RABU, 9 OKTOBER – Bakal graduan universiti disaran agar melengkapkan diri dengan kemahiran, daya kepimpinan, dan literasi terhadap digital bagi bersaing merebut tempat dalam dunia pekerjaan.

Pengurus Besar Sabah Shell Petroleum Company Ltd, Pritiphal Singh berkata, aspek-aspek tersebut adalah kriteria-kriteria yang lebih diberi perhatian oleh syarikat-syarikat multinasional berbanding latar belakang akademik.

“Suatu ketika dahulu pencapaian akademik membolehkan seseorang mendapat posisi yang baik dalam pekerjaan, namun kini akademik hanyalah sebagai kriteria minimum dalam mendapatkan jawatan tertentu.

“Kemampuan individu untuk memimpin, celik terhadap dunia digital dan teknologi, serta disokong dengan kemahiran-kemahiran tertentu adalah apa yang diperlukan oleh seseorang lepasan universiti untuk merebut jawatan dalam syarikat besar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sesi bersama pelajar-pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) bersempena dengan program CEO@Faculty Talk yang berlangsung di Perkarangan Ruang American Corner, Perpustakaan UMS.

Beliau turut berkongsi bahawa latar belakang bidang akademik tidak seharusnya menjadi penghalang untuk bersaing dalam bidang pekerjaan yang berlainan daripada bidang akademik yang dipelajari, sebaliknya lepasan universiti harus sedia mencuba bidang-bidang yang berlainan sebagai satu pengalaman dalam kerjaya mereka.

“Dalam permulaan kerjaya, segalanya akan berjalan dengan pantas, justeru anda perlu ada kesungguhan, kepuasan dalam bekerja serta sentiasa berusaha untuk melibatkan diri dalam apa juga perkara yang dilakukan oleh syarikat bagi mengukuhkan lagi kedudukan kerjaya.

“Di Sabah Shell Petroleum Company, para lepasan universiti yang diambil untuk mengisi jawatan adalah mereka yang mempunyai sikap ingin belajar, tidak malu untuk bertanya soalan, bersedia menghadapi masalah dan cabaran dan sebagainya, dan sikap ini yang seharusnya ditanam dalam individu-individu pencari kerja,” ujar beliau.

Hadir sama pada program tersebut Ketua Pustakawan UMS, Zawawi Tiyunin.

ISNIN, 7 OKTOBER – Sambutan Hari Haiwan Sedunia mampu menjadi ruang terbaik dalam memberikan pendedahan mendalam berkaitan isu kebajikan haiwan yang dihadapi saban hari oleh masyarakat awam khususnya generasi muda sejak dari bangku sekolah lagi.

Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Romzi Ationg berkata, sambutan tersebut merupakan program antarabangsa yang disambut pada 4 Oktober setiap tahun oleh seluruh dunia untuk menjaga hak dan kebajikan haiwan.

“Sambutan Hari Haiwan Sedunia juga merupakan satu langkah baik dalam memperkenalkan kepada masyarakat mengenai kewujudan pelbagai badan penjagaan haiwan bukan kerajaan (NGO) khususnya di Kota Kinabalu, antaranya International Aid for the Protection and Welfare of Animal (IAPWA), Society for The Prevention of Cruelty to Animals (SPCA) Kota Kinabalu, Kota Kinabalu Wetlands dan banyak lagi.

“Melalui program seperti ini juga, Akta Kebajikan Haiwan 2015 juga dapat disebarkan kepada orang ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mewakili Dekan PPIB menyempurnakan acara perasmian penutupan Sambutan Hari Haiwan Sedunia Peringkat UMS di Auditorium Perpustakaan, UMS baru-baru ini.

Tambah Dr. Romzi, program yang berlangsung selama dua hari anjuran Jawatankuasa Kebajikan Rekreasi dan Libatsama Masyarakat (KaRIB) PPIB itu menyelitkan pelbagai aktiviti menarik yang bertemakan haiwan seperti pertandingan mewarna dan bercerita bagi kanak-kanak, serta beberapa ceramah khas oleh wakil badan-badan NGO di Sabah.

Menyentuh tentang tema Hari Haiwan Sedunia iaitu “Making a Better Future for Animal”, Dr. Romzi berkata program sangat murni itu perlu untuk dijalankan pada setiap tahun kerana jika dilihat kepada isu-isu berkaitan haiwan pada masa kini, pelbagai negara termasuklah Malaysia sendiri mengalami isu kepupusan pelbagai spesies haiwan.

“Di Sabah juga sudah mencukupi untuk kita merenung isu-isu ini dengan kemajuan yang rancak dan penebangan hutan secara berleluasa menyebabkan pelbagai spesies haiwan terancam apabila habitatnya semakin sempit.

“Terbaru kita mendengar isu kematian Gajah Pygmy di Sungai Udin, Dumpas, Kalabakan pada 30 September lalu yang ditemui dibunuh dengan kejam apabila hasil bedah siasat mendapati kira-kira 70 peluru dalam badan haiwan tersebut.

“Kegiatan pemburuan haram ini harus dibanteras dan diambil perhatian oleh pelbagai pihak bukan sahaja badan-badan yang melindungi haiwan namun juga memerlukan kerjasama daripada masyarakat setempat bagi memastikan perkara sama tidak berulang lagi,” kata Dr. Romzi.

Justeru, katanya Hari Haiwan Sedunia yang diraikan tanpa memandang kepada bangsa, agama atau ideologi politik disambut dengan cara berbeza-beza di seluruh dunia dengan tujuan yang sama iaitu bagi mengingatkan kepada masyarakat dunia untuk menghargai dan melindungi segala jenis haiwan.

“Dengan adanya program seumpama ini juga masyarakat boleh mempelajari cara untuk berterima kasih kepada haiwan yang telah memperkaya kehidupan manusia dan masyarakat akan lebih peduli lagi untuk menyayangi haiwan,” ujar beliau.

Selain penyertaan daripada badan-badan NGO berkaitan haiwan, program tersebut turut dijayakan dengan penyertaan pelajar-pelajar dari Sekolah Menengah Stella Maris, Sekolah Menengah Kebangsaan Sanzac, Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Likas dan Sekolah Menengah Lok Yuk Likas.

 

 

ISNIN, 7 OKT - Pusat Kajian Bencana Alam (NRDC) Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA), Universiti Malaysia Sabah (UMS) komited untuk membantu memastikan kelestarian pengurusan risiko bencana alam khususnya di Sabah dapat dilaksanakan dengan lebih efektif.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata pencemaran udara dan bencana alam yang kerap berlaku di Malaysia turut memberi kesan kepada kehidupan penduduk dan juga kemusnahan alam sekitar.

“Oleh yang demikian, langkah proaktif dan lestari perlu diambil bagi memastikan impak bencana alam dapat dikurangkan pada tahap yang minimum.

“Kerjasama daripada pelbagai pihak dan segenap lapisan masyarakat juga amat perlu bagi menerapkan kesedaran dan kepekaan terhadap kepentingan pengurusan bencana alam ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Bencana Alam 2019, baru-baru ini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Dekan FSSA, Profesor Dr. Baba Musta.  

Tambah beliau, melalui penganjuran seminar itu, maklumat, ilmu dan pengalaman daripada penyelidikan dan pemantauan dapat dikongsikan untuk manfaat bersama bagi meningkatkan kualiti dan kecekapan pengurusan risiko bencana alam di Malaysia.

Selain itu, beliau turut memberitahu bahawa UMS menyahut cabaran revolusi industri 4.0 dengan menggunakan pelbagai bentuk teknologi berkaitan seperti penggunaan teknologi maklumat (IT), revolusi digital, kecerdasan buatan (AI), teknologi robotik automasi, teknologi penyimpanan dan pemprosesan data untuk menangani isu bencana alam.

“Diharapkan pembangunan sistem pengurusan risiko bencana sedia ada dapat diperkembangkan dan memberi maklumat yang proaktif dan tepat kepada masyarakat,” katanya lagi.

Seramai 43 penyelidik daripada pelbagai universiti tempatan di seluruh negara serta agensi awam dan swasta  menyertai seminar tersebut.

 

 

JUMAAT, 4 OKTOBER – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan berusaha untuk membantu  Universiti Malaysia Sabah (UMS) meningkatkan hubungan industri dengan membawa lebih banyak pihak industri termasuk di peringkat antarabangsa untuk menjalinkan kolaborasi dengan UMS.

Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, UMS mempunyai banyak potensi dengan kawasan semula jadi kampus yang begitu cantik dan boleh dibangunkan sebagai produk pelancongan sekali gus mampu membuka peluang pekerjaan kepada para pelajar.

“KPM juga ingin meningkatkan kolaborasi UMS di peringkat antarabangsa, yang difahamkan ketika ini UMS banyak menjalin kerjasama dengan universiti dari China, dan kita akan bekerjasama dengan pentadbir universiti untuk melakukan kerjasama termasuklah kolaborasi dengan pihak daripada Jepun dan Eropah.

“Kita yakin UMS mempunyai potensi untuk bergelar sebuah universiti terkenal serta berdaya saing, bukan sahaja peringkat rantau Asia malah peringkat dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Sesi Townhall Bersama Warga Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Sabah di Dewan Canselor, UMS.

Dr. Maszlee menambah, kementeriannya juga komited membawa lebih ramai pelajar dari negara ASEAN untuk belajar di UMS selain tekad menjadikan UMS mempunyai kebolehpasaran kerja yang tinggi bagi semua graduan.

Terdahulu, dalam sesi tersebut, Dr. Maszlee menyarankan agar kerajaan negeri Sabah mengambil seramai mungkin pelajar UMS menjalani latihan industri di jabatan, agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di negeri itu.

Beliau berkata, ini adalah bagi memberikan pengalaman kepada pelajar untuk menguruskan masa dengan baik selain memberikan keyakinan kepada mereka menghadapi alam pekerjaan.

Turut hadir pada sesi Townhall tersebut Menteri Pendidikan dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Yusof Yacob; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi Malaysia, Datuk Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir; Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Taufiq Yap Yun Hin; Rektor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah, Prof Madya Datuk Dr Abdul Kadir Roseline; dan Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Dr. Mistrine Radin.

 

 

JUMAAT, 4 OKT - Semua agensi kerajaan dan swasta di negeri ini diminta untuk meningkatkan keselamatan komunikasi maklumat (ICT) dalam usaha membendung serangan jenayah siber.

Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Datuk Dr. Yusof Yacob berkata antara langkah yang boleh diambil untuk membendung masalah tersebut adalah melalui penganjuran kempen kesedaran keselamatan ICT dalam kalangan organisasi, orang awam serta keluarga.

“Kita sebagai pengguna ICT harus peka terhadap perkara-perkara yang melibatkan keselamatan ICT terutama apabila melibatkan organisasi kita. Keadaan ini tidak seperti sepuluh dan 20 tahun lalu yang mana kecanggihan teknologi ICT kini juga banyak mengundang masalah keselamatan,” ujarnya.

Beliau berkata lebih daripada 10,000 serangan keselamatan siber ke atas syarikat dan individu di seluruh negara direkodkan sepanjang tahun lalu menurut Malaysia Computer Response Team (MyCERT) yang dikendalikan di bawah CyberSecurity Malaysia.

“Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia, sebanyak 10,753 kes dilaporkan sepanjang tahun 2018 melibatkan kerugian sebanyak RM398.6 juta.

“Ini jelas menunjukkan masalah yang melibatkan keselamatan ICT di seluruh negara adalah sangat kritikal.

“Perancangan rapi dan teliti perlu dibuat supaya penggunaan aplikasi dan perkakasan keselamatan ICT yang terbaik dapat menyumbang kepada peningkatan kecekapan agensi masing-masing, memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan serta mengelakkan sebarang pembaziran yang diakibatkan oleh jenayah siber,” tambahnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar ICT (SEMIT) ke-12 Peringkat Negeri Sabah 2019 anjuran bersama Universiti Malaysia Sabah (UMS). Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri, Mohammad Mohamarin.

Terdahulu, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata tema seminar yang dipilih ‘Digital Security : How Safe is Safe?’ menekankan kesedaran kepada agensi-agensi kerajaan di negeri Sabah tentang Kerajaan Digital dan usaha meningkatkan keberkesanan keselamatan ICT dalam sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan dalam era Revolusi Industri 4.0.

“Dari segi keselamatan, secara tidak langsung segala masalah keselamatan internet yang kita hadapi sekarang ini sudah pasti akan diwarisi dan mungkin akan lebih hebat dan mencabar.

“Oleh yang demikian, isu keselamatan ICT dan dunia siber ini merupakan isu yang sangat penting agar kita sentiasa berada dalam keadaan siap siaga untuk sebarang kemungkinan,” ujar beliau.

 Teks ucapan beliau dibacakan oleh Dekan Fakulti Komputeran dan Informatik UMS, Profesor Dr. Abdullah Gani.

Turut hadir, Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) Cawangan Sabah, Dato Hj. Mohd Suhaili Mohd Taufek dan Pengarah Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi UMS, Profesor Madya Dr. Ag. Asri Ag. Ibrahim.