ISNIN, 6 MEI - Fakulti Kejuruteraan (FKJ) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan Program Teknik Penghasilan Kompos di SK Tambulaong, di sini, baru-baru ini.

Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) FKJ, Dr. Abu Zahrim Yaser berkata, ia merupakan salah satu inisiatif fakulti dalam melaksanakan  pemindahan ilmu (knowledge transfer) dari universiti kepada komuniti.

"Pada program ini FKJ menyampaikan hasil penyelidikan dan inovasi kepada pihak sekolah serta komuniti di Kampung Tambulaong tentang teknik pengkomposan dan pengurusan sisa pepejal di Sabah. 

"Selain dapat mengurangkan sisa yang dihantar ke tapak pelupusan, pengkomposan juga adalah teknik bagi menukarkan sisa organik kepada baja.

"Dalam masa yang sama, aktiviti ini turut memberi peluang kepada para pelajar UMS untuk berinteraksi dengan masyarakat setempat dan seterusnya meningkatkan kemahiran insaniah mereka," katanya dalam satu kenyataan.

Pada program tersebut, Dr Abu Zahrim yang juga merupakan penyelidik yang berjaya menghasilkan penyelidikan dan inovasi berkenaan turut melakukan demonstrasi  kepada semua yang hadir tentang penggunaan tong kompos yang direkabentuk di Fakulti Kejuruteraan.

Sementara itu, Guru Besar SK Tambulaong, Noraida Hj. Lamsari merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada FKJ UMS atas penganjuran program yang sangat bermanfaat dan memberi pengetahuan baru kepada pihak sekolah dan penduduk kampung.

"Saya berharap kerjasama ini dapat dipergiatkan lagi pada masa akan datang agar komuniti menjadi lebih cakna dan berpengetahuan mengenai kompos," katanya.

Fakulti Kejuruteraan UMS turut menyampaikan tong kompos kepada SK Tambulaong sebagai simbolik kolaborasi.

Program sehari itu juga dijayakan oleh 24 pelajar tahun akhir jurusan Kejuruteraan Kimia UMS yang mengadakan pembentangan poster.

Hadir sama Biro Pendidikan dan Inovasi, Edwin Lumbating; Ketua Kampung Tambulaong, Kungin Lout; serta para ibu bapa dan pelajar SK Tambulaong. 

 

JUMAAT, 03 MEI -  Program Professional Training and Education for Growing Entrepreneurs (Protege) menyasarkan untuk memberi latihan keusahawanan dan kebolehpasaran kepada sekurang-kurangnya 15,000 mahasiswa seluruh negara pada tahun ini.
Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata program Protege berperanan dalam membimbing belia dengan kerjasama industri ke arah melahirkan ramai usahawan kompetitif selain bersedia ke pasaran global dengan kemahiran bagi memenuhi keperluan industri semasa.
Program itu, katanya dilihat mampu menjadi platform dalam merealisasikan fokus kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara keusahawanan.
“Protege mampu memberi kesan tinggi dalam melahirkan usahawan yang boleh dibawa ke peringkat antarabangsa kerana program ini turut disokong oleh beberapa agensi lain termasuk MAGiC (Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia) selain programnya juga menyeluruh.
“Selain itu, kita (tidak mustahil) mampu mewujudkan sehingga 60,000 peluang pekerjaan menerusi mahasiswa dilatih menjadi usahawan di bawah program Protege ini,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada program kesedaran Protege di Universiti Malaysia Sabah (UMS), kelmarin.
Turut hadir Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr D Kamarudin D Mudin dan Ketua Sekretariat Protege Norashikin Ismail.
Program kesedaran Protege itu berjaya menjangkau seramai 17,000 mahasiswa seluruh negara sejak ia dilancarkan pada 28 Jan lepas, dan UMS adalah universiti terakhir bagi penganjurannya pada penggal ini sebelum ia disambung semula mulai September depan di enam lagi universiti.
Mohd Redzuan berkata kementeriannya komited untuk memastikan belia Malaysia tidak hanya bergantung kepada makan gaji, sebaliknya memilih bidang keusahawanan sebagai bidang kerjaya apabila menamatkan pengajian.
Belia juga perlu lebih proaktif selain menjadikan diri mereka sebagai pencipta pekerjaan dan bukan pencari pekerjaan bagi memastikan mereka mampu menjana pendapatan sekali gus mengurangkan kadar pengangguran, katanya.

Sumber: BERNAMA

JUMAAT, 03 MEI - Program Bakti Suksis bersama masyarakat yang dianjurkan oleh Kor Sukarelawan Polis Siswa-Siswi (SUKSIS) Siri 1/2017 Universiti Malaysia Sabah (UMS) berlangsung dengan jayanya di sini, baru-baru ini.

Pengarah Program, Muhammad Rajuan Holedal berkata, program tiga hari itu dijalankan bersama masyarakat di Kampung Milau dan Bandar Kudat serta Rumah Anak Yatim Darul Bakti, Kota Belud.

“Program ini antara lain bertujuan untuk memupuk semangat kemasyarakatan dalam kalangan pelatih Suksis dengan komuniti setempat.

“Program ini juga turut dibantu oleh Sukarelawan Polis (PVR) daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Kudat serta kerjasama World Wide Fund for Nature (WWF), Perikanan dan Taman-Taman Sabah,” katanya kepada media.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (OPERASI) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, ACP Yusuh B. Mat Tais dalam ucapan perasmiannya berkata, sikap serta semangat kerja berpasukan, yang ditunjukkan sememangnya amat diperlukan bagi memangkin pada kejayaan dan kecemerlangan sesebuah program seperti Program Bakti Suksis tersebut.

“Program seumpama ini akan memberi suntikan semangat kepada kita semua untuk memperkasakan lagi nilai-nilai kemasyarakatan dalam diri kita semua.

“Pada kesempatan ini saya juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pelatih dan para jurulatih Kor Suksis UMS serta pegawai penyelaras Kor Suksis UMS, ASP Selvester Sopitang atas komitmen dan dedikasi yang tinggi dalam menjayakan program ini,” ujarnya.

Bagi Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMS, Prof. Dr. Ismail Ali, beliau menyifatkan penganjuran program itu amat bertepatan bagi meningkatkan kemahiran insaniah dan memberi pendedahan kepada pelajar universiti untuk menjalin hubungan baik dengan komuniti setempat.

“Dalam masa sama, program ini menunjukkan bahawa ciri-ciri seseorang pelajar itu bukan hanya menumpukan kepada akademik semata-mata bahkan juga terlibat aktif dalam aktiviti kokurikulum,” jelasnya.

Program tersebut melibatkan 50 pelatih Kor-Suksis UMS Siri 1/2017 dan dua pegawai bersama 10 jurulatih. Ia turut melibatkan 200 peserta terdiri daripada pelajar sekolah, ibu bapa dan masyarakat setempat.

Turut hadir memberi sokongan kepada program berkenaan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjong Kapor, Kudat merangkap Pembantu Menteri Perdagangan dan Perindustrian Negeri Sabah, Chong Chen Bin.

Sumber: Syahmidah, Aisah

 

JUMAAT, 3 MEI - Program ‘Luncheon in the Dark’ anjuran pelajar kursus Operasi Acara Khas (BE31703) Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) berjaya mengumpul sebahagian dana untuk diserahkan kepada Persatuan Orang Buta Sabah.

Acara amal tersebut memberi kelainan kepada tetamu dengan pengalaman menikmati makanan dalam keadaan gelap serta mata ditutup dengan kain bertujuan mewujudkan sikap lebih prihatin kepada golongan kelainan upaya (OKU) penglihatan.

Menurut Dekan FPEP Profesor Madya Dr. Raman Noordin, penganjuran program tersebut bertujuan memberi kesedaran mengenai tanggungjawab sosial masyarakat terhadap golongan OKU.

“Saya berharap agar program ini menyokong matlamat Kementerian Pendidikan Malaysia yang menginginkan para pelajar untuk mengaktifkan diri dengan aktiviti-aktiviti luar yang bersesuaian dan mengasah kemahiran insaniah melalui penganjuran seperti ini,” ujarnya ketika merasmikan program tersebut.

Terdahulu,  Pengarah Program Syahiran Sulaiman berkata  program tersebut telah berjaya menyuntik semangat kerjasama dalam kalangan ahli jawatankuasa dalam menjayakan program yang dirancang.

“Program ini juga dilihat dapat menjadi platform untuk siswa siswi UMS dan orang awam untuk bersama-sama berkumpul dan menjalinkan silaturahim,”katanya.

Seramai 120 peserta yang terdiri daripada kakitangan UMS, siswa siswi, syarikat-syarikat penaja serta orang awam menyertai program amal tersebut.

Turut hadir, Presiden Pertubuhan Persatuan Orang Buta Sabah, Datuk Rosalind Chew.

JUMAAT, 3 MEI - Pencapaian membanggakan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam semua peringkat sentiasa mendapat sokongan daripada pihak pengurusan universiti.

Pengerusi Lembaga Pengarah, Datuk KY Mustafa berkata UMS bertanggungjawab menyediakan ruang bagi generasi muda meneroka bidang ilmu, menggilap bakat dan potensi serta menerapkan nilai-nilai murni demi menyediakan generasi pemimpin masa hadapan

                                                                                           

“Pencapaian pelajar dalam semua peringkat merupakan kebanggaan kepada UMS dan sentiasa dititikberatkan oleh pihak pengurusan serta sentiasa diberi sokongan tanpa jemu.

“Sesungguhnya perkara inilah yang menjadi kayu ukur kecemerlangan universiti dalam menyediakan latihan serta pemerkasaan kemahiran kepada para pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (MAHEPA) kali ke-21 yang disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama, Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah R.M Jasni, baru-baru ini.

Terdahulu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Profesor Dr. Ismail Ali menjelaskan bahawa MAHEPA merupakan medium bagi menghargai dan mengiktiraf para pelajar yang bergiat aktif dalam pelbagai aktiviti serta kejayaan yang dicapai dalam pelbagai peringkat. 

                                                                                        

“Sesungguhnya sudah menjadi tanggungjawab HEPA untuk memastikan pembangunan para pelajar sentiasa diberi perhatian dalam segala aspek bersesuaian dengan misi dan visi universiti.

 “Selain meraikan para pelajar, MAHEPA juga dianjurkan sebagai usaha untuk menghargai pelbagai pihak termasuklah alumni UMS yang sentiasa memberi kerjasama, sokongan serta sumbangan kepada UMS,” ujarnya.

Tambah beliau, sebanyak 859 aktiviti berjaya dilaksanakan oleh para pelajar sama ada di peringkat universiti, negeri dan antarabangsa pada tahun 2018.

Pada majlis tersebut, sebanyak 11 anugerah individu dan sembilan anugerah berkumpulan dipertandingkan meliputi pemimpin harapan, keusahawanan, sukarelawan, kepimpinan, inovasi, pengucapan awam, sukan dan kebudayaan.

Turut hadir Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin dan isteri Datin Roha Asmara; Pengerusi National Institute of Occupational Safety and Health (NIOSH) Malaysia Tan Sri Lee Lam Thye serta Ahli Lembaga Pengarah UMS Datin Nurlaila Said.