ISNIN, 12 JUN - Kelab Green Team di bawah naungan Kelab Kewangan dan Perbankan HE06 baru-baru ini mengadakan program berkaitan kebersihan pantai bertempat di Pantai ODEC, Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh kelab itu, program tersebut bertujuan untuk membangkitkan kesedaran ahli-ahli kelab terhadap amalan budaya hijau.

Selain itu, ia juga bagi memupuk dan membina semangat cintakan alam sekitar di samping mengeratkan silaturahim sesama mereka.

Menurut kenyataan itu lagi, selain pembersihan pantai turut diadakan acara sukaneka seperti permainan tali panjang, teka gambar dan permainan bola beracun.

Program tahunan kelab itu disertai  31 peserta dan 16 ahli jawatankuasa Kelab Green Team.

 

Sumber: Kelab Green Team

ISNIN, 12 JUN - Lentera Tari Kolej Kediaman E, Universiti Malaysia Sabah (UMS) menganjurkan Program Fitness Dance 3.0 sebagai usaha untuk menerapkan amalan gaya hidup sihat ke arah melahirkan individu yang cergas dan cerdas sekali gus memupuk semangat kekitaan antara pelajar, kakitangan universiti dan masyarakat awam.

Pengarah Program, Hasmida Bakri berkata, seramai 305 peserta terdiri daripada mahasiswa, kakitangan dan masyarakat sekitar menyertai aktiviti senamrobik dan tarian zumba itu yang bertempat di Stadium, Kompleks Sukan UMS.

“Berikutan pelbagai jenis penyakit yang boleh dihidapi akibat kurangnya aktiviti senaman, Lantera Tari mengambil inisiatif untuk menganjurkan program ini sebagai kesedaran dan membudayakan amalan pencegahannya di peringkat awal,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, dalam masa yang sama ia juga merupakan salah satu wadah bagi mengeratkan lagi keakraban sesama warga universiti.

“Oleh itu, golongan mahasiswa khususnya haruslah menjadikan budaya beriadah seperti berzumba dan senamrobik ini sebagai sebahagian daripada rutin ketika menuntut pengajian di universiti,” ujar Hasmida.

Turut menjayakan program itu, Pengetua Kolej Kediaman E, Dr. Syahruddin Hj. Awang Ahmad dan Timbalan Pengetua, Mohd. Hilmey Saili.

 

Sumber: Lantera Tari, Kolej Kediaman E

 

JUMAAT, 9 JUN - Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Fama Negeri Sabah sekali lagi menganjurkan Bazar Ramadan My Best Buy UMS yang bermula sejak 27 Mei sehingga 25 Jun 2017, di Padang Kawad UMS.

Ia antara lain bertujuan memberi kemudahan kepada warga UMS yang berpuasa terutamanya pelajar dan kakitangan.

Selain itu, kewujudan bazar ini juga membuka peluang perniagaan kepada pelajar yang berminat dalam bidang keusahawanan.

Sebanyak 46 gerai yang mengambil bahagian merangkumi 22 gerai pelajar dan 24 gerai peniaga luar dengan jualan pelbagai menu hidangan dan juadah berbuka puasa.

Usaha itu juga adalah bagi memupuk nilai keusahawanan dalam pelajar dan masyarakat seperti bersifat jujur dalam setiap kegiatan jual-beli yang dijalankan serta memberikan khidmat yang terbaik kepada semua.

Pada Bazar itu, Fama menyelaraskan peniaga luar manakala Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Keusahawanan (ERDEC), UMS menyelaraskan penyertaan mahasiswa.

Pihak Fama turut menyediakan kanopi dan meja kepada pelajar yang berniaga selain bersama-sama ERDEC memantau perjalanan dan harga makanan di Bazar tersebut dari semasa ke semasa.

Setakat 12 hari Bazar Ramadan itu diadakan, sebanyak RM80,000 nilai jualan telah dicatatkan dengan RM25,000 daripadanya adalah hasil jualan pelajar UMS.

Pada tahun 2016, sebanyak RM402,212.30 nilai jualan dicatatkan selama penganjuran bazar berkenaan dengan jumlah jualan pelajar bernilai RM87,788.60.

Majlis pelancarannya disempurnakan kelmarin oleh Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah.

 

JUMAAT, 9 JUN – Bersempena bulan Ramadan yang mulia ini, Jabatan Bendahari melalui Kelab Kakitangan Jabatan Bendahari menganjurkan majlis Tazkirah Ramadan di Bilik Mesyuarat Cemerlang, Aras 3, Bangunan Canselori, pagi tadi.

Dengan tajuk “Cerita Disebalik Nuzul Al-Quran”, tazkirah itu disampaikan Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan, Pusat Islam Universiti Malaysia Sabah (PIUMS), Md. Razali Saibin.

Pada tazkirah itu, kaunter pembayaran zakat fitrah juga turut dibuka untuk memudahkan kakitangan yang ingin menjelaskan bayaran zakat fitrah masing-masing.

Tazkirah itu telah dihadiri 35 kakitangan Jabatan Bendahari.

Yang turut hadir, Bendahari UMS, Zallifah Shadan dan Timbalan Bendahari, Mohamad Edrus Othman.

 

Sumber: Rahmat Kasmin, Jabatan Bendahari

 

 

KHAMIS, 8 JUN - Seramai 20 pelajar calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Arshad, Kota Belud menyertai program Selangkah Ke Menara Gading anjuran Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (Jakmas) Kolej Kediaman Tun Mustapha (KKTM), Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini.

Pengarah Program, Mohamad Norazlan Norhisham berkata, program selama dua hari itu bertempat di sekitar kampus dan bertumpu di KKTM.

“Antara pengisian program termasuk lawatan sambil belajar ke beberapa kawasan UMS seperti Dewan Canselor, Perpustakaan, Menara Jam, Akuarium dan Muzium Marin, Pantai Odec, Galeri Borneensis dan Radio KKFM,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan kepada media UMS.

Menurut Norazlan aktiviti itu dilaksanakan sebagai kesinambungan program yang dimulai Jakmas-jakmas terdahulu yang bertujuan memberi motivasi dan pendedahan alam kehidupan kampus kepada pelajar-pelajar.

“Ia sekali gus mampu meningkatkan semangat mereka untuk memasuki universiti di samping  mendorong untuk meraih pencapaian cemerlang dalam peperiksaan SPM 2017,” katanya.

Selain Jakmas, program itu turut dijayakan sekretariat dan felo staf kolej.

Dalam pada itu, Pengetua KKTM, Dr. Mohamad Nizam Nazarudin turut menyuarakan sokongan terhadap program tersebut yang disifatkannya mampu meningkatkan kemahiran insaniah mahasiswa terutama dalam mengendalikan sesuatu program.

Majlis perasmian penutupan disempurnakan Felo Penyelaras Program, Dr. Sariah Abang.

 

Sumber: Kolej Kediaman Tun Mustapha