RABU, 16 JULAI - Orang Asal Sabah sudah wujud di negeri ini sejak 70,000 tahun lalu kata Profesor Sekolah Antropologi Universiti Oxford, Profesor Dr. Stephen Oppenheimer.

Menurut beliau Sabah yang pada ketika itu merupakan sebahagian daripada tanah besar Asia Tenggara menghubungkan Jawa dan Sumatera untuk membentuk benua Sunda yang besar.

“Ketika Zaman Ais melanda, paras air laut meningkat mengakibatkan  terjadi migrasi besar-besaran dari benua Sunda ke Borneo, Filipina, Jawa dan Sumatra sekitar  14,000 hingga 8000 tahun lalu,” katanya.

Profesor Dr. Stephen berkata demikian ketika memberi ucap tama sempena Simposium mengenai asal-usul Orang Asal Sabah di Dewan Resital UMS, baru-baru ini.

Beliau yang juga pakar genetik dan pediatrik British berkata, nenek moyang Orang Asal Sabah yang berada di benua Sunda berpindah ke kawasan lebih tinggi khususnya ke negeri ini bagi menghindari paras air laut yang terus meningkat pada 14,000, 11,000 dan 8000 tahun dahulu.

“Namun, selepas itu terdapat juga penghijrahan ke utara dari Borneo menuju Taiwan iaitu pada sekitar 8000-6000 tahun dahulu.

“Kemudian pada 4000 tahun dahulu, barulah wujud penghijrahan dari Taiwan ke arah selatan membawa kebudayaan pertanian dan bahasa Austronesia,” jelasnya.

Ucap tama yang berlangsung di hadapan lebih 300 wakil persatuan etnik di Sabah turut dihadiri Pembantu Menteri Kepada Menteri Undang-Undang Dan Hal Ehwal Anak Negeri, Jannie Lasimbang, Pemegang kursi Kadazandusun UMS merangkap pengerusi penganjur, Prof. Madya Dr. Andreas Totu dan Dekan Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa UMS, Prof. Dr. Jualang Azlan Gansau.

 

KHAMIS, 10 OKTOBER - Kehadiran migrasi dari sesebuah negara ke negara yang lain mampu memberikan pelbagai impak ke atas penduduk tempatan.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata,  antara kesan yang membimbangkan termasuk dalam aspek kebudayaan, warisan dan sosio-ekonomi masyarakat orang asal.

“Dalam migrasi jangka panjang, ia akan mampu melemahkan penduduk asal termasuk  mengubah susunan penduduknya, dan mungkin mengambil alih perniagaan dan peluang pekerjaan,” katanya ketika berucap merasmikan  Simposium mengenai Asal-usul Orang Asal Sabah 2019 anjuran Universiti Malaysia Sabah, di Dewan Resital universiti itu, kelmarin.

Datuk Seri Madius berkata, senario terburuk apabila mereka yang bermigrasi ke sesebuah negara itu akhirnya diiktiraf sebagai orang asli dan mempunyai hak sama rata seperti dengan hak-hak orang asal.

Sehubungan itu katanya, penganjuran simposium ini amat bertepatan sebagai  sumber pengetahuan, kesedaran dan pemahaman tentang asal-usul khususnya Orang Asal Sabah.

“Marilah kita membuka minda mempelajari bentuk-bentuk pengetahuan baharu yang disampaikan pada simposium ini yang saya pasti mampu memperkasakan  intelektual dan emosi berhubung dengan topik yang diutarakan ini,” katanya.

Simposium yang dihadiri oleh wakil daripada pelbagai persatuan etnik di Sabah turut dihadiri Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi  UMS, Prof. Madya Dr. Ramzah Dambul dan Pengerusi Penganjur merangkap Pemegang Kursi Kadazan Dusun UMS, Prof. Madya Dr. Andreas Totu.

 

 

SELASA, 15 OKTOBER - Unit Penyelidikan Psikologi dan Kesihatan Sosial (UPPsiKS) telah menganjurkan Bengkel Penulisan Artikel Konsep (Tanpa Data), Artikel daripada Tesis dan Artikel Indeks Scopus di Bilik Seminar 5, Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini.

Menurut Ketua UPPsiKS, Prof. Madya Dr. Muhammad Idris Bullare @ Bahari, tujuan penganjuran bengkel tersebut adalah bagi membantu dan melatih para peserta dalam menghasilkan artikel yang berkualiti.

“Penulisan dan penerbitan artikel merupakan salah satu tugas hakiki sebagai seorang pensyarah di universiti dan juga sesuatu yang sangat penting kepada seorang pelajar pascasiswazah sebagai salah satu syarat untuk mereka bergraduasi.

“Bengkel ini dilihat banyak memberi manfaat kepada peserta dengan pendedahan terhadap penulisan artikel dan menerbitkannya melalui saluran yang betul melalui perkongsian artikel dan contoh artikel yang baik,” katanya.

Bengkel yang berlangsung selama dua hari itu telah disertai oleh 64 orang peserta yang terdiri daripada pensyarah dan pelajar pascasiswazah dalam dan luar UMS dan dikendalikan oleh Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr. Nurul  Fadly Habidin.

 

ISNIN, 14 OKTOBER - Akta Profesion Kerja Sosial yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada Disember ini memberi pengiktirafan yang tinggi kepada bidang kerja sosial di Malaysia, khususnya apabila langkah tersebut dijangka menyaksikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan memberikan fokus kepada skop tugas pekerja sosial.

Demikian menurut Ketua Program Kerja Sosial, Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) Dr Peter Voo ketika mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Dewan Rakyat baru-baru ini mengenai usaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) untuk mewujudkan akta tersebut.

Katanya, dengan kewujudan akta tersebut bukan sahaja mengiktiraf program kerja sosial yang sama seperti kumpulan peguam dan doktor, malah turut membuka peluang kepada graduan kerja sosial untuk mengisi keperluan terhadap perkhidmatan kerja sosial.

“Akta ini sememangnya wajar kerana bidang dan perkhidmatan kerja sosial amat penting dalam menangani cabaran dan permasalahan sosial dalam masyarakat yang semakin meruncing, dan langkah ini adalah satu perkembangan yang baik memandangkan program kerja sosial sememangnya sudah terkenal di negara-negara maju seperti di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia.

“Universiti awam seperti UMS juga bersedia untuk membantu kerajaan dalam mengisi keperluan  sumber manusia dalam bidang kerja sosial kerana saban tahun UMS melahirkan graduan mahir dan terlatih dalam bidang ini,” katanya.

Dr. Peter Voo menambah, di UMS, program Kerja Sosial telah wujud sejak tahun 2004 dan telah melahirkan lebih 900 orang graduan terlatih dalam bidang kerja sosial dan ramai dari graduan bidang kerja sosial UMS kini telah berkhidmat di hospital kerajaan dan Organisasi Bukan Kerajaan (NGO) sebagai pekerja sosial.

“Pendidikan dan latihan dalam bidang kerja sosial di institusi pendidikan tinggi yang menawarkan program kerja sosial adalah bersesuaian dan memenuhi piawaian pendidikan dan latihan kerja sosial serta berkebolehan memberikan perkhidmatan dan intervensi kepada golongan sasar individu, kumpulan dan komuniti yang berhadapan dengan masalah sosial,” katanya.

Melalui pembentangan akta tersebut, Dr. Peter Voo berharap kerajaan melalui agensi Jabatan Perkhidmatan Awam dapat memberi pengiktirafan kepada pelajar lulusan program kerja sosial dalam memberi keutamaan untuk diambil bekerja di jabatan kerajaan yang memberikan khidmat sosial dan kebajikan sosial.

“Agensi seperti JKM, Jabatan Pembangunan Wanita, dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara diharap dapat menyokong usaha ini memandangkan graduan program kerja sosial ini memang dilatih khusus mengembalikan kesejahteraan sosial masyarakat,” ujar beliau.

KHAMIS, 10 OKTOBER - 1st Malaysia Runner’s Convention yang berlangsung di Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) Universiti Malaysia Sabah menghimpunkan pakar-pakar seperti doktor, pakar nutrisi, pakar fisiologi serta jurulatih sukan yang berpengalaman untuk berkongsi ilmu dalam dunia sukan larian.

Menteri Belia dan Sukan Sabah, Phoong Jin Zhe berkata, konvensyen anjuran Persatuan Larian Berhalangan Negeri Sabah bersama Pusat Pemulihan Kecergasan Fizikal (PFRC), FPP ini akan mengetengahkan variasi topik berkaitan sukan larian seperti aspek penganjuran acara sukan larian dan aspek-aspek sains yang terlibat seperti aspek nutrisi, fisiologi, biomekanik, dan risiko kecederaan sukan.

“Saya difahamkan konvensyen ini juga bertujuan untuk menyediakan informasi terkini dan lengkap mengenai peningkatan kualiti larian dan penganjuran acara sukan larian dan seterusnya menjadi platform perkongsian pengalaman untuk kegunaan para penggemar dan penggiat acara sukan  ini.

“Diharapkan penganjuran program ini akan menjadi satu titik tanda kepada kerjasama yang lebih erat di antara Persatuan Larian Berhalangan Negeri Sabah dan PFRC dalam usaha kepada penganjuran program yang lebih besar di peringkat antarabangsa kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis perasmian konvensyen tersebut di Mini Auditorium, FPP.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Arunarnsin Taib.

Tambah Phoong, program sebegini juga diharap akan terus dianjurkan kerana konvensyen tersebut sangat bermanfaat untuk semua pihak dan juga untuk generasi akan datang.

Terdahulu, Dekan FPP, Prof. Dr. Ismail Ibrahim ketika menyampaikan teks ucapan Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata, konvensyen ini dilihat dapat mencorak langkah pertama ke arah mewujudkan satu lapisan komuniti sukan acara larian yang berteraskan pengetahuan dan ilmu sains sukan serta pengurusan acara sukan.

“Adalah penting untuk kita mewujudkan satu medium perkongsian seperti konvensyen ini yang mana pengalaman-pengalaman dari individu yang sudah lama menceburi acara sukan dapat disatukan dengan pengetahuan sains dan sains sukan yang ada agar setiap individu yang terlibat dapat memperoleh manfaat untuk diri mereka ataupun komuniti sukan acara larian secara umum.

“Konvensyen seperti ini juga merupakan satu medan cetusan ilmu yang bertujuan untuk mengembangkan idea-idea baharu dan kemungkinan-kemungkinan yang boleh dicapai untuk pembangunan sukan acara ini pada masa hadapan,” ujar Prof. Dr. Ismail.

Konvensyen yang berlangsung selama dua hari itu menghimpunkan lebih 80 peserta dari seluruh Malaysia.

Hadir sama pada majlis tersebut Pengarah Hospital UMS merangkap Presiden Persatuan Larian Berhalangan Negeri Sabah, Prof. Dr. Helen Benedict Lasimbang; Pengarah program, Prof. Madya Dr. Dayang Maryama Awang Daud; dan Pegawai Belia dan Sukan, Pesuruhjaya Sukan Sabah, Sempini Langiton.