SELASA, 10 APRIL - Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Pusat Pengurusan EcoCampus bersama Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan ‘Kolokium Kelestarian Kampus dan Alam Sekitar 2018’ di Cafe D’Sireh, Bangunan Canselori UMS kelmarin.

Menurut Timbalan Pengarah Pusat Pengurusan EcoCampus, Kueh Boon Hee yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Kolokium, tujuan utama kolokium berkenaan adalah untuk berkongsi inisiatif dan pencapaian EcoCampus UMS dengan delegasi UTHM,  selain berkongsi maklumat dan data penyelidikan berkaitan di antara UMS dan UTHM serta menjalin hubungan dan kerjasama yang lagi erat di antara UMS dan UTHM, khususnya FAST pada masa hadapan.

“Sesungguhnya apabila UMS mengetengahkan EcoCampus sebagai agenda universiti pada 2013, pihak universiti berharap agar segala usaha dan program yang diiltizamkan mampu memupuk gaya hidup hijau di kalangan warga universiti yang merangkumi para siswa-siswi dan kakitangan, malahan untuk setiap pemegang taruh, termasuklah para pelawat ke UMS,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa kelestarian kampus harus menjadi sumbangan daripada universiti kepada pihak berkuasa tempatan agar boleh membentuk negeri masing-masing yang mesra alam sekitar dan pembangunan lestari dan seterusnya membantu negara ke arah pencapaian Matlamat Pembangunan Lestari 2015-2030 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (‘United Nations Sustainable Development Goals 2015-2030’).

Dalam pada itu, Ketua Delegasi UTHM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Mohd. Noh Dalimin dan Prof. Emeritus Datin Dr. Maryati Mohamed menyarankan agar jabatan yang menerajui aspek kelestarian kampus daripada kedua-dua universiti ini boleh mengadakan pertemuan untuk menyemarakkan kerjasama ke arah kelestarian kampus yang menyeluruh di antara kedua-dua universiti.

Kolokium ini melibatkan sesi pembentangan daripada pensyarah Fakulti Kejuruteraan (Dr. Abu Zahrim Yaser), Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (Julius Kulip) serta Pusat Pengajian Pascasiswazah (Prof. Madya Dr. Fauziah Sulaiman) UMS dan pembentangan daripada FAST, UTHM pada sebelah pagi.

Pada sebelah petang, rombongan UTHM telah dibawa untuk melawat beberapa lokasi dan kemudahan kelestarian kampus di UMS, iaitu Pusat Informasi Pelawat EcoCampus (EVIC), Makmal Penyelesaian Alam Sekitar (Fakulti Sains dan Sumber Alam), Tapak Pengkomposan Sisa Organik (Fakulti Kejuruteraan), Pusat Minda Lestari dan Galeri BORNEENSIS (Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan).

Program tersebut menerima maklum balas yang amat memberangsangkan daripada para peserta, khususnya 34 orang siswa-siswi FAST, UTHM yang kebanyakan daripada mereka merupakan pelawat kali pertama ke UMS dan negeri Sabah.

Turut hadir adalah Ketua Jabatan Teknologi dan Warisan FAST, UTHM, Prof. Madya Dr. Alona Cuevas Linatoc

SELASA, 10 APRIL - Kira-kira 120 staf Universiti Malaysia Sabah (UMS) menghadiri program Sehari Bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) anjuran Jabatan Bendahari dan Jabatan Pendaftar pagi tadi.

Program tersebut bertujuan memberi pendedahan serta ruang kepada kakitangan UMS untuk mengetahui dengan lebih lanjut maklumat berkaitan cukai dan e-filing.

Menurut Pendaftar UMS,  No'man Hj. Ahmad, adalah menjadi tanggungjawab kepada semua kakitangan UMS untuk membayar cukai seperti yang dikehendaki.

“Saya menyeru kakitangan UMS untuk membayar cukai agar kita dapat menjalankan tanggung jawab kita sekali gus dapat membantu masyarakat dan negara,” katanya ketika berucap merasmikan program tersebut.

Beliau turut menyarankan Jabatan Bendahari dan Jabatan Pendaftar untuk menyemak dan meneliti semula kelayakan serta tangga gaji para kakitangan UMS agar mereka dapat menyelesaikan pembayaran cukai dengan mudah.

“Sebagai majikan, pihak UMS harus membantu para kakitangan untuk menyemak kelayakan potongan cukai berjadual (PCB) ini,” tambahnya.

Program yang diadakan di Megalab Perpustakaan UMS itu turut menyediakan kaunter khidmat pelanggan daripada agensi-agensi seperti Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Pusat Zakat Sabah, LHDN, Bahagian Sumber Manusia Jabatan Pendaftar, Kaunter Seksyen Perkhidmatan Kakitangan Jabatan Bendahari, Hospital UMS, Pusat Pelaburan dan Endowmen UMS, dan Pusat Alumni UMS.

Taklimat e-filing dan Potongan Cukai Berjadual (PCB) turut disampaikan oleh tiga Pegawai Khidmat Pelanggan dari LHDN Kota Kinabalu, Muliadi Mohtar, Munirah Ahmad dan Md Tarmizi Abdullah.

Hadir sama pada majlis tersebut Dekan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) UMS, Prof. Madya Dr. Raman Noordin; Timbalan Ketua Pustakawan Kanan UMS, Zawawi Tiyunin; dan Timbalan Pengarah Jabatan Pembangunan dan Penyelenggaraan (JPP) UMS, Hj. Firdaus Abdullah serta pegawai-pegawai kanan UMS.

 

ISNIN, 09 APRIL - Tabung makanan Kolej Kediaman Excellent (KKE) Universiti Malaysia Sabah (UMS) dilancarkan baru-baru ini di hadapan pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP) kolej berkenaan.

Dinamakan sebagai Pit-Stop Abdur Rahman Bin Auf, tabung berkenaan merupakan hasil inisiatif Exco Kebajikan Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (Jakmas) KKE.

Yang Dipertua Jakmas KKE, Siti Irra Shahirah Mohd Yasin berkata, Pit-Stop Abdur Rahman bin Auf adalah tabung makanan bagi membantu pelajar KKE yang kurang berkemampuan dan dikhaskan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

“Nama Pit-Stop Abdur Rahman bin Auf diambil daripada nama salah seorang sahabat nabi Muhammad S.A.W iaitu Abdur Rahman bin Auf kerana sikap dermawannya yang sanggup mendermakan sejumlah hartanya di dalam peperangan Tabuk.

“Justeru, melalui tabung makanan ini ia dilihat mampu menjadi sumber inspirasi kepada pelajar memupuk sikap dermawan dalam diri,” katanya ketika ditemui media.

Sementara itu, Pengetua Kolej Kediaman Excellent, Dr. Syahruddin Awang Ahmad berkata, insiatif berkenaan wajar dipuji dan perlu dicontohi kerana ia bukan sahaja menerapkan sifat dermawan dalam kalangan pelajar KKE, tetapi  meningkatkan sahsiah pelajar dengan melahirkan sikap prihatin sesama manusia.

“Slogan program ini iaitu “Sharing is Caring” juga merupakan wadah untuk memupuk sifat kasih sayang dan keperihatinan pelajar dalam membantu mereka yang memerlukan, serta mengaplikasikan sifat yang mulia ini di dalam kehidupan mereka,” ujarnya lagi.

Turut hadir pada program itu, Timbalan Pengetua Kolej Kediaman Excellent merangkap Penyelaras program, Mohd. Hilmey Saili, felo-felo kolej, ahli jawatankuasa Jakmas, Majlis Ketua-ketua Sekretariat, Majlis Ketua-ketua Blok dan Majlis Ketua-ketua Kelab Kolej KKE.

 

Sumber: KKE

 

JUMAAT, 06 APRIL - Pensyarah Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Mohamad Nizam Nazarudin akan menyertai Siri kedua Powerman Dunia Asia yang akan bermula esok di Indonesia.

Kejohanan dua hari anjuran International Powerman Association (I.P.A) itu akan menyaksikan Pensyarah Program Sains Sukan FPP tersebut bertanding dalam acara duathlon yang memerlukan para peserta melakukan aktiviti larian dan berbasikal.

“Saya berharap dapat meraih pencapaian yang lebih baik pada kali ini atau sekurang-kurangnya mengulangi kejayaan pada tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Dr. Nizam, tahun 2017 beliau memperoleh tempat ke-10 pada program yang sama di Thailand, tempat ke-6 di Indonesia dan tempat ke-7 di Putrajaya bagi acara short sprint.

“Baru-baru ini saya juga telah menyertai Powerman Putrajaya bagi kategori umur 45-49 tahun dan telah mendapat tempat ke-10 untuk acara short sprint,” ujarnya sambil memaklumkan seorang pesnyarah FPP, Stephanie Chok mendapat tempat ke-6 acara klasik wanita 35-39 tahun, serta Penolong Pegawai Belia dan Sukan FPP, Laura Simon di tempat ke-4 short sprint wanita 25-29 tahun.

Dalam pada itu, Dekan FPP, Prof. Dr. Hj. Mohd. Dahlan Hj. A. Malek berkata, pihak FPP sentiasa menggalakkan kakitangannya aktif mengamalkan gaya hidup sihat di samping dapat menaikkan nama FPP dan UMS di peringkat antarabangsa.

“Berdasarkan persediaan dari segi fizikal, mental, teknik dan strategi, saya percaya Dr. Nizam mampu mengharungi cabaran dihadapi nanti.

“Saya mendoakan agar beliau mampu mengukir satu kejayaan di Indonesia nanti,” ujarnya

Untuk rekod, terdapat 16 kejohanan siri Powerman Dunia akan diadakan di Asia, Eropah, Amerika Selatan dan Amerika Utara sepanjang tahun ini.

Mereka yang mempunyai mata tertinggi dari tiga siri akan terpilih ke peringkat akhir Kejohanan Dunia di Zofingen, Switzerland pada bulan September 2018.

Selain Indonesia, Dr. Nizam juga akan menyertai empat lagi kejohanan di Thailand, China dan Filipina bagi mendapat tempat di  Zofingen.

 

Sumber: FPP

 

JUMAAT, 6 APRIL – Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) Kolej Kediaman Tun Mustapha (KKTM), Universiti Malaysia Sabah (UMS) menganjurkan bengkel Pertahanan Diri bersempena dengan program Hari Siswi di dewan Utama Kolej Kediaman Tun Mustapha, UMS baru-baru ini.

Menurut pengarah bengkel tersebut, Nur Syafiqah Diana Sanim, penganjurannya antara lain bertujuan untuk memberi pendedahan kepada siswi tentang pentingnya mempunyai ilmu pengetahuan yang luas berkaitan dengan seni mempertahankan diri.

“Golongan siswi kini perlu melengkapi diri dengan ilmu mempertahankan diri supaya tidak dilihat lemah pada pandangan kaum lelaki di luar sana,” katanya.

Pada program itu, seorang jurulatih Shorinji Kempo dari Sabah Shorinji Kempo Association, Athirah Ahmad Zukhi telah memberi tunjuk ajar mengenai ilmu seni mempertahankan diri apabila diserang musuh.

Sementara itu, Pengetua Kolej Kediaman Tun Mustapha, Kol (PA) Dr. Mohamad Nizam Nazarudin berkata, kaum wanita sememangnya berperanan penting dalam mencorak masa depan negara apatah lagi wanita merupakan pengasuh dan pendidik generasi muda yang bermula dari institusi kekeluargaan seterusnya ke alam masyarakat sebenar.

“Justeru, kedudukan kaum wanita yang semakin penting dalam pelbagai bidang yang diceburi maka sedikit sebanyak program Hari Siswi ini dapat membantu memperkasakan siswi bukan saja untuk bersaing dengan kaum lelaki tetapi turut sama membangunkan generasi muda masa kini,” Katanya semasa melancarkan program tersebut.

Seramai 232 siswi bersama ahli jawatankuasa JAKMAS telah menjayakan program sehari itu.

Hadir sama, dua orang tetamu jemputan yang merupakan Pegawai Perubatan Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, Dr. Gunasunthari Ganeson dan Hanita Gahoon serta Yang Dipertua JAKMAS, Mohamad Azad Hafiz Ismail.