SELASA, 11 DISEMBER - Berbasikal merupakan satu aktiviti yang memberi banyak manfaat kepada seseorang yang mahu mengamalkan gaya hidup sihat khususnya dalam memperbaiki tahap kesihatan diri.

Menurut Pensyarah Kanan Sains Sukan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Mohamad Nizam Nazarudin, aktiviti berbasikal merupakan antara senaman terbaik kerana ia mampu mengeluarkan peluh yang banyak sekali gus membawa keluar toksin-toksin yang terkumpul dalam badan manusia.

“Aktiviti berbasikal juga dapat menstabilkan keseluruhan otot tubuh terutamanya bahagian bahu bagi menghasilkan postur tubuh menarik seperti yang diidamkan.

“Yang menariknya pelbagai faedah kesihatan turut diperoleh, antaranya ialah mengurangkan risiko penyakit kerana aktiviti  berbasikal ini baik untuk kesihatan jantung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta untuk mengulas tentang budaya berbasikal yang terus mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat pada masa kini.

Dr Nizam berkata, amalan berbasikal ini amat wajar dipraktikkan kerana  ketika berbasikal peningkatan aliran darah meningkat dan membuatkan jantung memiliki oksigen yang mencukupi dan membantunya untuk berdegup dengan lebih baik dan sihat.

Ujarnya, keadaan itu  secara tidak langsung akan mengurangkan risiko serangan jantung sehingga 50 peratus.

“Tidak ketinggalan berbasikal juga dapat mengurangkan risiko penyakit tekanan darah tinggi dan diabetes.

“Kajian yang dilakukan oleh British Medical Association mendapati berbasikal amat sesuai diamalkan oleh penghidap bronchitis dan asma kerana keupayaannya dalam meningkatkan dan memperbaiki fungsi paru-paru,” jelasnya. 

Nizam yang mempunyai kepakaran dalam bidang Sains Kesihatan dan Perubatan (Sains Sukan) juga memaklumkan bahawa aktiviti berbasikal dapat menguatkan tulang  di bahagian atas anggota badan dan tulang belakang.

“Selain itu, dengan melakukan senaman berbasikal selama satu jam untuk tiga kali seminggu, ia boleh menurunkan paras kolesterol yang tinggi.

“Dalam masa sama, ia sekali gus menghalang dan mengurangkan tekanan darah tinggi dan seterusnya membantu untuk mengelakkan strok atau kerosakan kepada organ-organ dalaman,” ujarnya sambil menekankan agar langkah-langkah keselamatan perlu dititikberatkan semasa berbasikal agar tidak berlaku kejadian yang tidak diingini.

 

ISNIN, 10 DISEMBER - Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) mengadakan lawatan tapak ke Pulau Mantanani, Kota Belud baru-baru ini.

Ketua rombongan merangkap Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Jaringan Masyarakat) FPSK, Prof. Dr. Kew Seih Teck berkata, lawatan itu sebagai persediaan untuk penganjuran aktiviti khidmat masyarakat yang dijadualkan berlangsung pada Mac 2019.

“Tinjauan ini adalah menyahut kepada saranan Menteri Pendidikan dan Inovasi Sabah, Datuk Dr. Yusof Yaacob yang telah memberi amanah kepada Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UMS, Prof. Dr. Shahril Yusof tentang keperluan mengadakan aktiviti khidmat masyarakat terutama berkaitan aspek kesihatan untuk pelajar dan masyarakat pulau itu.

“Justeru, seramai 10 kakitangan UMS telah menyertai lawatan ini dan mengadakan perbincangan persiapan bersama wakil-wakil dari Sekolah Kebangsaan Pulau Mantanani, Kampung Padang Mantanani dan Pos Pasukan Gerakan Am (PGA) pulau tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Dekan FPSK, Prof. Dr. Mohammad Saffree Jeffree turut merakamkan ucapan penghargaan kepada Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB) UMS atas kerjasama padu melalui penyediaan bot jenis catamaran untuk kelancaran aktiviti tinjauan.

“Kita sangat berterima kasih dan berharap agar kerjasama erat seumpama ini akan berterusan pada masa akan datang,” ujarnya.

Penyelaras tinjauan, Hasmi Hashim pula memaklumkan, kesemua  ahli rombongan turut berkesempatan menganjurkan aktiviti gotong-royong membersihkan pantai Pulau Mantanani bersama penduduk kampung.

“Pada lawatan itu, kesemua ahli rombongan turut dibawa melihat fasiliti yang terdapat di sekitar sekolah dan kampung di samping lawatan ke Pos Kawalan PGA Pulau Mantanani,” katanya.

 

 

ISNIN, 10 DISEMBER - Karnival Sukan Keluarga (KASUGA) Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) berlangsung meriah dengan penyertaan   1,500 pelajar dan kakitangan.

Berlangsung baru-baru ini di Kompleks Sukan UMS, program selama tiga hari itu merupakan anjuran Persatuan Mahasiswa Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (PMPEP).

Menurut Pengarah Program, Alif Syahmi, penganjuran karnival tersebut antara lain bertujuan untuk melahirkan semangat kesukanan dalam kalangan pelajar, serta  dalam masa yang sama mengukuhkan ukhuwah sekali gus mengeratkan lagi silaturahim antara pensyarah, staf pentadbiran dan pelajar FPEP.

“KASUGA 2018 turut dimeriahkan dengan pertandingan ‘cheerleading’ yang menyaksikan pasukan kumpulan sorak dari program Pelancongan (HP08) muncul sebagai juara,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, juara keseluruhan pada karnival sukan itu kali ini pula menyaksikan pasukan program Perniagaan Antarabangsa (HE09) unggul untuk berada di persada kejohanan

“Program sebegini yang mendapat penglibatan menyeluruh dari kalangan pelajar dan kakitangan FPEP sebenarnya amat baik dan saya amat berharap agar ia dapat diteruskan lagi pada masa-masa akan datang,” ujar beliau sambil menyifatkan penganjurannya dapat meningkatkan semangat berpasukan dalam sesebuah organisasi.

Majlis perasmiannya disempurnakan Dekan FPEP, Prof. Madya Dr. Raman Noordin.

Turut hadir,  Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Pascasiswazah), Dr. Arif @ Kamisan Pusiran; Timbalan Dekan (Inovasi dan Penyelidikan), Dr. Rini Suryati Sulong, Ketua-Ketua Program, Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMS,  Mohd Jivean Johan Wira; dan Presiden (PMPEP), Gan Chee Houe.

KHAMIS, 06 DISEMBER - Institut Confusius (CI) telah diluluskan penubuhannya di UMS pada 13 November 2018 oleh Hanban, iaitu agensi kerajaan China yang mengurus selia Institut Confucius.

Perbincangan lanjut bersama Hanban tentang perkara ini telah diadakan semasa persidangan Institut Confucius ke-13 yang diadakan di Chengdu, China pada 4-5 Disember, 2018.

Persidangan ini dihadiri oleh lebih daripada 2000 delegasi dari seluruh dunia, khususnya institusi yang mempunyai Institut Confucius. Delegasi UMS ke persidangan ini diketuai oleh Datuk K Y Mustafa, Pengerusi Lembaga Pengarah UMS. Pelaksanaan dan perasmian Institut ini di UMS dijadualkan pada awal tahun 2019.

Penubuhan Institut Confucius di UMS ini menjadikan UMS institusi pendidikan tinggi ke-3 (IPTA ke-2) di Malaysia yang mempunyai Institut ini dan antara sekitar 510 Institut Confucius di 127 buah negara.

Dua institusi di Malaysia yang mempunyai Institut ini ialah Universiti Malaya dan Segi University. Peranan utama Institut ini adalah menyumbang kepada pembelajaran Bahasa Mandarin dan pertukaran kebudayaan dengan negara China.

Dalam konteks UMS, Institut ini boleh memberi manfaat kepada pelajar UMS dan masyarakat setempat di negeri Sabah. Sebahagian dari kos operasi Institut ini akan ditanggung oleh pihak Hanban.

UMS mengucapkan ribuan terima kasih kepada pelbagai pihak di Malaysia mahupun di China atas sokongan dan sumbangan yang diberikan yang akhirnya membawa kepada kejayaan usaha untuk mewujudkan Institut Confucius di UMS.

KHAMIS, 06 DISEMBER – Simposium Kebangsaan Sains Matematik (SKSM) dapat menjadi salah satu asas ke arah menyokong perancangan dan hasrat kerajaan negeri membangunkan serta memodenkan negeri ini.

Menurut Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin, ia juga menjadi platform kepada para penyelidik dalam bidang Sains Matematik berkongsi maklumat hasil penyelidikan terkini.

“Pada simposium ini para pembentang, ahli akademik dan penyelidik dalam bidang Sains Matematik bertemu untuk perbincangan dan perumusan segala perancangan dan agenda berkaitan pemajuan dan pengukuhan bidang ini ke dalam masyarakat di negeri Sabah agar dapat terus berjalan dengan lebih rancak lagi,” katanya pada majlis perasmian SKSM ke-26 di Hotel Tabung Haji, Kota Kinabalu baru-baru ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Penolong Naib Canselor merangkap Pengarah Pusat Pengurusan Strategik dan Komunikasi Korporat (PPSKK) UMS, Prof. Dr. Marcus Jopony.

Ujar Datuk Dr. D Kamarudin, simposium itu juga turut meliputi perkongsian pelbagai aspek termasuk pencapaian dan impak positif bidang Sains Matematik kepada masyarakat setempat.

Sementara itu, Pengerusi SKSM ke-26, Prof. Madya Dr. Abdullah Bade berkata, tema simposium tahun ini iaitu ‘Sains Matematik Teras Revolusi Industri’ dipilih sejajar dengan hala tuju UMS ke arah transformasi Universiti Industri 4.0.

“Sepanjang simposium ini, sebanyak 167 kertas kerja penuh dibentangkan antaranya, Sains Gunaan, Statistik, Computational, Pure math, Matematik Pendidikan dan beberapa lagi bidang lain yang berasaskan matematik,” katanya.

Simposium yang berlangsung selama dua hari itu turut menyaksikan penyampaian Anugerah SKSM ke-26 2018 dan Anugerah PERSAMA yang disempurnakan Prof. Dr. Marcus dan Dekan Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA), Prof. Dr. Baba Musta.

Turut hadir pada majlis itu, Presiden Persatuan Sains Matematik Malaysia (PERSAMA), Prof. Dr. Maslina Darus.

Simposium tersebut merupakan anjuran bersama FSSA, PERSAMA, dan Persatuan Matematik dan Grafik Berkumputer Sabah (MaGRAPH).