JUMAAT, 31 JULAI – Seramai 17 orang peserta dari 10 negara ketiga seperti Kemboja, Tanzania, Botswana, dan Vietnam bakal menyertai program pembangunan Mampan Pemuliharaan Ekosistem dan Biodiversiti menerusi Program Latihan Negara Ketiga (TCTP) 2015 yang akan bermula pada 6 Ogos ini.
Program tahunan anjuran bersama Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP) dan Kerajaan Negeri Sabah tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran kepada para peserta terdiri daripada pegawai kerajaan negara masing-masing berkenaan aspek pemuliharaan biodiversiti.
Pengarah IBTP UMS, Prof. Dr. Charles S Vairappan berkata, program itu penting untuk dianjurkan secara berterusan dalam meningkatkan kesedaran menangani isu pemuliharaan biodiversiti secara global berikutan perubahan negara yang semakin membangun pesat.
“Penganjuran program ini perlu kerana wujudnya peningkatan kegiatan pemuliharaan biodiversiti dan ekosistem unik yang terdapat di negeri ini untuk dikongsi kepada peserta dari negara lain.
“Ini adalah selaras dengan tujuan membangunkan dasar biodiversiti negara sebagai pusat kemajuan penyelidikan, pemuliharaan serta penggunaan teratur melalui kepelbagaian biologi tropika menjelang tahun 2020,” katanya.
Beliau berkata demikian pada satu sidang media di Bilik Seminar Utama IBTP baru-baru ini.
Menurutnya lagi, UMS sering menjadi satu contoh baik bagi aspek pemuliharaan biodiversiti oleh negara-negara membangun lain dalam menangani masalah alam sekitar di negara mereka.
Program TCTP 2015 melibatkan kerjasama antara ‘Japan International Cooperation Agency’ (JICA) dan kerajaan negeri melalui Pejabat Sumber Asli, Taman-taman Sabah, Pusat Biodiversiti Sabah, Jabatan Hidupan Liar dan Jabatan Perhutanan Sabah. -MA
Foto: Johaidi Ismail
Bahagian Media dan Citra



KHAMIS, 30 JULAI - Dekan Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Ir. Dr. Rosalam Haji Sarbatly akan bersiaran secara langsung di TVi saluran Astro 180 bagi mengupas lanjut simulasi Pelantar Minyak dan Gas yang akan dibina di fakulti tersebut.
KHAMIS, 30 JULAI - Universiti Malaysia Sabah (UMS) Kampus Antarabangsa Labuan (KAL) telah menerima bendera Jalur Gemilang daripada Jabatan Penerangan Wilayah Persekutuan Labuan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2015.
KHAMIS, 30 JULAI - 15 pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) dari pelbagai fakulti terpilih bagi menyertai Program Latihan Sangkutan Pelajar Diplomat ke Kementerian Luar Negeri Malaysia.
RABU, 29 JULAI - Mahasiswa dan felo Kolej Kediaman Tun Mustapha Universiti Malaysia Sabah (UMS) kini menyertai Program Integrasi Borneo Siri 3.