Pusat Komunikasi Korporat (PKK), Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan kunjungan mesra ke Persatuan Wartawan Sabah (SJA) sebagai usaha memperkukuh hubungan dua hala serta meningkatkan kerjasama strategik dalam bidang komunikasi, media dan pembangunan profesional.

Kunjungan tersebut diketuai oleh Pengarah PKK UMS, Dr. Rizal Zamani Idris, dan disambut oleh Presiden SJA, Mariah Doksil, bersama barisan kepimpinan persatuan berkenaan.

Pertemuan itu menjadi platform perbincangan mengenai potensi kolaborasi strategik melibatkan perkongsian kepakaran, pembangunan bakat, latihan profesional, penghasilan kandungan komunikasi berimpak tinggi serta pengukuhan jaringan antara institusi akademik dan organisasi media di Sabah.

Dr. Rizal berkata, PKK UMS sentiasa komited untuk membina hubungan yang bersifat sinergi dengan organisasi profesional bagi memperkasa ekosistem komunikasi korporat dan kewartawanan.

“UMS melalui PKK amat menghargai peranan SJA dalam membentuk landskap komunikasi dan kewartawanan yang beretika serta berwibawa.

"Kunjungan mesra ini diharap dapat membuka ruang kerjasama yang lebih tersusun dan berimpak, khususnya dalam aspek latihan, pemindahan ilmu dan penghasilan naratif positif berkaitan institusi pendidikan tinggi serta pembangunan masyarakat,” katanya.

Menurut beliau, kerjasama strategik antara universiti dan persatuan wartawan amat penting bagi memastikan amalan komunikasi yang relevan dengan keperluan semasa industri serta mampu menyokong agenda pembangunan negeri.

Turut hadir, Timbalan Pengarah PKK UMS, Mohd Ezni Hezri Mohd Yusop; Ketua Sektor Hal Ehwal Korporat, Che Hasruddin Che Hasan; Ketua Pentadbiran, Norliza Abdullah; dan Ketua Unit Perhubungan Media PKK, Salbinous Saribun.

Sementara itu, Presiden SJA, Mariah Doksil menyambut baik kunjungan tersebut dan menyifatkannya sebagai satu langkah proaktif ke arah memperkukuh hubungan strategik antara kedua-dua pihak.

“Persatuan Wartawan Sabah amat mengalu-alukan kerjasama dengan UMS, khususnya Pusat Komunikasi Korporat, dalam usaha memperkasa bidang komunikasi dan kewartawanan.

"Gabungan kekuatan akademik UMS dan pengalaman profesional wartawan diyakini mampu memberi manfaat besar kepada industri media serta masyarakat secara keseluruhan,” ujarnya.

Pertemuan tersebut turut membincangkan perancangan kerjasama yang berpotensi untuk dilaksanakan dalam masa terdekat.

Hadir sama, Setiausaha SJA, Siti Aisyah Narudin; serta barisan Ahli Jawatankuasa Tertinggi SJA, Mohd Nazlie Zainul, Vivi Olviana Najurus, dan Fardy Bungga.

Delegasi PKK UMS turut disertai Ketua Unit Pengurusan Majlis dan Unit Perhubungan Awam PKK, Mohammad Norazmi Harris; Ketua Unit Video, Johaidi Ismail, serta kakitangan Unit Perhubungan Media PKK, Mohd. Affzanizam Mohd Amin dan Faezah Mohamad Dun.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universitas Borneo Tarakan (UBT), Indonesia memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) bagi memperkukuh kerjasama institusi dalam bidang mobiliti akademik, penyelidikan kolaboratif serta pertukaran pelajar dan staf, selari usaha memperkasa hubungan rentas sempadan Sabah–Kalimantan.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, pemeteraian MoA tersebut merupakan satu langkah konkrit ke arah memperkukuh perkongsian strategik kedua-dua institusi, khususnya dalam penganjuran seminar bersama, inisiatif berasaskan komuniti dan pembangunan ilmu yang mampan.

Menurut beliau, kerjasama berkenaan turut mencerminkan visi bersama UMS dan Universitas Borneo Tarakan untuk memajukan pengetahuan, memupuk inovasi serta menyumbang secara bermakna kepada pembangunan lestari di rantau Borneo.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada 12th International Mobility Seminar bertemakan Regional Perspectives on Sabah–Kalimantan Cross-Border Relations anjuran Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan UMS dan UBT di Mini Auditorium Fakulti Pendidikan dan Pengajian Sukan UMS.

Mengulas lanjut, Kasim berkata Sabah dan Kalimantan bukan sahaja berkongsi kedudukan geografi yang berdekatan, malah mempunyai hubungan sejarah, budaya dan sosioekonomi yang erat.

“Justeru itu institusi pendidikan tinggi memikul tanggungjawab untuk menyumbang idea dan penyelesaian bagi menyokong pembangunan serantau yang mampan.

“Platform seperti seminar ini membolehkan pertukaran pandangan, perbincangan perbandingan serta pelaksanaan penyelidikan kolaboratif yang merentas sempadan negara.

“Siri Seminar Mobiliti Antarabangsa yang kini memasuki edisi ke-12 ini telah berjaya menghimpunkan lebih 1,500 peserta sejak diperkenalkan, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan UMS terhadap mobiliti akademik, pengantarabangsaan dan keterlibatan global,” katanya.

Menurutnya, melalui pelbagai program mobiliti dan inisiatif bersama, UMS terus memperkukuh peranannya sebagai universiti serantau yang berhubung rapat dengan ASEAN serta komuniti akademik antarabangsa.

Pada majlis itu, Kasim mewakili UMS menandatangani dokumen MoA tersebut, manakala UBT diwakili Dekan Fakulti Ekonomi UBT, Dr. E. Mohamad Nur Utomo yang mewakili Rektor UBT, Prof. Dr. Yahya Ahmad Zain.

Beliau turut mengalu-alukan kehadiran delegasi UBT seramai 81 orang yang terdiri daripada 13 Dekan dan 68 pelajar.

Hadir sama pada majlis tersebut Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar dan Dekan FPEP UMS, Prof. Madya Dr. Mohd. Rahimie Abdul Karim.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) menganjurkan Program Keusahawanan Digital baru-baru ini sebagai usaha memperkasa mahasiswa dengan pengetahuan dan kemahiran keusahawanan digital sejajar keperluan ekonomi semasa.

Bertempat di U-Science, UMS di sini, program tersebut merupakan anjuran kerjasama Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa Kolej Kediaman Antarabangsa Kingfisher UMS dan Smart Native Maker (SNM).

Menurut Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor, penganjuran program seumpama itu mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja berpengetahuan, malah berkemahiran, berdaya saing serta mempunyai kesedaran sosial yang tinggi.

“Kemajuan ekonomi digital masa kini telah membuka pelbagai ruang dan peluang baharu merangkumi bidang e-dagang, kandungan kreatif, perkhidmatan digital, teknologi pendidikan dan inovasi kecerdasan buatan.

“Justeru melalui program ini, mahasiswa-mahasiswi didedahkan dengan ilmu dan maklumat penting bagi membangunkan potensi diri sebagai pencipta peluang, bukan sekadar pencari pekerjaan,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan Pengarah U-Science Md Sazali Md Salleh.

Dr Kasim berkata, inisiatif mahasiswa UMS menganjurkan program berimpak tinggi itu sangat bertepatan dalam memberi pendedahan kepada pembinaan minda usahawan, pengalaman industri, laluan kerjaya alternatif serta kemahiran penting bagi meningkatkan daya saing graduan dalam persekitaran ekonomi yang dinamik.

Katanya, program itu juga seiring  dengan beberapa Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals, SDG), khususnya SDG 4 (Pendidikan Berkualiti), SDG 8 (Pekerjaan Layak dan Pertumbuhan Ekonomi) serta SDG 9 (Industri, Inovasi dan Infrastruktur).

“Ia bukan sahaja memberi manfaat kepada peserta, malah menyokong agenda pembangunan global yang menekankan akses pendidikan berkualiti, peluang pekerjaan beretika serta inovasi yang menyumbang kepada kemajuan masyarakat.

“Usaha mengintegrasikan elemen keusahawanan digital dalam ekosistem pembelajaran universiti diyakini mampu melahirkan generasi yang lebih bersedia menghadapi cabaran masa depan serta berupaya memberi impak positif kepada komuniti dan negara,” tambahnya lagi.

Bertemakan Program Keusahawanan Digital sebagai Laluan Kerjaya: Dari Pencari Kerja kepada Pencipta Peluang, majlis perasmiannya disempurnakan Pengerusi POIC Sabah Sdn. Bhd merangkap Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.

Hadir sama Pengarah Program Helviana Barbara dan Ketua Pegawai Eksekutif SNM, Julfikrie Muhaimin.

 

Seramai 30 pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) dilantik sebagai Duta Pelajar menerusi Program CelcomDigi X UMS Student Ambassador: S.A.F.E Internet Awareness bagi meningkatkan kesedaran keselamatan internet, etika penggunaan teknologi serta pencegahan penipuan digital dalam kalangan komuniti setempat.

Program hasil kolaborasi strategik antara CelcomDigi Berhad dan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) UMS itu turut melibatkan Persatuan Mahasiswa Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (PMPEP), selaras usaha memperkukuh jaringan universiti–industri–komuniti.

Dekan FPEP UMS, Prof. Madya Dr. Mohd. Rahimie Abd. Karim berkata, penglibatan pihak industri seperti CelcomDigi merupakan satu usaha murni berteraskan tanggungjawab sosial korporat dalam membentuk masyarakat yang harmoni, maju dan stabil, khususnya melalui pemerkasaan literasi digital serta keselamatan internet.

“Program ini dirangka secara sistematik dan tersusun bagi memastikan impak yang signifikan kepada kumpulan sasar, terutama dalam mendepani ancaman keselamatan siber dan penipuan digital yang semakin membimbangkan seiring perkembangan teknologi masa kini.

“Para pelajar yang dilantik akan menerima latihan menggunakan modul khas yang disediakan oleh CelcomDigi merangkumi aspek keselamatan internet, penggunaan teknologi secara beretika serta langkah-langkah pencegahan scam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian program tersebut di The Hotelab, FPEP UMS baru-baru ini.

Menurut Rahimie, Duta Pelajar yang terpilih seterusnya akan terlibat secara langsung dalam pelaksanaan program khidmat komuniti secara berfasa melibatkan kampung serta sekolah rendah dan menengah di sekitar UMS.

Tambahnya, pendekatan tersebut bukan sahaja membolehkan pemindahan ilmu berlaku secara berkesan, malah melahirkan pelajar yang berpengetahuan, berkeyakinan dan berkeupayaan berperanan sebagai ejen penyebaran kesedaran digital kepada rakan sebaya serta komuniti setempat.

“Ini selaras dengan agenda Sustainable Development Goals (SDG), khususnya dalam aspek pendidikan berkualiti, pembinaan komuniti mampan serta perkongsian strategik pelbagai agensi.

“Dari sudut pelajar, program ini menjadi platform pembangunan diri melalui peningkatan kemahiran insaniah seperti komunikasi, kepimpinan dan kerja berpasukan, di samping memupuk kesedaran terhadap tanggungjawab sosial,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada CelcomDigi atas komitmen menjayakan program tersebut dan menyifatkannya sebagai selari dengan aspirasi UMS “The Brain of Borneo”.

“Adalah diharapkan segala ilmu, pengalaman dan nilai yang diperoleh melalui program ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya serta diaplikasikan dalam kehidupan seharian, sekali gus menjadi pemangkin kepada pembentukan masyarakat digital yang lebih selamat, beretika dan bertanggungjawab,” ujar beliau.

Pada majlis tersebut, Rahimie turut menyampaikan watikah pelantikan Duta Pelajar kepada wakil pelajar, Azura selaku pengarah program tersebut.

Turut hadir pada majlis itu Ketua HRBP Komersial CelcomDigi, Samuel Danker; Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni FPEP, Prof. Madya Dr. Jakaria Dasan; Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UMS, Allen Paul Justinus Situ; dan Presiden Persatuan Mahasiswa FPEP, Aviell Sevone Ah Kiong.

 

 

Seramai 15 pelajar Program Teknologi Makanan, Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyertai Lawatan Sambil Belajar ke industri di Pantai Timur Sabah baru-baru ini.

Pengarah Program, Clara Claudia Japanis berkata, lawatan itu bertujuan memberikan pengalaman pembelajaran secara langsung kepada pelajar mengenai realiti operasi industri makanan, sekali gus membantu mereka mengaplikasikan pengetahuan teori yang dipelajari di bilik kuliah ke dalam konteks sebenar industri.

“Lawatan ini juga memberi penekanan terhadap kefahaman berkaitan pengurusan pengeluaran, kawalan kualiti serta pematuhan kepada piawaian keselamatan makanan yang menjadi keperluan utama dunia pekerjaan masa kini.

“Pendedahan ini penting untuk meningkatkan keyakinan serta kefahaman pelajar terhadap keperluan industri semasa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Lawatan selama lima hari itu turut diiringi Penasihat Kelab dan Pensyarah Pengiring, Dr. Yanty Noorzianna Abdul Manaf.

Sebanyak dua organisasi industri dikunjungi iaitu QL Farms Sdn. Bhd. di Tawau dan IOI Edible Oils Sdn. Bhd. di Sandakan.

Menurut Clara, semasa lawatan di QL Farms pelajar didedahkan kepada pengurusan penternakan ayam secara sistematik, amalan kebersihan industri, serta kaedah pengendalian bahan mentah sebelum diproses.

“Pendedahan ini meningkatkan kefahaman pelajar terhadap kepentingan kawalan pada peringkat awal rantaian pengeluaran makanan, yang merupakan elemen kritikal dalam memastikan kualiti dan keselamatan produk sentiasa terjamin.

“Sementara di IOI Edible Oils pula, para pelajar diberi peluang menyaksikan secara langsung keseluruhan proses pengeluaran minyak sawit pelbagai fraksi pada skala industri.

“Saya berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memperkukuh kerjasama antara universiti dan pihak industri.

“Inisiatif sebegini mampu melahirkan graduan Teknologi Makanan yang lebih kompeten, berdaya saing serta bersedia menyumbang kepada pembangunan sektor industri makanan negara,” jelasnya lagi.

Bagi Dr Yanty, beliau memaklumkan Lawatan Sambil Belajar ke industri di Pantai Timur Sabah itu telah berjaya memberikan pengalaman yang bermakna kepada para pelajar.

“Program ini selaras dengan aspirasi FSMP UMS dalam melahirkan graduan yang seimbang dari segi akademik dan kemahiran praktikal, serta bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan,” katanya.

Halaman 1 dari 869