Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menjayakan Simposium Integriti dan Hikmah sebagai satu wadah perbincangan terhadap nilai integriti dan hikmah dalam menghadapi cabaran dunia moden yang semakin kompleks.
Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, simposium hasil jalinan kerjasama antara Fakulti Pengajian Islam (FIS), Pusat Islam, Bahagian Integriti serta Pusat Pelaburan Endowmen dan Wakaf UMS itu amat signifikan dalam konteks pendidikan tinggi, pembangunan modal insan dan cabaran semasa yang dihadapi oleh masyarakat.
“Integriti adalah tiang utama yang memastikan ketelusan, keadilan dan keberkatan dalam segala urusan, sama ada dalam pengurusan, pentadbiran, penyelidikan, mahupun kehidupan seharian.
“Manakala hikmah pula adalah kebijaksanaan dalam bertindak, menilai dan membuat keputusan yang berpaksikan ilmu dan akhlak
“Gabungan dua nilai utama ini menjadi asas kepada kecemerlangan individu, organisasi bahkan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena perasmian simposium tersebut di Pusat Islam UMS.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Dekan FIS, Prof. Dr. Muhamad Suhaimi Taat.
Beliau menambah, dalam konteks universiti, integriti perlu menjadi budaya kerja kita, bermula daripada pengurusan, penyelidikan, sehinggalah kepada penyampaian ilmu.
“Sementara hikmah pula menjadi panduan dalam menangani perbezaan pandangan, kepelbagaian budaya dan cabaran dunia digital yang semakin kompleks.
“Justeru itu, saya menaruh keyakinan bahawa simposium ini akan memberi kesan yang mendalam, bukan sahaja kepada para peserta, bahkan kepada seluruh warga fakulti dan universiti.
“Semoga segala ilmu yang diperoleh akan diterjemahkan ke dalam amalan, seterusnya menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara,” ujar beliau.
Simposium tersebut menyaksikan dua tokoh ulama tersohor, iaitu Al-Fadhil Habib Ali Zaenal Abidin, tokoh ulama dan pendakwah yang juga merupakan Profesor Adjung di FIS, dan Dato’ Dr. Afifi al-Akiti, seorang sarjana yang dihormati di pentas akademik dunia, khususnya di Universiti Oxford, membincangkan isu berkaitan peranan integriti dan hikmah dalam kehidupan beragama, bermasyarakat dan bernegara.
Hadir sama pada majlis tersebut Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Datuk Hj Sapawi Hj Ahmad.



Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah menganjurkan Bengkel Penyelidikan: Integrating Generative AI & Canva in Problem-Based Learning Strategy for Academics baru-baru ini sebagai usaha memperkasa strategi pembelajaran berasaskan masalah di institusi pengajian tinggi.
Inisiatif pelajar tahun dua Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) Universiti Malaysia Sabah (UMS) terhadap usaha mengintegrasikan teknologi dalam pertanian pintar mendapat pengiktirafan apabila berjaya dinobat sebagai juara bagi SDG Agent Grant Pitching 2025 yang berlangsung secara dalam talian baru-baru ini.
Kejohanan Sukan Tahunan Malaysia-Thailand (MASTHAI) 2025 Edisi ke-15 yang mempertemukan siswa-siswi dari kedua-dua negara mampu menjadi platform dalam memupuk semangat persahabatan dan perpaduan dalam persaingan acara sukan.
Universiti Malaysia Sabah (UMS) meraikan Sambutan Hari Gajah Sedunia 2025 peringkat universiti yang berlangsung di Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP) UMS, baru-baru ini dengan menekankan peranan penting pemuliharaan gajah Borneo.