinggalan untuk sama-sama maju dan membantu memenuhi keperluan negara khususnya dalam melaksanakan penyelidikan dan pembangunan.

“Justeru, perkara utama yang perlu kita lakukan adalah memfokuskan keupayaan kita untuk melaksanakan penyelidikan dan pembangunan dan seterusnya menghasilkan inovasi yang dapat membawa kebaikan kepada semua pihak.

“Saya berharap semua pihak menggembleng tenaga menjalankan penyelidikan masing-masing dengan upaya dan kreativiti yang optimal,” katanya.

Taufiq menambah, lebih banyak inovasi berkaitan perniagaan yang melibatkan teknologi perlu dijalankan disamping mempertingkatkan kolaborasi dengan pihak luar.

“Kolaborasi ini perlu dijalankan dalam situasi menang-menang, iaitu kita mempunyai kepakaran dan mereka (pihak industri) membiayai kos pembangunan penyelidikan dan reka cipta yang dapat memberi keuntungan kepada industri dan bermanfaat kepada masyarakat,” tambahnya ketika merasmikan penutupan Pertandingan Penyelidikan dan Reka Cipta (PEREKA 2019) di UMS, baru-baru ini.

Terdahulu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Profesor Madya Ts. Dr. Ramzah Dambul berkata sebanyak 259 penyertaan PEREKA  dipertandingkan pada tahun ini dan ia merupakan peningkatan 100 peratus berbanding tahun lalu.

“Daripada 259 penyertaan itu, 20 daripadanya merupakan produk berasaskan makanan dan kosmetik yang telahpun mendapat tempat dalam bidang industri dan akan dipasarkan tidak lama lagi,” ujarnya.

PEREKA 2019 dianjurkan bersempena dengan Sambutan Hari Akademia dan turut disertai oleh sekolah-sekolah menengah di sekitar Kota Kinabalu.

Antaranya, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sanzac, SMK Inanam, Sekolah Menengah (SM) Lok Yuk dan SM All Saints Kota Kinabalu.

SELASA, 29 OKTOBER – Hari Terbuka Kolej Kediaman Tun Fuad (KKTF) yang berlangsung baru-baru ini menjadi medan untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara residen KKTF secara khasnya dan warga kampus UMS secara amnya.

Pengarah program tersebut, Nur Syafiqah Saad berkata, penganjuran program ini adalah untuk menarik siswa-siswi baharu untuk menyertai program yang dijalankan oleh Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) mahupun pihak pentadbiran.

“Tujuan utama program ini adalah untuk memperkenalkan dan mempromosikan KKTF sebagai kolej kediaman yang aktif dari segi penganjuran program dan aktiviti melibatkan akademik, intelektual, kemasyarakatan, kepimpinan dan pembangunan sahsiah pelajar.

“Harapan saya agar program yang dirancang ini mampu memberi manfaat kepada semua pihak dan meningkatkan kesedaran terhadap pentingnya minat dan kecintaan terhadap bahasa dan sastera melalui aktiviti yang dianjurkan,” katanya ketika berucap pada Malam Kemuncak Hari Terbuka KKTF di Dewan Serbaguna KKTF.

Program yang berlangsung selama tiga hari itu melibatkan penganjuran pelbagai aktiviti antaranya pertandingan mewarna yang disertai kanak-kanak dari Pusat Minda Lestari (PML), Seminar Mary Kay, Bengkel Photoshop, pertandingan E-Sukan (Mobile Legend dan Pro Evolution Soccer), sesi saringan pertandingan The Voice, kejohanan Badminton, Street Soccer, dan Bola Jaring, dan Pertandingan Busking dan Nasyid.

Malam kemuncak acara tersebut menyaksikan lima peserta bertanding bagi merebut tempat pertama bagi pertandingan The Voice, selain dua kumpulan tarian bertanding bagi pertandingan Tarian Tradisional.

Hadiah kemenangan para peserta kemudiannya disampaikan oleh Pengetua KKTF, Prof. Madya Dr. Puteri Hayati Megat Ahmad.

KHAMIS, 24 OKT - Pelajar jurusan perakaunan Mazwan Sarihasan mengharumkan nama Universiti Malaysia Sabah (UMS) apabila dipilih sebagai penerima Anugerah Pelajar Akauntan Terbaik 2019 oleh Institut Akauntan Malaysia (MIA) pada Persidangan Akauntan Antarabangsa MIA (MIAC) 2019 yang berlangsung di Dewan Plenary Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), baru-baru ini.

Mazwan yang kini bertugas di PFK Malaysia telah menjalani latihan industri di Ernst & Young Sandakan sebelum ini dan akan bergraduasi pada Majlis Konvokesyen UMS ke-21 yang akan berlangsung pada 23-25 November nanti.

Terkejut atas penganugerahan tersebut, beliau menyampaikan penghargaan kepada para pensyarah dan mentor di Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) atas komitmen dan dedikasi yang telah banyak membantu beliau mencapai kejayaan pada hari ini.

Beliau dipilih menerima anugerah tersebut atas pencapaian luar biasa yang ditunjukkan, bukan hanya dalam bidang akademik tetapi juga ko-kurikulum, selain memiliki sifat peribadi yang baik.

Pada majlis penyampaian tersebut, Mazwan menerima sijil merit, wang tunai sumbangan MIA dan pengecualian yuran khas untuk mengikuti program Institut Akuantan Bertauliah di England dan Wales (ICAEW).