SELASA, 24 SEPTEMBER – Penyelidik Universiti Malaysia Sabah (UMS) cemerlang dalam penyertaan Persidangan dan Ekspo Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi Antarabangsa (PECIPTA) 2019 di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Johor apabila reka cipta mereka berjaya merangkul lima emas, lima perak dan dua gangsa.

Menurut kenyataan dari  Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (PPPI) UMS, lima reka cipta yang merangkul emas tersebut adalah rekacipta bertajuk “RTFaceDeep: A Real Time Multiple Faces Recognition for Video Surveillance Using a Deep Learning Architecture” oleh Prof. Madya Dr. Rayner Alfred dari Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI), “DeColourAR: An Augmented Reality Colouring Book for UMS Aquarium and Marine Museum” oleh Prof. Madya Dr. Ng Giap Weng juga dari FKI, dan“UMS Eco-Solar Dryer oleh Prof. Madya Dr. Jidon Adrian Janaun dari Fakulti Kejuruteraan (FKJ).

Dua lagi pingat emas diraih melalui dua penyelidik dari Institut Penyelidikan Bioteknologi (IPB) UMS iaitu Prof. Madya Dr. Md. Shafiquzzaman Siddiquee dengan penyelidikan bertajuk “Trichogreen™: Valorizing Wastes” dan Dr. Nur Athirah Yusof - “Strategies for Soluble Protein Production in E. Coli Using a Psychrophilic Co-Chaperone Expression System”.

“Ini satu pencapaian yang cemerlang kerana UMS yang diwakili delegasi seramai 10 penyelidik yang diketuai Timbalan Pengarah (Inovasi), PPPI Prof. Madya Dr. Homathevi Rahman, membawa sebanyak 12 reka cipta untuk dipertandingkan pada persidangan tersebut dan semuanya telah meraih pingat,” demikian menurut kenyataan tersebut.

PECIPTA 2019 anjuran Jabatan Pendidikan Tinggi dengan kerjasama UTHM yang berlangsung selama dua hari merupakan program dwitahunan Kementerian Pendidikan Malaysia yang bertujuan untuk mempromosikan produk-produk inovasi institusi pendidikan tinggi dan mencipta peluang kolaborasi bersama industri.

Tamat

 

PENERANGAN GAMBAR:

Gambar 1: Penyelidik-penyelidik UMS yang berjaya merangkul medal di PECIPTA 2019

Gambar 2: Delegasi UMS ke PECIPTA 2019

Gambar 3: Penyelidik UMS bersama reka cipta mereka  di ruang pameran penyelidikan.

 

SELASA, 24 SEPTEMBER - Anggota Keselamatan Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang bertugas di kawasan luar bangunan sekitar kampus UMS dibekalkan Topeng N95 khusus bagi pencegahan jerebu sebagai langkah keselamatan bagi menghadapi cuaca berjerebu tidak sihat yang melanda udara di kawasan Kota Kinabalu pada ketika ini.

Penyerahan topeng tersebut disempurnakan oleh Pendaftar UMS, Vina Zahriani Yusof dalam satu acara yang berlangsung di perkarangan pondok pengawal pintu utama UMS baru-baru ini.

Menurut Vina, topeng tersebut dibekalkan kepada anggota keselamatan yang bertugas di kawasan yang berpotensi terdedah kepada pencemaran udara.

“Dianggarkan seramai 60 anggota keselamatan yang bertugas berpotensi terdedah kepada jerebu antaranya pintu utama dan pintu kedua UMS, kawasan pantai ODEC UMS, kolej kediaman dan bangunan-bangunan jabatan dan fakulti di UMS,” katanya.

Hadir sama pada acara tersebut Pengarah Pusat Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Prof. Dr. Khamisah Awang Lukman; Ketua Bahagian Pengurusan Kualiti, Norti Sirin; dan Ketua Bahagian Keselamatan, Lt. Kol Abdul Talib Arifin.

KHAMIS 19 SEPTEMBER: Seramai 71 pelajar mobiliti dari negara China berjaya menamatkan pengajian di selama satu semester Universiti Malaysia Sabah (UMS) bermula Jun – September 2019.

Pengarah Pusat Pengantarabangsaan dan Penglibatan Global, Prof. Dr. Ho Chong Mun bekata, kesemua mereka diraikan dalam satu Majlis Penganugerah Sijil Pelajar Mobiliti yang berlangsung di salah sebuah restoran terkemuka di Kota Kinabalu.

“Daripada jumlah itu, 58 daripadanya merupakan pelajar dari Changsha University Science and Technology, China yang menyaksikan mereka berjaya menamatkan pengajian  dalam beberapa program kejuruteraan di Fakulti Kejuruteraan UMS.

“Manakala 13 yang lain merupakan pelajar dari Hunan University of Chinese Medicine, China yang telah mengikuti program mobiliti dalam program Kejururawatan di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, UMS,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penganugerahan sijil kepada semua pelajar China, pada Selasa. 

Hadir sama pada majlis itu Timbalan Ketua Pengarah, Jabatan Pendidikan Wilayah Hunan, China, Wang Guishu dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), UMS Prof. Dr. Rasid Mail.

Menurut Prof. Dr. Ho Chong Mun, pihak UMS turut mengucapkan tahniah kepada semua pelajar mobiliti atas kejayaan menamatkan pengajian selama satu semester berada di UMS.

“Kita juga merasa terharu dan mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kerana sempena majlis ini,  Timbalan Ketua Pengarah, Jabatan Pendidikan Wilayah Hunan turut hadir bagi menyokong program mobiliti kedua-dua universiti ini di UMS,” katanya.

Menyentuh mengenai penganjuran program tersebut yang berkonsepkan makan malam santai beliau berkata, ia bertujuan untuk menyemarakkan semangat kerjasama, mewujudkan persefahaman dan semangat kerja berpasukan sekali gus bertukar-tukar idea di samping mempelajari budaya antara negara.

Selain itu, ia juga sebagai medan untuk mengeratkan hubungan sesama pelajar mobiliti di UMS di samping membentuk nilai harmoni dan dinamik dalam kalangan pelajar.

Majlis turut diserikan dengan persembahan koir dan tarian sumazau dari pelajar mobiliti China

 

 

RABU, 18 SEPT - Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata Malaysia perlu mengamalkan pembangunan lestari dalam usaha menjadikan negara ini sebagai negara berpendapatan tinggi menjelang abad ke-21.

Katanya, Malaysia telah menekankan penggunaan teknologi hijau menerusi pelbagai inovasi sebagai alat untuk pembangunan lestari bagi meminimumkan kemusnahan alam sekitar.

“Ia pada masa sama dapat menggalakkan dan mengekalkan alam sekitar untuk melestarikan segala bentuk kehidupan,”ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam teks perasmian Persidangan Ekonomi Antarabansga (ICE) 2019 anjuran Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang dibacakan oleh Pembantu Menteri Kewangan, Sharifuddin Hata, kelmarin.

Tambah beliau, pembangunan global bukan hanya merupakan tanggungjawab kerajaan semata-mata, tetapi ia juga merupakan tanggungjawab masyarakat secara menyeluruh.

“Kita harus bekerja secara kolektif sama ada di peringkat negeri, nasional dan global. Usaha kita perlu dilakukan secara berterusan dan berkesan bagi mencapai matlamat bersama,” katanya.

Terdahulu Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata permbangunan lestari di negara ini harus mengambil kira tentang keadilan sosial, keperluan asas manusia, kesihatan awam serta kesedaran alam sekitar.

Katanya, kesihatan ekonomi bandar adalah pemacu ke arah kelestarian dengan mempertimbangkan peruntukan sumber, pelupusan sampah secara mapan dan pengurangan tahap pencemaran di kawasan bandar.

“Kita sebagai satu negara perlu memberi tumpuan kepada pembangunan aktiviti ekonomi, peluang pekerjaan serta pembasmian kemiskinan,” ujarnya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Dekan FPEP, Profesor Madya Dr. Raman Noordin.

Persidangan selama dua hari itu disertai oleh kira-kira 150 peserta dari dalam dan luar negara teramasuk China, Indonesia , Jepun, Korea Selatan, dan Nigeria.

 

SELASA, 17 SEPTEMBER - Universiti Malaysia Sabah terus mengukuhkan jalinan kerjasama dengan pihak industri dalam memantapkan keupayaannya sebagai sebuah institusi pendidikan yang berinovatif dan relevan.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk. Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata, usaha itu bukan hanya tertumpu di dalam negara sahaja tetapi turut diperluas kepada syarikat-syarikat di peringkat global.

“Untuk itu pada 11-14 September 2019, UMS telah mengadakan lawatan kerja ke Overseas Chinese Town (OCT), sebuah syarikat gergasi milik kerajaan China yang berpangkalan di Bandar Shenzen dan Hainan bagi membincangkan jalinan kerjasama yang boleh memberi manfaat kepada kedua belah pihak.

“Pada asasnya, pihak OCT sangat mengalu-alukan hasrat kerjasama ini yang menyaksikan intipati perbincangkan lebih menjurus kepada kerjasama akademik termasuk peluang latihan industri pelajar UMS di syarikat yang berpengalaman luas dalam industri taman tema serta pembangunan bandar pintar temasuk resort dan hartanah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Prof. Datuk. Dr. Taufiq, kehadirannya bersama rombongan UMS ke China juga bagi menyampaikan hasrat kepada ibu pejabat syarikat Huawei Technologies Co. Ltd. untuk meneruskan kerjasama yang sudah terjalin erat sebelum ini.

Katanya, kerjasama itu bukan sahaja perlu diteruskan tetapi diperluas kepada mana-mana ruang kolaborasi yang boleh dimanfaatkan bersama.

"Pada pertemuan itu pihak Huawei juga telah memberikan taklimat mengenai pengalaman mereka dalam pennyediaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di beberapa buah hospital pintar di China.

“Dan kebetulan hospital pintar UMS sedang dalam fasa awal pembinaan, justeru saya melihat wujud keperluan bagi mengadakan jalinan kerjasama dengan kepakaran Huawei untuk memastikan kesiapsiagaan Hospital Pintar UMS kelak.

“Sebagai maklum balas, syarikat yang terkenal dalam menghasilkan produk teknologi canggih dan serba moden itu memaklumkan tentang kesediaan mereka bekerjasama berdasarkan pengalaman dan keupayaan syarikat berkenaan dalam membangunkan beberapa sistem hospital pintar di China,” jelas beliau sambil memberitahu ia seiring dengan hasrat UMS ke arah Smart Eco Campus 4.0.

Lawatan kerja empat hari yang diinisiatifkan oleh Pusat Jaringan Industri dan Komuniti UMS itu turut mengunjungi OCT Harbour & Wetland, Shenzen; Shenzen Tourism College Jinan University; Konka Group; Zhongliao Village, Sanya Hainan;  Lu Hui Tou Park, Sanya, Hainan; dan Hainan Resort Software Community Haikou City.