JUMAAT, 23 DISEMBER – Pusat Islam Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerima kunjungan daripada rombongan Jemaah Masjid Kampong Sungai Besar, Negara Brunei Darussalam baru-baru ini.

Rombongan yang tiba di Masjid UMS itu disambut oleh Pegawai Hal Ehwal Islam UMS, Ustazah Norisah Taljid yang memberi beberapa penerangan ringkas berkaitan Masjid UMS dan Kampus UMS.

Kunjungan ke Masjid UMS itu adalah antara aktiviti lawatan sambil belajar rombongan tersebut bersempena dengan cuti penggal akhir persekolahan.

Rombongan yang diketuai Imam Hj Haji Hj Abdul Rahman itu turut melawat Masjid Bandaraya Kota Kinabalu dalam lawatan rasmi selama 4 hari tersebut.

Rombongan seramai 40 orang yang terdiri daripada belia, beliawanis dan muslimah mengakhiri program lawatan dengan mengunjungi Masjid Negeri Sabah, rumah anak-anak yatim dan Muzium Sabah.

Sumber: Pusat Islam UMS

KHAMIS, 22 DISEMBER – Penderitaan yang dialami oleh etnik Rohingya di Myanmar akibat kekejaman dan penindasan berterusan turut mendapat keprihatinan warga Universiti Malaysia Sabah (UMS).

UMS melalui Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) telah menggerakkan kutipan dana bagi tabung  khas kemanusiaan Rohingya baru-baru ini, dan berjaya mengumpul sebanyak RM12,680 bagi menyalurkan bantuan kepada mangsa penindasan etnik Rohingya.

Kutipan dana tersebut diserahkan oleh wakil MPP UMS kepada Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah dalam satu sesi perjumpaan di Bangunan Canselori, UMS pagi tadi.

Dana tersebut akan diserahkan kepada agensi yang berkaitan bagi membantu meringankan beban etnik Rohingya yang ditindas untuk mendapatkan keperluan seharian seperti makanan, pakaian dan sebagainya.

Hadir sama pada sesi penyerahan tabung khas kemanusiaan Rohingya tersebut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni ) UMS, Prof. Madya Dr. Ismail Ali, Pendaftar UMS No’man Hj Ahmad, Bendahari UMS Zallifah Shadan,  dan Ketua Jabatan Hal Ehwal pelajar UMS Azmi Jumat.

 

 

KHAMIS, 22 DISEMBER - Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Majlis Profesor Negara (MPN), Utusan Malaysia dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah menganjurkan Program Advokasi Ilmuan dengan tajuk ‘Terjaminkah Keselamatan di Sabah?’ bertempat di Dewan Resital UMS hari ini.

Program tersebut yang mula diajurkan pada tahun 2015 kali ini memilih isu keselamatan di Sabah untuk dibincangkan bersama ahli-ahli panel yang terdiri daripada para pakar dalam bidang masing-masing.

Antaranya, pensyarah Ekonomi dan Pengurusan UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansur; Dekan Fakulti Pengurusan Awam dan Undang-undang Universiti Utara Malaysia, Profesor Dr. Mohd Kamarulnizam Abdullah dan Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) Dato’ Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid.

Pada forum tersebut, beberapa isu lain seperti ekonomi dan pelancongan turut dikupas oleh ahli panel memandangan Sabah merupakan sebuah negeri yang sering menjadi tarikan pelancong dari dalam dan luar negera.

Turut hadir, Presiden MPN Profesor Datuk Dr. Raduan Che Rose.

Foto: Musaab Umair

SELASA, 20 DISEMBER – Pendekatan secara menyeluruh sedang dikenal pasti melalui Bengkel 4th Pillar Workshop (Security-Defence) Kesban At Sea yang diadakan baru-baru ini bagi memastikan kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) terus dipertahankan daripada sebarang ancaman pencerobohan dan jenayah rentas sempadan.

Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan berkata, bengkel usaha sama antara Universiti Malaysia Sabah (UMS), Institut Maritim Malaysia (MIMA) dan Majlsi Keselamatan Negara Cawangan Sabah  itu dijangka akan mengenal pasti pendekatan secara holistik untuk memastikan kawasan Esszone bebas daripada sebarang ancaman yang  menggugat keselamatan kawasan tersebut. 

“Pendekatan secara holistik akan dapat mengurangkan insiden jenayah rentas sempadan, dan walaupun usaha membendung insiden jenayah rentas sempadan itu tidak boleh mencapai sifar, tetapi usaha perlu giat diteruskan bagi memastikan pembangunan sektor ekonomi di kawasan itu berjalan baik.

“Diharap peserta yang terdiri daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan yang terlibat mampu mengenal pasti cara terbaik yang perlu dilakukan agar masyarakat di kawasan Esszone dapat menikmati pembangunan ekonomi biarpun berada di kawasan kawalan keselamatan,” katanya.

Datuk Tawfiq berkata demikian ketika merasmikan bengkel tersebut di Auditorium Pascasiswazah, UMS baru-baru ini.

Menurut beliau lagi, Sabah berdepan insiden pencerobohan pada tahun 2013 serta beberapa insiden jenayah rentas sempadan yang dilakukan oleh rakyat Filipina hingga menyebabkan kawasan pantai timur Sabah diisytiharkan sebagai Esszone.

“Insiden jenayah ini menyebabkan ekonomi di kawasan pantai Timur Sabah terjejas. Oleh itu, dalam melaksanakan kawalan keselamatan, langkah terbaik perlu dilakukan dalam memastikan pembangunan ekonomi terus dilaksanakan demi manfaat masyarakat setempat,” ujar Datuk Tawfiq. a

Bengkel dua hadiri yang dihadiri lebih 100 peserta itu adalah yang kali terakhir bagi bengkel bersiri yang diadakan sejak awal tahun ini.

 

SELASA, 20 DISEMBER – Program Majlis Pengajian Akbar : Kitab Bidayatul Hidayah anjuran Pusat Islam Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang berlangsung baru-baru ini mendapat sambutan meriah dengan kehadiran lebih 1,000 orang yang turut serta pada majlis tersebut.

Berlangsung di Masjid UMS, program tersebut diadakan selama dua hari  bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul, dan dikendalikan oleh pendakwah dari Banjarmasin Kalimantan, Tuan Guru Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam Al-Banjari An-Nadwi Al-Maliki”

Menurut Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan UMS, Ustaz Razali Saibin, kehadiran peserta yang membanjiri Masjid UMS bagi program ini memberi petanda positif akan minat masyarakat sama ada warga UMS atau masyarakat luar untuk memberi sokongan terhadap majlis ilmu.

“Ini sesuatu yang baik melihat pelajar dan staf UMS serta masyarakat luar sama-sama mempelajari dan menghayati isi kandungan kitab Bidayahtul Hidayah “Permulaan Jalan Hidayah yang disampaikan oleh Tuan Guru Syeikh Ahmad Fahmi,” ujar beliau.

Bersempena dengan program tersebut, Pusat Islam juga mengadakan majlis kesyukuran dan ceramah sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat Universiti Malaysia Sabah..

Turut hadir Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Mohd. Harun Abdullah dan Dekan Fakuti Perniagaan,  Ekonomi dan Perakaunan, Prof. Dr. Raman Noordin.

Sumber: Pusat Islam UMS