RABU, 24 MEI – Lebih 100 kertas kerja dibentangkan pada Persidangan Antarabangsa Pengajian Kemanusiaan 2017 yang dianjurkan oleh Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Hotel Tabung Haji Kota Kinabalu.
Persidangan selama dua hari itu disertai kira-kira 150 peserta yang terdiri daripada ahli akademik, pelajar pascasiswazah serta pegawai kerajaan dan swasta dari dalam dan luar negara.
Menurut Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah, penganjuran persidangan itu merupakan satu platform terbaik yang mampu membawa pelbagai idea kemanusiaan di bawah satu bumbung untuk dibincangkan, dicabar, dikritik dan diterima oleh para peserta persidangan.
“Proses globalisasi memerlukan seseorang untuk sentiasa mengemas kini ilmu yang sedia ada dalam bidang kepakaran masing-masing.
“Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan ilmu yang sedia ada menjadi ketinggalan zaman dan tidak dapat membantu dalam pembangunan modal insan sesebuah negara,” ujarnya.
Profesor Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah diwakili Dekan PPIB, Prof. Madya Dr. Jualang @ Azlan Abdullah Gansau.
Dalam pada itu, Dr. Jualang turut berharap penganjuran persidangan itu dapat membuka ruang untuk meluaskan jaringan akademia khususnya dalam kerjasama
penyelidikan.
Turut hadir, tokoh sejarawan dan kemanusiaan, Profesor Emeritus Dr. Ahmat Adam yang juga merupakan pengucaptama persidangan tersebut dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Madya Dr. Ismail Ali.