E-Buletin Majlis Serahan Baucar Program Back to School 2026

 

Pengumuman Daripada: Bahagian Pendidikan dan Zakat, Pusat Islam UMS

 

Kota Kinabalu, 20 Januari 2026 - Pusat Islam Universiti Malaysia Sabah (PIUMS) telah menganjurkan Majlis Serahan Baucar Program Back to School 2026 sebagai inisiatif kebajikan berfokus bagi membantu meringankan beban persediaan persekolahan anak-anak dalam kalangan asnaf kakitangan Universiti Malaysia Sabah (UMS).
 
Penganjuran program ini mencerminkan komitmen berterusan PIUMS selaku Ejen Amil Bahagian Zakat dan Fitrah Majlis Ugama Islam Sabah (BZF, MUIS) bagi pihak Universiti Malaysia Sabah dalam melaksanakan pengurusan serta agihan zakat secara sistematik, telus dan berimpak tinggi, selaras dengan peranan PIUMS sebagai institusi yang bertanggungjawab terhadap kebajikan warga Universiti yang memerlukan. Melalui pelaksanaan program ini, seramai 62 orang kakitangan UMS telah menerima manfaat daripada bantuan yang disalurkan.
 
Majlis serahan baucar ini telah disempurnakan oleh YBrs. Dr. Sarip Adul, Pengarah Pusat Islam Universiti Malaysia Sabah, bersama Pn. Noorisah binti Taljid, Ketua Bahagian Pendidikan dan Zakat sebagai simbol komitmen PIUMS dalam memastikan kebajikan asnaf warga UMS terus terpelihara.
 
Seiring dengan itu, PIUMS menyeru seluruh warga Universiti Malaysia Sabah, khususnya kakitangan UMS agar bersama-sama menunaikan tanggungjawab zakat melalui Kaunter Zakat Harta Pusat Islam UMS serta memilih Skim Potongan Zakat Berjadual (PZB). Penyertaan dalam skim ini boleh dilaksanakan secara dalam talian melalui Sistem HROnline UMS atau secara fizikal di Kaunter Zakat Harta Pusat Islam UMS bagi memastikan sumbangan zakat dapat diurus dan disalurkan secara berterusan, terancang dan berkesan kepada golongan asnaf yang memerlukan.
 
Pihak PIUMS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Bahagian Zakat dan Fitrah Majlis Ugama Islam Sabah (BZF, MUIS) dan seluruh warga UMS atas kerjasama serta sokongan berterusan dalam menjayakan program ini melalui komitmen dan penyertaan dalam agihan zakat. Diharapkan inisiatif ini dapat memberikan manfaat yang berpanjangan serta menyumbang secara signifikan kepada kesejahteraan komuniti universiti secara menyeluruh.
 
“Berzakat membawa berkat, bersama membangun asnaf”
 
#membangunbersamaasnaf
#menyantuniasnaf
#zakatmembawaberkat
#UMSBrainOfBorneo
#UMSshare