Kenapa UMS?

KENAPA UMS?

Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah ditubuhkan pada 24 November 1994 dan merupakan adalah sebuah universiti awam (UA) ke-9 ditubuhkan di Malaysia yang terletak di Kota Kinabalu, Sabah. Berpaksikan motto ‘Bertekad Cemerlang’, matlamat penubuhan UMS bukan semata-mata menghasilkan sumber manusia untuk memenuhi keperluan negara tetapi bermatlamat menghasilkan graduan yang berbakat, berkemahiran tinggi dan mengkhusus dalam pelbagai bidang.

UMS bermula dengan tiga buah sekolah dan satu pusat dan menerima seramai 205 pelajar sesi akademik pertama pada tahun 1995. Kemudian, sebanyak 10 buah sekolah lagi ditubuhkan secara berperingkat termasuklah dua kampus cawangan iaitu di UMS Kampus Antarabangsa Labuan yang menempatkan dua buah sekolah dan UMS Kampus Cawangan Sandakan dengan sebuah sekolah..

Pada 6 Mei 2014, perisytiharan nama sekolah ke fakulti telah berlangsung dan penukaran ini berkuat kuasa bermula 1 Jun 2014. Senarai fakulti tersebut ialah Fakulti Sains dan Sumber Alam; Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan; Fakulti Psikologi dan Pendidikan; Fakulti Komputeran dan Informatik; Fakulti Pertanian Lestari; Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan; Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan; Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan dan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan. 

Pandangan Atas Bangunan Canselori dan Dewan Canselor

Kompleks Dewan Kuliah Pusat

Sehingga tahun 2020, UMS telah berjaya menghasilkan seramai 79,000 graduan dalam pelbagai bidang dengan purata kemasukan pelajar baharu seramai 4,000 orang setahun. Pada Majlis Konvokesyen UMS ke-21, seramai 3,690 graduan menerima ijazah Sarjana Muda, 2 menerima ijazah Diploma Pascasiswazah, 396 menerima ijazah Sarjana dan 71 menerima ijazah Doktor Falsafah.

UMS menawarkan sebanyak 71 program pengajian di peringkat ijazah sarjana muda yang terdiri daripada program Sains, Kejuruteraan, Perubatan, Sains Makanan, Pertanian, Perhutanan, Seni, Sains Sosial, Perniagaan, Perakaunan dan Ekonomi.  UMS mempunyai kira-kira 15,000 pelajar prasiswazah dan 2,500 pelajar pascasiswazah yang mengikuti pengajian Sarjana atau Doktor Falsafah.

UMS mengutamakan kualiti menyeluruh termasuklah kualiti graduan serta kualiti
institusi. UMS bertekad untuk mencapai kecemerlangan ilmiah dalam pelbagai bidang ilmu untuk mencapai pengiktirafan antarabangsa menerusi pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan penerbitan, khidmat masyarakat serta mencapai keseimbangan pengkhususan ilmu dan keperibadian pelajarnya.

Dewan Canselor

Jeti UMS di waktu senja

Ia juga mendukung aspirasi utama yang digariskan di dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi). UMS komited merealisasikan transformasi pendidikan bagi menghasilkan golongan belia yang mampu menangani cabaran serta suasana masa depan yang rumit dan sentiasa berubah.

Justeru, menerusi Pelan Strategik UMS 2018-2022, sebanyak enam Kunci Keberhasilan Utama (KRA) telah ditetapkan, iaitu Pengalaman Pendidikan Berkualiti kepada Pelajar; Impak Tinggi Penyelidikan dan Inovasi; Keunggulan Global; Pemerkasaan Governan, Sumber Manusia dan Sistem Penyampaian; Kelestarian Kewangan dan Kampus Lestari.

Hasilnya amat membanggakan apabila buat pertama kali UMS telah tersenarai di kedudukan 801-1000 dalam QS World University Ranking bagi tahun 2020 dan terbaru dalam QS Asia University Ranking 2021, UMS berjaya menempatkan diri pada kedudukan ke-210 terbaik Asia.

AHLI AKADEMIK

UMS mempunyai kira-kira 1056 kakitangan akademik, yang mana 556 orang berkelulusan Doktor Falsafah (PhD) atau setaraf. Tenaga akademik UMS sangat beriltizam untuk meneroka ilmu melalui penyelidikan dan pengajaran. Ini terbukti melalui pencapaian-pencapaian yang diiktiraf sama ada di dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa.

Antara pencapaian terbaru ialah di 31st International Invention Innovation and Technology Exhibition, Malaysia (ITEX2020) apabila para penyelidik UMS mendapat 1 Anugerah Khas Malaysian Innovator Product Award (MIPA), 8 emas dan 2 perak pada 21 November 2020.

Di samping itu, ahli-ahli akademik UMS menggiatkan peranan mereka sebagai penyelesai masalah kepada industri dan masyarakat sekitar melalui program pemindahan ilmu. UMS tidak lagi beroperasi semata-mata sebagai pusat pengajian tinggi, malah telah menjadi rakan kepada pihak industri, kerajaan dan masyarakat untuk penjanaan, pembangunan dan pengkomersialan idea dan inovasi.

Jeti UMS

PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

UMS menekankan pendekatan secara holistik terhadap proses pengajaran dan pembelajaran yang mana teori dan praktikal adalah diberi penekanan yang sama bagi memastikan pelajar mendapat ilmu dan kemahiran yang seimbang. Pelajar akan diajar menggunakan modul yang dibangunkan untuk menyampaikan ilmu berdasarkan perspektif moden serta terkini. Program-program pengajian adalah direka bentuk dengan kerjasama pihak industri yang berkaitan bagi memenuhi keperluan industri.

Pelajar-pelajar juga akan melalui program sangkutan di industri, amali berstruktur, program mobiliti dalam dan luar negara dan peluang perkembangan kerjaya. UMS juga menerapkan kemahiran dan pemikiran keusahawanan di dalam kurikulum dan kokurikulumnya bagi melahirkan graduan yang mencipta pekerjaan dan bukannya mencari pekerjaan. Usaha-usaha ini meletakkan UMS sebagai salah sebuah institusi pengajian tinggi yang sangat mementingkan kejayaan pelajarnya. Iltizam UMS dalam meningkatkan kebolehpasaran graduannya dibuktikan menerusi pencapaian sebanyak 90.45 peratus graduan pada 2019 yang telah bekerja. 

Menara Jam UMS

Pandangan Atas UMS

Kualiti pengajaran dan pembelajaran akan meningkat jika kualiti pelaksanaannya sentiasa dipelihara dan dipertingkatkan mengikuti perkembangan teknologi. Sebagai contoh, sistem pengurusan pembelajaran (learning management system) yang dinamakan sebagai SmartUMS, telah dipertingkatkan kepada VERSI 3 menggantikan VERSI 2. Sistem baharu ini dibangunkan berdasarkan platform yang diiktiraf dunia yang mampu menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih efektif.

Kemajuan pelajar juga dapat dipantau dengan lebih efisien menerusi SmartUMS ini. Usaha meningkatkan keberkesanan operasi dan penyampaian perkhidmatan dengan menggunakan platform internet atau secara atas talian terus dipergiatkan. UMS kini melaksanakan perkhidmatan Kampus Tanpa Tunai, pendigitalan bahan perpustakaan, aplikasi STARS dan Smart Hadir untuk rekod kehadiran kakitangan dan pelajar, Sistem HR Online dan Servis Atas Talian untuk kakitangan, Sistem Maklumat Pelajar Bersepadu, Sistem Maklumat Pusat Penyelidikan (SMPPPI) dan beberapa sistem lain. Semua ini bertujuan untuk menyediakan suatu suasana yang kondusif yang menyokong pembelajaran di samping menjamin keselesaan hidup dalam kampus.

KEMUDAHAN UNIVERSITI

Kampus UMS merupakan salah satu daripada kampus tercantik di dalam negara, dengan landskap yang menarik, kehijauan dan struktur bangunan yang mengagumkan. Semenjak penubuhannya, UMS sentiasa berusaha menyediakan kemudahan moden di samping mengekalkan keadaan semula jadi di sekitarnya. UMS mempunyai kemudahan perkhidmatan bas, perpustakaan, makmal dengan peralatan canggih, makmal multimedia, kemudahan Wi-Fi, pusat sukan, asrama, kafe, muzium, galeri, akuarium, masjid dan pusat rawatan.

ALUMNI UMS

UMS adalah antara institusi yang menyumbang kepada sumber manusia yang berilmu dan berkemahiran di dalam negara. Sehingga kini, UMS telah menghasilkan kira-kira 75,000 graduan, termasuk 1,332 graduan merupakan pelajar antarabangsa dari negara-negara seperti China, Brunei, Iraq dan Indonesia. Alumni UMS kini berkhidmat di pelbagai organisasi terkenal dan tidak kurang juga yang kini menjadi usahawan yang berjaya. Peluang pengajian di UMS telah membekalkan mereka dengan kemahiran dan ilmu seperti kemahiran komunikasi, pemikiran kritis serta kemahiran bahasa yang membantu mereka meneroka dunia kerjaya dengan berkeyakinan. Di samping itu mereka juga dididik agar sentiasa beretika dan berpegang teguh kepada agama.

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  • Covid 19 : Terkini dari UMS

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.